Video Klip Pilihan

Monday, August 31, 2009

|| Kepulangan Yang Dinanti ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Segalanya adalah perancangan yang MAHA ESA. DIA yang menetapkan saya mengaji di Universiti Al-Azhar selama 5 tahun bukan 4 tahun seperti yang dirancang. DIA jugalah yang menentukan saya pulang lebih awal tanpa menyertai konvokesyen yang akan diadakan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah bersama Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Bukan di bawah anjuran pihak universiti sebagaimana kebiasaan universiti di Malaysia mahupun luar negara yang lain.

Apapun segalanya telah tertulis. Pulangnya saya ke Tanah Air ini memikul amanah ALLAH untuk mengajak masyarakat kembali kepada ISLAM yang sebenar. Bukan sahaja mereka bahkan diriku sendiri agar apa yang dipelajari selama 5 tahun tidak sia-sia. Inilah tugas utama orang yang mendalami agama. Mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari. Menterjemahkannya di medan sebenar setelah bertahun-tahun melalui peringkat teori.

Untuk itu, kepulangan ini amatlah dinanti-nantikan oleh masyarakat. Kesedaran ini sepatutnya bukan terbit dari dalam diri saya sahaja. Akan tetapi sewajarnya ia turut terbit dalam diri setiap individu yang telah bergelar graduan dan graduanita dalam jurusan pengajian ISLAM untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Kerjaya yang berlegar-legar di benak minda sememangnya perlu difikirkan untuk menstabilkan diri agar mampu berdikari mencari sesuap nasi untuk melalui hidup yang seterusnya. Akan tetapi adalah lebih penting untuk membantu ISLAM itu sendiri tanpa melengah-lengahkannya.

Berbakul-bakul kritikan sering dilemparkan kepada para graduan dan graduanita yang hanya terpekik terlolong lantang memperjuangkan ISLAM di alam mahasiswa. Namun apabila telah tamat pengajian dan berada di medan sebenar lain pula jadinya. Harap-harap sangat kita semua tidak tergolong dikalangan mereka yang dikritik dan dikecam hebat itu kerana 'cakap tak serupa bikin' suatu yg amat dimurkai ALLAH.


Alhamdulillah setelah selamat kembali ke pangkuan masyarakat pada tarikh 26 Ogos 2009, pada jam 1015 malam saya kuatkan semangat agar tujuan dan sasaran sebenar mendalami agama ALLAH ini tidak terpesong. Syukur kepadaNYA kerana dipinjamkan kekuatan buat diri ini untuk melaporkan diri kepada sebuah organisasi yang benar-benar memperjuangkan idealisme ISLAM berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah pada hari ini. Tidak lain iaitu Parti ISLAM SeMalaysia (PAS).

Berbekalkan ilmu yang masih cetek dan kekuatan yang ada saya akan menyumbangkan sepenuh bakti untuk ISLAM yang tercinta kerana ALLAH. DIA telah mentaklifkan kepada diri ini dan sahabat seperjuangan yang lain untuk meneruskan rantai-rantai perjuangan yang pernah dilalui oleh para NABI dan RASUL.

Terima kasih atas teguran keras dan kritikan hebat yang pernah dilontarkan kepada saya sebelum berlepas meninggalkan bumi Mesir agar membantu ISLAM di Malaysia dengan sepenuh tenaga tanpa menghiraukan segala macam ujian yang merupakan asam garam dalam perjuangan. Moga diri ini dan kita semua akan terus mendapat pimpinan dari ALLAH untuk terus menongkat perjuangan ini.

Buat sahabat yang telah dan akan pulang ke Malaysia ayuh bersama saya di barisan hadapan untuk membantu agama ALLAH agar terus dimartabatkan. Mulakan dari peringkat kawasan masing-masing untuk menyedarkan mereka berkenaan ISLAM. Laporkan diri anda dan bersedialah menerima sebarang tanggungjawab dan amanah yang bakal dipundak. Moga diberikan kekuatan.

Salam perjuangan buat diriku sendiri dan buat semua yang merasakan kewajipan ke atasnya. FI AMANILLAH!

Kata Muthaqqaf : Buat sahabat-sahabat di Selatan Tanah Air, sila lapor diri anda melalui Ketua Pemuda Johor, iaitu Saudara Khairul Faizi di talian +60197701830 atau Ketua Dewan Ulama Johor, iaitu Ustaz Abdullah Hussin di talian +60137771700 agar kita tidak tergolong dikalangan mereka yang tercicir di jalan ALLAH. Jangan lari dari medan peperangan! Jumpa di Tanah Air!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, August 25, 2009

|| Selamat Tinggal Mesir! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Ramadhan yang mulia untuk semua sahabat/sahabiah yang dirahmati ALLAH sekalian semoga sentiasa dalam pelukan redha dan cintaNYA.

Di sini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa, bantuan dan sokongan yang kalian berikan sepanjang saya bersama kalian di bumi Mesir ini tak kira di peringkat PMRAM, DPM mahupun BKAN, pengajian
ISLAM mahupun perubatan.

Jutaan kemaafan juga ku pohon sekiranya terdapat keterlanjuran bicara, perbuatan mahupun tindakan. Halalkan makan minum dan segalanya yg terjadi. Doakan semoga kejayaan menjadi milik kita bersama walau di mana jua kita berada untuk ISLAM, kerana ALLAH.

Teruskan berjuang untuk ISLAM walau di mana sahaja kita berada. Teruskan membantu PMRAM, BKAN dan DPM dalam menjalankan misi-misi mendaulatkan ISLAM. Seterusnya menyediakan golongan mahasiswa yang berketerampilan, berwibawa dan berani untuk mempertahankan ISLAM dan yang bersangkutan dengannya. Insyaallah saya akan bertolak pulang ke Malaysia pd jam 0350 pg, 26 Ogos 2009.

Moga
ALLAH thabatkan diri kita untuk terus bekerja menyumbang untuk ISLAM. Fi amanillah. Salam perjuangan untuk kita semua.

Sekalung penghargaan, jutaan terima kasih dan permintaan maaf andai ada hak-hak yang tak tertunai kepada :

- Universiti Al-Azhar dan seluruh tenaga pengajar yang sentiasa dirahmati
ALLAH.
- Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
- Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir (BKPJM).
- Badan-badan Kebajikan Anak Negeri yang lain.
- Dewan-dewan perwakilan Mahasiswa di Mesir (DPM).
- Persatuan Perubatan Mesir.
- Pejabat Kedutaan Besar Malaysia Di Mesir.
- Jabatan Penuntut Malaysia Di Mesir.
- Sesiapa sahaja yang pernah mengenali diri ini secara langsung ataupun tidak.


Kata Muthaqqaf : Yang patah akan tumbuh berganti. Begitu jugalah kehidupan kita sesama. Putaran hidup menetapkan akan ada yang pergi dan akan ada yang datang mengisi kekosongan. Usah bersedih. Kuatkan semangat dan ikatana ukhuwah sesama kita agar sentiasa terjalin indah di bawah naungan rahmat
ALLAH. Moga dipertemukan di lain kesempatan dan dihimpunkan bersama mereka yang dirahmatiNYA di akhirat kelak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

|| Rahmat Ramadhan : Anugerah Teragung ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak berbelah bahagi dipersembahkan kepada MAHA PENCIPTA yang sentiasa adil dan saksama tanpa jemu menurunkan rezeki buat hamba-hambaNYA meski hamba itu melakukan kemaksiatan kepadaNYA. Segala puji dan syukur hanya kepadaNYA juga kerana masih membenarkan jasad yang penuh dengan dosa ini berada dalam lembayung Ramadhan yang mulia untuk menyucikan diri.

Kini telah memasuki tanggal 4 Ramadhan kita berada di dalamnya untuk meneruskan siri-siri pentarbiyahan jiwa dan penyucian hati agar mampu membentuk peribadi mukmin yang sejati. Ini sejajar dengan saranan ALLAH melalui lakaran di dalam firmanNYA yang teragung.

Moga Ramadhan kali ini mampu melatih dan mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang sebenar-benarnya bertunjangkan Kitabullah dan Sunnah Nabawi. Hayati setiap titipan yang terkandung di dalam Ramadhan untuk lebih mendekatkan jiwa dan raga sepenuhnya hanya untukNYA. Sekadar sisipan sebuah lirik lagu yang menyenaraikan sekelumit daripada rahmat yang terkandung di dalam Ramadhan itu sendiri sebagai panduan kita bersama untuk berlumba-lumba mengejar redhaNYA
.

Bulan Ramadhan bulan yang mulia,
Bulan rahmat dan bulan berkat,
Bulan kebajikan pahala berganda,
Bulan keampunan doa diterima,
Bulan keampunan doa diterima.

Bulan Ramadhan quran diturunkan,
Untuk panduan hidup manusia,
Di dalamnya ada
Lailatul Qadar,
Kebaikan dibuat lebih dari seribu bulan.

Bulan Ramadhan pintu neraka ditutup,
Mereka yang diazab kubur direhatkan,
Iblis dan syaitan kakinya dirantai,
Sebagai memuliakan bulan Ramadhan.

Berlumba-lumbalah mencari keredhaan,
Puasa di siang hidupkan malam,
Banyakkanlah doa lebihkan sedekah,
Kawal diri daripada dosa-dosa,
Banyakkanlah doa lebihkan sedekah,
Kawal diri daripada dosa-dosa.

Beritikaflah di sepuluh akhir Ramadhan,
Jika ada peluang masa pun ada,
Kerana ia sunat yang digalakkan RASULULLAH tidak pernah meninggalkan.

Kerana ia sunat yang digalakkan RASULULLAH tidak pernah meninggalkan,
Ramadhan Ramadhan Ramadhan…. bulan rahmat.

Lirik nasyid Hijjaz rahmat Ramadhan http://liriksemualagu.blogspot.com/

Monday, August 24, 2009

|| Merenungi Sisa-sisa Waktu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebak terasa. Bagaikan ada sesuatu yang terlalu berat menghempap dadaku. Tidak pernah aku rasakan sebegini. Walaupun hanya 8 bulan kembali semula ke Bumi Mesir untuk melangsaikan 'hutang piutang' sebagai seorang mahasiswa. Alhamdulillah dengan izin
ALLAH berjaya juga aku merangkul label graduan yang amat-amat diharapkan oleh sesiapa sahaja yang menuntut di Al-Azhar Asy-Syarif.

Semua yang berjaya menempatkan diri melanjutkan pengajian di Gedung Al-Azhar ini berhasrat untuk menghabiskan pengajian yang ditetapkan selama 4 tahun dengan sebaiknya disamping ilmu-ilmu tambahan lain. Namun segala itu bukanlah kehendak kita untuk memastikan apa yang diimpikan itu terlunas dengan baik meskipun gemblengan usaha yang jitu telah dilakukan.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Mereka yang berada di dalam pendidikan Al-Azhar sahaja yang mengetahui bagaimanakah sistem pengajian dan suasana di sini. Orang luar boleh bercakap apa sahaja. Akan tetapi mereka tidak mengetahui betapa letih dan beratnya ujian menuntut ilmu di sini. Apapun segalanya kembali kepada diri kita sendiri yang menentukan masa hadapan kita dengan izin ALLAH.

Usahalah yang termampu bagi memastikan kejayaan yang cemerlang dalam akademik agar kembalinya ke pangkuan masyarakat mampu memimpin masyarakat mengenal ALLAH dan ISLAM dengan sebaiknya.

Itulah yang turut bermain di dalam benak mindaku. Adakah aku mampu memikul amanah yang telah terpundak di bahuku itu? Apakah aku mampu menghadapi ragam masyarakat yang bermacam kerenahnya menguji kesabaran pendakwah sekaligus menguji ilmu di dada? Tepuk dada, ketuk pintu hati tanyalah iman.

Sambil merenungi hari-hari yang berbaki bermacam-macam perasaan yang bermain. Bercampur baur antara sedih, gembira, gundah gulana, riang dan sebak. Di hati ini hanya ALLAH yang tahu apa yang difikirkan. Semoga dikuatkan semangat dan keazaman dalam diri ini untuk menempuh cabaran-cabaran yang menanti di hadapan. Segalanya telah tertulis sejak azali lagi mengajar kita erti redha dan berlapang dada selepas berusaha.

Wahai hati, terimalah setiap ketentuanNYA dengan penuh kegembiraan meskipun pahit untuk ditelan. Sememangnya ada perkara yang kita sukai akan tetapi ianya dibenci ALLAH dan juga sebaliknya. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Rancang, teliti punca masalah dan bersabarlah.

Tiada sesiapa yang menginginkan terjadinya sebuah perpisahan terjadi ke atas dirinya. Kemanisan sebuah pertemuan amat mendamaikan. Namun, kita tidak dapat menolak lumrah kehidupan yang telah diatur oleh ALLAH. Setiap sesuatu ada pasangannya. Begitu jugalah pertemuan telah dipadankan dengan perpisahan untuk melengkapkan kitaran hidup manusia.

Usah digemburkan perkara remeh ini kerana tugas yang amat berat sedia menanti di hadapan untuk dilunaskan. Semoga perpisahan yang terjadi akan lebih mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan ISLAM yang telah terjalin atas kalimah LAILAHA ILLAH MUHAMMADUR RASULULLAH.

Bentuklah rangkaian ukhuwah ISLAMIAH yang menyeluruh tanpa disempadani oleh perbezaan bangsa, bahasa, warna kulit mahupun negara yang akan menggagalkan misi menguatkan umat ISLAM untuk menuju pembentukan daulah ISLAM yang dimpi-impikan. Pesanan ini adalah untukku dan seluruh umat ISLAM agar menyedari hakikat kesyumulan ISLAM yang perlu dihayati bersama.

Kata Muthaqqaf : Terima kasih atas segala bentuk huluran ukhuwah yang kalian berikan kepadaku sepanjang 5 tahun menempatkan diri bersama masyarakat mahasiswa yang beraneka ragam. Sesungguhnya kenangan bersama kalian adalah sesuatu yang amat berharga sebagai bukti terjalinnya tuntutan ukhuwah ISLAMIAH yang dituntut oleh RASULULLAH SAW selama ini. Kukuhkan perpaduan, teguhkan kesatuan, utuhkan persaudaraan membentuk hati yang satu. Semoga dipertemukan di lain kesempatan dengan izinNYA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, August 21, 2009

|| Ramadhan : Sambutan, Muhasabah dan Rencana ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Penulis berdiri di sebelah iklan Majlis Ru'yah Hilal Ramadhan oleh Mufti Mesir, Sheikh Ali Jumuah.

Tiada kalimah yang mampu diungkapkan apabila diri ini masih berkesempatan untuk bertemu dengan dengan sesuatu yang tidak ternilai harganya dengan wang ringgit. Tiada siapa yang mampu menjangka mereka mampu dipertemukan kembali pada masa itu. Siapa menyangka ALLAH menerima doa yang sering kita panjatkan agar disampaikan pada masa itu setelah melalui 2 masa yang juga merupakan masa yang banyak kelebihan dan sejarah yang agung dalam ISLAM.

Ramadhan yang mulia, yang penuh dengan keberkatan, penuh dengan keampunan, penuh ketakwaan, penuh dengan keimanan, penuh dengan keinsafan bagi sesiapa yang menghayatinya. Sebulan diterima masuk di dalam Akademi Ramadhan cukup menggembirakan sebagaimana mereka yang diterima masuk Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Gang Starz dan sebagainya. Bahkan lebih dari itu.

Namun suasana tersebut, tidak terjadi di kalangan umat ISLAM mutakhir ini. Ramai yang menyambut kadatangan Ramadhan dengan keluhan yang panjang. Tidak kurang yang menerima kedatangan bulan mulia ini bagaikan tiada apa. Memandang pensyariatan puasa memenatkan, menganggu dan meyusahkan sahaja. Nauzubillahi min zalik. Semoga kita dijauhkan dari kalangan mereka yang tidak menghormati kemuliaan Ramadhan itu.

Ramadhan terkenal sebagai penghulu segala bulan. Penghulu yang dimaksudkan sebagaimana RASULULLAH SAW yang merupakan penghulu Para NABI dan RASUL yang dipenuhi dengan kemuliaan, keagungan, kelebihan dan ganjaran yang berlipat kali ganda. Perkara ini adalah berikutan Lailatul Qadr yang terdapat di dalamnya menyebabkan bulan ini menjadi penghulu segala bulan.

Ianya secara jelas termaktub di dalam surah Al-Qadr yang menggambarkan secara khusus berkenaan dengan Lailatul Qadr ini.

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan[1593]. {1} Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? {2} Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. {3} Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TUHANNYA untuk mengatur segala urusan. {4} Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. {5}"

[1593] Malam kemuliaan dikenal dalam bahasa Indonesia dengan malam Lailatul Qadr iaitu suatu malam yang penuh dengan kemuliaan, kebesaran, kerana pada malam itu permulaan turunnya Al Quran.


Sekadar ingin memulakan sebuah peringatan sesama insani, sesama muslim yang saling sayang menyayangi antara satu sama lain kerana ALLAH.

Seringkali kita akan memperlihatkan kelemahan, kesilapan dan keterlanjuran yang berlaku apabila telah selesai melakukan sesuatu perkara. Benar, dan tidak sekali-kali saya mengatakan ianya salah dan tidak sesuai dilakukan. Namun kita juga digalakkan merancang lebih awal bagi meminimakan kesilapan dan keterlanjuran yang semestinya berlaku dengan kawalan akal waras seorang yang bernama manusia.

Ramadhan dikenali sebagai bulan yang hanya dikhaskan antara hambaNYA yang bernama manusia dan ALLAH. Ini adalah disebabkan syaitan dan iblis yang kebiasaannya akan menganggu gugat keimanan manusia telah dibelenggu oleh ALLAH SWT. Perkara ini dijelaskan berdasarkan sabda RASULULLAH SAW yang bermaksud :

"Apabila masuknya bulan Ramadhan, maka akan dibukakan pintu-pintu di langit, di tutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan."

Sahih Bukhari, hadith 1809, Kitab Puasa : Adakah disebut Ramadhan atau Bulan Ramadhan?


Oleh yang demikian, pada bulan yang mulia itu tidak lain tidak bukan manusia itu akan berperang dengan nafsunya sendiri. Berlawan dengan hawa nafsu yang selama ini dibantu oleh bisikan syaitan dan iblis sehingga terjebak dengan sebarang perkara larangan yang jelas dimurkai ALLAH. Nafsu sememangnya akan mengajak kepada kejahatan seandainya tidak dididik dengan sebaiknya. Kitalah yang mencorak. Segalanya kembali kepada diri kita sendiri untuk menentukan yang baik dan buruk.

Justeru itu, adalah lebih baik seandainya kita menjalankan agenda muhasabah terhadap diri kita sebelum Ramadhan yang mulia menjelang tiba. Bersedialah lebih awal agar kedatangan Akademi Ramadhan yang bakal ditempuh selama sebulan dapat dilalui dengan tenang, damai dan khusyuk mengharap kepadaNYA.

Rencanakan sebuah jadual yang terbaik dengan membahagikan sebaiknya agenda-agenda yang tersusun melibatkan dakwah, ukhuwah dan ibadah. Isikan masa-masa yang terluang dengan zikrullah, istighfar, selawat, bersedekah, solat-solat sunat, qiamullail, tadarus Al-Quran dan ibadah-ibadah sunat yang lain. Sememangnya amalan-amalan sunat yang dinyatakan sebentar tadi sudah menjadi amalan harian kita bukan hanya dilakukan di bulan Ramadhan sahaja.

Seandainya itu yang terjadi, maka berazamlah untuk memastikan amalan tersebut menjadi darah daging kita sebagai tanda syukur kepada ALLAH. Apakah memadai kita mengucapkan syukur ALHAMDULILLAH qauliah(pengucapan) semata-mata tanpa disertai dengan fi'liah(perbuatan) sebagai bukti peningkatan kesyukuran kita.

Jadikanlah Ramadhan yang bakal menjelma sebagai medan didikan nafsu dan diri agar lebih mendekatkan diri kepada ALLAH. Perbaiki syakhsiah diri moga Ramadhan akan mengubahnya menjadi lebih baik dari sebelum kemunculannya. Ubahlah setiap keburukan kepada kebaikan yang boleh mendatangkan manfaat kepada umat manusia. Lakukan perubahan meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepadaNYA hanya keranaNYA. Andai selainnya, sia-sialah.


Pesanan ini adalah untuk diri saya sendiri terutamanya sebelum dilontarkan kepada sidang pembaca umumnya. Saya perlu bertindak terlebih dahulu sebelum kalian semua selepas menerbitkan artikel ini. Kecelakaan yang amat besar akan menimpa saya selaku orang yang memperkatakan tentang sesuatu perkara andai dirinya sendiri tidak melakukannya terlebih dahulu.

Semoga ALLAH memimpin hati-hati kita agar sentiasa berpaut hanya kepadaNYA dan bertaut amal bicara hanya untukNYA setiap saat, setiap masa. Dengan yang demikian itu, dengan izin ALLAH kita akan berbaris bersama mereka-mereka yang akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat ALLAH. Amin YA RABBAL ALAMIN.

Salam Ramadhan Mubarak buat semua. Kullu 'am wa antum bikhair.

Kata Muthaqqaf : Syukur kepada ALLAH masih memberikan kesempatan untuk menyambut Ramadhan di Mesir, bumi barakah ini sebelum kembali ke Tanah Air pada puasa yang ke-5 nanti. Moga didikan Akademi Ramadhan yang diterima selama berada di Ardil Kinanah terus mekar dalam ingatan meskipun telah jauh meninggalkannya. ALLAHUMMA INNAKA AFWUN KARIM TUHIBBUL AFWU FA'FU 'ANNA.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Wednesday, August 19, 2009

|| Tahniah dan Takziah : Kepimpinan BKPJM Sesi 2009/2010 ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Kepimpinan silih berganti. Saban tahun pertukaran tampuk kepimpinan pasti berlaku demi untuk memberikan ruang kepada orang lain menimba pengalaman dalam menguruskan sebuah organisasi yang tidak seindah mata memandang. Bebanan dari sudut tugas dan tanggungjawab yang diterima selaku kepimpinan dalam masa yang sama menjawat jawatan sebagai seorang penuntut ilmu ALLAH menongkat harapan masyarakat di Malaysia cukup mencabar keampuhan kendiri.

Namun saya yakin, berkat daripada sokongan para sahabat yang digerakkan hatinya oleh ALLAH untuk mencalonkan seseorang yang difikirkan layak. Seterusnya pangkahan dan undian yang ditentukan oleh seluruh ahli yang faqih, alim dan kenal kemampuan seseorang untuk memimpin sebuah entiti ISLAM yang kecil demi meneruskan agenda kebajikan.

Pilihanraya yang berlaku pada kali ini dibawah seliaan saya selaku Pengarah Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan (LKMAT) Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir pada awalnya cukup menakutkan kami. Terutamanya Suruhanjaya Pilihanraya yang masing-masing langsung tiada pengalaman dalam menghadapi pilihanraya yang amat sengit sehingga melibatkan calon Yang Dipertua yang tidak pernah lagi dipertandingkan sepanjang penubuhan badan kebajikan ini.


Ala kulli hal, segalanya mendapat pimpinan dan bantuan dari ALLAH hasil usaha dan tawakal yang tinggi kepada RABBUL JALIL memudahkan segala gerak kerja sehingga ke penghujungnya.

Sambutan Di Luar Jangkaan


Saya secara peribadi amat gembira dengan sokongan, dokongan dan sambutan yang amat memberangsangkan dari seluruh ahli di Kaherah mahupun cawangan-cawangan yang turun mengundi dan memberikan sepenuh semangat kepada kepimpinan. Meskipun jumlah AJKT yang separuhnya berada di Malaysia, tidak mematahkan semangat kepimpinan yang diketahui bebanan kerja yang menimbun ditambah lagi jawatan yang dipangku.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada kalian yang kuat dan masih bersemangat untuk menggerakkan jentera BKPJM dengan sepenuh tenaga.

Saya perhatikan seluruh AJKT dan HEWI hakikatnya tidak bersemangat untuk dimuhasabah kerja-kerja mereka. Namun setelah melihat kedatangan ahli yang amat memberangsangkan di luar jangkaan meniup kembali obor semangat agar terus berkobar untuk dimuhasabah demi untuk kemaslahatan kepimpinan sesi mendatang. Tampak senyuman masih mampu diukirkan untuk tatapan ahli demi meredakan ledak kesedihan di hati.


Saya bersama seluruh adhoc pelaksana LKMAT juga amat gembira dan terharu dengan sambutan yang diberikan seolah-olah segala usaha dan penat lelah yang dilakukan berbaloi demi memastikan LKMAT kali ini meriah. Kemungkinan pilihanraya bagi menentukan Yang Dipertua dan AJKT merupakan daya penarik kepada sambutan yang menggalakkan itu.

Di harap sokongan, sambutan dan bantuan yang sedemikian dapat diteruskan selepas ini dalam program-program seterusnya anjuran BKPJM demi memastikan ukhuwah, akhlak, kecemerlangan, thaqafah dan kesatuan sesama ahli dikekalkan. Bahkan harapan semoga seluruh ahli juga dapat menyokong dan meneruskan momentum ini terhadap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang sedia maklum peranannya kepada anak-anak Malaysia yang berada di perantauan ini.

Tahniah dan Takziah

Untuk akhirnya, sekalung penghargaan tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan baru BKPJM yang dipilih oleh ALLAH. Juga sekalung peringatan takziah atas amanah yang berat ini demi melunaskan agenda kebajikan yang terpundak dengan jayanya. Sesungguhnya segala perencanaan, muhasabah dan cadangan yang dilontarkan tidak akan mampu dilaksanakan andai huluran tangan-tangan yang bantu memudahkan segala susunan gerak kerja terealisasi.

Buat tatapan para sahabat pejuang agama, penuntut ilmu ALLAH sekalian agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada seluruh kepimpinan yang dipilih berpandukan petunjuk dari ALLAH itu sendiri. Baik kepimpinan PMRAM, BKAN, DPM bahkan negara kita sendiri selagi mana mereka yang dipilih oleh suara majoriti berlandaskan Quran dan Sunnah. Menurut ISLAM yang syumul tanpa meminggirkan juzuk-juzuk yang lain.

Seandainya mereka tergelincir dan terpesong dari landasan yang digariskan, maka tegurlah sebaik mungkin sebelum ditentang dan dilawan habis-habisan. Bentuklah akhlak ISLAMIAH dalam diri individu muslim bagi memastikan ISLAM diminati dan senang didekati oleh sesiapa sahaja yang memandang. Itulah impian yang terindah.


Bagi yang tidak dipilih oleh ALLAH untuk membantu agama ALLAH usah bersedih dan berkecil hati kerana ingatlah bahawa segalanya merupakan suratan dari ALLAH yang menentukan akan tiap sesuatu yang terjadi. Moga semangat yang kalian tunjukkan ketika berkempen, melaksanakan tugasan yang diberikan dapat diteruskan di hari mendatang.

Berakhir Dengan Harapan

Alhamdulillah, infiniti kesyukuran kepada ALLAHU RABBI atas segala pimpinannya membenarkan tulang empat kerat ini terus menaburkan bakti kepada sebuah badan kebajikan anak negeri, BKPJM yang banyak mengajar saya erti ukhuwah dan kasih sayang. Sebelum ini hampir 2 tahun saya hanya disibukkan dengan pentadbiran PMRAM sehingga tidak berkesempatan untuk menyumbangkan sesuatu untuk BKPJM.

Ditaklifkan sebagai Pengarah LKMAT sedikit sebanyak mengajarku erti sebuah perancangan yang dinamik demi memastikan segala perencanaan berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya. Bantuan dan teguran dalam gerak kerja meneguhkan lagi kesatuan sekaligus memupuk sifat pengorbanan, ikhlas dan berlapang dada antara satu sama lain. Sungguh ironi suasana yang terhasil.

Itulah program terakhir yang berjaya saya kendalikan dengan bantuan semua sahabat-sahabat sebelum diri ini pergi meninggalkan bumi barakah yang banyak mengajar erti kehidupan kepada insan kerdil ini. Bumi yang tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata melakar jutaan suka duka sebagai kenangan di hari kemudian. Yang keruh moga dapat diambil pengajaran dan tauladan sebelum ditinggalkan. Manakala yang jernih bersih dikekalkan dan diteruskan untuk dinikmati sejagat.

Sebagaimana ISLAM yang menjadi milik umat ISLAM diamanahkan untuk menjaga dan memeliharanya dari segala yang menganggu gugat, begitu jugalah sebuah persatuan dan gerakan yang menjadi wadah untuk menegakkan ISLAM perlu dijaga dan dipelihara bersama-sama. Bukanlah ianya terpundak pada bahu kepimpinan yang menjadi pengatur dan penggerak demi memastikan hala tuju matlamat sesebuah persatuan terarah.


Persatuan dan gerakan yang mengikut landasan Quran dan Sunnah adalah milik bersama yang perlu dipertahankan oleh semua invidu. Justeru kesedaran ini perlu diinsafi oleh semua bagi membentuk kesatuan dan perpaduan yang jitu dari seluruh ahli kepada persatuan dan gerakan itu.

Itulah harapan dan pesanan yang dapat saya nukilkan dari lubuk hati yang dalam sebelum berangkat pulang ke pangkuan masyarakat menuai segala benih ilmu yang diperolehi yang amat dinanti-nantikan. Moga hati ini akan terus thabat. Moga batang tubuh ini juga akan terus istiqamah dengan semangat yang disemai di bumi barakah untuk disiram dalam perjuangan menegakkan ISLAM di Malaysia kelak.

Doa, peringatan, kritikan dan teguran sinis kalian amatlah diharapkan agar diri ini mampu menongkat perjuangan sedia ada tanpa henti sehingga ke titisan darah yang terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir. Moga kita menyedari peranan masing-masing mengikut lapangan semasa dan kesesuaian keadaan dalam memperjuangkan yang hak bukan hanya menyibukkan diri dengan menuntut ilmu.

Kata Muthaqqaf : Keseimbangan dalam membahagikan masa di antara menuntut ilmu, urusan dakwah ISLAMIAH dan ibadah kepada ALLAH adalah perlu bagi memastikan kesinambungan ISLAM dapat dikekalkan seterusnya ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa