Video Klip Pilihan

Thursday, May 22, 2008

|| Terbukti Segalanya ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Terkejut, terpana sebentar apabila mendengar berita mengenai pembatalan mengenai MoU muadalah Malaysia-Mesir (Universiti Al-Azhar) berkenaan penghantaran mahasiswa lanjutan ke universiti tersohor di dunia itu. Perkara ini sekiranya diperhatikan telah diwara-warakan saban tahun dan akhirnya berjaya dibatalkan dengan alasan yang meragukan.


Siapa yang tidak penat melayan tujahan soalan bertalu-talu dari sahabat di perlembahan nil ini dek kerana khabar angin yang mengatakan tiada lagi rombongan muadalah yang akan dihantar ke Mesir tahun ini. Penulis secara peribadi bersama barisan kepimpinan tertinggi pelajar di Mesir bukanlah tidak mengambil cakna mengenai perkara ini. Kami mengambil sikap tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sehinggalah mendapat bukti hitam di atas kertas putih yang jelas.

Namun hari ini dikejutkan dengan kenyataan rasmi kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan pembatalan yang berlaku itu adalah atas pendirian dari kerajaan Malaysia bukan dari pihak Universiti Al-Azhar. Akan tetapi seandainya diamati kembali penyebaran mengenai khabar pembatalan MoU ini adalah berpunca dari pihak Al-Azhar yang membatalkannya. Namun segalanya terbukti dan jelas di hadapan mata bahawa khabar yang cuba memburukkan universiti tersohor dengan menyandarkan kesalahan kepada pihak pentadbiran Al-Azhar.

Kecoh seluruh Mesir suara hingar-bingar di sana sini mengatakan mengenai pembatalan yang diberitahu oleh pihak kedutaan Malaysia sebelum ini bahawa pihak Al-Azhar yang membatalkannya dengan penyebaran kenyataan rasmi (rujuk gambar di atas) yang dikatakan datang dari pihak universiti itu. Malah kenyataan rasmi ini turut di buat oleh Duta Besar Malaysia di Kaherah berdasarkan penyebaran khabar tersebut sebelum ini.

Meskipun segala yang dikecohkan itu telah terbukti sekaligus menhancurkan impian para sahabat yang ingin melanjutkan pengajian mereka, yang menjadi persoalannya mengapa mereka sanggup menyandarkan punca pembatalan adalah datangnya dari pihak universiti? Sedangkan pasca keluarnya kenyataan rasmi dari berita Harian Metro hari ini 22 Mei 2008 menyatakan pembatalan tersebut adalah datangnya dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia! Ternyata mereka cuba untuk mengalihkan isu yang mereka cipta kepada pihak universiti yang terpaksa akur dengan kehendak kerajaan Malaysia itu!

Penulis cukup tidak berpuas hati dengan cara yang menjadi amalan kerajaan yang suka menyandarkan kesalahan kepada pihak lain akan tetapi hakikatnya merekalah punca kepada sesuatu perkara itu. Penulis bukanlah bertujuan untuk mendedahkan aib sesiapa akan tetapi masalahnya penipuan yang mereka lakukan jelas menjatuhkan maruah sebuah institusi melahirkan ulama-ulama terbilang. Adakah penulis hanya mampu melihat, mengeluh sendirian dan membebel tak tentu hala dalam keadaan institusi Islam dipermainkan?

Bangkit Dari Lamunan

Penulis tahu di luar sana ada yang tidak bersetuju dengan cara penulis mendedahkan aib seseorang apatah lagi dia adalah saudara kita seagama. Ya, penulis akui itu kebenarannya sebagaimana yang diajarkan oleh Al-Quran dan Sunnah RasulNya. Penulis bukanlah jahil mengenai perkara itu dan penulis masih rasional dalam mempertimbangkan sesuatu isu. Penulis tidak akan mengeluarkan sesuatu kenyataan dan pendedahan sekiranya ianya tidak melibatkan soal yang boleh menjatuhkan maruah Islam dan yang bersangkut paut dengannya!

Malah sekiranya ianya masih boleh dinilai, penulis akan masukkan ke dalam neraca pertimbangan penulis tanpa mendedahkan kepada sesiapa. Akan tetapi apabila sesuatu perkara yang berlaku sehingga menjatuhkan maruah dan syiar Islam yang paling tinggi ini, penulis tidak akan berdiam diri sama sekali. Penulis tidak ingin menjadi orang yang tergolong dikalangan mereka yang hanya melihat agamanya dihina, dicerca dan dijatuhi maruahnya dengan sewenang-wenangnya.

Seandainya itu adalah pendirian kalian yang hanya mampu berdiam diri dan memerhatikan dari jauh tanpa memberikan sebarang respon kepada saudara-saudara seagama mengenai kebenaran yang disembunyikan ini, maka kalian masih lemah untuk meletakkan diri di medan memperjuangkan syiar Islam. Kalau kalian fikirkan itu yang terbaik untuk kalian maka teruskan dengan pendirian sebegitu dan saksikanlah kejatuhan Islam dengan mengutamakan kepentingan diri sendiri dari kepentingan Allah SWT,Islam, dan Rasulullah SAW!

Penat membebel panjang lebar bagi meluahkan segala muntah lahar gunung berapi yang terpendam semenjak semalam supaya penulis tenang menghadapi peperiksaan sebentar tadi. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dengan iringan doa kalian semua. Biarpun disibukkan dengan peperiksaan akhir bagi tahun akhir ini, penulis tekad tidak akan berhenti untuk meneruskan dakwah secara penulisan seandainya ini sahajalah sumbangan yang mampu penulis berikan untuk membantu Islam.

Alasan mereka yang mengatakan lebih mengutamakan belajar terlebih dahulu dan meletakkan mempertahankan Islam di tangga ke 2 adalah alasan yang tidak masuk akal. Beralasan supaya menamatkan pengajian terlebih dahulu adalah akibat hasil penerapan fahaman liberal, sekular dan barat yang cuba mempengaruhi umat Islam. Mereka secara jelas cuba sedaya upaya semenjak dulu ingin menjadikan umat Islam seperti penganut Kristian dengan memisahkan keperluan dan tuntutan agama dari kehidupan. Tampak hasilnya berjaya.


Akhirnya kelak akan timbul umat Islam yang pengecut, penakut dan 'back up' belakang sahaja dengan membiarkan perjuangan mempertahankan agama kepada golongan yang akan disingkirkan dan dihapuskan dari semasa ke semasa sebagaimana yang terjadi sekarang ini. Seruan untuk mempertahankan agama bukanlah kepada mereka yang telah tamat pengajian ataupun yang telah memperolehi Master dan Phd. Akan tetapi tuntutan ini kepada seluruh umat Islam yang beriman kepada Allah dan rukun Iman selainnya. Maka itu sedarilah sebelum terlambat.

Berikut dilampirkan kenyataan rasmi dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang dipetik dari akhbar arus perdana Harian Metro hari ini (Khamis, 22 Mei 2008)

___________________________________________________________________________

Batal MoU pengajian tak laku

TIDAK laku dan kurang mendapat perhatian sektor pekerjaan dikenal pasti punca utama kerajaan membatalkan memorandum persefahaman (MoU) antara institut pengajian tinggi tempatan dengan universiti tersohor di Mesir iaitu Universiti Al-Azhar.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun, berkata pihaknya bukan sengaja membatalkan MoU itu tetapi menyedari pasaran pekerjaan berkaitan kursus Pengajian Islam sangat tipis malah tidak memenuhi tuntutan sektor sedia ada.

“Apabila kita mengkaji kehendak dan kemahuan pasaran khususnya (ke atas) graduan yang sudah keluar mendapati antara kursus yang kurang mendapat perhatian ialah mengenai Pengajian Islam selain kursus Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

“Jadi, kementerian perlu mengawal perkara ini, justeru mengehadkan kursus kerjasama yang dipohon beberapa institut pengajian tinggi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dibangkitkan Nasharuddin Mat Isa (Pas-Bachok) yang mahukan penjelasan mengapa kementerian membatalkan MoU yang sudah ditandatangani banyak kolej tempatan dengan Universiti Al-Azhar untuk menawarkan kursus Pengajian Islam.

Nasharuddin sebelum itu meluahkan kekesalannya berhubung perkara itu kerana menganggap ianya tidak wajar.

Terdahulu, Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) meminta Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan sistem kaedah pengiktirafan yang digunakan bagi mengawal institusi pengajian tinggi swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

___________________________________________________________________________

Kata Muthaqqaf:Apakah benar kenyataan yang dikeluarkan mengatakan bahawa keluaran pengajian universiti Al-Azhar yang tersohor di seluruh dunia tidak laku? Lain macam je bunyinya? Padahal ramai yang cari lepasan Al-Azhar lebih-lebih lagi berkaitan perundangan Islam, penasihat agama. Bab nak ambil jadi menantu apatah lagi. Masa MECC cakap lain, sekarang cakap lain. Entahlah semoga golongan agamawan yang memperjuang dan mempertahan agama Allah akan terus mendapat tempat dan dipermudahkan Allah segala urusan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: