Video Klip Pilihan

Tuesday, May 20, 2008

|| Ucapan TPM Di Mesir : Retorik atau Hipokrit? ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sungguh memukau sesiapa yang mendengar ucapan pemimpin no 2 negara ini selain pemimpin no 1. Beliau yang hadir pada majlis ramah mesra bersama anak-anak Malaysia di bumi Mesir turut merangsang setiap pelajar dari pelbagai bidang untuk menyelami kemajuan Malaysia yang telah berjaya membuka mata dunia. Selain itu juga beliau turut menekankan kepentingan kemajuan tersebut dalam menaikkan maruah Islam yang tercemar di persada masyarakat dunia.


Dalam masa yang sama beliau turut menyifatkan ketamadunan yang pernah dikecapi oleh umat Islam terdahulu yang berakhir zaman Khalifah Uthmaniyah perlu untuk dibangunkan kembali. Elemen penyatuan dan pemahaman terhadap Islam amat perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat terumatanya kami, golongan pengajian Islam dan perubatan yang mendalami mutiara ilmu di bumi yang digelar dengan 'gedung ilmu', 'bumi kinanah' , 'bumi anbia' dan 'bumi aulia'. Tidak terlepas gelaran 'bumi firaun' yang turut mencemari bumi barakah ini.

Namun bukan itu yang penulis ingin dedahkan kepada sahabat pembaca sekalian untuk renungan bersama. Sekadar ingin mangajak kalian semua untuk berfikir berkenaan dengan ucapan beliau yang penulis sertakan untuk halwa telinga kalian sebagai bahan bukti bukan omongan kosong semata. Adakah setiap bilah kata yang disampaikan oleh beliau itu diaplikasikan terhadap kepimpinan yang diterajui bersama pemimpin no 1 negara?

Semenjak lebih 50 tahun kerajaan terus diberikan mandat oleh rakyat, adakah saranan perundangan Islam untuk dilaksanakan direalisasikan dalam kelantangan beliau mengungguli ketamadunan Khalifah Islam Uthmaniyah dari sudut kemajuan tidak pada pentadbiran? Adakah pengucapan yang terkeluar dari bibir beliau dan bibir-bibir pemimpin-pemimpin Islam kerajaan Malaysia itu sesuatu yang bertapak di bumi yang nyata? Atau ianya hanya retorik dan hipokrit semata-mata?

Mengapa penulis mengatakan sedemikian kerana mereka lantang membicarakan soal ketamadunan Islam, kemajuan Islam,kunggulan Islam terdahulu yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Islam terulung terdahulu. Dalam masa yang sama kaum kerabat terdekat mereka langsung tidak mengambil endah soal penerapan nilai-nilai Islam yang diwajibkan. Perkara paling mudah menutup aurat iaitu memakai tudung. Di manakah nilai tudung bagi mereka yang melaung-laungkan kalimah keramat memperjuangkan Islam buatan mereka itu?

Sebagai contoh baru-baru ini seluruh umat Islam Malaysia digemparkan dengan satu kenyataan yang membenarkan pembaca-pembaca berita di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk memakai tudung. Kebenaran tersebut baru dibenarkan setelah mesyuarat RTM bersama Menteri Penerangan Malaysia membenarkannya hanya selepas 50 tahun negara kemerdekaan Malaysia di bawah naungan kerajaan sekarang. Itupun setelah melihat kemelut yang semakin menggusarkan kerajaan dengan kekalahan teruk yang dialami pada PRU12. Bak kata pepatah Melayu 'dah terhantuk baru tergadah'.

Malahan semalam di kala menanti ketibaan TPM, para pelajar lelaki yang ingin memasuki dewan diarahkan untuk menanggalkan kopiah putih sedangkan ianya tidak pula disyaratkan di dalam mesyuarat bersama pimpinan pelajar. Apakah yang ditakuti oleh mereka sehingga sanggup mempermainkan syiar Islam sebagaimana tudung yang diwajibkan ke atas wanita? Kami pelajar agama, kami mempunyai hak untuk mengenakan fesyen Islamik untuk mempamirkan syiar Islam. Amat menyedihkan kerana ianya dipolitikkan.

Bahkan ketika menerima arahan tersebut ada seorang sahabat yang bertegas menimbulkan persoalan, "kalau pelajar lelaki nak nak masuk ke dalam dewan perlu melucutkan kopiah, mengapa perempuan yang bertudung tidak disuruh melucutkan tudung mereka?" Ditambah lagi, "pelajar yang memakai kopiah diarahkan lucut kopiah sedangkan perempuan yang tidak memakai tudung selamba sahaja!".

Dalam situasi yang lain sebelum ini juga terdapat satu arahan yang dikenakan terhadap pelajar wanita supaya menanggalkan purdah ketika berurusan dengan pegawai-pegawai kedutaan dalam masa yang sama mereka yang tidak bertudung dibiarkan begitu sahaja. Di sini seandainya amati sedalam-dalamnya secara tidak langsung seolah-olah mempermainkan Islam itu sendiri. Oleh yang demikian, penulis mengajak kalian untuk berfikir sejenak dan membuat satu pembaharuan untuk memartabatkan Islam yang sebenar secara menyeluruh tanpa mengkesampingkan aspek-aspek yang lain.

Berikut penulis sertakan keratan rakaman ucapan beliau. Sekiranya kalian ingin mendengarnya secara lengkap boleh klik di sini untuk muat turun. Terima kasih kerana sudi mendengar keluhan penulis di bahang imtihan ini. Sekian dimaklumkan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: