Video Klip Pilihan

Tuesday, November 18, 2008

|| Memori Rumah Itu... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tanpa kusedari telah berlalu seminggu lebih aku berada di rumah yang menggamit sejuta memori yang tidak mungkin dapat dilupakan. Selama itu jugalah pelbagai kenangan menerpa datang dan pergi. Lebih-lebih lagi tatkala penulis seorang diri termenung mengimbas kembali setiap butir-butir memori yang pernah terukir di sini.

Berbaki 2 hari lagi aku akan berada di sini. Di rumah yang banyak memberikan inspirasi untuk penulis tetap meneruskan hidup setelah kehilangan seorang insan yang tersayang. Seorang insan yang banyak berkorban untuk memastikan kebahagiaan dan kecemerlangan anaknya di masa mendatang.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Tiada sesiapa pun yang mampu menduga apakah yang akan berlaku keesokan harinya. Tiada siapa yang mampu memastikan esok yang menjelma sentiasa cerah dan ceria tanpa mendung dan kesedihan menyelubungi. Belum sempat pun diri ini ingin merasai kasih sayang seorang ibu, Allah lebih menyayangiNya.

Sebagaimana aku pernah kehilangan seorang ayah yang gigih mencari rezeki untuk menyekolahkanku sehingga aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading ini. Dengan izinNya yang maha kuasa, akhirnya tanpa aku menyangka, aku berjaya menggapai sehingga ke tahap ini. Menjejakkan kaki ke alam universiti yang selama ini tiada seorang pun dikalangan adik beradik bahkan sepupu-sepupuku sendiri. Terima kasih ayah, mak atas segalanya.

Ku impikan pada akhir pengajian ini ingin menyerahkan kepadaNya segulung ijazah bagi membuktikan pengorbanannya. Segala penat lelahnya, tangisan yang dihamparkan di hadapan Allah bagi memastikan anaknya ini sentiasa mendapat perlindungan dan bantuan Allah. Apakan daya segalanya yang tersirat di Luh Mahfuz telah pun tersurat mengikut ketentuanNya.

Ku redha, ku pasrah dan akan sentiasa menitipkan untaian doa yang berterusan buat kedua-duaNya semoga sentiasa dicucuri rahmatNya. Memohon kepada Rabbuljalil supaya meletakkan kalian di kalangan hamba-hambaNya yang beriman, beramal soleh, para syuhada, dan para Anbia'. Amin.

Kesedihan dan juraian air mata sememangnya tidak mampu untuk dibendung pabila saatnya tiba. Suaranya yang lunak memanggil sentiasa terngiang-ngiang di cuping telinga ini. Kata-kata nasihat yang diberikan acapkali bertandang untuk menghiburkan hati ini. Gelak tawanya, senyumannya bahkan genangan air mata pada hari terakhir aku ingin pulang menuntut ilmu Allah seolah-olah memberikan petanda bahawa itulah pertemuan yang terakhir.

Kedatangan ku kali ini untuk mengingatkan kembali sebuah kasih sayang yang tetap utuh dalam diri ini. Melihatnya, menambat ingatanku kepada mak. 'Mus belajar sungguh-sungguh. Kita dah tiada mak, abah. Duduk sini pun kira menumpang di rumah orang, buat cara menumpang. Dengar cakap orang tua, jangan nakal-nakal...' Itulah antara pesanan yang dapat ku titipkan seusai dari solat Isyak berjamaah.

Apa yang pasti aku amat bersyukur kerana masih ada yang sudi menyayangi diri ini. Masih ramai yang sudi merindui diri ini. Kalian banyak memberikan kata-kata perangsang dan pedoman yang tulus ikhlas bagi menceriakan hidup yang berbalam ini. Terima kasih kepada tunangku dan abang Lan yang sudi menyayangi diri ini seadanya.

Sememangnya teramat pedih tatkala melihat insan lain gembira dan bahagia hidupnya bersama ayah dan ibu. Inilah ujian ku, ujian kami. Aku perlu akur dan meneruskan kehidupan dengan memateri kecintaan yang tertinggi kepada Ilahi agar sejahtera hidup ini berpanjangan.

Dalam kesedihan yang tidak seberapa ini, andai diamati lautan manusia di luar sana ada yang lebih malang dari kami. Mereka kehilangan kedua-dua insan tercinta tatkala masih kecil lagi tanpa sempat merasai kasih sayang mereka berdua. Yang paling patut kita contohi adalah Junjungan Besar, Penghulu segala Nabi dan Rasul, Saidina Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Aku masih sempat merasai kasih dan sayang seorang yang bergelar ibu dan ayah.

Aku patut bersyukur. Ya, sepatutnya aku menjadi hamba yang lebih bersyukur! Alhamdulillahi rabbil 'alamin.

Kata Muthaqqaf : Buat sidang pembaca yang masih mempunyai kedua orang tua atau salah seorang dari mereka, berbaktilah kepada mereka selagi mereka masih dipanjangkan umur untuk melihat kita berjaya. Untuk melihat anak yang ditatang dengan tangan mereka itu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Usahlah kalian berkecil hati terhadap mereka. Gembirakanlah hati mereka sehingga mereka berasa bangga kepada kita, anak-anaknya. Sebelum mereka menutup mata.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: