Video Klip Pilihan

Tuesday, March 31, 2009

|| Ayuh Tolak Pemikiran Sempit! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Seusai muktamar sanawi PMRAM kali ke-76 pelbagai spekulasi yang ditimbulkan dikalangan masyarakat mahasiswa. Spekulasi yang ditimbulkan bukan untuk menaikkan dan menyahut segala usul yang telah disepakati oleh perwakilan pada ketika itu. Akan tetapi spekulasi yang ditimbulkan lebih untuk memprovok dan menghentam segala macam usul yang dibahaskan. Juak-juak yang dimaksudkan tidak lain adalah mereka yang merupakan mata dan telinga kepada pertubuhan-pertubuhan selain PMRAM. Sila rujuk akronim IJAN
(bahasa lembut) @ NAJIS (bahasa kasar) yang disentuh dalam entri yang lepas.

Suka untuk penulis jelaskan sebanyak mungkin berkaitan dengan IJAN@NAJIS supaya kalian yang tidak mengikuti perbahasan tersebut terang lagi bersuluh tanpa menuduh PMRAM menyemai bibit-bibit permusuhan. PMRAM sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima sebarang program-program yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan selagi mana ianya tidak memecah belahkan ahli, mengajak ahli membenci PMRAM, dan menyebarkan dakyah kepolitikan dalam program-program mereka. Kesemua pertubuhan tersebut kecuali 'anak kandung' politik MELAYU di Malaysia tidak sekalipun PMRAM membenci. Hatta 'anak kandung' itu.


Namun begitu, disebabkan kerana mereka mempunyai agenda memecah belah kesatuan PMRAM, lantas majoriti perwakilan menyokong dan mendorong kepada usul tersebut dibawakan. Umum sedia maklum semenjak 78 tahun yang lampau PMRAM sentiasa menaungi sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di Ardil Kinanah ini. Hatta mereka yang sudah terjerumus dengan bermacam jenis pertubuhan selain PMRAM tika ini. Mereka tidak akan lupa, tetapi dek nafsu, bisikan syaitan dan material bermaharajalela, inilah natijahnya.

Kembali kepada tujuan utama penulis ingin bawakan pada kali ini masih berputar sekitar Muktamar Sanawi PMRAM yang baru beberapa hari berlalu. Masih terasa kehangatannya memandangkan terdapat beberapa individu antagonis dan parasit menuding PMRAM yang bukan-bukan. Oleh yang demikian itulah menggerakkan minda ini untuk menolak beberapa dakwaan dan pemikiran yang sempit ke arah primitif. Terkadang seronok juga apabila terdapat makhluk-makhluk parasit ini untuk menguji kekuatan dalaman dan luaran. Ujian yang ALLAH datangkan kepada hamba-hambaNYA pelbagai dan ini merupakan salah satu daripadanya.


USUL MAHASISWA YANG SEMPIT?


Terdapat dakwaan sesetengah parasit yang merupakan mata dan telinga untuk kepentingan mereka menuduh perbahasan usul yang hangat diperbincangkan pada hari tersebut tidak lebih hanya bersifat kekitaan dan terarah kepada kesatuan semata. Apa yang mereka rasakan usul yang perlu dibahaskan sepatutnya menyentuh soal peningkatan akademik mahasiswa dari segi komitmen yang jitu melalui kehadiran ke kuliah. Juga budaya berpersatuan yang tidak menganggu waktu pengkuliahan.


Untuk makluman seluruh sidang pemerhati yang menjadi pemerhati dan mampu menilai sejauh manakah program-program yang diadakan oleh PMRAM menjejaskan waktu kuliah. Bahkan banyak program yang diadakan oleh PMRAM lebih kepada meraikan jadual kuliah pengajian meskipun terdapat beberapa program yang terpaksa diadakan pada waktu kuliah. Memandangkan tiada masa lain dan dilihat penting untuk kesinambungan PMRAM itu sendiri sebagai contoh Muktamar Sanawi ini sendiri. Ditambah lagi tarikh perlaksanaan Muktamar Sanawi ini sendiri bukanlah ketetapan dari PMRAM akan tetapi dari Kementerian Kemasyarakatan Mesir selaku penaung kepada PMRAM.


Selebihnya seandainya ada program yang diadakan pada musim pengkuliahan dilihat memandangkan sesebuah program yang bersifat santai dan tidak mengambil masa yang panjang. Dan yang paling utama ianya merupakan permintaan ahli setelah dipertimbang bersama seluruh kepimpinan bukan keputusan peringkat PMRAM semata-mata. Melihat juga program yang diadakan oleh PMRAM tidak berat dan kuliah masih 'belum panas' pembukaannya disamping terdapat juga subjek-subjek yang belum mula pengajarannya.

Kini tibalah giliran penulis ingin bertanya kepada mereka yang 'makan cili' dan semestinya dia akan merasai kepedasan cili itu. Di bulan-bulan terakhir di saat menghampiri imtihan semester ke-2 pada bulan Mei ini mengapa program yang dinamakan Festival Asean yang menyajikan pelbagai program yang padat diadakan? Bukankah program ini juga sayugianya paling utama dikritik dan disuarakan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) yang merupakan penganjur bersama sebuah pertubuhan yang disembunyikan namanya?

Di saat kesibukan mahasiswa yang sepatutnya menelaah kitab akan tetapi dihidangkan dengan pelbagai pertandingan dan agenda yang tidak diketahui sejauh mana keuntungannya kepada mahasiswa dalam meningkatkan thaqafah. Bahkan adakah program yang tahun ke-2 diadakan ini mampu menjaga adab dan tata susila yang digariskan oleh ISLAM memandangkan program yang sama pada tahun sebelumnya menyaksikan percampuran antara lelaki dan perempuan dengan perbualan dan sebagainya hingga melenyapkan identiti Azhari! Tidak hairanlah kita lihat maksiat dan kebejatan akhlak semakin berleluasa di kalangan mahasiswa apabila adab ISLAMI diketepikan!


Adakah ini yang ingin dibanggakan sedangkan kepentingan ISLAM itu diketepikan dan hanya mengambil beberapa perkara yang memberikan manfaat kepada diri semata-mata? Bagaimana sekarang ini memandangkan kebanjiran mahasiswa perubatan yang kita sendiri lihat cetek pengetahuan agamanya melihat keadaan penuntut pengajian ISLAM yang tidak tumpah seperti mereka! Aduh, sungguh memalukan kerana segelintir yang porak peranda, habis keseluruhannya dipandang rapuh oleh mereka!

Tidak dinafikan kalam juak-juak yang berfikiran kebangsaan mengatakan bahawa Al-Azhar menggunakan manhaj pertengahan, tidak tegas juga terlalu terbuka. Kita perlu jelas bahawa mereka yang mengaji di pusat pengajian ISLAM terkemuka ini bukanlah mereka yang hanya cenderung ke arah satu aliran pemikiran semata-mata. Oleh sebab itulah Al-Azhar mengamalkan keterbukaan dalam masa yang sama mengajarkan konsep ISLAM yang syumul dan kontemporari tanpa menyekat mana-mana individu mengikut pemikiran masing-masing selagi tidak bertentangan dengan syara'.

Selebihnya kitalah yang membentuk tuntutan ISLAM itu sendiri untuk menaikkan ISLAM itu sendiri. Kita yang perlu menyemai konsep amal ISLAMI yang sebenarnya dan menjauhi amalan sekular, liberal,
modenisasi dan sebagainya yang hanya mengambil ISLAM sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Itulah yang menyalahi syumulnya ISLAM mengikut ajaran yang dibawa oleh JUNJUNGAN BESAR SAW. Atas kapasiti pemahaman yang jelas terhadap tuntutan amal ISLAMI yang sebenar inilah PMRAM dibenci dan dihujum dengan pelbagai dakyah membawa ideologi yang sama dengan parti politik ISLAM di Tanah Air bahkan dunia keseluruhannya.

Selain itu penulis juga berminat untuk menjelaskan kepada sidang pembaca yang mencari kesalahan PMRAM bahawasanya bukanlah bermaksud perwakilan tidak mengusulkan usul yang menyentuh soal peningkatan akademik, penguasaan Bahasa Arab dikalangan ahli dan sebagainya menandakan PMRAM tidak mengambil berat. Isu pendidikan dan peningkatan Bahasa Arab merupakan agenda utama dan ianya terbukti mencapai misinya pada sesi lepas melalui majlis-majlis tafaqquh yang menjemput sheikh-sheikh dan doktor di Al-Azhar itu sendiri yang menyampaikan ceramah mereka dalam Bahasa Al-Quran itu secara tidak langsung.

Dalam masa yang sama penekanan yang serius PMRAM terhadap ahli dalam isu yang didakwa itu sebenarnya tidak pernah dilupakan pada setiap kali program-program yang dijalankan bukan sahaja oleh PMRAM, bahkan oleh BKAN dan DPM yang merupakan wakil kepada ahli masing-masing. PMRAM tidak ingin melihat penguasaan dalam melaksanakan program akan tetapi diwakilkan kepada BKAN dan DPM dalam menggembleng tenaga meningkatkan dua elemen yang sering dilemparkan itu.

Baiklah, penulis merasakan cukup setakat ini dahulu penjelasan penulis berkenaan dengan beberapa perkara bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar. Penulis tidak mahu pihak yang bertanggungjawab melihat mereka berjaya menyerang dengan hujah-hujah yang sama dimainkan saban tahun. Selebihnya ahli yang berada di bawah naungan PMRAM sayugianya menilai dengan bijak di manakah situasi PMRAM tika ini dengan serangan pihak-pihak yang cemburu dengan kesatuan yang PMRAM terbitkan. Tidak hairanlah mengapa saat ini jelas perjuangan beberapa pertubuhan untuk meraih ahli sehingga tegar menyemai fitnah kepada PMRAM untuk memecah belahkan ahli itu sendiri.

Bersama pertahankan kesatuan ISLAM ini. Bersama pertahankan PMRAM selagi mana perjuangannya tidak lari dari tuntutan ISLAM. Bersama menolak pemikiran yang sempit menerapkan nilai-nilai munafik dan fasik dalam diri. Seterusnya bersamalah kita bersatu di bawah naungan ISLAM dan mana-mana pertubuhan yang jelas memperjuangkan semangat cintakan ALLAH, RASULULLAH SAW dan ISLAM itu sendiri jauh dari semangat perkauman, kebangsaan dan kenegaraan!


Kata Muthaqqaf :
Penulis berhak bersuara sebagaimana kalian. Selagi mana penulis berada di landasan yang benar fikirkanlah. Sekiranya penulis terpesong dan tersasar dari jalan menuju ALLAH, maka tegurlah dengan penuh berhikmah dan nasihat yang terbaik. Moga bersama kita mencurahkan idea, keringat dan material untuk kepentingan
ISLAM bukan kepentingan peribadi!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Sunday, March 29, 2009

|| Selamat Maju Jaya PMRAM 2009! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Akhirnya 'kerajaan mahasiswa' PMRAM 2009 berjaya dibentuk dengan perletakan dan penyusunan barisan kepimpinan yang padu dan berdaya saing dalam meneruskan era kepimpinan abang-abang lama sejak dahulu lagi. Maaf penulis agak kelewatan untuk memaklumkan kepada kalian semua yang menantikan siapakah muka-muka baru yang memegang portfolio-portfolio
yang terkini. Penulis mendapatkan maklumat terkini berkenaan barisan kepimpinan PMRAM sesi 2009 ini dari blog sahabat penulis, saudara Syafiq Zulakifli yang telah diangkat sebagai Anggota Penasihat PMRAM bersama 3 orang penasihat yang lain.

Pesan penulis kepada barisan kepimpinan PMRAM 2009 supaya kalian semua meneruskan segala usaha-usaha menaikkan kualiti para mahasiswa di Mesir yang merangkumi Pengajian ISLAM dan Perubatan walaupun di sana terdapat sekatan yang menghalang kebersamaan beberapa pihak. Teruskan kesinambungan tema yang tercipta tahun lepas untuk memastikan sasaran tema tersebut lebih matang dan menyeluruh. Pastikan 'JULANG THAQAFAH, BAKTI DICURAH' sentiasa bersemi di kalangan ahli. Elakkan perpecahan dan semai mahabbah wa rahmah sesama masyarakat pelajar agar wawasan ISLAM yang syumul dapat dihayati bersama.

Salam perjuangan buat kalian semua. Teruskan berpegang teguh dengan tali ALLAH dan jangan bersengketa dan bertelagah sesama kita. Peliharalah hubungan bersama ALLAH dengan penuh khusyuk dan ikatan yang utuh. Dalam masa yang sama hubungan sesama manusia yang harmoni akan terhasil akibat dari keterikatan yang hebat dengan RABBULIZZATI. InsyaALLAH, pemeliharaan ALLAH akan berpanjangan sehingga ke akhirnya walaupun diasak dan dikecam dari pelbagai sudut.Kekuatan PMRAM adalah datangnya dari ALLAH bukan dari kepimpinan yang mentadbir.

Ku tinggalkan kalian dengan sebaris kepimpinan yang terlantik dari wakil sahabat-sahabat kalian yang mencalonkan barisan PMRAM 2009 yang padu dan mantap. Bukan sekadar menatap sebuah pengorbanan yang bakal mereka sajikan, malah seruan untuk membantu amat diperlukan untuk menggerakkan agenda peningkatan kebajikan, pendidikan, thaqafah dan kepimpinan di kalangan ahli PMRAM itu sendiri. Semoga rahmat dan hikmah sentiasa menghiasi dada-dada para pejuang agama ALLAH walau di mana sahaja keberadaannya.


STRUKTUR ORGANISASI PERSEKUTUAN MELAYU REPUBLIK ARAB MESIR (PMRAM) 2009


PRESIDEN (PENGERUSI HAL EHWAL WANITA ISLAM [HEWI])
ABDUL MU`IZZ
BIN MUHAMMAD

TIMBALAN PRESIDEN (LAJNAH PERANCANG DAN PANITIA)

SHAHRIZAN
BIN MOHD HAZIME

NAIB PRESIDEN I (LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN)

MOHD AZRUL
BIN ISMAIL

NAIB PRESIDEN II (LAJNAH MUHAFAZAH)
NIK ROSDI BIN NIK JUSOH

NAIB PRESIDEN III (LAJNAH KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN)

MUHAMAD ZUHAILI
BIN SAIMAN

SETIAUSAHA AGUNG

MOHD ADLAN BIN MOKHTARUDDIN

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG

MUHAMMAD ABDUL MALIK
BIN ABDUL KARIM

NAIB SETIAUSAHA AGUNG (LAJNAH PENDAFTARAN)

AMALUDDIN
BIN ARSHAD

BENDAHARI KEHORMAT

MEOR MOHAMMAD KHAIRUL ANUAR BIN KHAIRUDDIN


BADAN PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA

MOHD YAZID
BIN PARDI

BADAN PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN

MOHD FARKHAN
BIN MD ZAIN

BADAN PENERANGAN DAN PENERBITAN

AHMAD TAUFIQ
BIN MOHD DAHLAN

BADAN EKONOMI

MOHAMAD AZLAN
BIN ALIAS

BADAN SAMBUTAN DAN REHLAH

MUHAMMAD LABIB BIN ABD JALIL


BADAN KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN

JAMAL NAJMUDDIN
BIN SULAIMAN

STRUKTUR ORGANISASI HAL EHWAL WANITA (HEWI)
PMRAM 2009


TIMBALAN PENGERUSI HEWI
SITI ANISAH BINTI AHMAD

NAIB PENGERUSI HEWI I (UNIT PERANCANG DAN PANITIA)
NUR MAZNI BINTI AHMAD PAUZI

NAIB PENGERUSI HEWI II (UNIT DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN)
NOR HIDAYAH BINTI CHE YUSOF

NAIB PENGERUSI HEWI III (UNIT MUHAFAZAH)
SHAHIDATUL AKMA MOHD SHA`ARY

SETIAUSAHA HEWI
NOR HAFIZA BINTI ABDUL WAHAB

TIMBALAN SETIAUSAHA HEWI
NOR HIDAYAH BINTI ABDUL RAHMAN

NAIB SETIAUSAHA HEWI (UNIT PENDAFTARAN)
SAMIHAH BINTI ABDULLAH

BENDAHARI HEWI
`IZZATI FARHANA BINTI MAHADZIR

UNIT KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN
NORRAUDAH HANUM BINTI HJ SALIM

UNIT PENDIDIKAN DAN KOMUNIKASI BAHASA
SITI NORSANIYAH BINTI SHAPIIN

UNIT PENGETAHUAN DAN PENYELIDIKAN
HURRIYYAH BINTI ABDUL MOKTI

UNIT PENERANGAN DAN PENERBITAN
IBTISAM BINTI MOHAMAD

UNIT EKONOMI
SITI FATHIYAH BINTI MOHD RAZI

UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH
FAUZIAH BINTI ABDUL RAHMAN

UNIT KEBUDAYAAN KESENIAN DAN KEMASYARAKATAN
SITI UMAIRAH BINTI SAMSUDIN


Kata Muthaqqaf : Tiada tuhan paling sempurna ALLAHU RABBUNA,Tiada kalam seindah AL-QURAN, tiada nasihat secantik SUNNAH, tiada model sebaik RASULULLAH SAW, tiada agama sesyumul ISLAM, tiada manisnya perjuangan tanpa UJIAN DAN MEHNAH. Salam perjuangan buat kalian.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, March 28, 2009

|| Kesatuan Yang Dicemburui ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, selesai jua sebuah muhasabah dan perbincangan membentuk kesatuan yang lebih sistemik dan efektif bagi sesi pentadbiran akan datang. Penulis telah pun berundur bagi memberikan ruang kepada muka-muka baru. Banyak isu dan perkara yang berputar di sepanjang sesi muhasabah muktamar tersebut. Dan yang paling menarik ketika sesi perbahasan usul yang melihat kepada penglibatan seluruh perwakilan bagi membincangkan sebuah isu perpaduan dan kesatuan ahli di pelembahan Nil ini.


Penulis bersama rakan-rakan seperjuangan yang turut berundur merasa sebak tatkala saat pembubaran kepimpinan sesi 2008 setelah selama 2 sesi penulis bersama sahabat-sahabat yang lain melayari bahtera PMRAM dalam meneruskan agenda kebajikan kepada rakyat Malaysia di Mesir. Pengalaman pahit dan manis ketika memandu sebuah persatuan yang telah diketahui umum seumpama sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan ISLAM di Tanah Air. Persamaan yang sama kerana memperjuangkan ISLAM yang syumul menyebabkan ianya terus ditindas dan ditekan. Namun ianya masih dipelihara oleh ALLAH kerana tidak lari dari dasarnya.

Di sini sedikit ulasan yang ingin penulis bentangkan sebagai makluman buat semua sidang pembaca memandangkan Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 kali ini bertembung dengan Perhimpunan Agung UMNO. Kedua-dua perhimpunan dan mesyuarat yang diadakan ini juga turut menyaksikan pemilihan kepada pucuk pimpinan yang baru diperingkat pusat. Namun begitu, di sana juga terdapat beberapa perkara yang saban tahun menyentuh survival PMRAM ketika Perhimpunan Agung UMNO sebagaimana PMRAM yang turut menyentuh soal [IJAN] yang merupakan singkatan kepada ISMA, JIM, ABIM dan NADI UMNO.

Apa yang pastinya perkara yang dibahaskan di kedua-dua perhimpunan ini membincangkan mengenai survival bagi pertubuhan masing-masing. Cuma yang membezakan antara keduanya itu adalah yang satunya lebih mengutamakan kepada survival kebangsaan iaitu keMELAYUan berbeza yang satu lagi menjurus kepada kesejahteraan sejagat memperjuangkan semangat kesatuan dan perpaduan ISLAM secara syumul jauh dari unsur-unsur perpecahan, asobiah, semangat kebangsaan, rasuah dan pilih kasih. Tepuk dada, serulah jawapan daripada sang IMAN yang mampu memberikan sebuah jawapan yang penuh adil dan saksama.


Kali ini kelihatannya kepimpinan PMRAM yang memegang tampuk pimpinan merupakan muka-muka yang baru akan tetapi kebanyakannya merupakan pimpinan di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM). Secara peribadi, penulis melihat kewibawaan mereka tidak dapat disangkal. Mereka mampu untuk membina sebuah pengaruh yang terbaik di bawah pimpinan saudara Abdul Mu'iz Mohammad yang merupakan Presiden PMRAM bagi sesi 2009.

Sokongan, dokongan dan bantuan dari seluruh lapisan ahli di Ardil Kinanah ini amat diperlukan untuk memastikan segala perancangan membentuk ahli yang berthaqafah sebelum kembali berhadapan dengan masyarakat di Malaysia kelak. Usah dilihat kepada siapa yang memimpin meskipun mereka tidak sehebat dan tidak seperti yang kita inginkan. Akan tetapi berikan cadangan, harapan dan komentar yang terbaik untuk memastikan agenda kebajikan ahli terus disalurkan berasaskan kepada acuan Al-Quran dan Sunnah. Selaku mahasiswa yang berada di Mesir yang kaya dengan 'Gedung Ilmu ISLAM' semenjak berabad lamanya, sayugianya dua sumber terpenting dalam ISLAM ini dijadikan dasar.

Meskipun disekat dan ditekan dari pelbagai sudut dengan hamburan fitnah yang mengatakan PMRAM ini merupakan sebuah pusat latihan menjurus ke arah menentang kerajaan dengan alasan dasar perjuangan yang sama.

Buat seluruh saff kepimpinan PMRAM sesi 2009, Badan Pengurus dan HEWI. Semoga kalian terus thabat dan cekal meneruskan agenda perjuangan menyalurkan segala bentuk kebajikan kepada ahli yang berada di Perlembahan Nil. InsyaALLAH, penulis bersama ahli-ahli yang memahami konsep perjuangan PMRAM yang mementingkan kebajikan akan terus mendokong segala agenda dan program yang dilaksanakan selagi mana tidak melanggar ketetapan syara'. Kami akan mengecam dan memboikot sekeras-kerasnya mana-mana program yang diadakan. Tanpa mengira siapa yang menganjurkannya selagi mana tidak menyentuh politik walaupun padah akikatnya politik itu adalah sebahagian dari ISLAM.

Yang paling menggelikan hati, apabila isu berkaitan PMRAM ini dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO yang meminta pihak kerajaan menarik kembali biasiswa yang diberikan kepada seluruh saff kepimpinan PMRAM bahkan menarik biasiswa para mahasiswa/mahasiswi yang menyertai PMRAM. Cadangan tersebut disuarakan oleh seorang kepimpinan dari Kelab UMNO Luar Negara di Southampton, Britain bagi mewakili kelab penyokong kerajaan di luar negara itu. Mereka merasakan kewujudan PMRAM merupakan penyebab kepada ramainya penentang kerajaan dari Mesir. Saban tahun perkara ini dibangkitkan namun begitu kesannya dilihat para mahasiswa yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah semakin ramai yang terus menyertai sebarang program anjuran PMRAM.


Lebih-lebih lagi tahun ini kita saksikan tekanan yang diberikan oleh pihak UMNO melalui kelab penyokong mereka berkenaan dengan isu yang sama. Klik di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan dengan artikel tersebut. Mereka merasakan tekanan yang teramat sangat melihat sokongan yang semakin tinggi terhadap Pakatan Rakyat semenjak PRU12 yang lepas. Bahkan semenjak satu demi satu tembelang rasuah dan suapan yang memakan jutaan ringgit meletup, mereka semakin tertekan. Tekanan yang paling dahsyat apabila mereka semakin sukar untuk meraih sokongan rakyat bukan sahaja di Malaysia, bahkan turut mempengaruhi rakyat Malaysia yang berada di perantauan.

Untuk akhirnya, klimaks kepada isu ini apabila selesai kedua-dua perhimpunan ini, menyaksikan terdapat banyak suara-suara ketidak puashatian dikalangan rakyat Malaysia. Iaitu berkaitan perlantikan barisan kepimpinan UMNO yang baru kerana masih tetap diangkat dan diagung-agung oleh ahli UMNO itu sendiri meskipun telah jelas terlibat dengan politik wang. Kematangan rakyat sudah tiba ke kemuncaknya. Sebagaimana yang dimaklumi oleh penganalisis politik di universiti tempatan rakyat Malaysia sudah bijak menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Mereka tidak mudah untuk dipergula-gulakan.

Saya berkeyakinan selepas berakhirnya kedua-dua perhimpunan ini pastinya ada penilaian yang variasi dari para pemerhati politik pelajar di Mesir dan di politik di Malaysia itu sendiri.Tidak kurang hebatnya mereka yang membandingkan antara kedua perhimpunan ini lantas mengeluarkan satu pandangan peribadi yang berasaskan hawa nafsu semata-mata. Tidak berasaskan kepada ikatan Kitabullah dan Sunnatunnabi. Segalanya kembali kepada sidang pembaca yang menilai realiti semasa yang terjadi adakah ianya bersesuaian atau sebaliknya.

Semoga kita sentiasa dipimpin oleh ALLAH SWT dalam setiap tindakan, perbuatan dan tutur bicara agar tidak terkeluar dari landasan perjuangan ISLAM itu sendiri. Selamat menjalankan tugas buat kedua-dua kepimpinan. Buat yang ikhlas memperjuangkan ISLAM, ingatlah bahawa ALLAH pasti bersama kita, manakala yang membelakangi norma-norma ISLAM maka musuh-musuh agama ALLAH akan bergembira dengan kemusnahan dan kerosakan dunia yang bakal berlaku. Nauzubillahi min zalik.

Kata Muthaqqaf : Selamat bertugas buat sahabat-sahabat Badan Pengurus dan HEWI PMRAM sesi 2009. Semoga kita sama-sama dapat meneruskan perjuangan semata-mata untuk membantu ISLAM tanpa mengira apa jua latar belakang mahupun rentak pemikiran. Yang paling utama adalah dasar perjuangan adalah sama iaitu Al-Quran dan Sunnah. Kami yang merupakan mantan kepimpinan PMRAM akan tetap bersama kalian dalam mencurahkan bakti dan meneruskan agenda kebajikan untuk umat ISLAM sejagat.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, March 25, 2009

|| Gelanggang Muhasabah Kembali! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari yang dinanti-nantikan kini kembali. Rasanya seperti baru semalam penulis bersama rakan-rakan seperjuangan memandu kepimpinan PMRAM sesi 2008. Namun, masa itu tidak pernah menunggu kita. Setiap jarum saat dan minit yang bergerak mengubah jam terus berlalu seiring dengan perubahan siang dan malam membawa waktu semakin tiba ke penghujungnya. Yang berlalu tetap akan berlalu dan tidak akan berulang kembali. Yang jernih dijadikan pengajaran dan ditambah baik manakala yang keruh itu dijadikan sempadan supaya lebih berhati-hati di masa mendatang.


Tanpa disedari kurang lagi 24 jam penulis akan dihadapkan ke sidang perbicaraan mahkamah muhasabah tahunan PMRAM. Tahun ini merupakan tahun ke-2 penulis di dalam kepimpinan tertinggi mahasiswa di Mesir kemungkinan merupakan tahun terakhir penulis. Walau apapun yang bakal kami tempuhi dalam sidang perbicaraan pada hari esok, harapannya mahkamah muhasabah bukanlah bertujuan untuk menghukum kepimpinan. Akan tetapi sebagai satu muhasabah seterusnya dijadikan kayu pengukur untuk penambah baik kepimpinan PMRAM sesi 2009.

Saban tahun sudah pasti akan timbul variasi lontaran soalan yang bakal menyaksikan kematangan ahli PMRAM dalam bersama mempertahan PMRAM dari anasir-anasir luar yang sentiasa berusaha untuk melenyapkannya. Buat sidang perwakilan seramai hampir 700 daripada 5000 ahli PMRAM, kalian perlu sedar bahawa kalian merupakan wakil suara-suara ahli keseluruhannya. Sayugianya kematangan dalam mengajukan soalan tidak dipertikai lagi. Apa yang paling diharapkan, segala yang dilontarkan matang untuk menaikkan mutu gerak kerja dan perlaksanaan program yang lebih berkualiti dalam membentuk modal insan yang berkualiti.

Antara soalan-soalan yang tidak munasabah untuk ditanyakan seperti maksud akronim seperti PROSMA, Q, PESAT dan sewaktu dengannya yang boleh ditanya di luar muktamar. Selain itu juga soalan yang meminta kepada penjelasan seperti 'sejauh mana', 'setakat mana' juga seharusnya tidak dipanjangkan oleh ahli yang peka dengan setiap perjalanan program PMRAM sepanjang perjalanannya. Apa yang dititikberatkan di sini adalah persoalan berkaitan isu yang besar yang menganggu gugat PMRAM untuk diminta penjelasan. Paling utama, perbahasan usul yang perlu dibahaskan dengan lebih panjang dan lumat demi memastikan pentadbiran di sesi 2009 lebih cemerlang.


Tambahan sebagai langkah yang agak tegar untuk peringatan para perwakilan agar muhasabah yang bakal berlangsung biarlah muhasabah PMRAM secara umum dan elakkan dari menghentam kepimpinan yang terlantik. Lebihkan pada cadangan untuk kepimpinan sesi 2009 atas kekurangan yang terdapat pada kepimpinan yang tidak lali dari salah dan silapnya. Penulis dan sahabat seperjuangan juga manusia biasa yang terbatas dalam melakukan segala tugasan mengikut kemampuan kami memandangkan kami juga mahasiswa seperti kalian juga.

Di akhir coretan di detik-detik terakhir penulis yang bakal menduduki ruangan mahkamah muhasabah memohon jutaan kemaafan seandainya di sepanjang corat-coret penulis dengan kapasiti selaku kepimpinan mahupun pandangan individu terdapat sebarang kenyataan yang mengguris pelbagai pihak. Apa yang penulis rasakan benar dan bertepatan, penulis akan luahkan secara umum. Setiap pandangan manusia itu boleh diterima dan ditolak kerana manusia semuanya tiada yang bebas dari salah dan silap kecuali NABI SAW. Semoga sinar kemaafan sentiasa bersemi dalam hati dan sanubari kita.

Selamat bermuhasabah kepada seluruh sidang perwakilan. Juga selamat hadir menyaksikan sesi muhasabah yang terulung pada tahun ini kepada para pemerhati yang tidak dapat turut serta dalam muhasabah kali ini. Moga muhasabah yang bakal berlangsung sentiasa mendapat payungan rahmat dan barakah dari ALLAH serta dijauhkan dari sebarang perpecahan, permusuhan dan kepincangan sesama ahli. Perpaduan, kesatuan dan ukhuwah amat dititikberatkan dalam membentuk ummah ISLAMIAH yang kuat dan ampuh.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, March 24, 2009

|| Satu Penilaian : Sekatan Yang Tidak Bijak! ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Semalam rakyat Malaysia di luar negara yang mengikuti segala perkembangan isu semasa tanah air dikejutkan dengan satu tindakan drastik yang dilihat tidak muhasabah. Sekatan 2 buah akhbar alternatif selama 3 bulan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuatkuasa serta merta. Pengeluaran akhbar alternatif Harakah dan Suara KeADILan yang selama ini dilihat merupakan suara Pakatan Rakyat yang banyak mendedahkan sebarang laporan yang kurang disenangi oleh pihak kerajaan.


Apa yang dapat dilihat berdasarkan penilaian penulis melalui maklumat yang dinyatakan di dalam akhbar alternatif tersebut yang mana tiada sebab tertentu yang dinyatakan oleh KDN berkenaan dengan penggantungan akhbar utama Pakatan Rakyat itu. Melalui ulasan dan keterangan yang diberikan oleh editor dan wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat sekatan yang tidak bijak ini dilakukan untuk menghalang fakta kebenaran terkeluar dan bocor melalui suara alternatif ini.

Penilaian dan pengamatan penulis juga kebanyakan rakyat Malaysia yang memerhati suasana politik Malaysia yang bercelaru melalui tindakan tersebut amatlah tidak bijak. Ianya bertujuan untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat mengetengahkan maklumat yang tidak didapati melalui media arus perdana elektronik dan cetak. Yang mana media arus perdana seolah-olah berkomplot menaikkan Kerajaan Pemerintah dalam masa yang sama tidak mendedahkan kebobrokan dan kesalahan di dalamnya.

Tindakan yang serta merta tanpa sebab dalam masa yang sama dalam suasana politik yang banyak menekan pihak pembangkang kerajaan. Namun di sebalik tekanan dan sekatan yang tidak bijak itu sebenarnya membuka peluang kepada rakyat menghukum pihak yang menghalang demokrasi tidak seperti yang digembar-gemburkan. Yang sebenarnya tertekan berdasarkan kecelaruan di waktu ini adalah pihak kerajaan sehingga sanggup menyekat kemaraan lawannya bersama rakyat.

Penulis menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar selaku Ketua Penerangan PAS Pusat supaya pembaca yang mengetahui sesuatu maklumat yang tiada dalam arus perdana menyebarkannya. Secara sahnya kedua-dua akhbar utama alternatif tersebut berjaya disekat kemaraannya. Namun begitu dalam kecanggihan dunia tanpa sempadan di era ini rakyat Malaysia sudah celik IT dalam mendapatkan maklumat tidak menerima bulat-bulat dari media arus perdana yang dilihat berat sebelah.


Penulis tidak cenderung kepada mana-mana pertubuhan politik di Malaysia. Dalam konteks penulis terhalang daripada berkecimpung dalam sebarang pembawakan politik. Memandangkan persatuan pelajar induk di Mesir ini dilarang menceburinya sehinggalah penulis secara individu selepas berakhirnya Muktamar Sanawi kali ke-76 membolehkan penulis memperjuangkan suara kebenaran untuk memartabatkan ISLAM di mana sahaja.

Peringatan kepada para pendokong dan penggiat mana-mana pertubuhan politik sesungguhnya dunia sekarang merupakan dunia tanpa sempadan. Sekatan yang dilakukan pada sesebuah pertubuhan lebih-lebih lagi tidak bersebab sebenarnya membuka ruang kemenangan dan inkuiri kepada rakyat untuk mengetahui dengan lebih lanjut sebarang maklumat mengenainya. Dunia penyampaian maklumat semakin meluas. Tidak tertumpu pada media elektronik dan cetak semata-mata. Bahkan dilihat seolah-olah media alternatif di internet lebih dipercayai berbanding dua sebaran utama itu.

Pesanan untuk tatapan semua, supaya sesuatu tindakan yang dilakukan perlulah dipertimbang dengan sebaiknya dan bersebab. Sesuatu tindakan yang tidak bersebab bakal mengundang kemarahan dan natijah yang mengecewakan. Takut-takut laungan Sasterawan Negara, A. Samad Said agar rakyat menghukum kerajaan melalui peti undi menjadi kenyataan dengan tindakan drastik yang dilakukan. Semoga setiap pekerjaan yang kita lakukan sentiasa mendapat pimpinanNYA.


Salam perjuangan kebenaran untuk semua. Teruskan menggarab tinta keadilan dan mensasar bom perpaduan untuk umat ISLAM khususnya dan rakyat Malaysia umumnya!

Kata Muthaqqaf : Pintu-pintu kebenaran itu amat meluas. Usah di sekat suara kebenaran itu dari keluar dan masuk dari pintunya kerana kelak ianya akan memakan diri seandainya disekat kemaraannya. Ingatlah bahawa kebenaran itu adalah dari sisiNYA. Barangsiapa menghalangnya sayugianya DIA akan membuka pintu selainnya bagi memastikan kebenaran terus bermaharajalela.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, March 23, 2009

|| Lorong Cahaya ||

بسم الله الرحمن الرحيم

"Sesungguhnya perjuangan ini tidak akan pernah berhenti selagi mana ada dikalangan umat ISLAM itu memahami akan tuntutan dan kehendak dakwah. Sayugianya kita menjadi bijian tasbih yang tiada penghujungnya menyambung silsilah dakwah para utusanNYA sekalipun hingga menggadaikan nyawa..." -Muthaqqafazhari-


Sesak pandang mataku,
Gelap susur juangku,
Haru pipih kalamku,
Bersiur tutur langkahku.

Ke mana perginya ilhamku,
Ke mana hilangnya semangatku,
Ke mana lesapnya harapanku,
Dan ke mana lunturnya thabatku.

Tika ini bercelaru tinta,
Lorong berpintal simpang saksama,
Setiapnya ditabur kaca permata,
Lorong cahaya tuntutan atma.

Makin memuncak api jihadku,
Diharap istiqamah hiasi nadiku,
Pimpinan RABBULJALIL pintaku,
Redha disemat azimat kalbu.

Lorong cahaya jalan alfalah,
Memaku roh jasad untukNYA,
Merantai nafsu ILLA LILLAH,
Membatu hidup mati keranaNYA.

Moga cahaya nan indah,
Mewarnai jalur kehidupan,
Kembali kepada ALLAH,
MencintaiNYA juga UTUSAN.
______________________________________________________________

Muthaqqafazhari,
0200 pagi,
Masakin Othman,
Kaherah, Mesir.

Kata Muthaqqaf : Moga setiap langkah yang meyusul akan terus tetap untuk membela ISLAM dan menegakkan kebenaran deminya walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Dan yang paling utama moga dijauhkan setiap detik perjuangan ini dari futur dan melencong dari landasan yang diredhaiNYA. Berkatilah dan rahmatilah kami YA ALLAH! AMIN YA RABBAL ALAMIN.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, March 21, 2009

|| Jangan Membodohkan Diri! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Pertamanya, penulis mengucapkan puji dan syukur ke hadrat ILAHI yang masih sudi mengizinkan diri ini untuk meneruskan usaha dakwah yang dipundak kepadaku dan kami yang memikul panji-panji ISLAM. Bukan mudah untuk menyambung usaha gerakan dakwah ISLAMIAH sebagaimana yang pernah dilakukan oleh RASULULLAH SAW juga yang selepasnya. Untuk mengenggam kemanisan dalam perjuangan di sana pastinya banyak liku-liku perjalanan dan onak duri yang perlu dilalui. Penulis tidak terlepas dalam menempuh jalan tersebut.

Keduanya, penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang sudi memaut ke blog yang 'tak berapa panas' ini untuk mengkaji, menyelidik mahupun untuk menyiasat apa sahaja yang berkait rapat dengan diri penulis. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keterlibatan penulis secara aktif bersama persatuan di Mesir iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang amat disanjungi di mata mahasiswa di Mesir khususnya.

Pasti ada segelintir juak-juak yang tidak bersama dengan PMRAM bahkan yang sentiasa mencari titik permasalahan terhadap persatuan mahasiswa tertua ini kurang bersetuju dan sinis terhadap kenyataan yang penulis keluarkan. Apa yang penulis nyatakan adalah pandangan peribadi penulis terhadap pihak-pihak yang tidak meminati segala gerak kerja PMRAM. Barangkali, sesiapa yang banyak melibatkan diri dengan PMRAM semestinya sudah jelas mengenai perjuangan kebajikan yang PMRAM laungkan.

Cuma yang menjadi kebingungan penulis tatkala ada seorang yang tidak dikenali memauti blog penulis pada artikel yang tidak kurang panasnya bertajuk 'PMRAM Diboikot Atau Memboikot'. Tercetusnya entri tersebut selepas berakhirnya Muktamar PMRAM kali ke-75 yang lepas. Penulis pasti semua perwakilan yang hadir pada muktamar tersebut bahkan ahli PMRAM amnya faham secara jelas berkenaan usul yang dibahaskan ketika itu.

Yang menjadi persoalan, ketika mana seorang hamba ALLAH yang tidak dikenali (anynomous) menimbulkan isu akidah. Penulis tidak melihat bahawasanya 'si dia' seorang yang jahil agama memandangkan soalan yang dikemukakan menyentuh soal akidah! Ada ke patut ditanyakan soalan yang berbunyi begini :

Salam…
Knape lah saudara terpk andainye PMRAM takde.. takde org nk bela nasib melayu kat sini..
PMRAM ke ALLAH SWT yg bg rezeki??
Wassalam


Oleh yang demikian, penulis merasakan kepada mereka yang berkenaan 'jangan jadi bodoh!' seolah-olah orang yang jahil agama. Jelas dan maklum bahawasanya ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang yang memberikan rezeki dan segala nikmat! Bukannya PMRAM! PMRAM merupakan wakil kepada kerajaan Malaysia sebelum gesaan kepada kerajaan untuk mewujudkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan akhirnya PMRAM dibenci dan ditindas sehingga ke hari ini! Ingatlah bahawa PMRAM merupakan pemudah cara kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah semenjak kewujudannya dalam menguruskan urusan pelajar meskipun tidak diiktiraf dan dibenci oleh banyak pihak!


Fikir-fikirkan wahai sahabat-sahabatku sekalian. Jangan jadi bodoh sombong sehingga menafikan sumbangan PMRAM terhadap para mahasiswa selama mana keberadaan kita di bumi Mesir ini. PMRAM tidak pernah memusuhi sesiapa pun bahkan suka untuk memberikan sebarang kerjasama selagi mana tidak menyentuh isu-isu politik samada Malaysia mahupun Mesir. Akan tetapi PMRAM lah yang dimusuhi oleh banyak pihak atas perjuangan kebajikan yang dicanang-canang sejak sekian lama.

Meskipun begitu, PMRAM tetap akan terus berdiri dengan izin ALLAH SWT yang sentiasa menjaga sesiapa sahaja, kumpulan mana pun yang bergerak untuk membantu agamanya dalam membawa wadah ISLAM selagi mana Quran dan Sunnah menjadi dasar. Andai dasar yang diperjuang terpesong, maka lihatlah saat kejatuhannya akibat dari mengingkari dan memandang enteng dasar pemerintahan RASULULLAH SAW itu. Beringatlah barangsiapa yang meyalahi hukum ALLAH dan berpaling dari dasar syumul itu maka nantikan hukuman yang Maha Adil.

Ketiganya, baru sahaja sebentar tadi penulis menerima satu kenyataan yang begitu amat tidak layak untuk menggambarkan seorang mahasiswa Al-Azhar yang bakal mawarnai jalan-jalan dakwah di tanah air kelak. Manakan tidak, apabila penulis mengajukan satu persoalan kepada seorang adik junior berkenaan keterlibatannya terhadap program-program anjuran anak negeri. Apa yang cukup mengesalkan penulis apabila jawapan yang diberikan program tersebut membuang masa berbanding mengikuti kelas-kelas pengajian tafaquh.

Penulis sedar dan akui penulis bukanlah dikalangan mereka yang 'kaki talaqqi' di sana sini akan tetapi lebih aktif dalam persatuan pelajar. Perlu disedari bahawasanya kedua-dua elemen ini amatlah penting sebagai persediaan sebelum berangkat pulang ke tanah air. Bahkan ketika di tanah air kelak, bukan ilmu tafaquh semata-mata menjadi kepentingan, bahkan ilmu organisasi dan persatuan juga amat penting untuk memandu sebuah negara ISLAM yang dinamik dan membangun seiring dengan thaqafah, kebajikan serta moral yang tinggi.


Dalam masa yang sama, kepentingan berpersatuan merupakan suatu kepentingan untuk menyatukan umat ISLAM agar bernaung di bawah sebuah naungan ISLAM yang syumul jauh dari liberalisasi, ummah centric, komunisasi,sekularisasi, darwinisasi dan pelbagai lagi acuan pemikiran yang membawa kepada kesatu-paduan umat ISLAM. Segala anasir-anasir ini perlu dihapuskan demi kesejahteraan sejagat. Sayugianya perkara ini perlu diteliti bersama oleh seluruh think tanker mahasiswa ISLAM selaku pemangkin kepimpinan negara masa hadapan.


Satu muhasabah untuk penulis dan kita semua untuk mengembleng sepenuh tenaga, material, jiwa dan raga untuk merealisasikan impian ISLAM yang pernah digagaskan oleh RASULULLAH SAW suatu ketika dahulu kembali bersinar. Jangan nanti apabila disoal siasat di hadapan RABBULJALIL, barulah kita membisu sejuta kata yang menyentuh sumbangan terhadap ISLAM itu sendiri. Jadilah kita satu daripada jutaan mata rantai perjuangan menyambung silsilah perjuangan para utusan ALLAH untuk memartabatkan ISLAM di mata dunia.

Dan sebagai satu permulaan kepada sebuah perjalan seorang pejuang yang semakin rancak liku-likunya, penulis menyeru kepada diri penulis sendiri dan seluruh peledak perjuangan ISLAM di merata alam maya ini agar bersama kita kembali kepada usul. Kembali memasakkan niat terhadap segala perkara yang dilakukan dalam apa jua situasi adalah semata-mata untuk memberikan sumbangan untuk ISLAM. Untuk menyalurkan setitis pelincir bagi melicinkan enjin perjuangan ini. Moga ianya dikira sebagai amal soleh yang sedikit agar mampu untuk dijawab dihadapan ALLAH kelak.

Khatimahnya, penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang berkenaan yang sudi mengaktifkan kembali minda ini untuk mengutarakan butiran-butiran peledak sebagai pencetus kepada kebangkitan ISLAM. Ayuh bersama kita berganding bahu untuk membantu perjuangan ISLAM yang suci ini. Salam muhasabah tanpa noktah, salam perjuangan tanpa lelah, salam ukhuwah tanpa gundah.

Kata Muthaqqaf : Tidak dinafikan tujuan utama pemergian kita ke bumi Anbia ini adalah untuk menuntut ilmu dalam masa yang sama tidak sayugianya kita meninggalkan tuntutan berpersatuan untuk mengeratkan ukhuwah, memupuk kasih sayang dan perpaduan dan yang paling utama untuk mendaulatkan kembali ISLAM kembali ke persada. Jangan memandang rendah isu berpersatuan kerana ianya membawa kepada kekuatan daulah ISLAMIAH yang utuh.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa