Video Klip Pilihan

Thursday, April 30, 2009

|| Hari Itu Semakin Hampir ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Tanpa disangka-sangka umurku semakin meningkat. Hayatku di atas muka bumi ini semakin berkurangan. Andai dikenang kembali seperti baru tahun lepas menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Pejam celik hari Isnin mendatang (4 Mei) peperiksaan semester akhir bagi 'Ijazah Sarjana Muda' ku akan memulakan tirainya. Moga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH. Moga ditetapkan juga niatku menghadapi peperiksaan ini bukan semata-mata kerana segulung ijazah dan segugus kejayaan akan tetapi ianya untuk ISLAM semata-mata kerana ALLAH.

Sebenarnya bukan ini sahaja yang saya fikirkan. Hari yang semakin hampir itu begitu sarat menyelubungi minda ini. Andai difikir-fikir dan dicongak segalanya semakin hampir. Dalam kehidupan yang hanya sementara ini segalanya terasa hampir. Masa muda untuk bersuka ria seolah-olah akan ditamatkan dalam masa terdekat. Manakan tidak apabila memikirkan semakin hampirnya tanggungjawab untuk berumahtangga dan memimpin keluarga. Selepas selesai pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda pula akan berhadapan dengan masyarakat sementara menyambung di peringkat yang seterusnya.

Dan yang paling menakutkan saat perpisahan bersama orang tersayang sebagaimana mereka-mereka yang terdahulu. Perpisahan roh dan jasad yang amat pedih seumpama ditusuk dengan ratusan pedang. Persoalannya kepada kita semua adakah kita sudah bersedia untuk menghadapNYA? Sudah cukupkan segala amal soleh yang dilakukan sebagai bukti pengabdian kepadaNYA? Sudahkah kita melangsaikan segala macam hak mereka di dunia sebelum kita kembali ke hadratNYA?

Ya ALLAH, kami bermohon semoga ENGKAU rahmatilah kami, redhailah kami dan ampunkanlah segala dosa-dosa kami samada yang tidak disengajakan apatah lagi yang disengajakan. Dosa-dosa yang kecil apatah lagi yang besar! Matikanlah kami dalam keimanan dan jauhkanlah dari kekufuran. KepadaMU kami berharap, kepadaMU kami berdoa, kepadaMU kami memohon pertolongan dan kepadaMU jua kami mengadu domba. Wahai TUHAN YANG MAHA MENDENGAR.


Kata Muthaqqaf : Moga di celah-celah kesibukan peperiksaan dunia ini kita tidak lupa untuk menghadapi peperiksaan alam kubur dan akhirat yang lebih utama agar kita mampu melepasi peperiksaan tersebut. Serta dijauhkan dari terkandas untuk menyelesaikan subjek-subjek yang tidak mencapai 'markahnya' lantas terpaksa menduduki peperiksaan bagi menyelesaikan kesemuanya kecuali dengan rahmatNYA. ALLAHUMMA ANTA RABBI LAILAHA ILLA ANTA...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, April 25, 2009

|| Imtihan Dalam Imtihan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Debaran imtihan bagi siswa siswi di Perlembahan Nil semakin hampir ke kemuncaknya. Saya tidak terkecuali merasai kehangatan imtihan yang akan menjelma seminggu lebih lagi. Apakah persediaan yang telah saya persiapkan untuk menghadapinya? Sahabat-sahabat yang lain mesti sudah tidak sabar menghadapinya. Saya? Tentu sekali sama seperti kalian tidak sabar untuk menyudahkan kemarau imtihan yang begitu menguji keimanan.

Menguji keimanan? Apa yang saya maksudkan imtihan menguji keimanan? Bagi yang telah lama menduduki imtihan di Mesir semestinya ungkapan ini sudah dimaklumi. Imtihan yang bakal ditempuh merupakan salah satu imtihan dalam kehidupan. Oleh itu, imtihan ini tidak terlepas dari perkara-perkara luaran yang boleh menganggu gugat iman yang kadangkala turun dan naik.

ALLAH SWT turut berfirman di dalam KalamNYA yang bermaksud : "Dan KAMI pasti akan menguji kamu (orang-orang yang beriman) dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah : 155]
Justeru itu, di musim imtihan ini, tiada yang terkecuali akan diuji dengan pelbagai perkara yang tidak dapat dibayang oleh akal minda manusia kerana segalanya atas kehendakNYA. Sepanjang hampir 5 tahun menghambakan diri kepada Al-Azhar dan Mesir terdapat banyak fenomena yang terjadi kepada saya dan sahabat-sahabat di sekitar saya.

Jangan bohonglah kalau kalian mengatakan tiada apa-apa. Sementelah itu kalian tetap akan diuji apabila dalam hati membenarkan kekuasaan
ALLAH SWT. Melalui firman RABBULJALIL di atas cukup menggambarkan ujian yang kebiasaannya akan ditempuhi oleh sekalian orang-orang yang beriman.

Ketakutan

Elemen pertama yang ALLAH SWT ungkapkan kepada orang-orang yang beriman adalah KETAKUTAN. Apa kaitan ketakutan yang ALLAH maksudkan dengan situasi kita sekarang ini? Kaitannya amat banyak. Antaranya ketakutan untuk menjawawab imtihan, ketidak yakian terhadap diri untuk berhadapan dengan imtihan dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, ketakutan amat sinonim dalam kehidupan seorang yang bernama manusia. Elemen ketakutan ini
ALLAH telah campakkan dalam diri manusia untuk menguji sejauh mana keimanan, keyakinan dan keteguhan hati manusia menggantungkan tawakal kepada ALLAH dan tidak berputus asa. Setiap sesuatu yang ALLAH ciptakan ada tujuannya untuk membentuk keperibadian muslim yang sejati.

Kelaparan

Bagi elemen ke-2 yang yang disebutkan di dalam ayat tadi merujuk kepada kondisi kelaparan yang boleh dimaksudkan dengan kekurangan makan. Kemungkinan ada di antara sahabat-sahabat kita yang mengalami masalah kekurangan wang perbelanjaan kerana ketidak mampuan keluarga menyebabkan mereka menghadapi masalah ini. Sewajarnya kita selaku sahabat serumah sentiasa mengambil berat tentang sahabat-sahabat di sekeliling kita dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan tanpa dipinta menunjukkan keprihatinan kita.

Jadilah seorang saudara yang sentiasan meringankan masalah dan bebanan sahabat kita meskipun kita juga turut ditimpa masalah yang mungkin berbeza dari mereka.
Adakah kita sangggup melihat sanggup melihat saudara, sahabat kita kelaparan dalam masa yang sama kita kekenyangan terlebih makan? Moga di musim imtihan ini kita tidak hanya sibuk dengan diri kita mengejar kejayaan dengan membiarkan sahabat-sahabat di sekeliling kita menghadapi kesempitan keseorangan.
RASULULLAH SAW bersabda dalam sebuah hadith sahih maksudnya : "Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri... "

Kekurangan Harta

Elemen seterusnya yang disebutkan menerusi firman ALLAH di atas berkenaan dengan kekurangan harta. Konsepnya lebih kurang sama dengan situasi di atas terdapat di kalangan sahabat-sahabat kita yang mengalami masalah kewangan. Andai kita tidak prihatin terhadap masalah sahabat serumah tentang perkara ini, memang zalim.

Usah ditunggu mereka yang berceritakan masalah mereka kepada kita. Akan tetapi jadilah orang yang memulakan sesuatu sebagai tanda prihatin dan ambil berat. Meskipun kita tidak dapat membantu untuk meringankan masalah yang dihadapinya, sekurang-kurangnya jadilah sahabat yang mengambil berat sekaligus berusaha untuk membantu mereka.

RASULULLAH SAW juga bersabda dalam sebuah hadith sahih yang lain yang bermaksud : "Sesungguhnya ALLAH akan sentiasa mengurniakan bantuan kepada hambaNYA selagi mana hambaNYA itu sentiasa memberikan bantuan kepada saudaranya yang lain (dengan penuh keikhlasan)."

Kehilangan Jiwa

Ujian yang satu ini telah berlaku ke atas diri saya. Dan sepanjang hampir 5 tahun keberadaan saya di sini, ujian sebegini amat pahit untuk ditelan. Manakan tidak tatkala kita sedang bersemangat untuk berhadalan dengan imtihan untuk dipersembahkan sebuah kejayaan namun
ALLAH lebih menyayangi mereka.

Kehilangan jiwa orang yang tersayang merenggut segala usaha dan semangat yang dicipta. Kejayaan yang ingin diperolehi seolah-olah menjadi sia-sia kerana orang yang disayangi tidak turut sama meraikannya. Inilah realiti yang mungkin difikirkan apabila situasi tersebut menimpa sesiapa sahaja. Namun begitu, ingatlah itu bukanlah halangan dan penyebab untuk sebuah kejayaan untuk mengenggam segulung ijazah dipandang sepi.

Sedarlah duhai saudaraku sekalian, sesungguhnya kehilangan jiwa yang tersayang itu menandakan sayangnya
ALLAH kepada hambaNYA. Janganlah dengan sebab ujian ini kita sanggup menggadaikan sebuah kejayaan yang hakikatnya bukan untuk mereka. Akan tetapi adalah untuk ISLAM yang kita cintai. Kerana ALLAH YANG ESA yang sentiasa menyeru hamba-hambaNYA menuju ke arah kejayaan.

Yang pergi biarlah mereka pergi diiringi dengan untaian doa moga rahmat dan redha
ALLAH sentiasa bersama mereka ditempatkan bersama golongan yang mendapat rahmatNYA. AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Kekurangan Hasil Tanaman

Elemen terakhir yang disebutkan melalui ayat di atas adalah merujuk kepada kekurangan hasil yang telah diusahakan. Andai dinisbahkan kepada peladang, petani, nelayan dan yang seumpama dengannya mereka mendapat hasil yang kurang bahkan mungkin merugikan. Andai dinisbahkan kepada pengusaha kilang, ahli ekonomi dan peniaga hasil kepada sebuah perniagaan yang dijalankan mencatatkan defisit dan merugikan. Untung rugi adalah adat dalam berniaga.

Namun begitu, bukanlah adat yang ingin ditekankan di sini. Sandaran kepada adat seharusnya tidak terlalu bergantung kepadanya. Segalanya yang berlaku merupakan ketentuan
ALLAH yang perlu ditekankan melalui konsep Qada dan Qadar. Konsep ini perlu dititikberatkan seiring dengan kehidupan manusia supaya soal ketuhanan sentiasa menjadi pokok utama dalam setiap gerak kerja.

Jika dinisbahkan kondisi ayat tersebut dengan situasi kita yang sebagai seorang penuntut ilmu dengan bersistem tidak lari dari kenyataan samada akan lulus atau gagal sebagai hasilnya. Bergembiralah mereka yang lulus dan berjaya. Berusahalah dengan lebih gigih untuk mereka yang gagal dan tidak berjaya. Pepatah Melayu ada berbunyi;
'gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya'.

Justeru itu, jangan jadikan kegagalan yang menimpa diri sebagai batu penghalang untuk lebih tergolong di kalangan mereka yang berjaya. Andai usaha yang hempas pulas dicanai dengan penuh tawakal seterusnya berdoa dan munajat yang tidak putus-putus kepadaNYA. Moga dengan kekhusyukan dan kesungguhan yang terbit tanpa mengabaikan aspek ketuhanan dan kemanusiaan, dengan izinNYA kejayaan menanti di hadapan.

Ini adalah sedikit ulasan untuk renungan kita bersama sementara berbaki beberapa hari sebelum jemari melakar sebuah kejayaan di medan peperiksaan. Bahkan di sana terdapat banyak lagi imtihan lain yang menimpa siswa siswi di musim imtihan ini. Putus cinta, berkeinginan untuk berkahwin, malas, banyak filem dan cerita baru yang menarik dan sebagainya menjadi 'imtihan dalam imtihan' yang bakal menjelma.

Kata Muthaqqaf : Bijaklah dalam mengatur masa sebelum terlambat.
Teruskan menuntut ilmu ALLAH dengan sepenuh perhatian untuk menggapai kejayaan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat yang paling utama. Dan yang paling utama dari yang terutama adalah kejayaan yang ingin dicapai bukan semata-mata untuk keperluan duniawi, akan tetapi sewajarnya disumbangkan untuk ISLAM semata-mata untuk merebut keredhaanNYA sebagai bukti untuk dipersembahkan kepada kelak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, April 23, 2009

|| Buat Sang Murabbi ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera buat semua sidang pembaca para pencinta ISLAM yang dirahmati ALLAH sekalian. Kelihatannya keadaan kembali tenang setelah beberapa siri penegakan hukum ALLAH yang dipandang enteng oleh beberapa pihak mendapat tindak balas yang baik setelah diasak dan digasak. Moga kasih sayang di antara kita semakin utuh dan bertaut erat atas nama ISLAM tanpa melihat perbezaan fikrah yang juga sepatutnya disatukan dengan fikrah ISLAMIAH bukan asobiah, bukan nasionalisme. Hukum ALLAH tetap yang tertinggi dari segalanya. Tiada yang tertinggi melainkan hukum ALLAH. Maka berpegang teguhlah kepada hukum ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun.

Hari-hari yang berlalu mengukir banyak sejarah yang bervariasi. Setiap berita, cerita dan peristiwa yang berlaku banyak memberikan impak kepada manusia sejagat. Ada yang baik. Ada yang kurang baik. Malah ada yang teruk dan melampau yang tak masuk akal andai difikirkan. Walau apapun yang berlaku di sekeliling kita, hakikatnya ia akan menjadikan akal manusia yang menjalani kehidupan lebih matang dan bijak membuat keputusan. Bukan semakin mundur dan terkebelakang dek kerana berajakan nafsu dan syaitan. Justeru itu timbanglah setiap yang berlaku dengan neraca waras minda berpedomankan Quran dan Sunnah.

Sekadar satu injeksi untuk semua pembaca. Kepenatan melayan kerenah manusia yang dangkal akalnya demi mempertahankan sebuah entiti meski jelas berlaku pengkhianatan terhadap AD-DIN yang wajib dipertahankan. Saya yakin dan percaya kalian semua sudah cukup matang dalam menilai setiap sesuatu. Cuma penilaian tersebut perlulah disertakan dengan panduan yang ditinggalkan oleh RASULULLAH SAW agar tidak tersasar dari landasannya.

Di sini penulis sekadar ingin mengulas beberapa peristiwa yang telah, sedang dan akan berlaku di seantero alam untuk makluman semua agar kita tidak ketinggalan dengan peredaran masa yang sentiasa bergerak ke hadapan.

Demi Masa!

Terasa lama sungguh waktu musim panas akan berubah dari musim sejuk. Sedih pula ingin meninggalkan musim sejuk yang banyak memberikan kenangan manis. Mungkin inilah kali terakhir saya akan merasai musim sejuk sehingga 'berasap mulut' selepas menamatkan pengajian sekitar akhir bulan Julai nanti. Harap-harapnya begitulah.

Terik panas mentari sudah terasa sehingga ke kerongkong dek kerana kehausan. Musim panas begini memang sedap andainya tekak ini dibasahi dengan air berperisa ditambah lagi dengan ketulan ais. Ais krim coklat pun cukup menyelerakan dinikmati seusai pengajian di kuliah. Kalau tidak pun, singgah di kedai asir (jus buah-buahan), pekena segelas asob (air tebu) cukup melegakan tekak dek terik panas mentari itu.

Panjang lebar mengomel, sekadar ingin memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang menuntut ilmu di MESIR agar dapat menukar waktu jam kalian tepat jam 12 tengah malam ini kepada jam 1 pagi untuk waktu musim panas. Rentetan itu juga waktu solat pada hari esok juga turut berubah contohnya subuh kebiasaannya pada pukul 0346 pagi akan berganjak ke pukul 0446 pagi dan seterusnya. Beza waktu Mesir dan Malaysia juga turut berubah kepada 5 jam contohnya Malaysia pukul 10 malam manakala di Mesir pukul 5 petang hari dan tarikh yang sama.


Sekian untuk makluman.

Peristiwa Lelong Melelong


Dua hari lepas, kerajaan kudeta BN Perak telah mengisytiharkan untuk melelong kesemua 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang baru dibeli dan dugunakan oleh MB Perak PR dan barisan exconya tidak sampai setahun. Mengapa situasi sebegini boleh berlaku dan dilakukan oleh seorang yang waras seumpama Dr. Zambry? Adakah beliau melelong kereta tersebut atas dasar apa? Inikah yang dikatakan perbelanjaan berhemah dengan menjual kereta yang baru dibeli walaupun beliau memaklumkan ingin menggantikannya dengan kereta buatan tempatan.

Saya tidak nampak ianya merupakan suatu yang menjimatkan apatah lagi perbelanjaan berhemah selepas beliau menggantikannya dengan Perdana yang diketahui umum tatkala isu kereta ini dibangkitkan di awal pemerintahan kerajaan negeri-negeri non-BN. Jelas ianya akan membawa kepada perbelanjaan yang begitu banyak dan merugikan wang rakyat itu sendiri! Apalah nak jadi dengan kemelut di Perak ni. Saya berpendapat saranan supaya dibubarkan DUN Perak direstui seterusnya memberikan mandat kepada rakyat agar dapat menyelesaikan kemelut yang penuh bersejarah ini.


Kepada Tuanku Sultan Perak, patik berharap suara rakyat ini dapat didengari oleh Tuanku untuk mengembalikan kesinambungan pentadbiran negeri kembali normal untuk kepentingan rakyat jelata. Andai apa yang telah tercatat dalam perundangan negeri tidak mampu menyelesaikan kemelut di negeri Perak, adalah lebih baik diserahkan kepada rakyat untuk menentukan pilihan hati mereka supaya keamanan kembali dikecapi bersama.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Asal Tukar PM, Tukar MB

Ini yang paling sadis selepas saya perhatikan dari jauh. Selepas melihat, menilai dan memehatikan corak pentadbiran yang dijalankan oleh kerajaan pemerintah ianya tidak jauh berubah meskipun berubahnya tampuk kepimpinan. Bermula dengan perubahan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum seterusnya Perhimpunan Agung 'Pertubuhan Melayu Bersatu' yang turut mengubah tampuk kepimpinan yang mampu memberikan komitmen kepada tampuk pimpinan yang baru.

Tradisi ini dilihat seolah-olah dikalangan pimpinan sebelumnya dan yang baru dilantik tiada persefahaman sehingga wujudnya orang 'Pak Lah', orang 'Najib' dan orang 'Mahathir'. Apabila dilihat pentadbiran sesebuah negeri itu tidak mampu memberikan manfaat dan boleh menganggu gugat pentadbiran persekutuan maka ianya akan ditukar bagi memastikan di sekelilingnya hanyalah orang-orang yang menyokong penuh segala dasar dan pembawakan yang digagaskan.

Kita lihat sekarang ini berlaku pertelingkahan sesama exco kerajaan itu sendiri terhadap Menteri Besar yang sedia ada sehingga sanggup memboikot, mengusulkan undi tidak percaya dan pelbagai cara untuk menyingkirkan pimpinan sedia ada. Sekarang ini situasi yang saya gambarkan jelas bergolak di Terengganu, Melaka dan Perlis selepas digulingkan kerajaan negeri Perak. Cuma situasi di Melaka sedikit berbeza kerana terdapat exco Adun yang tidak menginginkan Ketua Menteri Melaka selepas terlibat dengan politik wang.

Inilah situasi yang berlaku. Jawabnya, andai berlaku perubahan tampuk pimpinan sebanyak 3 kali, maka tampuk pimpinan negeri juga akan ditukar sebanyak 3 kali juga untuk mengekalkan sokongan dan mengelakkan pertentangan terhadap pimpinan atasan sebagai contoh. Jelas di sini, di kalangan mereka sendiri pun tiada keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain sehingga wujudnya puak-puak tertentu.

Apa nak jadi dengan 'Malaysiaku Gemilang'...

Biar Ahli Tentukan

Yang ini amat menarik perhatian saya apabila dibuat perbandingan antara pemilihan pucuk pimpinan dua parti politik dominan bagi bangsa Melayu di Malaysia. Iaitu PAS dan UMNO. Umum telah maklum berkenaan dengan pemilihan pucuk pimpinan dalam UMNO baru-baru ini dengan kempennya, politik wangnya dan sebagainya hingga mengakibatkan penglucutan beberapa calon dalam pemilihan tersebut. Tidak kurang hebatnya mereka yang telah dinyatakan terlibat dengan politik wang diangkat sebagai calon yang menang untuk memimpin sebuah parti. Apa sudah jadi dengan orang Melayu ini! Sungguh memalukan!

Bahkan ada dikalangan mereka juga yang menerima tuduhan pembunuhan yang melibatkan maruah negara yang masih berdiam diri sehingga ke saat ini masih juga diangkat sebagai calon yang menang. Berdiam diri kebiasaannya bermaksud setuju dan membenarkan sebarang tuduhan yang dilemparkan. Apakah beliau membenarkan tuduhan akhbar negara Eropah itu? Apakah beliau tidak berasa malu dengan rakyat yang hilang kepercayaan terhadapnya yang sehingga saat ini tidak mempertahankan kredibiliti sebagai pemimpin nombor 1 negara?

Inilah yang berlaku pada peneraju kepimpinan negara kala ini. Amat berbeza dengan situasi parti 'Melayu' ISLAM yang satu lagi. Andai dilihat di ambang Muktamar Sanawi atau Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut tidak seumpama Pertubuhan Melayu Bersatu itu. Pemilihan yang digagaskan amat jauh daripada politik wang kerana ianya jelas dilarang oleh ISLAM itu sendiri. Selain itu juga istilah berkempen dan melobi perwakilan untuk mengundinya tiada sama sekali. Segalanya diserahkan kepada ahli dalam menentukan kredibiliti seseorang yang mahu diletakkan dalam barisan kepimpinan untuk meneruskan agenda daulah ISLAMIAH yang syumul untuk semua bangsa.

Mana yang menjadi pilihan hati? Sendiri congak-congak, sendiri fikir dan tentukan untuk membawa wadah AD-DIN yang dianjurkan oleh ISLAM itu sendiri!

Walau apapun persepsi dan pandangan yang saya utarakan, itulah pandangan peribadi yang berkemungkinan bertepatan dengan pandangan beberapa penganalisa politik bukan kerajaan. Itu adalah hak masing-masing dalam mengulas sesuatu isu secara ilmiah agar maklumat yang ingin disampaikan diterima dengan sebaiknya.

Kata Muthaqqaf : Saya akan menyokong sebuah entiti yang benar-benar membawa agenda ISLAM secara syumul berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Selagi entiti tersebut mengkut lunas-lunas yang digagaskan oleh RASULULLAH SAW selagi itulah saya akan terus bersama entiti tersebut melunaskan kerja-kerja ISLAM kerana ALLAH. ISLAM FOR ALL HUMAN BEING!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, April 20, 2009

|| Perjelas Isu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Terasa terpanggil untuk untuk memberikan respon terhadap beberapa serangan balas yang diberikan oleh individu yang amat tidak menyenangi terhadap segala tindak tanduk PMRAM sebagaimana lebih ramai daripada mereka yang sedikit juga tidak senang. Umum masyarakat mahasiswa Mesir mengetahui dan sudah lali dengan segala macam tohmahan yang individu tersebut lemparkan kepada PMRAM dan lebih banyak menyebelahi 'pihak kerajaan' dengan menyokong dengan segala macam hujah demi memastikan hujahnya diterima pakai oleh mahasiswa Mesir yang memang matang menilai manakah pihak yang benar.


Kelihatannya, saya tidak boleh untuk masih berdiam diri untuk melihat 'sebuah kebenaran' disembunyikan lantas festival yang dicanang-canangkan berjaya menambat hati mahasiswa. Keberjayaan diadakan festival tersebut dengan kehadiran yang memberangsangkan sehingga tidak mencukupi kerusi meja untuk tetamu bertandang menjamu selera. Bahkan dikatakan barang jualan yang digunakan turut habis awal sebelum waktu tutupnya bazaria tersebut setiap hari. Dari sudut peniaga, ianya masuk akal dengan kedatangan pelanggan dan tetamu yang tidak putus-putus.

Namun begitu, keberjayaan mereka mengadakan bazaria dan festival tersebut sebenarnya berpunca dari kedatangan tetamu di kalangan warga buhus Islamiah yang menetap berhampiran dengan ARMA. Mereka semua merupakan 'penyelamat' kepada keberjayaannya perjalanan festival tersebut yang dikatakan mendapat sambutan yang menggalakkan. Bukan dari pelajar Malaysia majoritinya. Kalau ada pun mereka merupakan orang yang sama yang menetap di buhus Islamiah bersama para pelajar yang lain. Hatta saya mendapat maklumat yang sahih dari seorang sahabat yang menetap di ARMA, kebanyakan diantara mereka sendiri tidak turun menjamu selera di bazaria tersebut.


Manakala kenyataan yang mengatakan "Walaupun ada mahasiswi kita berniaga bersebelahan dengan gerai mahasiswa, mereka sungguh menjaga etika yang disyariatkan. Menutup aurat dan bercakap dengan sopan dan santun. Tiada adegan “panas” sentuh menyentuh seperti yang pernah disiarkan oleh SYAFIK ZULAKIFLI. Barangkali itu dulu, sekarang lain. Barangkali juga dulu “tiada”(adegan panas), sekarang pun “lagi tiada”. Saya kata “barangkali….” harap saudara SYAFIK ZULAKIFLI boleh memahami frasa tersebut." Amat ringkas dan jelas berkenaan dengan kenyataan yang beliau nyatakan. Persoalannya adakah beliau selama 3 hari bazaria tersebut duduk memerhatikan gerai yang dimaksudkan? Mustahil mereka mampu menjaga etika yang dimaksudkan apabila sudah duduk bersebelahan tanpa sebarang perbualan yang lagha.

Mahasiswa mahasiswi Mesir yang mendalami agama merupakan mereka yang paling mudah terleka dan terjebak dengan maksiat. Seandainya diminta kepada pihak Hisbah PMRAM yang menguruskan hal berkaitan amar makruf nahi mungkar ini memang tidak terhitung banyaknya. Soal Hisbah ini diperlekehkan oleh seorang blogger yang mengatakan peranan Hisbah merupakan tanggungjawab yang dipikul apabila telah benar-benar tertubuh negara ISLAM. Bilakah agaknya akan tertubuh negara ISLAM yang dimaksudkan seandainya masing-masing masih berpeluk tubuh dengan kemaksiatan yang berlaku di persekitaran kita dengan menyalahkan Hisbah PMRAM?

Justeru itu, tindakan yang tidak memisahkan antara peniaga dan pelanggan dikalangan mahasiswa dan mahasiswi itupun sebenarnya sudah membuka kepada pintu-pintu maksiat. Pintu maksiat itu banyak. Bukan sekadar bersentuhan antara lelaki dan wanita. Bukan sekadar berpegangan antara dua jantina yang berlainan jenis ini. Bahkan suara dan pandangan mata itu sendiri sudah menjadi pembuka kepada pintu maksiat itu sendiri. Apa yang saya maklum, beliau sedang menduduki M.A di Universiti Kaherah. Adakah sekecil perkara ini masih ingin diperjelaskan? Apakah semata-mata ingin mengelakkan persamaan dengan kebanyakan bazaria di BKAN dan DPM kalian sanggup menggadaikan prinsip ISLAM?

Inikah 'cita-cita tinggi untuk agama, bangsa dan negara' yang beliau maksudkan sedangkan perkara besar berkaitan agama masih tidak dapat diselesaikan di Mesir ini? Bagaimana pula apabila berhadapan dengan 'kemaksiatan' di Malaysia yang amat membimbangkan semua pihak? Adakah ini yang dibanggakan dengan kehadiran dari kalangan mahasiswa mahasiswi Asean termasuk Mesir selain Malaysia sehingga mengatakan festival tersebut berjaya? Ya, saya bersetuju ianya berjaya. Berjaya mengetepikan nilai-nilai ISLAM yang digariskan oleh entiti ulama dengan membina pandangan peribadi demi kemaslahatan yang mencemarkan identiti ISLAM!

Kunjungan PMRAM Dipandang Enteng?

Umum mengetahui semalam pimpinan Majlis Presiden PMRAM bersama barisan Yang Dipertua-Yang Dipertua BKAN dan Pengerusi-pengerusi DPM yang diketuai oleh Presiden PMRAM itu sendiri bertandang ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) bagi menyampaikan hasrat ahli. Selepas berakhirnya Festival Kebudayaan dan Sukan ASEAN 2009 (FEKSAS 09) minggu lalu ramai dikalangan ahli PMRAM yang sensitif berkaitan isu ini bertanyakan kepada pimpinan mengenai respon terhadap tarian tersebut terutamanya selain festival tersebut secara umum.

Tiada orang lain yang akan memberikan 'serangan balas' terhadap segala tindak tanduk PMRAM melainkan 'orang kuat UMNO di Malaysia' itu. Beliau mengatakan pihak PMRAM sudah terlambat untuk memberikan respon terhadap isu tarian dalam festival tersebut. Akan tetapi ISMA-MESIR yang telah menyatakan pendirian mereka berkenaan isu tarian ini telah berjaya 'menambat' hati mahasiswa Mesir. Siapakah dikalangan mahasiswa Mesir yang telah ter'tambat' hati mereka berkenaan dengan pengecualian dan kekesalan mereka di atas ke'luar'an pengetahuan mereka berkenaan tarian tersebut?

Setelah diamati kembali, penulis dapat merasakan mereka cuba untuk mengalih isu supaya saya bersama sahabat-sahabat penulis lain yang menyatakan ketidak persetujuan tarian tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka. Sayangnya, mereka lupa yang mereka sebenarnya yang perlu memohon maaf kepada masyarakat Malaysia di atas keterlanjuran yang telah berlaku. Mengapa mesti disalahkan pihak lain yang cuba memainkan dan mempertahankan maruah ISLAM yang dirobek 'tanpa pengetahuan' mereka dengan menyatakan alasan yang pelbagai. Adakah soal kanak-kanak perempuan dan kakak kanak-kanak perempuan itu menjadi soal khilaf berkenaan isu ini?

PMRAM telah mengeluarkan kenyataan hukum berkenaan hiburan secara umum dan beberapa makluman berkenaan kunjungan dan respon pimpinan ke pejabat KBMK yang diadakan dalam suasana yang harmoni dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku. Namun begitu, ada juga pihak yang tidak senang duduk dengan kunjungan tersebut hingga mengatakan kelambatan PMRAM dalam menjuarai isu ini. Yang paling menyakitkan hati apabila 'kaki bodek' ini mengelaskan para blogger yang banyak mengkritik isu ini tidak ubah seperti gaya politik jalanan kerana tidak bertentang 4 mata bersama pihak yang dikritik.

Dakwaannya bahawa gaya politik jalanan yang menjaja cerita tanpa bukti, tuduh menuduh untuk menjatuhkan imej dan maruah orang lain. Di sepanjang penulisan saya dan beberapa blogger lain, tidak pernah pula kami menyebut secara jelas individu yang terlibat secara langsung dengan sesuatu perkara. Kami sekadar menjelaskan situasi sesuatu program tanpa mengaibkan mana-mana individu. Akan tetapi, andai diselidik kembali mengenai politik jalanan yang dimaksudkan, 'dia' lah yang mengamalkan politik jalanan tersebut dengan cara menyebut secara jelas nama individu yang berkenaan. Bersama koreksi diri dan jangan hanya menuding jari hanya nampak kesalahan orang lain.

Bukan ini caranya untuk mencari populariti dengan menjaja kesilapan pihak yang memperjuangkan kebenaran seterusnya menaikkan pihak yang jelas-jelas menjayakan festival kemaksiatan tersebut. Kekesalan yang dinyatakan oleh pihak KBMK dan JPMK di atas keterlanjuran slot tarian tersebut dan berjanji tidak akan berulang lagi amat dialu-alukan. Justeru kunjungan pimpinan PMRAM dapat mewakili pihak KBMK berkenaan keterlanjuran pihak penganjur yang 'tidak tahu menahu' tanpa disengajakan. Pihak yang menganjurkan festival ini tidak pula memberikan respon yang hanya bergantung harap kepada 'orang kuat UMNO Malaysia' itu sahaja untuk memanipulasi isu.

Apapun, semoga 'aku janji' yang dinyatakan oleh pihak KBMK diharapkan dapat direalisasikan dalam program-program mendatang yang akan sentiasa mendapat komitmen dari seluruh masyarakat pelajar Malaysia di Mesir. Sekiranya perkara sebegini tidak dititik beratkan, kami yang cintakan suasana ISLAM ini tidak teragak-agak untuk memastikan program sebegini diboikot sehingga membiarkan pihak-pihak yang mengendalikan sesebuah program hilang arah untuk merujuk 'buku panduan' ISLAM lantas mengikut trend lama sebagai kebiasaan program. Semoga sinar hidayah ALLAH dan taufiqNYA yang penuh dengan hikmah sentiasa menerangi hidup kita dalam mengecapi redhaNYA sehingga berjaya mendapat dengan rahmatNYA.


Berikut penulis sertakan beberapa keratan Hadith Qudsi, Hadith NABI SAW dan kalam ulama muktabar sebagai pedoman kita untuk melayari kehidupan dunia yang tidak lepas dari pancaroba yang semakin tenat. Moga kita sentiasa istiqamah dan thabat dalam memperjuangkan kebenaran kerana ALLAH untuk ISLAM itu sendiri.

[i]
Marilah sejenak kita mengambil pengajaran dari Hadith Qudsi, dari ALLAH, PENCINTA dan PEMILIK kasih sayang dan cinta, yang menitipkan kasih sayang antara hati-hati, yang mengekalkan ikatan antaranya, yang memperteguhkan janji ikrar mereka untuk menjadi 'teman ke syurga', mencari redhaNYA YANG ESA, PEMBERI SEGALANYA, ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG. "CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana AKU, CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana AKU, CintaKU mesti mesti bagi orang yang saling menasihati kerana AKU, CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana AKU, CintaKU mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana AKU" (Hadith Qudsi) Lihatlah betapa ALLAH menjanjikan cintaNYA YANG MAHA AGUNG kepada "teman ke syurga.

[ii]
Menjelang perpisahannya dengan NABI MUSA A.S, NABI KHIDIR A.S, memberi nasihat, "Hai MUSA, janganlah terlalu banyak bicara, dan jangan pergi tanpa perlu, dan jangan banyak tertawa, juga jangan mentertawakan orang yang berbuat salah, dan tangisilah dosa-dosa yang telah kamu perbuat, hai putra Ali 'Imran." (Tanbighul Ghafilin: 192-193)

[iii]
"Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka." (Hadith riwayat Muslim – no. 6980)

[iv]
Peringatan Imam Ghazali : Jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pembesar, walaupun kamu tahu pemberian itu adalah dari sumber yang halal. Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Ini semua akan merosakkan agama.


Kata Muthaqqaf : Apa yang baik itu datangnya dari ALLAH manakala yang buruk pula adalah atas kelemahan diri penulis meskipun hakikat segalanya itu adalah atas kekuasaan yang MAHA ESA. Bersama perbaiki keadaan dengan menegakkan jarum kebenaran bukan membangunkan benang kesalahan yang dimaklumi kebasahannya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, April 19, 2009

|| Realiti Permohonan Maaf ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Semenjak artikel berkenaan isu tarian wanita yang lepas dipaparkan, hangat diperkatakan sehingga mendapat tempat di merata tempat hatta di luar Mesir sendiri. Bukan saya sahaja yang menyiarkan ulasan berkenaan dengan insiden tersebut, bahkan ramai dikalangan penulis dan blogger menyatakan pendirian masing-masing berhubung insiden yang amat mengguris hati banyak pihak yang cintakan
ISLAM. Yang paling menarik apabila gesaan saya sendiri terhadap beberapa pertubuhan yang dilihat menjayakan program tersebut di bawah nama Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM) yang bernaung di bawah KBMK mendapat respon.

Kerana ketidak hadiran penulis di sepanjang program tersebut sudah pasti terdapat banyak kecacatan dalam penyampaian maklumat. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang kelihatannya terpukul dengan beberapa kenyataan yang saya keluarkan. Segala teguran yang diberikan berdasarkan kepada situasi sebenar program tersebut yang tidak tepat telah saya ubah dan olah kembali tanpa mengubah maksud sebenar entri tersebut meski di sana terdapat suara-suara yang mendesak supaya dipadamkan. Itu menandakan sensitiviti kalian semua terhadap perkara ini tercabar dan sewajarnya menjadi muhasabah di atas keterlanjuran yang 'tidak disengajakan' itu.

Dek kerana saya dan mantan Presiden PMRAM memulakan langkah dengan menyatakan pendirian yang keras mengutuk tarian tersebut, menyusul selepas itu pendirian pertubuhan ISMA-MESIR berkaitan dengan program tersebut. Malah mereka menyerang kembali beberapa kesilapan maklumat yang kami tulis. Saya secara peribadi menerima teguran tersebut bahkan terus mengubah beberapa kesilapan maklumat yang tidak tepat tanpa menukar matan sebenar artikel yang mengecam diadakan tarian tersebut.

Dalam perkara ini pihak pengurusan tarian yang dijemput untuk mengadakan persembahan tidak bersalah kerana memenuhi jemputan pihak penganjur yang tidak tahu menahu berkenaan situasi mahasiswa di Mesir ini. Cuma yang menjadi kepelikan pada saya bagaimanakah slot tarian dapat diadakan tanpa pengetahuan pihak penganjur malah pengarah itu sendiri? Apakah selesai pembahagian tugas ianya bulat-bulat diserahkan kepada adhoc dalam menyempurnakan tugas masing-masing tanpa di mutabaah oleh pengarah program itu sendiri? Ini menunjukkan perlaksanaan program dalam keadaan yang tidak bersedia sehingga berlaku perkara yang melanggar etika dan adab ISLAM itu sendiri.


Manakala berkenaan dengan kenyataan yang mengatakan terdapat juga di kalangan ahli PMRAM yang menjadi adhoc dan menjayakan program tersebut memang tidak dapat dinafikan. Ini disebabkan kebanyakan mereka yang menjadi ahli kepada pertubuhan selain PMRAM, mereka juga menjadi ahli kepada pertubuhan lain meskipun pertubuhan tersebut tidak diiktiraf dan sebagainya. Maka majoriti ahli kepada pertubuhan selain PMRAM di Mesir ini merupakan ahli PMRAM yang sah memandangkan mereka merupakan ahli DPM dan BKAN yang terpaksa mendaftar sebagai ahli PMRAM di awal kedatangan mereka.

Permohonan Maaf?


Hari ini merupakan kemuncak kepada artikel yang saya siarkan sebelum ini memandang terdapat banyak respon di kalangan beberapa adhoc festival tersebut meminta saya untuk menyatakan permohonan maaf secara terbuka kerana menyebabkan mereka tidak senang duduk. Apakah memadai dengan saya mengunjurkan permohonan maaf saya dalam masa yang sama pihak yang sewajibnya menyatakan permohonan maaf secara terbuka tidak berbuat sedemikian?

Alhamdulillah saya secara peribadi telah berkali-kali menyatakan permohonan maaf secara tidak langsung atas beberapa kesilapan maklumat yang disampaikan. Namun begitu, tujuan utama berkenaan artikel tersebut masih tidak berubah mengharapkan pihak berwajib yang menggerakkan festival tersebut tanpa melihat akibat daripada insiden yang terjadi. Sewajarnya pihak yang mengetuai penganjuran festival ini dengan rendah diri menyatakan permohonan kemaafan diatas kelalaian mereka mengenal pasti segala perangkaan perjalanan festival yang disusun tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh mengetuk sensitiviti ISLAM itu sendiri.

Secara peribadi, penulis mengucapkan jutaan terima kasih atas pendirian yang dinyatakan oleh ISMA-MESIR berhubung festival tersebut yang mengakui akan diadakan tarian tersebut. Bahkan turut menyatakan kekesalan di atas penganjurannya oleh Pengarah JPMK sendiri akan tetapi tidak mampu mampu untuk berbuat apa-apa sebagaimana yang dijelaskan di dalam laman web tersebut. Bahkan keberadaan beliau pada konsert yang diselitkan dengan tarian 'kanak-kanak' perempuan seolah-olah meredhai segalanya. Beliau lebih senior dan mengetahui hukumnya dan mungkin di sana terdapat hujah yang membolehkan bagi beliau.

Cukup sekadar ini penjelasan atas beberapa kesilapan teknikal yang terjadi. Permohonan maaf yang dipinta oleh pihak-pihak tertentu ke atas penulis sudahpun penulis utarakan merujuk kepada isu yang dimainkan. Permohanan maaf daripada pihak-pihak berwajib yang mengendalikan festival ini yang di luar pengetahuan mereka juga amatlah diharapkan agar segenap mahasiswa mampu berlapang dada dalam menghadapi imtihan yang bakal berlangsung masa terdekat ini dengan tenang.

Apa yang telah berlalu sewajarnya menjadi pengajaran di hari-hari mendatang. Yang baik dijadikan sandaran dan pedoman manakala yang sebaliknya dijadikan sempadan supaya tidak berulang kembali. Saya menyahut saranan yang dinyatakan oleh ISMA-MESIR dengan hati yang terbuka dan menerima segala kritikan yang dilontarkan. Dalam masa yang sama jangan hanya menyalahkan saya dan beberapa penulis yang membidas dan menyanggah festival dan tarian tersebut tanpa mengakui kesilapan yang kita sendiri mulakan.

Penjelasan mereka sudah cukup menjelaskan kebersamaan mereka bersama beberapa pertubuhan lain yang berdaftar di bawah KBMK dalam menggerakkan festival ini dengan dinyatakan secara jelas pertubuhan pelajar yang lain seperti PERUBATAN, Institut Qura’ Malaysia Mesir (IQRAM), Badan-badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) seperti Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan Selangor dan sebuah syarikat anak Melayu, 3a Enterprise. Semua persatuan pelajar yang turut serta menjayakan festival ini mengakui menjadi adhoc dalam melancarkan perjalanan festival tersebut. Sejauh mana kebenarannya tidak dipastikan dengan tidak menyatakan pertubuhan lain seperti Kelab UMNO Mesir yang turut menjadi adhoc penggerak.

Kemungkinan entri ini merupakan pengakhiran kepada permulaan entri yang lepas yang menyebabkan beberapa pihak menggelabah. Kalian juga diminta untuk mengakhiri 'episod hitam' bagi mahasiswa Azhari Mesir khususnya kerana merobek sebuah nilai-nilai ISLAM yang dijagai selama ini. Moga kita mampu menjadi generasi pelapis yang sungguh-sungguh menjaga ISLAM di akhir zaman ini terutamanya sebagai persediaan untuk berhadapan dengan suasana Malaysia yang kian meruncing moral dan nilai-nilai ISLAM dalam diri penganutnya. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kata Muthaqqaf : Terima kasih kepada sesiapa yang menghubungi saya untuk memberikan penjelasan berkenaan perkara ini. Juga meminta saya mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka kerana mengguris beberapa individu. Hakikatnya saya tidak menyebut mana-mana individu secara khusus. Akan tetapi sekadar menyebut beberapa pertubuhan dan agensi atas nama Persatuan Pelajar Malaysia Mesir (PPMM). Pun begitu, saya tetap dengan pendirian saya bersama majoriti mahasiswa yang menyanggah beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku termasuk isu besar yang dibangkitkan ketika ini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, April 17, 2009

|| Hancurnya Sebuah Identiti ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Memang sah. Tidak perlu disangkal lagi berdasarkan maklumat yang sahih ditambah dengan bukti yang kukuh. Rata-rata umum masyarakat Azhari telah pun mengetahui mengenai program yang menjahanamkan identiti Azhari sekaligus bakal mencabut nama pendaulat ISLAM. Apakah ini yang dikatakan dengan membentuk modal insan yang bakal memimpin ISLAM dan negara kelak? Dan adakah budaya seumpama ini ingin disemai terhadap penadah ilmu ALLAH yang diajar untuk menjaga segala adab dan moraliti terhadap ilmu yang suci bersih itu?

Yang paling teruk apabila Bazaria ASEAN yang dianjurkan bercampur baur di antara lelaki dan perempuan tanpa ditetapkan kawasan yang tertentu. Daripada para peniaga yang tanpa segan silu berniaga bersebelahan apatah lagi para pengunjung. Manusia yang dikurniakan nafsu oleh ALLAH tidak akan lepas dari ikhtilat dalam situasi tersebut sekiranya tiada pencegahan sejak dari awal. Apa yang saya lihat, penganjur yang melibatkan seluruh persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir kecuali PMRAM, BKAN dan DPM ini seolah-olah sudah hilang pedoman agama. Apa yang mereka lihat hanya keseronokan, kepuasan hati dan tidak keterlaluan hanya mengikut nafsu semata melalui peruntukan yang amat besar. Tidak hairanlah mereka hilang akal.


Bahkan ada dicelah-celah ribuan mahasiswa yang katanya bercita-cita untuk menaikkan syiar ISLAM menafikan mengenai fenomena yang tidak sihat ini. Sebelum ini bukan main naik tocang menghentam PMRAM buat program waktu kuliah dan sebagainya. Saya rasa mahasiswa yang cerdik lagi pandai sehingga berjaya mendapat tempat di Universiti Al-Azhar dan sewaktu dengannya bijak dalam memikirkan isu yang saya utarakan ini.

Paling memeranjatkan saya setelah melihat ahli jawatankuasa program yang terdiri dari wakil-wakil persatuan mahasiswa Mesir dari kalangan [IJAN] sebagaimana saya sebutkan dalam artikel sebelum ini 'buat bodoh' macam tak bersalah mengheret para Azhari khususnya ke kancah maksiat. Teganya mereka menjemput para penari dari Indonesia untuk mempersembahkan tarian joget kebudayaan mereka di khalayak. Bahkan turut disaksikan oleh Pengarah JPMK dan beberapa orang pegawai KBMK/JPMK dididik dengan pendidikan agama yang hebat!

Di manakah mereka di kalangan ABIM dan ISMA (JIM) yang dikenali memartabatkan ISLAM sehingga membiarkan tarian joget ini dipertontonkan! Nadi UMNO Mesir tidak perlu dipersalahkan kerana mereka memang sudah kebal dan kerap menghiasi program-program mereka dengan manhaj sedemikian. Mujurlah saya tidak hadir memikirkan pasti perkara yang sama akan berlaku seperti tahun sebelumnya. Rupanya lebih teruk! Saya berharap pertubuhan tersebut [ABIM dan ISMA (JIM)] di masa mendatang seharusnya menjaga ISLAM dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berulang kembali.


Saya mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan PMRAM sesi 2009 yang diketuai oleh Presiden sendiri ketika mana mengadakan lawatan rasmi ke Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) bertemu dengan pengarah dan Datuk Duta supaya ditangguhkan program tersebut. Namun tindak balas yang diterima amat mengecewakan dengan alasan segala persiapan telah dilakukan. Apapun usaha kalian untuk menyuarakan suara ahli amat dihargai memandangkan program tersebut amat hampir dengan bulan peperiksaan.

Saya berharap kepada sesiapa yang berkenaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh mahasiswa di Mesir ini kerana menghidangkan tarian joget yang jelas mencabut identiti mahasiswa ISLAM! Usah samakan keadaan di Malaysia dan selainnya sehingga merosakkan agenda pembentukan modal insan RABBANI yang bakal mengubah budaya yang tidak sihat ini di tanah air kelak. Saya juga meminta kepada seluruh mahasiswa ISLAM yang waras supaya sama-sama beristighfar kepada ALLAH atas apa yang telah berlaku kerana kegagalan kita untuk mencegah perjalanan program tersebut.

Untuk akhirnya berikut saya sertakan rakaman video yang sempat direkod oleh seorang sahabat secara tidak langsung sebagai bukti untuk menolak kenyataan yang menafikan dan menyokong tarian joget khususnya dan program tersebut umumnya. Seandainya ingin diadakan tarian joget itu khususkan untuk Hawa kerana apa yang ada pada kaum Hawa seluruhnya adalah aurat dan HARAM bagi kaum lelaki ajnabi melihatnya tanpa sebab yang membolehkan menurut pandangan majoriti ulama.

***Atas beberapa teguran, video yang menyiarkan tarian tersebut dikeluarkan. Sesiapa yang ingin menontonnya kalian sekadar menyaksikannya di link ini. Terima kasih atas segala teguran yang diberikan. Penulis sekadar ingin menyatakan pandangan dan berkenaan ketidak wajaran beberapa perkara teknikal yang seolah-olah dibiarkan tanpa sebarang teguran.

Kata Muthaqqaf : Penulis tidak hadir di sepanjang 3 hari Festival ASEAN tersebut berlangsung. Namun atas rasa sensitiviti sebagai seorang yang cintakan biah yang solehah dan tiada sesiapa yang merasakan ianya satu kesalahan yang perlu di tegur, maka penulis mulakan langkah agar ianya tidak berulang kembali. Jangan sekali-kali kalian cuba untuk mencabut keizzahan ISLAM yang tersemat sebelum ianya dipersoal di hadapan ALLAH kelak!


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa