Video Klip Pilihan

Wednesday, October 29, 2008

|| Barakallahu Lakum, Moga Allah Berkati Kalian ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah. Kesyukuran yang sebanyak-banyaknya penulis panjatkan ke hadrat Ilahi atas segala nikmat kurniaan yang telah diberikan. Baru-baru ini pada 27 Oktober 2008 penulis dan beberapa orang sahabat seperjuangan selamat menghadiri majlis walimah dua pasang mempelai yang mana sepasang mempelai merupakan mahasiswa/wi yang masih mengaji di Universiti Al-Azhar, Mesir. Pasangan yang dimaksudkan adalah saudara Muhammad Firdaus bin Hj. Sulaiman dan pasangannya Noor Haziqah Binti Md. Haris. Sepasang lagi mempelai merupakan pasangan abang ipar 'Tete'.

Walau apapun yang tercoret, penulis mengucapkan tahniah atas kebejayaan kalian menyempurnakan sebahagian dari tuntutan Islam itu sendiri. Moga sentiasa dirahmatiNya, kekal hingga ke akhir hayat, insyaallah. Yang pastinya sepulangnya penulis ke tanah air pada tahun ini meupakan satu ujian melihat sahabat-sahabat penulis selamat mendirikan mahligai bahagia mereka terhindar dari segala bentuk maksiat yang sememangnya mengundang murka yang Esa. Bagaimana pula penulis dan sahabat-sahabat lain yang masih belum mendapat kata putus dan tidak pasti bila akan menjejakkan kaki ke 'zon selamat' ini.
Namun begitu semoga kita semua akan sentiasa dilindungi Allah dari segala bentuk maksiat, bencana dan murkaNya yang tidak terperi sakitnya. Berikut penulis sertakan beberapa fenomena sepanjang majlis walimah dua pasang mempelai ini. Moga sedikit sebanyak memberikan perangsang dan inspirasi untuk merancang menuju ke arah 'zon selamat' dan menghindari perkara-perkara terlarang.

Selamat berumahtangga kepada semua sidang pembaca.
___________________________________________________________________________

"Awak, abang duduk kerusi kanan ke kiri? Lupalah..."

Wah, rasa macam 'wedding of the year' la lak...

"Lepas shoot gambar jangan lupa masuk majalah Al-Islam lak yer?"

"Ooo abang duduk kerusi kanan ea? Nasib baik pengapit ni tau..."

"Lamanya 'polis' tu soal siasat abang awak kan... Semalam takder pun dalam discussion..."

"Hah, sila-sila amik gambar kami masukkan dalam buletin Al-Jauhar, SUKEJ yer..."

"Bismillahirrahmanirrahim... langkah masuk kaki kanan tau macam kita praktis semalam..."

"Macam artis la pulak aku rasa... ahaks..."

"Eh, eh, gempa bumi ke apa ni?? Hati-hati jalan..."

"1,2,3 Senyum sokmo... :-)"

"Dah boleh gerak ke lom ni? Kompang apsal xmula lagi?"

"1,2,3 Gerak!!! Kiri kiri kiri kanan kiri... "
___________________________________________________________________________

Semua gambar-gambar di atas dirakam oleh penulis sendiri tanpa tauliah dari mana-mana institusi pengajian tinggi mahupun swasta. Sesiapa yang teringin untuk penulis menjadi photographer bagi majlis-majlis mereka, bolehlah menghubungi penulis sebelum penulis berangkat kembali ke Perlembahan Nil. Kalau mereka yang di Mesir pun boleh tempah lebih awal. :P

Kata Muthaqqaf : Meskipun penulis tidak kesampaian untuk mengikut jejak langkah mereka pada tahun ini, penulis yakin dan berharap akan melangkah masuk ke alam ini kelak bila tiba masanya. Selepas ini giliran pasangan Mohd Hafiz bin Mansor (Mantan Ketua Penasihat BKPJM 07/08 dan mantan Badan Pengurus 2004-2006 serta Penasihat PMRAM 2007-2008) dan Siti Raudhah (Mantan Penasihat HEWI BKPJM 07/08) pada 2 November 2008 di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi. Juga tahniah kepada Al-Fadhil Hairul Nizam bin Mat Husain (Mantan Presiden PMRAM dan Penasihat PMRAM) dan pasangannya yang selamat diijab kabul pada 26 Oktober lepas. Semoga kekal hingga ke akhirnya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Kronologi Sebuah Kemenangan ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Satu persatu berlalu pergi,
Ramai yang sedih,
dengan pemergiannya,
Lebih ramai yang gembira,
Bagaikan tiada apa-apa,
Tatkala ianya berlalu,
Tiada air mata, tiada ratapan,
Apatah lagi kesedihan,
Yang datang Bertandang,
mengiringi kronologi,
Sebuah Kemenangan.

Syaaban pembuka rasa,
Menyingkap tirai,
Rahsia amalan,
Menghayatinya runtuh,
Tembok takabbur,
Mendalaminya rapuh,
Bisikan si 'durjana',
Mengukir keimanan,
Memahat ketakwaan,
Menjana taqarrub,
Indah ribat Rabbani.

Rejab menyambung,
Penuh tragis,
Besar pengorbanan,
Terpundak amar,
Ikrar Rabbul Izzati,
Menanam insaf,
Menyemai izzah,
Tersemat kemas,
Sumpah keramat,
Mengngabdi diri,
Hanya untuk DIA.

Indahnya Ramadhan,
Bagaikan rumah terbuka,
Terhidang segalanya,
Ganjaran dan hadiah,
Tidak terperi gandanya,
Syurga itu tidak tertutup,
Neraka itu tidak terbuka,
Sepanjang waktu itu,
Beruntunglah,
Si abid nan insaf,
Rugilah,
Si abid nan leka,
Sia-sia di hari muka.

Tibanya Syawal,
Terukir kesayuan,
Meninggalkan khazanah,
Pengumpulan ibadah,
Markaz redha Ilahi,
Raikan kemenangan,
Tanpa kedunguan!
Tanpa kealpaan!
Tanpa kebobrokan!
Mengundang murkaNya.

Kemenangan ini,
Penuh dengan kesucian!
Akan berakhir,
Menurut kitaran,
Berpeluangkah menemuinya,
di tahun mendatang?
Masihkah punya waktu,
Menebus kesilapan lampau,
Melakar rimbunan maghfirah?
Hanya doa dan harapan,
Dipertemu kelak.
____________________________________________________________________

Nukilan Zulmarwa,
Penghujung Syawal 1429H,
Sri Damansara,
Kuala Lumpur,
Malaysia.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, October 26, 2008

|| Semalaman Di Kota Darul Sunnah ||

بسم الله الرحمن الرحيم

23 Oktober 2008, hari Khamis merupakan peristiwa yang amat bermakna bagi penulis kerana dapat juga menjejakkan kaki ke Utara Semenanjung Malaysia, negeri Perlis Indera Kayangan atau sinonim dengan sebutan Perlis Darul Sunnah di kalangan masyarakat mahasiswa Mesir. Ini adalah kerana pengamalan Sunnah Rasulullah S.A.W melalui pimpinan Mufti Perlis yang amat dikenali dikalangan umat Islam di Malaysia dengan kerenah pemikirannya.

Di sini pada entri kali ini bukanlah penulis berhasrat untuk merungkai fenomena Sunnah yang melanda negeri tersebut kerana perkara ini semakin menjadi perbincangan hangat dikalangan agamawan dan intelektual tempatan mahupun antarabangsa. Ianya kembali kepada kekuatan iktikad seseorang terhadap penyampaian ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W yang disampaikan oleh para alim ulama terdahulu yang lebih mahir dan memahami setiap bilah bicara wahyu itu. Semoga kita tergolong dikalangan mereka yang sentiasa mendapat titipan hidayah dan limpahan rahmatNya.

Usah merapu panjang lebar. Penulis yang memang terkenal dengan identitinya yang suka mengembara walau di mana sahaja penulis berada selagi 'ongkos' di saku masih mengizinkan diri ini untuk melangkah pergi. Bukan sahaja di Mesir, bahkan di Malaysia hayunan langkah ini masih gagah merentas sempadan-sempadan negeri. Selain menziarahi sahabat-sahabat yang baru dan telah lama dikenali, yang masih lagi sama-sama mengaji di Perlembahan Nil. Bahkan penulis turut mewakili persatuan induk di Mesir, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) membincangkan beberapa program yang sedang disusun bersama antara HPA Industries dan PMRAM pada tahun hadapan.
Dengan ini, sedikit sebanyak dapat membuang prasangka yang dilempar mengatakan penulis hanya goyang kaki dan pulang bercuti. Bukan itu sahaja, bahkan pada 13 Disember 2008 ini juga penulis sekali lagi akan mewakili Presiden PMRAM, Saudara Khairul Anuar Bin Ismail bagi menghadiri sebuah program 'Mega Gathering Nasyidfm' yang akan diadakan di Shah Alam sebelum penulis berangkat kembali ke 'gedung ilmu' beberapa hari selepas itu. Moga segala yang disusun mendapat pimpinan dariNya serta berjalan lancar dipermudahkan yang Maha Perancang.

Di sini penulis turut menyelitkan beberapa gambar yang sempat dirakam ketika penulis berada di Perlis di Gua Kelam. Panjangnya yang mengambil masa sekitar 10-15 minit perjalanan (panjangnya terlupa). Terima kasih kepada saudara Mohd Zahid dan Solihin yang sudi menemani penulis ketika ke sana juga ke Padang Besar yang merupakan Aked Niaga bersempadan negara jiran, Siam yang menjual pelbagai barangan dengan harga yang amat murah tetapi 'Made in Thailand'. Tidak dilupakan saudara Mohd Nazim Mohd Noor yang sudi menumpangkan penulis selama dua malam di rumahnya dan sahabat-sahabat Perlis yang sudi menerima kedatangan penulis.

Moga ukhuwah yang terjalin akan berkekalan merendang damai di bawah payungan rahmat Ilahi diselimuti ribat Rabbani dan Nabawi sebagai pedoman. Terima kasih kerana menjayakan pengembaraan Muthaqqaf ke Semenanjung Malaysia mana yang sempat dilawati. Tidak termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei kerana ianya nun jauh merentas benua memerlukan peruntukan tambahan untuk sampai ke sana. Walau apa jua situasi yang melanda, moga ukhuwah akan terus dierat tanpa dihalangi oleh batasan masa, benua dan frekuensi. Sekian dari penulis.
_____________________________________________________________________


Penulis di hadapan papan tanda Gua Kelam di pintu masuk.

Penulis bersama saudara Solihin.

Penulis ketika kepenatan di akhir pintu Gua Kelam.

Gambar ralat. Dalam keadaan tak sedia.

Penulis bersama saudara Mohd Zahid di pertengahan Gua Kelam.

Ini pula penulis bersama saudara Solihin di pertengahan Gua Musang.

Penulis berseorangan, saudara Mohd Zahid 'camera man'.

Gambar kenangan.

Gambar hiasan.

_____________________________________________________________________

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 25, 2008

|| Dunia Semakin Melekakan, Salah Siapa? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi, Tuhan Pencipta langit dan bumi atas limpah kurniaNya dapat jua kita bersua bicara setelah sekian lama membisu seribu kata di atas sebab-sebab yang tidak dapat penulis elakkan. Meskipun begitu penulis tidak lupa untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada sidang pembaca sekalian kerana masih setia memberikan sumbang saran dalam membantu diri yang serba lemah ini dalam memberikan input yang berguna kepada seantero alam dalam apa jua medium mengikut kesesuaian era globalisasi tika ini.

Sepanjang hampir sebulan setelah kepulangan penulis ke Tanah Air yang tercinta sudah pastinya terdapat pelbagai peristiwa pahit manis yang terjadi kepada diri ini yang tidak dapat diungkapkan kecuali empunya diri. Walau apa jua ranjau yang menimpa penulis merasa amat berterima kasih dan bersyukur yang sebanyak-banyaknya kerana masih diberikan ruang untuk menebus segala kesalahan yang pernah dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Hanya Allah sahajalah yang mampu memberikan keampunan kepada hamba yang serba lemah ini.

Nah, sekiranya dihitung hari demi hari yang berlalu sememangnya dirasakan waktu yang pergi itu bagaikan baru semalam dilalui. Justeru pastinya di sana berlaku sedikit sebanyak kelemahan, kekurangan dan kecacatan yang tidak secara langsung mahupun sebaliknya sehingga menghiris pautan hati yang tulus ikhlas membantu. Penulis akui memang banyak perkara yang berlaku selama ini meragut kegembiraan yang ingin dikecapi oleh insan-insan yang tersayang lantas membantut segala perancangan yang disusun tanpa disengajakan. Mungkin ada hikmah akan setiap yang berlaku.

Penulis memohon jutaan kemaafan kerana membuatkan kalian menangis kekecewaan di atas sebuah kegagalan pertama dalam ujian minda yang tidak disangka-sangka. Bahkan penulis turut tewas dan gagal dalam ujian dunia yang penuh dengan pancaroba. Sehingga penulis merasakan apakah ada lagi tempat untukku di 'sana'? Adakah masih ada peluang untukku menebus kembali setiap titik-titik hitam yang tercalit? Segalanya bergantung kepada diriku dalam menentukan masa hadapan samada jelas ataupun kelam. Segalanya berbalik kepada tegarnya semangat yang tersemat adakah berkobar-kobar ataupun futur menjunam.

Semoga coretan yang sedikit ini mampu memberikan sedikit inspirasi pemangkin kepada kalian semua untuk meneruskan perjuangan menghadapi segala onak duri yang terbentang di hadapan tanpa menoleh ke belakang. Bahkan langsung jangan pandang belakang. Pandanglah ke hadapan dengan penuh berkeyakinan mengharapkan janjiNya menyelaputi diri sang pejuang agama Allah. Selamat menempuh alam peperiksaan kepada yang bakal menemuinya, dan selamat ke kuliah kepada mereka yang baru menempah tempat melanjutkan pelajaran di mana-mana pusat-pusat pengajian. Dengan niat ikhlas kerana Allah.

Sentiasa tajdid niat hanya untuk Rabbul Izzatis,menongkah tribulasi sejajar syakhsiah Nabawi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, October 18, 2008

|| Cabaran Perintis Masa Hadapan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Jauh melangkah, luas pemandangan, mencerna pemikiran untuk memikirkan survival masa hadapan negara yang bakal diterajui oleh graduan-graduan yang bakal mewarnai negara menyambung silsilah perjuangan pemimpin negara pada waktu ini. Sekarang ini penulis telah berada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak menziarahi sahabat-sahabat semenjak di bangku sekolah lagi. Masing-masing mempunyai wawasan masing-masing dalammemberikan sumbangan kepada negara.

Sebelum itu penulis telah menziarahi Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan akan menyusul beberapa Institut Pengajian Tinggi sambil melakukan beberapa tinjauan penulis sendiri untuk melihat sejauh mana sasaran melahirkan modal insan yang memenuhi tuntutan negarasekaligus Islam itu sendiri dalam memartabatkan kesarjanaan Syariah Islam yang telus. Sekarang ini kelihatan di sana sini penyalahgunaan kuasa dan salah laku moral yang amat meluas dikalangan kepimpinan apatah lagi di IPT-IPT yang penulis lihat tidak dapat dibendung lagi.

Melihat kepada suasana ini, seharusnya mereka yang bergelar siswazah yang sedang menuntut ilmu dalam bidang masing-masing terutamanya yang beragama Islam menekankan aspek akhlak dan moral yang tinggi agar masa hadapan Islam terutamanya dan negara itu sendiri tidak tercemar dan hancur dengan fenomena yang tidak sepatutnya. Penulis pun bukanlah perintis yang terbaik dalam memperjuangkan perkara ini sekadar untuk mengingatkan kepada para siswazah agar celik mata dan minda dalam menuju sebuah tribulasi masa hadapan yang kian goyah.

Semoga bingkisan yang secebis cuma ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, bahkan diharapkan ianya mampu menaikkan semangat kepada para siswazah tidak kira di mana jua institut pengajian kalian tempatan mahupun luar negara memahami peranan masing-masing kelak. Usah kita terleka dengan habuan duniawi yang sememangnya cabaran utama dalam menongkah arus kehidupan modenisasi yang kian mengasak.

Semoga bingkisan ini mampu memberikan satu impak yang terbaik kepada kita semua selaku perintis masa hadapan untuk memimpin negara ke arah Islamik, komprehensif dan inovatif berlandaskan acuan Syariah Islam yang syumul. Hayatilah dengan sebaik-baiknya meskipun bidang yang diceburi bukanlah bidang yang menjurus kepada sarjanaan keagamaan kerana ianya juga merupakan cabang dari ilmu Allah jua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, October 14, 2008

|| Hasrat Yang Tergantung ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sukar untukku luahkan hasrat hati ini. Namun apabila ianya telah terluah tidak ku sangka ianya mendapat tentangan daripada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dengan hasrat murniku itu. Apakah salahku sehingga semuanya tidak bersetuju dengan hasrat yang turut dituntut oleh agama?! Mungkin kerana tidak mahu terhutang budi yang keterlaluan kepada mereka yang berbesar hati untuk memudahkan urusan kami untuk mendirikan sebuah tuntutan yang amat dituntut.

Sesungguhnya diri ini tidaklah terlalu mengharap ianya menjadi kenyataan akan tetapi apabila memikirkan ada baiknya untuk mempercepatkan perlaksanaannya. Bukan untuk menyusahkan semua akan tetapi tidak pula disangka-sangka hingga menyusahkan sesetengah pihak untuk turut memikirkannya. Apakan daya, andai ini merupakan suratan Ilahi, ku pasrah dengan ketentuannya. Pasti ada hikmah disebalik peristiwa ini.

Mungkin belum tiba masanya untukku meneruskan hajat yang suci lagi murni itu. Bersabarlah wahai jodoh yang telah ditentukan Allah untukku. Mungkin ada hikmah disebalik semua ini. Diri ini telah berusaha semampunya untuk merealisasikan hubungan ini supaya rasmi dan diredhainya. Apa yang mampu untuk kita lakukan sekarang ini adalah berdoa, berdoa dan terus berdoa. Disamping usaha yang berterusan. Jangan dilupa juga agar kita menjauhkan segala macam perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.

Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita dalam menongkah arus dunia yang semakin mencabar menduga kekebalan iman dan kekuatan takwa yang amat tipis ini.

Inilah sebuah hasrat yang tergantung. Moga satu hari nanti akan menjadi kenyataan bagi mengelakkan sebuah kemaksiatan yang dimurkai.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa