Video Klip Pilihan

Thursday, June 25, 2009

|| Bila Mufti Syok Sendiri ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini telah memasuki hari ke-2 dalam bulan yang dikenali dengan bulan
ALLAH berpandukan kepada hadith yang disebut oleh RASULULLAH SAW. Bulan Rejab yang merupakan permulaan bulan-bulan yang mulia sebelum bertemu dengan bulan NABI SAW iaitu bulan Syaaban dan diikuti bulan paling mulia yang merupakan bulan umat MUHAMMAD SAW iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ramai yang masih terleka dengan kenikmatan dunia hingga terlupa akan kemuliaan bulan-bulan ini.

Semoga kita bukan termasuk di kalangan mereka-mereka yang rugi dan lalai dalam merebut keredhaan ALLAH yang tersembunyi dalam bulan-bulan tersebut.

Hari ini, saya semakin keliru dan terkejut dengan paparan berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana kerajaan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ulama tersohor yang dahulunya disegani kerana tegas dalam mempertahankan kedaulatan ISLAM. Namun sejak kebelakangan ini lain pula jadinya.

JOM HEBOH dan Murtad!!!

Bermula dengan insiden 'JOMHEBOH' yang sebelum ini keras difatwakan oleh beliau bahawa ianya adalah haram diadakan kerana jelas menghanyutkan muda mudi ISLAM dengan gejala yang dilarang oleh agama.

Akibat daripada fatwa beliau itu, ramai ulama dan NGO-NGO ISLAM yang menyokong dengan fatwa yang amat berani menentang budaya hedonisme yang memuja hiburan secara terlampau. Media arus perdana tidak banyak memutarkan isu ini kerana ianya akan merugikan mereka sekaligus ianya terus tenggelam.

Diikuti dengan isu murtad yang dibongkar oleh beliau sebelum itu yang mendapat perhatian seluruh umat ISLAM Malaysia yang selama ini tidak didedahkan dengan informasi membahayakan ISLAM itu. Sekali lagi beliau dipandang tinggi dengan keberanian beliau memperjuangkan kedaulatan ISLAM meskipun dikecam hebat oleh kerajaan pemerintah.

Namun sekarang ini berbeza pula keadaannya. Beliau dilihat seolah-olah mendiamkan diri dengan pelbagai isu kedaulatan ISLAM. Bahkan beliau dilihat seumpama menunggu arahan dari pihak atasan untuk mengeluarkan sesebuah fatwa.

Mufti Untuk Kerajaan Pemerintah atau Umat ISLAM?

Apa yang diutarakan sekarang ini sepertinya bertujuan untuk menghentam sebuah wadah perjuangan ISLAM dan kebenaran. Malah tidak keterlaluan beliau disuruh untuk membela kerajaan yang hilang majoriti di parlimen dan kepercayaan rakyat itu. Hari ini beliau mengeluarkan kenyataan kekecewaan beliau terhadap parti-patri politik yang berlandaskan ISLAM yang menjadi punca perpecahan umat ISLAM dan perbalahan Melayu itu sendiri.

Beliau menganggap penarikan PAS daripada idea kerajaan perpaduan yang menjadi topik hangat pihak lawan terhadap Pakatan Rakyat terutamanya PAS adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana menolak perpaduan rakyat. Persoalannya, adakah beliau tidak mengetahui pergolakan disebalik penerusan gagasan ini yang semestinya akan memecahbelahkan kesatuan umat ISLAM dan bukan ISLAM yang semakin selesa dengan pentadbiran di bawah Pakatan Rakyat?

Perkara ini tidak dibiarkan begitu sahaja oleh pimpinan PAS melalui Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan membidas dakwaan beliau itu. Kenyataan lengkap beliau berkenaan dakwaan Mufti Perak boleh diperolehi melalui bacaan di link ini.

Kata Muthaqqaf : Setakat baca fikrah di media arus perdana yang jelas meracun rakyat yang kurang cerdik untuk menyebelahi pihak kerajaan tidak memadai. Bahkan ianya jelas menjadikan kita zalim kerana tidak adil dalam menerima khabar berita untuk dinilai. Baca kesemuanya dan buatlah pertimbangan yang sebaik-baiknya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, June 23, 2009

|| Jangan Biarkan... ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Jangan biarkan...,
Detik berlalu begitu sahaja,
Berlalu pergi dengan sia-sia,
Tanpa manfaat di hari muka,.
Kelak menyesal tidak bermakna.

Jangan biarkan...,
Usia darah muda merantai jiwa,
Merela diri terleka ternoda,
Berlaku nista peduli tiada,
Menanti senja belum tentu masanya.

Jangan biarkan...,
Murka ALLAH singgah menerpa,
Menyentap rahmat hidupkan sirna,
Biarkan sengsara dunia bertakhta,
Moga lazatnya syurga menanti di sana.

Jangan biarkan...,
Urusan ISLAM dipandu si buta,
Amanah ALLAH terpundak semua,
Memikul tugas berjamaah bersama,
Sendirian bergerak mengundang hampa.

Jangan biarkan...,
Bisikan iblis menguasai diri,
Godaan nafsu melilit hati,
Putus asa meruntun rohani,
Istiqamah kunci rentas tribulasi.

Ayuh bersama perkasa thaqafi,
Kuatkan jiwa menjana jatidiri,
Moga terus thabat melunas janji RABBI,
Salam perjuangan mahabbah ISLAMI!

Di ambang senja,
22 Jun 2009,
Tanjung Puteri Haiyu Asyir,
Kota Kaherah, Mesir.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, June 19, 2009

|| Mencari Airmata Taubat ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Hari yang mana dikurniakan lipatan ganjaran kebajikan buat hamba-hambaNYA yang benar-benar menghayatinya. Tatkala berkumandangnya azan masuknya solat fardu Maghrib, maka berubahlah kepada hari berikutnya. Hari biasa yang tidak dikurniakan sebarang kelebihan sebagaimana yang diberikan kepada hari Jumaat.

Untuk itu, rebutlah segala apa yang dikurniakan pada hari mulia tersebut sebagaimana dikurniakan bermacam kelebihan pada sebulan bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi. Moga dipertemukan kita dengan bulan penuh kemuliaan, kerahmatan, keampunan dan kebajikan itu.

Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini bagaikan suatu hadiah untuk tatapan diri saya sendiri dan kalian semua. Perbahasan berkenaan dengan 'Taubat' amat memberikan kesan kepada sesiapa yang merasakan diri mereka 'insan yang penuh dengan dosa'. Hakikatnya, seluruh anak cucu NABI ADAM A.S itu memang diciptakan tidak lepas dari melakukan salah dan silap berdasarkan kalam RASULULLAH SAW yang cukup masyhur didengari oleh kita semua.

Akan tetapi, ini tidak bermakna ianya membawa maksud kita boleh melakukan dosa sesuka hati secara sengaja dengan alasan selepas itu bertaubat memohon keampunan ALLAH. Namun begitu, kefahaman songsang inilah yang disalah erti oleh segolongan manusia yang berhujah itu adalah lumrah kejadian manusia. Segalanya bergantung kepada kekuatan iman dan takwa masing-masing dalam memperhambakan diri kepada ALLAH.

Dalam ISLAM seandainya diamati secara mendalam, telah digariskan panduan lengkap untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim dan mukmin di atas muka bumi ini. Tiap sesuatu yang dilakukan ada balasan baik buruknya di dunia dan akhirat kelak. Setiap kesalahan yang dilakukan hendaklah segera kembali kepada ALLAH dengan memohon keampunannya dan menyesali akan keterlanjuran itu.

Mereka yang bertaubat kepada ALLAH adalah mereka yang benar-benar menyesali akan perbuatannya dan tidak akan mengulanginya. Bahkan mereka yang amat dicintai oleh ALLAH adalah dikalangan hamba-hambaNYA yang sentiasa memohon keampunan dengan beristighfar dan bertaubat setiap masa, setiap hari.

Sedangkan RASULULLAH SAW yang kita kenali manusia yang amat dicintai oleh ALLAH yang maksum (tidak pernah melakukan dosa) beristighfar dan bertaubat sebanyak 70 kali sehari semalam! Bagaimana pula kita manusia yang setiap detik melakukan kemaksiatan kepada ALLAH! Sebelum dijemput kembali meninggalkan dunia yang fana ini, maka wajarlah setiap dari kita menyedari hakikat kejadian diri kita dan tindakan yang perlu dikerjakan melalui kesedaran itu.

Akhir kalam, bersamalah kita memperbaiki diri dengan memohon keampunan melalui istighfar dan bertaubat kepada ALLAH setiap hari tanpa menangguhnya ke hari tua yang masih belum pasti menemui kita. Jangan apabila roh sudah dikerongkong, maka ketika itulah kita melafazkan kata taubat memohon keampunan kepada ALLAH. Andai ini berlaku. tidak akan diterima taubatnya kerana ALLAH sendiri menjelaskannya di dalam Surah An-Nisa', ayat 17 dan 18 yang bermaksud :

"Sesungguhnya bertaubatlah kepada ALLAH itu adalah bagi mereka yang melakukan kejahatan kerana kejahilannya (tidak mengetahui akan kejahatan itu) kemudian segera bertaubat. Taubat mereka itulah yang diterima oleh ALLAH. Sesungguhnya ALLAH itu MAHA MENGETAHUI lagi MAHA BIJAKSANA. [17] Dan taubat itu tidaklah diterima oleh ALLAH dari mereka yang melakukan kejahatan sehingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, barulah mereka mengatakan : 'Saya benar-benar bertaubat sekarang.' Dan tidaklah diterima taubat mereka itu mati sedangkan mereka dalam keadaan kekufuran. Bagi mereka itu telah KAMI sediakan azab yang amat pedih. [18]"

Semoga perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat memberikan pengajaran kepada diri saya sendiri dan kepada sidang pembaca sekaligus terdetik kalam istighfar menandakan sensitifnya kita terhadap betapa berdosanya kita selama ini kepada RABBUL JALIL. Semoga segala amalan, taubat dan perjuangan ISLAM kita diterima sebelum dipanggil kembali menghadapNYA.

Kata Muthaqqaf : Bersegeralah dalam melakukan amalan kebajikan dan kebaikan di alam dunia yang fana ini sebelum dijemput bersama mereka-mereka yang telah mendahului kita bertemuNYA dengan keISLAMan dan keimanan yang jitu kepadaNYA. Moga dijauhkan dari segala bentuk amalan yang bisa menjemput murka ILAHI sekaligus mengundang azab siksa yang tidak terperi andai tiada penyesalan di akhirnya. ALLAHUMMA AMIN...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, June 16, 2009

|| Terbang Ke Turki ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kejayaan dan sambutan yang diterima daripada rehlah ke Turki yang telah diadakan buat julung kalinya pada tahun lepas, maka hasil persetujuan bersama pihak PMRAM, Markaz Nil sekali lagi menyediakan 15 kerusi khusus untuk pelajar Malaysia pada rehlah kali ini. Rombongan kali ini akan bertolak pada 27 Jun ini dengan yuran penyertaan sebanyak USD570 termasuk tiket penerbangan pergi balik, penginapan, makan dan urusan pembayaran di sana selama seminggu.

Setakat ini pihak wakil pelajar Malaysia melalui PMRAM yang diwakili oleh saudara Muhammad Labib bin Abdul Jalil selaku Ketua Badan Sambutan dan Rehlah mengatakan pendaftaran masih dibuka kepada sesiapa di kalangan ikhwah medik mahupun pengajian ISLAM yang ingin menyertainya.

Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi beliau di talian berbayar +20193694407 ataupun melalui saudara Mohd Yazid bin Pardi selaku Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa juga di talian berbayar +20161531573.

Sampaikan kepada sahabat-sahabat serumah, jiran tetangga dan yang berminat sementara peluang keemasan ini masih ada sebelum terlambat. Bersama membangun bersama ISLAM.

Kata Muthaqqaf : Bagi sesiapa yang mempunyai rezeki lebih, bolehlah menyertainya. Agak-agak kalau nak 'payung' saya pun apa salahnya. Sediakan payung sebelum hujan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada maknanya. ~Julang Thaqafah Bakti Dicurah~

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, June 12, 2009

|| ISLAM Memimpin Perubahan ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Semalam Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Haji Abdul Hadi Awang telah selamat mengumumkan barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi penggal 2009 - 2011. Di harap barisan kepimpinan yang dipilih oleh para perwakilan yang mewakili seluruh penyokong PAS di seluruh negara dapat menjalankan amanah yang dipundak dengan sebaiknya dengan tsunami politik yang semakin menyerlahkan suara hati rakyat.

Perubahan yang berlaku berikutan kefahaman rakyat berbilang kaum terhadap ISLAM yang semakin positif melalui contoh pentadbiran PAS di Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bahkan kini, beberapa negeri yang beralih angin tampuk pimpinan hasil pilihan rakyat semakin disenangi rakyat. Segala manifesto yang diuar-uarkan oleh komponen pembangkang sebelum PRU12 sedikit demi sedikit berjaya dilunaskan dengan izin ALLAH
.

Rakyat yang menjadi mata dan telinga terhadap setiap gerak geri politik negara semakin cerdik menilai pihak yang manakah menurut mereka mampu memberikan kemudahan dan kesenangan kepada mereka. Kemudahan dan kesenangan yang dilaung-laungkan tatkala Pilihanraya Umum dengan perlaksanaan yang serius bukan janji-janji kosong. Peluang mentadbir Malaysia dan negeri-negeri selama 5 dekad banyak memberikan pengajaran kepada rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik.

ISLAM semakin diterima meski diasak dengan pelbagai krisis dan isu yang dicipta oleh orang ISLAM itu sendiri. Malaysia yang mengisytiharkan sebagai sebuah negara ISLAM berserta gagasan 'ISLAM Hadhari' suatu ketika dahulu seolah-olah sudah dibakul sampahkan setelah berubahnya tampuk pimpinan negara. Pelbagai kepentingan hak-hak ISLAM itu dipinggirkan dan ditolak ke tepi dek kerana kemaruk kuasa dalam meraih sokongan rakyat selain ISLAM.


Diharap fenomena sebegini mampu diatasi oleh PAS yang bukan sahaja sebuah parti politik yang berperanan untuk melaksanakan seruan negara
ISLAM. Bahkan perlu sensitif dalam memperjuangkan hak-hak ISLAM yang dihakis dan dicabar oleh mana-mana pihak. Tuntutan ini seharusnya diambil serius oleh PAS yang semakin popular dalam memperjuangkan kebenaran dan ISLAM itu sendiri.

Akhir kalam, semoga tema 'ISLAM Memimpin Perubahan' pada Muktamar PAS yang lepas seiring sejalan dengan tema 'ISLAM Untuk Semua' yang menjadi siulan sebelum ini. Ayuh realisasikan ISLAM sebagai pemerintah dalam kehidupan insani untuk memperolehi keamanan dan kedamaian yang hanya mampu didapati melalui ISLAM. Semoga ISLAM
akan sentiasa menjadi pilihan hidup manusia sejagat seterusnya memimpin menuju lembayung ILAHI.

***Gambar Ehsan http://harakahdaily.net. Klik pada gambar untuk mengetahui barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2009-2011.

Kata Muthaqqaf : Setiap manusia itu tiada yang akan terlepas dari salah dan silap hatta beliau Tok Guru sekalipun. Jangan kerana sesuatu yang keluar dari mulutnya yang masih belum putus, kelimuan dan keperibadiannya dimaki hamun. Segalanya masih dalam perbincangan dan sama-sama kita mendoakan agar barisan kepimpinan diberikan petunjuk oleh ALLAH dalam memutuskan suatu natijah untuk kebaikan ISLAM dan umatnya. Bukan kepentingan parti semata-mata.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Berlapang Dada Atas Segalanya ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Semalam dan hari ini,
Sendat menghimpit waktu,
Kejadian di luar jangka,
Menguji tahap iman di dada.

Sekelip mata dia pergi,
Insan penyayang luhur budi,
Baik pekerti ramah disenangi,
Menjadi bualan ingatan bererti.

Hati sukar melepaskan pergi,
Hati berat menerima kenyataan,
Hati berbisik hanya mimpi,
Hati syahdu merasai kehilangan.

Namun segalanya bukan dipinta,
Kuasa ALLAH mengatasi segala,
Sampai masa kembali jua,
Berlapang dada redha menerima.

Segalanya bukan kehendaknya,
Segalanya bukan perancangannya,
Segalanya bukan percaturannya,
Tetapi segalanya adalah suratanNYA.

Moga kembalinya dengan aman,
Dicucuri rahmat rohnya tenteram,
Untaian doa sepenuh dambaan,
Syahid jalanNYA dinaungi ISLAM.

_____________________________

Malam Penghulu Segala Hari,
1045 malam,
Madinat Nasr, Kaherah.


Sajak ini tercipta selepas 'Tragedi Ain Sokhnah' yang meragut nyawa seorang sahabat medik yang merupakan Ketua Pelajar Tahun 3 Perubatan. Pemergian arwah amat dirasai. Semoga rohnya mendapat tempat yang terbaik di sisi ALLAH.

Di kala ini juga seorang sahabat perubatan yang masih berada dalam keadaan kurang stabil sedang menjalani pembedahan, saudara Muhammad Akram Bin Abd Kadir tahun 3 Perubatan Universiti Kaherah. Semoga ALLAH mempermudahkan pembedahan tersebut dan memberikan peluang kepadanya untuk terus berbakti kepadaNYA dan ISLAM.

Manakala saudara Mohamad Saif Bin Jamaluddin masih berada di Suez bagi menyelesaikan kes tersebut ditemani seorang pegawai JPA. Semoga segalanya dipermudahkan oleh ALLAH dan diberikan ketenangan kepada beliau yang mengalami trauma selepas tragedi tersebut.

Harapan kepada kita semua dapat melaksanakan solat sunat Hajat memohon kepada ALLAH semoga mereka yang yang terlibat dalam tragedi ini mendapat bantuan daripadaNYA yang maha mengetahui akan tiap sesuatu. Segalanya ada di luar jangkaan akal manusia juga sebagai iktibar untuk berlapang dada dengan qada dan qadarNYA, selain mempersiapkan diri sebelum dijemput menghadapNYA
tanpa mengira usia, tempat dan masa.

Kata Muthaqqaf : YA ALLAH MATIKANLAH KAMI SEMUA DALAM HUSNUL KHATIMAH (MATI DALAM IMAN) DAN JAUHKANLAH KAMI MATI DALAM SU'UL KHATIMAH (MATI DALAM KEKUFURAN). ALLAHUMMA AMIN...

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, June 11, 2009

|| Maklumat Terkini Kemalangan Di Ain Sokhna ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan namaMU ya ALLAH, yang nyawaku sentiasa didalam genggamanNYA.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sedikit makluman terkini berkenaan kemalangan yang melibatkan pelajar-pelajar perubatan Universiti Kaherah. Kelima-lima pelajar ini ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari Ain Sokhna. Pelajar-pelajar yang terlibat :

1. Mohamad Saif Bin Jamaluddin - Tahun 2 - dalam keadaan stabil.

2. Abdul Rahman Bin Ramdzan - Tahun 3 - masih kurang stabil.

3. Muhammad Akram Bin Abd Kadir - Tahun 3 - masih kurang stabil.

4. Muhamad Fitri Bin Tokiran - Tahun 3 - dalam keadaan stabil.

5. Muhammad Ammar Bin Zulkifli - Tahun 3 - telah kembali ke Rahmat-ALLAH.

Kelima-lima pelajar tersebut telah dihantar terus ke bahagian kecemasan Hospital El-Arab Suez. Setelah itu, Jenazah Ammar akan diambil oleh pihak kedutaan, manakala baki keempat-empat pelajar sedang dipindahkan ke Hospital Faransawi, Kasr El Ainy dan insyaALLAH akan tiba di sini pagi ini.

Saya merayu kepada semua para pelajar PERUBATAN, di Kaherah mahupun di semua cawangan-cawangan yang lain, tidak kira di manapun anda berada, buatlah solat hajat dan doakanlah kesejahteraan kepada mereka khususnya kedua-dua pelajar yang masih tidak stabil.

Akhirnya, mari bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat sahabat kita, Ammar Zulkifli. Semoga ALLAH golongkan beliau bersama para syuhada' di atas jalanMU ya ALLAH! ALLAH lebih menyayanginya dan telah mengakhiri ujiannya di dunia.

*Sumber maklumat diperolehi melalui Dr. Hafiz, Tahun 3, Fakulti Perubatan Universiti Kaherah.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, June 09, 2009

|| Sesuci Embun Fajar ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Sayup menusuk di hening fajar,
Seruan assolah menyentak sepi,
Kala munajat masih sebentar,
Ku gagah jasad membersih diri.

Fajar nan hening penuh bererti,
Permulaan langkah untuk bakti,
Berkatnya di sini seawal mentari,
Disimbahi tenang segenap nurani.

Kesepian fajar akan tiada ertinya,
Andai diturut bisikan berbisa,
Meruntun nafsu tiada baiknya,
Hidup disapa lesu tiada tersisa.

Embun fajar itu sentiasa suci,
Sesuci lahirnya sekujur bayi,
Memenuhi ianya mentaati,
Tiang seri sumber rohani.

Usah terleka lalai terculas,
Segera berlutut sujud menadah,
Pintu kembali terbuka luas,
Sebelum terkunci berakhir sudah.

----------------------------------------

Hening dinihari,
Asrama Pelajar Johor,
Kaherah, Mesir.

Kata Muthaqqaf : Fajar itu penuh dengan nikmat. Sebelum terbitnya mentari pagi, setiap mukmin sedia maklum janji terhadap ARRAHIM. Seberkat-berkat hidup mukmin itu apabila permulaan hidupnya dimulai dengan tanda syukur yang tidak berbelah bahagi ke hadrat ARRAHMAN. Usah biarkan hidup yang indah ini diselebungi kegelapan yang dicipta oleh diri kita sendiri. Penuhi tuntutanNYA, pelihara perintahNYA, tenang sentosa di lembayung ALHAFIZ.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, June 05, 2009

|| Mengungkap Aspirasi ISLAM ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Semalam dunia ISLAM yang diwakili Mesir yang menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama Husain mendengar ucapan beliau yang penuh bersemangat berucap bagi memulihkan hibungan baik antara Amerika Syarikat dan negara ISLAM di seluruh dunia yang tercalar semenjak sekian lama. Terdapat banyak pro dan kontra tindak balas daripada pemimpin-pemimpin ISLAM di seluruh dunia dalam usaha perdamaian yang ingin dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat itu.

Antara yang intipati menarik melalui rakaman ucapan beliau yang saya perolehi melalui sesawang Youtube yang menyentuh mengenai isu Palestin oleh Israel Laknatullah, isu pengganas yang hebat dilancarkan oleh negara yang memegang ekonomi dunia itu kononnya didalangi oleh Al-Qaeda, isu senjata nuklear yang dimiliki oleh mana-mana negara, kebebasan wanita dalam menuntut ilmu, memegang jawatan dalam pemerintahan sesebuah negara dan ketidak setujuan beliau terhadap Israel Laknatullah meneruskan agenda penempatan penduduk haramnya di bumi suci Palestin.


Beliau dengan penuh bersemangat mengulangi komitmennya untuk membina kembali negara Palestin disamping akan menarik kembali askar-askar negaranya yang masih ditempatkan di negara Teluk iaitu di Afghanistan dan Iraq terutamanya.

Namun, disebalik tepukan gemuruh para penonton yang hadir menyaksikan ucapan beliau di dewan besar Universiri Kaherah dan laungan 'saya cintakan kamu' kepada Obama, ramai pemimpin ISLAM yang tidak bersetuju dan menyanggah sekeras-kerasnya segala usaha beliau. Antaranya pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khameini, pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden dan Hamas. Ali Khamenie menyifatkan Amerika hanya melaungkan slogan akan tetapi tiada tindakan.

Malah kebanyakan mereka turut menyebutkan golongan 'kafir' seumpama Obama amat benci kepada ISLAM dan tidak akan sekali-kali ingin memberikan secebis cahaya keamanan bertakhta dalam sebuah negara ISLAM.

Saya secara peribadi menyokong apa yang para pemimpin ISLAM yang bingkas bangun bersuara menyatakan ketidak puashatian mereka terhadap ucapan yang disampaikan oleh Presiden Amerika yang baru itu meskipun sudah diingatkan oleh pemimpin kebanyakan negara ISLAM supaya beliau jangan berkhutbah dihadapan umat ISLAM.

Kita seharusnya tidak memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk mengubah sesuatu yang telah diusahakan oleh presiden sebelum beliau yang memerangi ISLAM dengan sewenang-wenangnya atas alasan yang tidak konkrit untuk menghapuskan pengganas. Meski beliau pernah menetap di Indonesia yang majoritinya ISLAM suatu ketika dahulu akan tetapi tidak bermakna beliau boleh dipercayai.

Bahkan rakaman ayat-ayat suci Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa orang-orang 'kafir' (yahudi dan kristian nasrani) tidak akan pernah redha terhadap ISLAM dan akan berterusan memerangi agama ALLAH ini sehingga sampai pada satu masa yang telah ditetapkan.


Bukan ulasan dan pandangan pemimpin-pemimpin terkemuka ISLAM itu yang kita lihat. Akan tetapi pandangan dan penjelasan Kitab-ALLAH yang telah diturunkan semenjak 1500 tahun yang lampau yang maha benar akan tiap sesuatu. Tiada agama selain ISLAM yang akan sudi dan redha melihat ISLAM semakin berkembang dengan pesat diterima masyarakat dunia yang terbukti keamanannya meninggalkan agama syirik mereka.

Oleh sebab itu, musuh-musuh ALLAH ini tidak akan sesekali berhenti untuk memburuk-burukkan ISLAM dengan pelbagai cara sekalipun bagi memastikan ISLAM dibenci, dihina, ditinggalkan dan dihapuskan dari atas muka bumi ALLAH ini!

Apapun yang diharapkan oleh beliau dengan komitmen yang tinggi bagi memulihkan hubungan baik antara dunia ISLAM dan Amerika terutamanya, masyarakat dunia menyambut dengan penuh keterbukaan. Hubungan diplomatik antara dua pihak ini tidak pernah dihalang oleh ISLAM. Namun, apa yang diharapkan agar usaha-usaha murni yang diucapkan dapat direalisasikan bagi mengembalikan keamanan yang jelas tidak akan mampu direalisasikan kecuali melalui ISLAM itu sendiri.

Penyatuan seluruh umat ISLAM melalui pemimpin-pemimpin ISLAM adalah perlu bagi mengembalikan keizzahan ISLAM kembali terbentuk. Andainya dunia ISLAM yang menguasai seluruh bumi ALLAH ini bersatu akan menimbulkan perasaan gerun dunia 'kafir' akhirnya meletakkan ISLAM sebagai pegangan kehidupan.

Sumber rujukan pada sesawang Youtube dan Berita Harian arus perdana.

Kata Muthaqqaf : Kalam individu sayugianya dititipkan seiring dengan kalam ILAHI dan NUBUWWAH bagi memberikan penjelasan yang terang seterusnya mengembalikan kekuatan ummah bagi mendepani zaman fitnah yang kian mencabar iman. Moga terus thabat dan istiqamah menghadapinya dengan pimpinan ARRAHMAN.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Thursday, June 04, 2009

|| Corat Coret Imtihan ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan yang dikurnia ALLAH kepadaku sehingga diri ini masih mampu tegak berdiri untuk meneruskan perjuangan di atas muka bumi ini. Perjuangan yang bukan untuk mencari kesenangan dunia semata. Malah yang lebih utama adalah perjuangan melunaskan aku janji yang pernah diikrarkan di hadapan ALLAH sebelum dihembuskan roh ke jasad yang kerdil ini. Syukur atas segalanya. Redha atas segalanya dengan penuh penyerahan kepada TUHAN RABBULIZZATI.

Di senggangan waktu yang dihadiahkan oleh ALLAH tatkala musim imtihan ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya. Sebetulnya malam sehari sebelum imtihan kebiasaannya diluangkan sepenuhnya dengan menelaah kitab sebagai persediaan terakhir.

Namun apakan daya, manusia merancang ALLAH juga merancang. Akan tetapi DIAlah sebaik-baik MAHA PERANCANG ke atas tiap-tiap makhluknya.

Disebabkan perancangan mendatang yang hadir tanpa pinta sesiapa ianya tidak dapat dielakkan. Madah terakhir yang akan saya dan sahabat-sahabat seangkatan hadapi pada hari esok (Khamis) 4 Jun ditunda selepas selesai semua madah yang telah disusun sejak awal lagi. Madah Dakhil yang sepatutnya kami tempuh keesokan harinya ditangguhkan pada tarikh yang telah ditentukan mengikut fakulti masing-masing bagi mahasiswa di Kaherah sahaja.

Untuk kami yang berada di Fakulti Usuluddin di semua jabatan akan menduduki imtihan subjek tersebut pada 21 Jun manakala Fakulti Syariah ISLAMIAH dan Dirasat ISLAMIAH mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak syuun masing-masing.

Bukan kami sahaja, bahkan dimaklumkan penduduk tempatan juga dicutikan dari bekerja bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Untuk pengetahuan semua, keadaan Kota Kaherah akan sesak, padat dan sendat apabila keseluruhan rakyat di ibu negara Mesir ini sahaja menyamai seluruh penduduk di Malaysia. Iaitu seramai hampir 22 juta orang!

Masakan ramai anak-anak Malaysia yang gemar memilih melanjutkan pengajian di universiti di luar kota 'kesesakan' ini yang ternyata lebih tenang, aman dan mesra alam. Tapi bagi kami yang telah sebati dengan kota 'kesesakan' ini merasakan tegal dan cukup selesa dengan kehidupan masyarakat tempatan kota metropolitan ini.

Atas alasan itulah kebanyakan rakyat tempatan apatah lagi 'pelancong' seperti kami ini di tidak dibenarkan menyesakkan pola kehidupan di Kota Kaherah ini bagi memberikan laluan yang selesa kepada 'ayah' Mesir yang akan datang membuat lawatan di sini. Bahkan beliau juga akan turut menyampaikan ucapannya di Universiti Kaherah yang akan menyentuh soal dunia ISLAM dan keganasan juga hubungan dengan negara yang memegang ekonomi mata wang dunia ini.


Beliau yang dimaksudkan adalah Presiden Amerika Syarikat yang baru, Barrack Obama. Semoga apa yang diharapkan oleh dunia ISLAM daripada beliau dapat diambil perhatian dengan sebenar-benarnya.

Dek kerana beliau, kami dikorbankan. Saya yang mengikut perancangan awalnya akan 'merdeka' selepas selesai imtihan esok terpaksa menanti lebih 2 minggu untuk mencapai ke'merdeka'an tersebut. Apakan daya kami. Segalanya telah tersurat. Dan pastinya ada yang tersirat. Antaranya memberikan masa yang lebih banyak untuk kami untuk memahami semasak-masaknya madah terakhir tersebut sebagai ilmu di dada bukan di buku dan di atas kertas jawapan semata.

Lebih-lebih lagi saya yang merupakan tahun terakhir (insyaALLAH) sebelum menyambung ke peringkat Master dan seterusnya. Justeru itu, saya perlu untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baik bekalan sebelum memikul amanah yang penuh mencabar kelak. Jangankan kelak, sekarang ini pun bermacam-macam pikulan amanah yang telah sedia dipundak untukku apabila pulang kelak.

Tapi masalahnya, saya masih belum bersedia. Itu jawapan yang tidak asing lagi diucapkan. Tapi sampai bila untuk bersiap sedia? Apakah perlu tunggu sampai selesai pengajian sehingga Master kemudian PhD dan sampai bila? Andai alasan perlu tunggu selesai belajar barulah terhegeh-hegeh untuk membantu keruncingan masalah global yang memerlukan kita.

Ya, kita. Siapa lagi kalau bukan kita. Generasi muda pelapis pewaris penerus perjuangan agama terutamanya dan negara terutamanya. Bukan generasi perosak perogol demokrasi terlibat dengan suapan seterusnya hanya hebat memperkata soal kedaulatan bangsa sedangkan agama diketepikan. Ramai yang berjuang dan lantang bersuara demi mempertahankan kebobrokan wadah yang kian lumpuh.


Di manakah hilangnya identiti ISLAM yang dipelajari dan ditadah bersama para Doktor dan Sheikh di kuliah dengan kecemerlangan yang membanggakan akan tetapi matlamat hidupnya masih gelap? Semoga pimpinan nur ILAHI akan sentiasa mengiringi setiap langkah juang kita sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Buat Barrack Obama, selamat datang ke Bumi Anbia dalam misi menyelami dunia ISLAM dan menyelesaikan konflik yang dicipta oleh Presiden terdahulu. Terima kasih juga diucapkan kerana anda kami tertunda sebagai masa tambahan kepada kami untuk menyelami ilmu-ilmu ALLAH yang mahal harganya.

Kata Muthaqqaf : Salam imtihan buat semua. Tahniah buat mereka yang telah merdeka untuk seketika sementara debaran natijah sekitar Ogos bagi menentukan langkah selanjutnya. Samada berjaya atau sebaliknya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa