Video Klip Pilihan

Friday, May 09, 2008

.:: Kerajaan Jawab Di Hadapan Allah Kelak! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Inilah padahnya apabila lebih mengutamakan kebendaan dunia semata. Akibat lebih mengejar kuasa untuk memerintah menatijahkan satu realiti yang benar-benar menggegarkan arasy Allah. Murtadnya seorang wanita Islam pertama di Malaysia!



Sebelum ini perkara berkaitan murtad ini bukanlah isu yang baru ditimbulkan. Malahan sebelum ini mufti Perak, Dato' Harunsani sendiri pernah membuat kenyataan terbuka berkenaan dengan angka murtad di Malaysia seramai 20,000 orang yang berdaftar untuk keluar Islam. Itu baru yang berdaftar, belum kira yang murtad secara diam-diam tanpa pengetahuan mana-mana pihak. Dulu isu ini hangat diperkatakan namun ianya sekadar dibawa angin lalu oleh pucuk pimpinan tertinggi Islam yang memandang enteng perkara ini.


Kes Siti fatimah yang merupakan kes murtad pertama di Malaysia saya rasa tidak layak untuk diklasifikasikan di kalangan golongan mualaf (yang baru memeluk agama Islam) kerana dia telah memeluk Islam sejak sedekad yang lalu sebelum menikah dengan seorang lelaki muslim dari Iran. Sewajarnya pada fatrah 10 tahun itu merupakan jangka waktu yang lama dan dari sudut akal yang waras mampu bagi seseorang menjadi seorang penganut Islam yang baik dari segala aspek yang dituntut.

Ya, penulis akui bahawa kesalahan dan tanggungjawab sebenar yang terpundak di bahu Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan pihak jabatan kebajikan mualaf di sana. Namun begitu pucuk pimpinan tertinggi pusat gagasan 'Islam Hadhari' ini juga tidak terlepas dari bidang kuasa ini. Ini kerana sebagaimana yang dimaklumkan di dalam akhbar-akhbar arus perdana menyaksikan kegagalan pantauan dari seluruh peringkat sehingga menyebabkan mualaf ini tidak mampu menghayati kemurnian Islam itu sendiri. Lantas kembali kepada ajaran agamanya yang jelas sesat lagi menyesatkan.

Selama penulis membelek informasi-informasi di media arus perdana amat kurang mengambil berat soal hal ehwal saudara baru Islam apatah lagi ingin mengambil cakna soal murtad yang berleluasa. Bahkan dilihat ianya dibiarkan dengan mengutamakan soal kemajuan dan pembangunan negara menuju negara maju untuk membuktikan Malaysia negara Islam yang membangun di mata dunia. Juga dilihat lebih mementingkan soal gagasan Islam yang baru untuk diketengahkan lantas dikesampingkan soal yg lebih penting daripada perkara tersebut.

Penulis tidak menafikan kepentingan elemen ini untuk kita membuktikan kepada penguasa-penguasa barat kuffar laknatullah yang terus memandang rendah kepada dunia Islam. Sedangkan andai diperhatikan sumber ilmu yang mereka cedok kebanyakannya diambil dari Islam lantas diisytiharkan bahawa ianya para ilmuan merekalah pengasas kepada ilmu tersebut. Itu adalah realiti yang diketahui umum bahawa Islam merupakan sebuah agama universal yang mencakupi segenap aspek yang perlu digelintar dengan sebaik-baiknya.

Penulis tidak mengetepikan soal kemajuan dan pembangunan negara Islam yang canggih dan menerajui kehadapan lebih dari negara-negara lain. Namun begitu, aspek pembangunan insan dengan mengutamakan aspek akhlak, nilai-nilai murni dan moraliti yang tinggi. Aspek ini yang perli dititikberatkan sebelum melangkah lebih jauh membangunkan negara dengan penuh bijaksana. Seandainya ini tidak dipandang berat, maka situasi seperti inilah yang kita dapat lihat dan nilai dengan akal fikiran kita.


Isu murtad bukan sesuatu yang enteng, remeh mahupun picisan. Akan tetapi ianya merupakan sesuatu yang amat besar kerana membabitkan maruah Islam. Islam tidak sesekali membenarkan penganutnya menukar dari satu agama ke agama lain sesuka hati sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan ciptaan manusia. Bahkan jika diamati perundangan Islam, menyaksikan hukuman mereka yang murtad adalah hukuman mati kerana ianya bakal mencemarkan Islam itu sendiri dengan fenomena murtad sesuka hati ini. Tidak seperti agama lain.


Di dalam Al-Quran Allah sendiri memberikan ingatan keras kepada mereka yang murtad maksudnya:"Barangsiapa yang diantara kamu yang murtad (keluar dari agama Islam) kemudian dia mati. Maka dia mati dalam keadaan penuh kekufuran. Maka akan digugurkan segala amal kebaikan mereka di dunia dan di akhirat. Mereka itulah ahli-ahli neraka. Mereka kekal di dalamnya".

Amat berat azab dan siksaan yang akan Allah berikan kepada mereka yang sesuka hati mereka yang keluar dari agama Islam yang diiktiraf di sisiNya. Oleh yang demikian, berdoalah semoga diri sendiri, keluarga, saudara mara, kaum kerabat, sahabat handai, orang-orang tersayang, masyarakat Islam di negara kita dan seluruh umat Islam di dunia ini mendapat pemeliharaan Allah dari terjebak dengan agenda pemurtadan ini yang juga merupakan agenda utama musuh-musuh Islam.

Sumber sebaran Utusan Malaysia hari Jumaat, 9 Mei 2008/3 Jamadil Awal 1429 bertajuk 'Siti Fatimah dibenar murtad - keputusan Mahkamah Tinggi Syariah P. Pinang itu adalah kes murtad pertama di negara ini'.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: