Video Klip Pilihan

Saturday, January 31, 2009

|| Bicara Politik (Respon Terhadap Ceramah Umum Ahli Parlimen PAS Di Mesir) ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat sidang pembaca yang sentiasa dirahmati ALLAH dengan limpahan taufiq, hidayah dan kasih sayangNYA selamanya. Seusai imtihan penulis seminggu yang lalu, tiada sebarang entri yang dikemaskini. Kesibukan sebagai seorang pemimpin kembali menerjah hidup penulis bagi menyambung kembali tugasan sebagai seorang 'hamba' walaupun tidak pada realitinya. Disebalik entri pada kali ini memaksa penulis untuk mengulas beberapa pengalaman dan pandangan bagi memberikan sedikit kefahaman yang jelas.

Isu ini telah berkisar agak lama sebelum kedatangan wakil rakyat dari pihak pembangkang lagi. Perkara ini kita dapat lihat semenjak sekian lama sebelum berlakunya Pilihanraya Umum Malaysia ke-12 pada 8 Mac 2008 yang menyaksikan berlakunya tsunami politik yang amat memeranjatkan semua pihak. Bahkan ianya memberikan satu kejutan yang di luar dugaan parti-parti politik yang bertanding itu sendiri. Kedatangan para menteri dan wakil rakyat dari pihak kerajaan di kalangan UMNO tidak pula dihingarkan. Mengapa tentangan yang berat sebelah dan 'pilih bulu' berlaku?

Kedatangan wakil-wakil rakyat dari pihak kerajaan yang menggunakan landasan menteri bagi pihak kerajaan Malaysia turut membawa wadah kepartian mereka. Perkara ini tidak dapat dielakkan dan sekalian masyarakat pelajar bijak dalam menilai siapakah yang berada di pihak yang benar berteraskan neraca ilmu yang dipelajari. Ilmu ISLAM yang semestinya syumul dan merangkumi setiap lapangan kehidupan turut memasukkan elemen siasah yakni politik yang berteraskan lunas-lunas ISLAM.

Malahan andai kita perhatikan sebelum PRU12 seluruh jemaah menteri kerajaan Malaysia hingga ke pperingkat Perdana Menteri dan Timbalannya sendiri turun ke Mesir dengan membawa wadah dan wacana kepartian gagasan mereka semenjak 50 tahun memerintah Malaysia. Meskipun mereka datang atas landasan jawatan yang dipegang, terselit juga di sana hasrat untuk menyemai wadah kepartian mereka tanpa menerima sebarang komen mahupun tentangan hebat dari mana-mana individu dan persatuan mahasiswa.

Akan tetapi, mengapa tatkala kedatangan wakil rakyat dari pihak pembangkang dilayan dingin oleh beberapa individu yang pro-kerajaan malah menuduh ianya bertujuan untuk menge'PAS'kan mahasiswa Al-Azhar? Apakah kedatangan wakil-wakil rakyat dari pihak kerajaan yang memerintah tiada tujuan yang sama untuk men'UMNO'kan mahasiswa Al-Azhar? Adakah insan yang sudah bergelar 'MAHASISWA' masih belum matang untuk menilai senario politik tanah air hingga boleh digula-gulakan oleh kedua-dua parti dominan Melayu dan ISLAM itu?

Jawapannya berada di tangan masyarakat mahasiswa sendiri tanpa mengira samada di peringkat pengajian ISLAM mahupun Perubatan dalam menentukan kecenderungan masing-masing dalam arena politik tanah air. Sedangkan masyarakat mahasiswa di Malaysia turut melakukan perubahan dalam politik kampus mereka, apakah masyarakat mahasiswa di Mesir ini tidak boleh untuk menceburkan diri mereka dalam kancah politik ini?

Usah disempitkan pemikiran mahasiswa di era ini yang dilihat sudah matang dan tidak suka dikongkong dalam kebebasan berfikir dan memilih yang terbaik untuk masa hadapan mereka. Untuk masa hadapan ISLAM. Bagi melihat pihak manakah yang benar-benar menjalankan amanah dan tanggungjawab yang dipundak kepada mereka.

Dewasa ini, kita lihat tsunami perubahan menuntut kepada ISLAM berlaku di mana-mana negara tidak terkecuali negara kita yang tercinta. Oleh yang demikian, tidak sepatutnya arus perubahan yang hangat berlaku di mana-mana tempat di dunia ini disekat terhadap rakyat Malaysia yang diisytiharkan sebagai negara yang menjalankan sistem demokrasi! Kembalikan laungan demokrasi yang dilolongkan selama ini dengan memberikan kebebasan kepada rakyat Malaysia terutamanya kami golongan pewaris kepimpinan negara supaya minda yang masih ligat berputar mampu diadaptasikan dengan lebih membina.

Satu perkara lagi yang ingin penulis ingatkan kepada seluruh masyarakat pembaca sekalian berkaitan dengan program 'Ceramah Umum anjuran bersama Muslim Care Malaysian Society dan Yayasan Unit Amal Malaysia'. Program ceramah umum yang dihadiri oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia yang amat terkenal, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berserta 9 orang ahli parlimen dari Pakatan Rakyat. Mereka semua terdiri daripada barisan kepimpinan PAS yang turun berjumpa pelajar sebagaimana datangnya kepimpinan UMNO atas tiket kerajaan.

PERINGATANNYA BERBUNYI BEGINI : Program yang diadakan pada malam tersebut bukanlah anjuran daripada mana-mana Badan Anak Negeri dan Persatuan di Mesir apatah lagi PMRAM. Banyak tohmahan dan pihak sekian lama mencari salah PMRAM dengan menuding jari bahawasanya persatuan dominan di perlembahan Nil itulah yang bekerjasama menganjurkan ceramah umum politik pada malam tersebut. Yang pastinya PMRAM tidak langsung campur tangan dalam program tersebut!

Kata Muthaqqaf : Kepada mereka-mereka yang berkenaan yang sememangnya tidak puas hati dengan PMRAM di Mesir dinasihatkan jangan buat-buat pandai dengan membuat telahan yang sengaja untuk membusukkan reputasi PMRAM. Sekalipun kalian pro dan sokong gagasan yang dibawa oleh kerajaan dengan mempertahankan institusi keMELAYUan semata-mata terpulanglah pada kalian.

Jangan kerana mempertahankan bangsa, agama tergadai dengan membuka ruang-ruang perpecahan dalam masyarakat. Usah melihat kepada satu pihak sedangkan pihak kedua tidak diberikan peluang untuk berhujjah dan memberikan penjelasan. Zalimlah kalian sekiranya itu yang terjadi.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, January 13, 2009

|| Ujian Dalam Ujian ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sakit, menderita, sengsara dan kesusahan merupakan perkara-perkara yang biasanya dialami oleh mereka yang dirundung dengan ujian oleh ALLAH. Ujian yang datang juga datangnya dari pelbagai bentuk samada penyakit, musibah, bencana alam, malapetaka dan sebagainya. Ujian yang datang tidak lain adalah sebagai satu penapis kepada kenaikan darjat keimanan seseorang yang benar-benar beriman kepada ALLAH.

Bahkan ALLAH sendiri merakamkan perkara ini di dalam kalamNYA yang bermaksud : "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Al-Ankaabut:2)

Bulan 'Peperangan'

Alhamdulillah seperti yang dirancang, syukur ke hadratNYA kerana bersesuaian dengan perancangan RABBULJALIL sehingga penulis berjaya pulang ke 'halaman ilmu' ini bagi menyelesaikan tuntutan ilmu di sini. Seterusnya seusai menduduki imtihan kali ini seterusnya menyambung ke peringkat yang selanjutnya. Segala yang dirancang ini diharap mendapat restu YANG ESA.

Apa yang pasti, kesungguhan yang sebenar-benarnya perlu ku gembleng untuk menatijahkan sebuah kejayaan yang terbaik menggembirakan insan-insan yang sentiasa mendoakan kejayaan diri ini. Kepada ALLAH jua ku pohon moga diberi kekuatan untuk menongkah perjalanan menuntut ilmu ini sehingga matlamat yang dituju mencapai hadafnya. Hadaf memartabatkan ISLAM dari terus diinjak-injak oleh musuh-musuh durjana.

Tika ini kita saksikan Gaza di Palestin yang terletaknya kiblat suci umat Islam yang pertama, iaitu Baitul Maqdis sebelum diarah bertukar ke Makkah Al-Mukarramah. Gaza yang tatkala ini sedang bergolak dengan serangan musuh ISLAM, Israel dan sekutu-sekutunya yang menyerang tanpa henti masuk minggu ke-3 sehingga mengorbankan hampir ribuan nyawa tidak berdosa. Peperangan mereka adalah peperangan yang menjanjikan syahid di jalan ALLAH yang hakiki. Moga ALLAH sentiasa merahmati mereka disamping bantuan yang tidak putus-putus kita salurkan kepada mereka walau dalam apa keadaan sekalipun.

Dengan izin RABBULKARIM, penulis akan menduduki imtihan untuk semester pertama ini bermula pada 19, 22 dan 24 Januari 2009. Sebanyak 3 subjek yang akan penulis tempuhi untuk semester ini diikuti dengan 3 semester juga pada semester seterusnya. Berikut jadual imtihan penulis sebagai makluman sahabat-sahabatku sekalian.

19 Januari 2009 - Tabsyir Wa Istisyraq (Gerakan Orientalis)
22 Januari 2009 - Tayyarat Fikriah (Ideologi Pemikiran)
24 Januari 2009 - Thaqafah Islamiah (Kebudayaan Islam)

Moga kejayaan milik kita bersama kerana semata-mata kerana ALLAH untuk ISLAM kelak, dunia dan akhirat. Untuk memartabatkan ISLAM kembali dari terus dipergula-gulakan oleh musuh-musuh ALLAH.

Ujian Itu Tarbiah

Di kala semua mahasiswa dan mahasiswi sedang sibuk menjalani terapi dengan ulangkaji bagi menghadapi imtihan yang telah pun bermula bagi kebanyakan fakulti. Termasuklah penulis yang akan menghadapinya pada minggu hadapan selama seminggu. Situasi penulis agak berbeza dengan mahasiswa-mahasiswi yang lain kerana penulis hanya menduduki 3 subjek sahaja baki imtihan yang lepas.

Bukan ini yang ku minta akan tetapi ini merupakan ujian dari ALLAH untuk hamba-hambaNYA yang benar-benar beriman sebagaimana yang termaktub di awal entri ini. Dalam kesibukan menghadapi imtihan ini, sudah pasti akan ada ujian yang ALLAH selitkan untun menguji keimanan, kesabaran dan kekuatan fizikal. Bahkan ujian juga pernah dikatakan oleh RASULULLAH SAW merupakan penghapus kepada dosa-dosa kecil yang pernah dilakukan.

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kerana ALLAH masih mengingatiku dengan mendatangkan apa sahaja ujian untuk imanku ini. Teringat daku akan kata-kata Saidina Umar RA mengenai perihal ujian dari ALLAH ini. Maksud dari kata-kata beliau itu : "Aku amat gembira tatkala aku diuji oleh ALLAH kerana aku tahu DIA menyayangiku dengan mendatangkan ujian itu. Akan tetapi aku sangat sedih apabila DIA tidak memberiku sebarang ujian kerana aku akan menyangka DIA tidak menyayangiku."

Kesimpulannya, kedatangan sesuatu ujian berupa kesusahan, kesempitan hidup dan sebagainya seharusnya diterima dengan hati yang terbuka kerana ALLAH Maha Mengetahui akan situasi hamba-hambaNYA dengan mendatangkannya mengikut kemampuan kita hambaNYA. Usahlah dikesali, dirunguti, dan mengadu domba dengan ujian ALLAH ini kerana begitu banyak hikmah yang tersebunyi disebalik sesuatu ujian itu.

Terima kasih kepada insan-insan yang sudi menitipkan kalam-kalam semangat buat diri ini agar menjadi manusia yang kuat dan tabah dengan setiap ujian yang menimpa. Tentunya diri ini tidak akan mensia-siakan harapan dan doa kalian semua yang mengharapkan sebuah kejayaan untuk meneruskan sebuah kesinambungan sirah Nabawiyah sehingga hembusan nafas terakhir.

Semoga kita mampu menjadi pendokong, pendorong dan pembela kepada agama yang amat dicintai ini dari terus dipandang rendah oleh musuh-musuh ISLAM. Berilah kekuatan kepada kami untuk terus berbakti kepada agamaMU dan mempertahankannya dengan sepenuh tenaga kami sehingga ke titisan darah yang terakhir!

Kata Muthaqqaf : Salam imtihan buat semua sahabat-sahabat yang ku kenali mahupun tidak ku kenali dengan ingatan bersama supaya kita ingat D.U.I.T iaitu DOA, USAHA, ISTIQAMAH dan TAWAKAL. Sesungguhnya keempat-empat elemen itu amat berkait rapat antara satu sama lain kerana ianya saling melengkapi untuk membentuk satu natijah kejayaan yang cemerlang dan gemilang yang diredhaiNYA. Salam sayang bersalut ukhuwah fillah buat semua sahabat yang ku kasihi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, January 06, 2009

|| Sunnatunnabi : Tasu'a Dan 'Asyura ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tanpa disedari hari ini kita telah pun berada di hari yang ke-9 di bulan pertama dalam tahun baru hijrah 1430. Tidak hairanlah dikatakan bahawa semakin bertambahnya hari, maka semakin meningkatlah umur seseorang sekaligus semakin berkuranglah jangka hayat makhluk yang dicipta ALLAH. Maha suci ALLAH yang sempurna dan tiada cacat cela kekurangan.

Di kesempatan yang tidak seberapa ini penulis mengajak diri penulis dan orang-orang yang mengaku beriman kepada
ALLAH dan RASULNYA untuk terus mengabdikan diri kepada RABBULJALIL dengan melakukan segala yang diperintah. Sekaligus meninggalkan segalanya yang dilarang. Sebagai tanda syukur dan mengharapkan redhaNYA, seharusnya seorang hamba itu melakukan sesuatu yang amat disukai tuannya.

Berpedomankan dari ajaran dan didikan dari 'Buah Hati' RABBULKARIM, seharusnya kita selaku umatnya mengikut segala jejak langkah yang dilakukan oleh Junjungan Besar SAW di sepanjang hayatnya. Meskipun umum mengetahui BAGINDA itu maksum dan dijamin syurga bahkan masih tetap beramal ibadah bersujud memohon hidayah dan maghfirah Tuhannya. Apatah lagi umatnya yang kadangkala menyimpang jauh dari jalan
NYA.

Mungkin kemunculan entri ini agak terlewat sehingga ada di kalangan kalian yang tidak mengetahuinya bahkan mungkin terlupa akan Taqwim Hijriah yang diasaskan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang ke-2 melihat umat ISLAM yang terlalu mengagung-agungkan Taqwim Masihi. Sekadar ingin berkongsi ilmu dan makluman mengenai amalan Sunnatunnabi SAW yang mengamalkan puasa sunat Tasu'a dan 'Asyura berdasarkan kepada riwayat hadith berikut yang cukup masyhur.

Ketika RASULULLAH SAW kembali ke Madinah (dari berpergian) beliau mendapatkan orang-orang Yahudi yang sedang berpuasa, kemudian beliau berkata kepada mereka : “Hari apa yang kalian berpuasa ini?” Mereka menjawab : “Hari ini adalah hari yang sangat mulia, hari di mana ALLAH telah menyelamatkan NABI MUSA AS dan kaumnya serta menenggelamkan Fir’aun beserta tentaranya. Oleh karena
MUSA AS berpuasa pada hari tersebut sebagai rasa syukur kepada ALLAH, maka kami ikut berpuasa.

Kemudian RASULULLAH SAW berkata: “Kami lebih berhak dan lebih utama dalam mengikuti NABI MUSA AS daripada kalian.” Selanjutnya NABI MUHAMMAD SAW berpuasa dan menganjurkan umatnya untuk berpuasa pada hari 'Asyura. Bahkan beliau kemudian menganjurkan agar umatnya berpuasa dua hari, yaitu pada hari kesembilan dan kesepuluh pada bulan Muharram, dan puasa tersebut dikenal dengan puasa Tasu'a dan 'Asyura.

Disamping hadith di atas, masih banyak hadith yang menerangkan mengenai pahala orang yang berpuasa pada hari tersebut. Semoga informasi yang sedikit ini mampu memberikan semangat baru kepada setiap individu muslim untuk terus meningkatkan amal ibadah kepada RABBULJALIL sebagai tanda syukur atas nikmat yang telah dicurahkan. Untuk menelusuri jalan menuju ILAHI tidak boleh tidak perlu mengikut cara hidup yang ditunjukkan melalui Sirah Insan Teragung sepanjang zaman. Tidak lain dialah MUHAMMAD RASULULLAH SAW. Penghulu para NABI.

Bagi mereka yang mungkin terlepas untuk melakukan puasa Tasu'a yang berlaku pada hari ini, maka bolehlah kalian melakukan puasa tersebut pada 11 Muharram memandangkan ianya sebagai langkah untuk membezakan antara puasa umat Islam dan agama lain. Ini sesuai dengan saranan JUNJUNGAN NUBUWWAH yang memesan agar diiringi puasa dengan berpuasa pada sebelumnya (Tasu'a) ataupun selepasnya.

Selamat beramal dengan Sunnatunnabi SAW di akhir zaman yang semakin luput amalan ini dari kehidupan umat Islam itu sendiri kerana kesibukan duniawi yang diterapkan oleh musuh-musuh ISLAM. Segala balasan dan imbalan moga ALLAH mengganjarkan yang setimpal bergantung kepada keikhlasan yang bertamu di hati sanubari.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, January 04, 2009

|| Ya Allah, Selamatkanlah Palestin... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam alaikum dan selamat sejahtera buat sidang pembaca yang dirahmati ALLAH sekalian. Syukru lillah di atas nikmatNYA yang tidak terhingga di curahkan kepada kita hambaNya yang sentiasa dilimpahi dengan nikmat-nikmat yang tidak terkira banyaknya. Dengan limpahan rahmat yang tidak terhingga banyaknya itu janganlah kita lupa bahawa di sana terdapat saudara-saudara kita di Palestin yang sedang bergelut dengan kesusahan dan penderitaan yang amat perit dari musuh ALLAH dan ISLAM. Tidak lain dan tidak bukan Yahudi Laknatullah dan sekutu-sekutunya.

YA ALLAH. KAMI BERMOHON KEPADAMU DENGAN RAHMAT KASIH SAYANGMU DAN KEKUASAANMU SEMOGA DIKAU LINDUNGILAH SAUDARA-SAUDARA KAMI DI SANA, BERILAH KEKUATAN KEPADA MEREKA UNTUK MENGHADAPI MUSIBAH YANG TIDAK PERNAH PUTUS SEHINGGALAH TIBA DAN SAAT YANG DIKAU TENTUKAN KELAK. HANCURKANLAH YAHUDI DAN SEKUTU-SEKUTUNYA DARI TERUS MEMBEDIL DAN MEMBUNUH HAMBA-HAMBAMU YANG TIDAK BERDOSA.

BANTULAH TENTERA-TENTERA YANG IKHLAS BERJUANG DEMI MEMPERTAHANKAN AGAMAMU DAN TANAH SUCI BAITUL MAQDIS DAN GOLONGKAN MEREKA DIKALANGAN PARA SYUHADA'. UTUSKANLAH TENTERA-TENTERA BANTUAN YANG ENGKAU JANJIKAN UNTUK MENGHANCURKAN MEREKA. YA ALLAH ENGKAULAH TUHAN YANG MAHA MENDENGAR DAN MAHA BERKUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.

Di celah-celah kesibukan para penuntut ilmu yang bakal menduduki imtihan tidak lama lagi janganlah dilupa akan saudara-saudara kita di Palestin. Utuskanlah payungan doa-doa dan solat hajat memohon bantuan dr ALLAH sebagai usaha yang termampu kita lakukan untuk membantu saudara-saudara kita di sana. Setelah kita tidak terdaya mengangkat senjata di medan pertempuran selain membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan material yang termampu untuk meringankan bebanan mereka.

Kembali Menyambung Tugasan

Kurang sejam yang lalu penulis baru sahaja selamat pulang ke Kaherah setelah menyelesaikan beberapa masalah di bumi Zaqaziq. Alhamdulillah segalanya akan selesai sebelum imtihan bermula dek kerana ketidak fahaman beberapa individu yang sentiasa cuba untuk memecahbelahkan ahli di sana. InsyaALLAH dengan bantuan ALLAH dan keizinanNYA segala masalah yang ditimbulkan akan segera selesai dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak polis.

Kepada Pengerusi Zaqaziq, selepas ini boleh kembali fokus mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi imtihan yang tidak berapa lama lagi. Sama-sama berdoa semoga segala ujian yang ALLAH datangkan ini mampu dihadapi dan diselesaikan dengan cara yang terbaik. Disamping memberikan pengajaran kepada individu-individu yang sentiasa hasad terhadap kesinambungan perjalanan sebuah persatuan pelajar yang telah bertapak lama di bumi Mesir dengan izinNYA dalam mencurahkan bakti kepada anak-anak Malaysia di Mesir.

Penulis berasa amat terharu dengan komitmen yang diberikan oleh sahabat-sahabat di sana dalam membantu persatuan mencurahkan bakti kepada anak-anak Malaysia di cawangan tersebut. Dan apa yang amat mengharukan penulis apabila tepat jap 730 malam tadi mereka mematikan semua lampu bergelap gempita semata-mata ingin merasa kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin apabila diputuskan bekalan elektrik kepada mereka pada waktu yang sama. Semoga ALLAH sentiasa mencurahkan bantuan dan rahmatNYA kepada mereka semua dan kita.

Semoga coretan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak mampu memberikan butir-butir semangat untuk kita lebih bersungguh-sungguh dalam menghadapi imtihan yang menjelang tiba tidak lama lagi. InsyaALLAH di entri mendatang penulis akan berkongsi sedikit tips yang biasa digunakan dan perlu diamalkan oleh mereka yang bergelar penuntut ilmu setiap masa dan ketika. Nantikan tidak lama lagi.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa