Video Klip Pilihan

Monday, August 25, 2008

|| Akur Akan KehendakMu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kesibukan menjalani dan menjayakan program dan aktiviti persatuan merencatkan penghasilan entri-entri terbaru untuk dikongsi bersama seluruh sahabat sekalian. Meski pelbagai tribulasi yang didatangkan oleh Allah kepada diri yang kerdil dan serba dhaif ini, ianya sedikitpun tidak menghentikan semangat untuk membantu usaha-usaha menyampaikan kesinambungan dakwah melalui apa jua bentuk medium terealisasi dengan jayanya.
Kali pertama menerima keputusan yang muktamad daripada pihak universiti, sememangnya semangat yang telah dibina awalnya luntur membantut perancangan yang disusun. Tamparan hebat yang tidak pernah dialami sepanjang pengajian penulis semenjak di bangku sekolah hingga ke alam universiti ini juga dirasai oleh adik beradik penulis yang selama ini dihidangkan dengan keputusan yang memberangsangkan.

Namun kali ini Allah ingin menguji sejauh mana penerimaan insan di sekeliling termasuk penulis sendiri terhadap ujian kegagalan. Biar apa pun spekulasi yang diketengahkan untuk memuhasabah punca kegagalan itu, ianya sedikit sebanyak memberikan pengalaman baru kepada seseorang untuk bersikap berlapang dada, melatih sifat sabar dan redha terhadap ketentuanNya yang maha adil. Bahkan ianya mendidik diri supaya merendah diri setelah berterusan mengecapi kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup.

Apa yang pasti kegagalan yang menerjah itu bukanlah bertujuan untuk mematahkan semangat juang dalam menuntut ilmu Allah yang bergelimpangan di sana sini untuk diterokai sebelum. Sifat patah hati, lemah semangat, futur dan putus asa seharusnya dibuang jauh-jauh dari lubuk hati demi menghabiskan silibus pengajian yang ditetapkan disamping menambah nilai ilmu-ilmu luar yang diperlukan dalam kondisi masyarakat masa kini.


Ini merupakan satu muhasabah untuk diri sendiri dan mereka-mereka yang senasib dengan penulis untuk memerhati kemungkinan di sana terdapat hikmah disebalik kegagalan ini untuk menyediakan diri bagi memenuhi keperluan modal insan yang profesional rabbani. Doa para masyarakat yang dahagakan akan ilmu-ilmu agama sentiasa mengiringi para penuntut ilmu Allah walau di mana sahaja keberadaannya demi memimpin mereka ke jalan yang diredhaiNya.

Kata Muthaqqaf : Semoga diri ini sentiasa tabah, sabar, kuat dan thabat untuk menongkah hari-hari mendatang yang sememangnya berubah haluannya setelah dirancang haluan pada awalnya. Namun kuasa Maha Perancang yang lebih berautoriti dalam menentukan nasib hamba-hambaNya yang sudah pasti terdapat hikmah yang tersirat disebaliknya supaya dihayati kelak. Terima kasih Ya Allah ya Tuhanku atas ujian yang Engkau berikan kepadaku kali ini sebagai muhasabah diri ini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: