بسم الله الرحمن الرحيم
Sesak nafas, lemas dan terkaku diri ini tatkala tidak semena-mena tubuh yang lemah ini dihempap oleh makhluk Allah yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Masuk kali ini, sudah 2 kali penulis dihempap oleh makhluk halus ini.
Sepanjang 4 tahun penulis berada di bumi Mesir, pada tahun akhir ini kelihatannya hebat ujian yang Allah berikan. Memang tidak dapat dinafikan saban tahun penulis tidak terlepas dengan dugaan yang tidak mampu untuk digambarkan akan berlaku setiap kali menjelang imtihan ini.
Masih segar di ingatan penulis pada awal bulan lepas ketika semua sedang lena diulit mimpi pasca seusai menyumbat segala ilmu sebagai persediaan untuk peperiksaan mendatang. Mata penulis masih belum mahu terlelap sehinggalah hampir sejam mendekati waktu subuh terasa lelah matanya. Lantas penulis melangkah kaki menuju ke sutuh untuk merehatkan minda setelah mendapati kamar beradu penulis telah pun ditiduri. Di bilik sutuh itu tiada orang lain kecuali seorang AJKT yang bertugas sedang nyenyak tidur.
Nun di kamar bersebelahan pintu keluar ke beranda masih kosong. Penulis tanpa membuang masa merebahkan diri di katil tersebut selepas mematikan suis lampu yang sebelum ini terpasang terang. Namun mata ini masih degil tidak mahu dilelap. Secara tiba-tiba dalam suasana gelap itu menerpa satu lembaga dari arah katil yang bertentangan menghempapku. Pada waktu itu tiada apa yang mampu penulis lakukan hanya deras rengusan nafas terkaku lidah tidak mampu menjerit, melolong apatah lagi menggerakkan seluruh anggota badan. Sehinggalah hampir 2-3 minit setelah makhluk Allah itu kepenatan menghempap orang sesuka hatinya berlalu pergi.
Begitu juga yang berlaku seawal 3 pagi tadi dalam keadaan mata yang degil tidak mahu dilelapkan penulis paksa jua. Setelah letih melayan kerenah mata perlahan-lahan penulis menukar posisi pembaringan dari mengiring ke kanan lantas menelentang. Sambil membuka kelopak mata ini perlahan-lahan lantas terpandang kelibat makhluk halus ini berlalu masuk dari pintu beranda. Kerana mendapati dirinya dikesan oleh manusia lalu dihempapnya penulis sekitar 2-3 minit.
Tiada apa yang mampu penulis lakukan sebagaimana kejadian pertama walaupun sahabat penulis berada di sebelah. Dia yang mendengar rengusan nafas memikirkan penulis kemungkinan mempunyai masalah pernafasan biasa tanpa menoleh. Sementelahan itu barulah penulis bingkas bangun dan menyoalnya mengapa tidak membantu penulis pada waktu itu. Bagaimana reaksi kalian pula apabila berada dalam keadaan sedemikian? Mungkin kalian boleh berikan sedikit tips untuk melawan atau menghindari perkara ini daripada berulang lagi. Mungkin ada beberapa perkara yang tidak penulis amalkan sebelum merebahkan ke kamar.
Namun begitu sekurang-kurangnya ianya memberikan sedikit pengajaran kepada diri ini yang seringkali leka dan cuai untuk membuat yang terbaik dalam mengabdikan diri kepada Allah sehingga mudah diganggu oleh makhluk Allah itu. Walaupun ada qaul-qaul yang mengatakan 'mereka' suka menganggu orang yang taat melakukan perintah Allah dan tinggi martabat ilmunya. Rasanya tafsiran itu tidak kena pada tempatnya kerana sekiranya orang yang sedemikian sewajarnya tidak akan mampu diganggu gugat oleh makhluk-makhluk ini sebegitu rupa kerana kekuatan iman dan ilmu mereka. Itu kata Muthaqqaf. Apa kata anda?
Walau apapun mungkin ada hikmah disebalik peristiwa ini. Kemungkinan untuk dihempap dan diganggu selepas ini tidak mustahil sekiranya adab-adab sebelum tidur yang digariskan oleh Rasulullah SAW tidak diambil kira. Antara adab-adab yang menjadi panduan dan mampu memelihara diri manusia itu dari gangguan makhluk-makhluk halus dari kalangan jin dan syaitan adalah :
-Pastikan diri dilengkapi dengan perisai wudhuk.
-Melibas-libas kamar rebahan tubuh sebanyak 3 kali sambil membaca zikir Subhanallah Wal Hamdulillah Wa Li Ilaha Illallah Wallahu Akbar.
-Membaca Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah Mulk dan 3 Qul kerana menurut sumber-sumber rujukan Hadith Rasulullah SAW mampu melindungi diri dari terlelapnya mata sehinggalah tersedarnya dari maut sughra itu.
-Posisi badan ketika tidur mengikut Sunnah Nabi SAW samada:
* Cara pertama dengan mengiring ke kanan dengan lambung kiri di atas dan lambung kanan di bawah sambil tangan kanan di letakkan di bawah kepala dan tangan kiri di sisi lambung kiri. Menurut riwayat mengatakan Nabi SAW tidur dengan cara ini sambil menangis memikirkan dosa-dosa yang tidak pernah Baginda SAW lakukan akan tetapi atas rasa kehambaan kepada Allah sehingga tangan kanan yang diletakkan dibawah kepalanya itu dipenuhi dengan takungan airmata Baginda SAW. Sungguh ironi melihatkan situasi ini jika dibandingkan dengan kita selaku ummahnya yang lagi banyak dosa dan maksiat kepada Allah Azza Wajalla.
*Ataupun cara kedua dengan menelentang mengadap ke langit sambil disilangkan kedua-dua belah kaki sambil tangan kanan diletakkan didahi dan tangan kiri diatas perut. Dengan cara ini diriwayatkan bahawa Nabi SAW sebelum melelapkan matanya Baginda SAW memikirkan tentang kebesaran, kekuasaaan dan kehebatan Allah SWT mencipta alam semesta ini.
-Membaca doa sebelum tidur.
-Digalakkan membaca ma'thurat sepertimana yang disarankan 2 kali sehari selepas menunaikan solat Subuh dan solat Asar kerana banyak banyak fadhilat yang terbukti melalui pengamalannya.
-Seandainya tersedar di sepertiga malam, disarankan untuk bangun menunaikan solat sunat 2 rakaat. Dikatakan bahawa malaikat yang mengejutkan insan-insan terpilih untuk memohon keampunan, hajat, harapan dan munajat membangunkan malam yang hening yang mana diriwayatkan pada waktu ini merupakan diantara tempat yang dimakbulkan Allah permintaan hamba-hambanya.
-Yang terakhir, pasca bangkit dari tidur jangan lupa membaca doa selepas tidur, kemudian ambil wudhuk dan seterusnya tunaikan solat 2 rakaat untuk meleraikan 3 ikatan yang syaitan paksikan pada setiap manusia yang melalui perjalanan maut sughra.
Semoga pengalaman yang penulis perolehi ini mampu memberikan sedikit imbuhan ilmu yang berharga untuk manfaat bersama. Disamping itu supaya ianya mampu membuka minda seluruhnya bahawa manusia tidak sendirian tinggal di atas muka bumi Allah ini kerana turut ditemani makhluk-makhluk Allah yang lain yang hanya mampu dilihat oleh mata kasar. Bahkan dikatakan seandainya dibukakan hijab manusia untuk melihat alam 3 dimensi semestinya manusia tidak akan mampu untuk menghadapinya.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment