بسم الله الرحمن الرحيم
Julai telahpun merangkak pergi meninggalkan kita. Kini bulan Ogos pula menyusul menyambung amanahnya sebagai pelengkap setahun menurut ketetapan Ilahi. Tidak terkecuali hari ini pula hari terakhir bagi bulan mulia Rejab. Esok pula akan menjelma bulan kesukaan Nabi Muhammad SAW, Syaaban yang terkenal dengan peristiwa Nisfu Syaaban sebelum terhampar sebuah bulan yang dikhaskan buat umat Islam pula. Tidak lain bulan Ramadhan Al-Mubarak. Akan tetapi bukan itu sebenarnya yang ingin penulis lakarkan pada entri kali ini.
Presiden PMRAM Selamat Akhirnya
Ya, setelah berdebar-debar menantikan saat bahagia akhirnya beliau selamat disatukan dibawah payungan rahmat Ilahi dengan penuh harmoni pada 31 Julai 2008 bertempat di Musolla Asrama Rumah Melayu, Abbasiah. Di sepanjang pengetahuan penulis berada di tampuk kepimpinan PMRAM, beliau merupakan presiden ke dua yang memegang jawatan presiden dalam keadaan berhadapan dengan tanggungjawab sebagai kepala keluarga.
Apa yang pastinya beliau berjanji untuk memberikan komitmen yang tinggi terhadap PMRAM dan tidak akan menjadikan alasan rumahtangga untuk melengah-lengahkan taklifan selaku Presiden PMRAM yang cukup berat. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul kedua-dua amanah itu.
Semoga kedua-dua mempelai yang bakal menempuh alam berkeluarga mampu melayari disamping memupuk kesefahaman antara satu sama lain supaya kedua-dua amanah itu mampu dilestarikan dengan jayanya.
Tahniah penulis ucapkan.
Yang 'bawah-bawah' ni bila lagi agaknya?
Bertuahnya BP Angkat Terengganu
Siapalah agaknya insan yang dimaksudkan. Hanya anak-anak Terengganu yang mengetahui siapakah gerangan 2 orang Badan Pengurus Angkat mereka yang tidak putus-putus memberikan sokongan. Walaupun pada peringkat saringan dan suku akhir BP tersebut tidak muncul kerana kesibukan tugasan. Jutaan kemaafan kerana terlepas pandang pada waktu tersebut.
Walau apapun kedudukan pasukan Terengganu, BP tersebut sentiasa memberikan sokongan yang semampu mungkin sebelum berakhirnya tugasan beliau pada sesi ini. Syabas diucapkan kepada kalian semua kerana memberikan komitmen yang terbaik bagi menjayakan Kejohanan Piala Malaysia 2008 anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) saban tahun bersempena dengan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) Malaysia yang ke-51.Buat Dumyat yang merupakan DPM angkat penulis dan juga Johor yang merupakan negeri kelahiran penulis serta seluruh pasukan yang mewakili negeri dan muhafazah masing-masing untuk cuba lagi di kejohanan mendatang. Kalah dan menang merupakan adat perlawanan.
Sayugia untuk diperjelaskan kepada semua bahawa kejohanan yang diadakan bukan semata-mata untuk kita mengejar kemenangan. Akan tetapi ianya bertujuan untuk memupuk hubungan silaturahim diantara sesebuah pasukan disamping mengajar kita untuk menyusun strategi untuk menang dalam sesebuah perlawanan.
Method ini diharap mampu direalisasikan oleh seluruh masyarakat pelajar yang merupakan mahasiswa Al-Azhar untuk mengadaptasikannya di persada perjuangan menegakkan Syiar Islam kelak. Demikian sebagaimana yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PMRAM yang mewakili Presiden pada majlis penutupan rasmi Kejohanan Piala Malaysia 2008 pada 31 Julai 2008.
Tahniah kepada yang berjaya. Manakala yang tidak berjaya, boleh cuba lagi untuk Futsal, Bola Tampar dan Sepak Takraw InsyaAllah, tidak berapa lama lagi. Sama-sama nantikan kehangatannya yang penuh gilang gemilang!
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment