Video Klip Pilihan

Thursday, August 13, 2009

|| Terima Kasih ALLAH! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Setinggi-tinggi kesyukuran yang tiada taranya dipanjatkan ke hadrat
TUHANku, RABBUL JALIL, JALLA JALALUHU atas segala nikmat kurniaan yang diberikan. Tidak terhingga banyaknya. Tidak mampu untuk dibalas. Tidak mampu untuk dihitung. Tiada satu makhluk yang diciptaNYA mampu untuk membalas segala nikmat pemberian ALLAH yang tiada tandingannya.

Hari ini, dalam sejarah hidupku yang tidak mampu digambarkan dengan akal fikiran manusia yang terhad ruang lingkupnya. Hari ini, dengan izin ALLAH aku berjaya menghabiskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Usuluddin Jabatan Dakwah dan Kebudayaan/Tamadun ISLAM dengan takdir Maqbul (Lulus).

Setelah diuji selama setahun menduduki tahun yang sama, di tahun akhir berkat kesabaran dan ketekunan akhirnya ALLAH perkenankan jua doaku. Doa kami seperjuangan yang diuji mengulang kembali sesi pengajian terakhir kami. Banyak hikmah yang diperolehi hasil daripada kegagalan kali pertama. Benarlah pepatah Melayu, 'Gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya' dan 'Usaha tangga kejayaan'.

Tiada siapa yang inginkan kegagalan dalan hidupnya. Semua mengimpikan kejayaan dalam hidupnya bukan sahaja di dunia, bahkan untuk akhirat yang kekal abadi lebih-lebih lagi. Disebalik kegagalan itu mengajar erti memahami bagaimana perasaan mereka yang diuji ALLAH dengan kegagalan dalam pengajian. Tiada siapa yang meminta untuk gagal.

Disamping itu juga, terdapat juga suara-suara sumbang yang memandang sinis mereka yang gagal seolah-olah kegagalan yang menimpa mereka sengaja dilakukan. Sepatutnya mereka yang gagal bukanlah dipandang sinis, bahkan diberikan perhatian, suntikan semangat dan dorongan yang sewajarnya bagi memastikan mereka lebih bersungguh di masa mendatang.

Saya berpandangan mungkin kerana mereka tidak pernah gagal dalam pelajaran, pengajian dan hidup mereka sewenang-wenangnya menghambur kata-kata sinis. Mereka tidak diuji dengan kegagalan dalam pengajian, akan tetapi mereka diuji dari aspek lain cuma mereka tidak merasainya akan tetapi lebih gemar mengkritik dan merendah-rendahkan golongan agamawan yang gagal berkali-kali walaupun bukan kehendak mereka.

Nasihat saya kepada diri saya sendiri dan kepada semua yang selama ini merasakan diri mereka lebih cerdik dari orang lain agar lebih berhati-hati dalam berbicara. Siswa siswi kita sudah semakin matang dan semakin cemerlang berbanding golongan terdahulu jika diamati dengan secara halus.

Jika diimbas di era 90'an dan sebelumnya kebanyakan mereka yang terlibat di dalam kepimpinan organisasi samada BKAN, DPM mahupun PMRAM kebanyakan mereka berada dalam kepimpinan lebih dari 3 tahun. Namun sekarang ini jarang sekali kelihatan para siswa siswi yang berada terlalu lama dalam kepimpinan. Kalau ada pun, mereka sudah menyambung pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana (Master).

Tidak hairanlah sekarang ini semakin sukar untuk mencari calon-calon kepimpinan dikalangan siswa siswi yang berpengalaman dalam berorganisasi kerana ramai di kalangan mereka lulus setiap tahun dan terus pulang. Ianya sekaligus menangkis tohmahan bekas-bekas Azhari yang mengatakan siswa siswi Al-Azhar semakin merudum. Nampaknya tafsiran mereka meleset sama sekali. Peningkatan kecemerlangan di kalangan Azhari adalah amat membanggakan!

Tahniah kepada kita semua kerana berjaya memecahkan tradisi lama yang selama ini dilemparkan kepada generasi terdahulu sekaligus menaikkan kecemerlangan siswa siswi Al-Azhar di mata negara. Teruskan kecemerlangan kalian bagi memastikan kecemerlangan lepasan Timur Tengah ini bertambah baik seterusnya menyumbang untuk kepentingan ISLAM apabila pulang ke Tanah Air kelak.

Salam perjuangan buat semua yang berjaya samada akan meneruskan pengajian di peringkat seterusnya ataupun pulang ke Tanah Air. Semoga kita akan diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai ujian di Tanah Air, Malaysia yang kian tenat diuji dengan balasan dari ALLAH berupa virus H1N1 dan sebagainya. Moga-moga ALLAH berikan kekuatan kepada kita untuk terus memperjuangkan ISLAM walau diuji dengan apa jua rintangan.

Doakan jua moga niatku dan sahabat seperjuangan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang seterusnya dipermudahkan dan mendapat pimpinan dari ALLAH.

Kata Muthaqqaf : Sekalung ucapan terima kasih kepada ALLAHU RABBUNA yang membalas setiap penat lelah usaha yang dilakukan ikhlas semata-mata keranaNYA dengan kejayaan. Terima kasih juga kepada guru-guru, abang-abang, kakak-kakak, adik-adik, sahabat-sahabat seperjuangan yang ku sayangi kerana ALLAH atas setiap bingkisan doa, semangat dan dorongan yang kalian suntikkan selama ini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

OrAnG KaMpOnG said...

Salam...

Tahniah... kesinambungan perjuangan menunggu anda di bumi Malaysia yang sednag punah ranah. Semoga bidang dakwah yang ante pelajar mampu memberikan impak positif pada tanah air tercinta...

Pulanglah...

Dari sahabat FB abiumar

Mohd Rasul Bin Amat said...

salam kembali...
syukran atas sokongan, dorongan dan suntikan semangat yg diberikan..
moga diberikan kekuatan utk thabat n istiqamah utk terus berjuang mempertahankan agama ALLAH di atas muka bumi ini selagi hayat di kandung tanah...

fi amanillah...