Video Klip Pilihan

Thursday, June 04, 2009

|| Corat Coret Imtihan ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan yang dikurnia ALLAH kepadaku sehingga diri ini masih mampu tegak berdiri untuk meneruskan perjuangan di atas muka bumi ini. Perjuangan yang bukan untuk mencari kesenangan dunia semata. Malah yang lebih utama adalah perjuangan melunaskan aku janji yang pernah diikrarkan di hadapan ALLAH sebelum dihembuskan roh ke jasad yang kerdil ini. Syukur atas segalanya. Redha atas segalanya dengan penuh penyerahan kepada TUHAN RABBULIZZATI.

Di senggangan waktu yang dihadiahkan oleh ALLAH tatkala musim imtihan ini seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya. Sebetulnya malam sehari sebelum imtihan kebiasaannya diluangkan sepenuhnya dengan menelaah kitab sebagai persediaan terakhir.

Namun apakan daya, manusia merancang ALLAH juga merancang. Akan tetapi DIAlah sebaik-baik MAHA PERANCANG ke atas tiap-tiap makhluknya.

Disebabkan perancangan mendatang yang hadir tanpa pinta sesiapa ianya tidak dapat dielakkan. Madah terakhir yang akan saya dan sahabat-sahabat seangkatan hadapi pada hari esok (Khamis) 4 Jun ditunda selepas selesai semua madah yang telah disusun sejak awal lagi. Madah Dakhil yang sepatutnya kami tempuh keesokan harinya ditangguhkan pada tarikh yang telah ditentukan mengikut fakulti masing-masing bagi mahasiswa di Kaherah sahaja.

Untuk kami yang berada di Fakulti Usuluddin di semua jabatan akan menduduki imtihan subjek tersebut pada 21 Jun manakala Fakulti Syariah ISLAMIAH dan Dirasat ISLAMIAH mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak syuun masing-masing.

Bukan kami sahaja, bahkan dimaklumkan penduduk tempatan juga dicutikan dari bekerja bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Untuk pengetahuan semua, keadaan Kota Kaherah akan sesak, padat dan sendat apabila keseluruhan rakyat di ibu negara Mesir ini sahaja menyamai seluruh penduduk di Malaysia. Iaitu seramai hampir 22 juta orang!

Masakan ramai anak-anak Malaysia yang gemar memilih melanjutkan pengajian di universiti di luar kota 'kesesakan' ini yang ternyata lebih tenang, aman dan mesra alam. Tapi bagi kami yang telah sebati dengan kota 'kesesakan' ini merasakan tegal dan cukup selesa dengan kehidupan masyarakat tempatan kota metropolitan ini.

Atas alasan itulah kebanyakan rakyat tempatan apatah lagi 'pelancong' seperti kami ini di tidak dibenarkan menyesakkan pola kehidupan di Kota Kaherah ini bagi memberikan laluan yang selesa kepada 'ayah' Mesir yang akan datang membuat lawatan di sini. Bahkan beliau juga akan turut menyampaikan ucapannya di Universiti Kaherah yang akan menyentuh soal dunia ISLAM dan keganasan juga hubungan dengan negara yang memegang ekonomi mata wang dunia ini.


Beliau yang dimaksudkan adalah Presiden Amerika Syarikat yang baru, Barrack Obama. Semoga apa yang diharapkan oleh dunia ISLAM daripada beliau dapat diambil perhatian dengan sebenar-benarnya.

Dek kerana beliau, kami dikorbankan. Saya yang mengikut perancangan awalnya akan 'merdeka' selepas selesai imtihan esok terpaksa menanti lebih 2 minggu untuk mencapai ke'merdeka'an tersebut. Apakan daya kami. Segalanya telah tersurat. Dan pastinya ada yang tersirat. Antaranya memberikan masa yang lebih banyak untuk kami untuk memahami semasak-masaknya madah terakhir tersebut sebagai ilmu di dada bukan di buku dan di atas kertas jawapan semata.

Lebih-lebih lagi saya yang merupakan tahun terakhir (insyaALLAH) sebelum menyambung ke peringkat Master dan seterusnya. Justeru itu, saya perlu untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baik bekalan sebelum memikul amanah yang penuh mencabar kelak. Jangankan kelak, sekarang ini pun bermacam-macam pikulan amanah yang telah sedia dipundak untukku apabila pulang kelak.

Tapi masalahnya, saya masih belum bersedia. Itu jawapan yang tidak asing lagi diucapkan. Tapi sampai bila untuk bersiap sedia? Apakah perlu tunggu sampai selesai pengajian sehingga Master kemudian PhD dan sampai bila? Andai alasan perlu tunggu selesai belajar barulah terhegeh-hegeh untuk membantu keruncingan masalah global yang memerlukan kita.

Ya, kita. Siapa lagi kalau bukan kita. Generasi muda pelapis pewaris penerus perjuangan agama terutamanya dan negara terutamanya. Bukan generasi perosak perogol demokrasi terlibat dengan suapan seterusnya hanya hebat memperkata soal kedaulatan bangsa sedangkan agama diketepikan. Ramai yang berjuang dan lantang bersuara demi mempertahankan kebobrokan wadah yang kian lumpuh.


Di manakah hilangnya identiti ISLAM yang dipelajari dan ditadah bersama para Doktor dan Sheikh di kuliah dengan kecemerlangan yang membanggakan akan tetapi matlamat hidupnya masih gelap? Semoga pimpinan nur ILAHI akan sentiasa mengiringi setiap langkah juang kita sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Buat Barrack Obama, selamat datang ke Bumi Anbia dalam misi menyelami dunia ISLAM dan menyelesaikan konflik yang dicipta oleh Presiden terdahulu. Terima kasih juga diucapkan kerana anda kami tertunda sebagai masa tambahan kepada kami untuk menyelami ilmu-ilmu ALLAH yang mahal harganya.

Kata Muthaqqaf : Salam imtihan buat semua. Tahniah buat mereka yang telah merdeka untuk seketika sementara debaran natijah sekitar Ogos bagi menentukan langkah selanjutnya. Samada berjaya atau sebaliknya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: