Video Klip Pilihan

Monday, May 12, 2008

.:: Segenggam VS 3 Kali Tambah ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Nasi merupakan makanan ruji masyarakat Asia walau di mana pun mereka berada. Hatta penulis dan sahabat-sahabat yang bercirikan Asia tidak boleh tidak untuk menjadikan beras sebagai makanan asas dalam kehidupan seharian. Kalau tiada nasi dalam sehari maka meranalah jasad, terseksasalah batin.



Setiap masyarakat dalam sesebuah negara mempunyai makanan rujinya yang tersendiri yang menjadi makanan utama penduduknya. Sekaligus menyumbang kepada lapangan ekonomi dan pertanian secara khusus. Sebagai contoh penduduk di Malaysia lebih selesa menjadikan beras sebagai makanan ruji. Begitu kebanyakan masyarakat di Asia Tenggara dan seluruh dunia yang lebih cenderung me'ruji'kan beras dalam pemakanan seharian mereka.

Namun sejak kebelakangan ini dilihat harga ekonomi beras secara mendadak dalam masa yang singkat. Konflik berkaitan makanan ruji dunia ini menjadi perbahasan hangat apatah lagi bagi sebuah negara yang selama ini dilihat mempunyai keluaran padinya sendiri tanpa bergantung dengan kemasukan beras dari negara luar. Konflik dunia ini dikatakan berlaku akibat perubahan cuaca yang tidak menentu dengan kekerapan berlakunya bencana alam di serata dunia tanpa sempadan.

Meskipun pelbagai konflik yang melanda makanan ruji ini tetap dicari dan menjadi pilihan dalam melengkapkan sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Biarpun harganya melambung tinggi, namun kerana tuntutan 'kantong' makanan yang tidak mampu menerima makanan lain selain dari pengubahsuaian beras kepada berbagai menu yang menaikkan selera. Andai terasa malas untuk memetik api dapur di rumah, 'jalan-jalan cari makan' di restoran-restoran, warung dan gerai menjadi pilihan seterusnya untuk memenuhi tuntutan 'kantong' tersebut.

Namun hari ini, kita dikejutkan dengan nasihat dari pakar kesihatan Malaysia yang juga pernah menjadi pakar kesihatan Akademi Fantasia, Kevin Zahri menyatakan dengan hanya mengamalkan pengambilan segenggam nasi setiap kali makan. Bagi kebanyakan pengamal makanan ruji ini merasakan sesuatu yang mustahil untuk diikuti memandangkan ianya merupakan makanan rutin. Tidak dinafikan, mungkin ada segelintir yang mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan seimbang ini. Bagus, teruskan. Menurut beliau dengan cara ini juga mampu mengatasi masalah kekurangan beras di negara ini.

Dalam masa yang sama beliau turut menyarankan kepada seluruh pengamal makanan kegemaran ini untuk mengambil makanan lain yang mempunyai fiber yang tinggi disamping tidak meninggalkan terus pengamalan makanan ruji ini. Cara tersebut perlu dititikberatkan supaya ianya tidak menyekat metabolisme badan (tumbesaran dan keseimbangan badan). Dan pelbagai lagi alternatif lain yang diberikan untuk mengatasi masalah kekurangan dan pembaziran nasi yang berlebihan.

Sementelahan itu juga dinyatakan akibat pengambilan nasi yang berlebihan mampu mengundang pelbagai penyakit yang membahayakan kesihatan seperti obesiti, barah dan juga osteoporosis. Tiada sesiapa yang menginginkan penyakit-penyakit yang mengerikan itu terkena pada dirinya sekiranya tiada pencegahan awal untuk mengatasinya.

Akhirnya sebagai satu persoalan ingin dilontarkan, adakah kita mampu mengurangkan kondisi pengambilan nasi dari 3 pinggan sekali makan kepada segenggam nasi ataupun separuh pinggan? Satu cabaran yang memerlukan satu pengamatan yang sepenuhnya supaya konflik yang melanda mampu dihadapi.

Kata Muthaqqaf:
Nampaknya lepas ni kena 'puasa' nasi lah jawabnya. Insyaallah kurangnya makan, bertambahnya hemah terhadap ilmu dan membantu diri ke arah kecemerlangan. Nabi SAW pun berpesan, "makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang". Tak pun ikut kata Tun, "makan sebelum kenyang, berhenti sebelum lapar semula"(hik3). Salam imtihan. Bittaufiq wan najah.

Untuk maklumat lanjut berkaitan artikel yang dimaksudkan klik di sini.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: