Video Klip Pilihan

Saturday, March 17, 2007

.:: Riwayat Teragung ; Qudwah Hasanah Sepanjang Zaman ::.


بسم الله الرحمن الرحيم

Selamat sejahtera meniti permulaan tinta penulisan ini buat sahabat-sahabat sidang pembaca para ilmuan sekalian. Semoga kalian semua sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan redha-Nya selama mana kita masih berpijak di dunia yang nyata ini. Selaut kesyukuran di ungkapkan kehadrat Ilahi, sang Maha Pencipta diatas segala limpahan nikmat terutamanya nikmat IMAN dan ISLAM sehingga kita masih mampu menghirup nikmat terbesar itu. Hamparan salam sejahtera dan selawat jua dihadiahkan kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W diatas segala pengorbanan yang tidak pernah jemu dan usaha yang tidak mengenal erti penat dan lelah dalam menyebarkan kebenaran Islam sehingga berjaya menawan kerasnya hati 2/3 daripada keseluruhan dunia. Sememangnya inilah tokoh masyarakat dunia bukan sahaja dalam Islam itu sendiri malah ianya turut menjadi tokoh pemimpin bagi seluruh agama dan Negara.

Hayatilah bersama firman Allah S.W.T :

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين ( الأنبياء : 107 )

Maksudnya : Tidaklah aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam (manusia dan jin).

Sirah Nabi Muhammad S.A.W.

Sebelum kita meniti lebih jauh dalam mengupas dan menyorot kredibiliti tokoh juga selaku utusan dari Allah S.W.T yang menjadi titik tolak kepada kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu, suka untuk penulis berkongsi bersama sidang pembaca sekalian kisah perjalanan hidup ataupun sejarah Nabi Muhammad S.A.W. Pemilihan Baginda dalam menyampaikan amanah dari Allah S.W.T cukup berat untuk digalas pada awal perlantikan menjadi Rasul ketika berumur 40 tahun bertempat di Gua Hira’. Sebelum dari itu lagi, Baginda memang sudah terkenal dengan sifat amanahnya (al-amin) ketika perebutan untuk meletakkan hajar al-as’ad (hajar al-aswad) oleh 4 ketua bagi 4 kabilah terbesar di Makkah pada ketika itu. Namun dengan kebijaksanaan dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Baginda pada ketika itu, dengan meletakkan batu tersebut di atas sehelai kain lalu dipegang 4 penjuru kain itu oleh 4 orang ketua setiap kabilah itu.

Dengan kata lain, sorotan perjalanan hidup Baginda merupakan sorotan perjalanan yang sangat menarik dan mempunyai daya tarikan contoh kepada golongan kuffar dari terus menyakiti ketinggian budi pekerti yang ditunjukkan oleh Baginda. Semasa kelahiran Baginda sendiri kita lihat terdapat tanda-tanda kerasulan dengan terpadamya api kaum Majusi, runtuhnya Istana Qisra Parsi, dan Makkah pada ketika itu diterangi cahaya putih yang bersinar. Selepas pertabalan kerasulan Baginda secara sah, maka semakin hebatlah serangan musuh Islam mengundang kepada hijrah Baginda bersama kaum muslimin ke kota Madinah membuka kepada satu lembaran baru untuk membina sebuah negara Islam yang sistematik, aman dan damai menjadi contoh dan tarikan negara lain kepada Islam sehinggalah tersebarnya Islam ketika tampuk kegemilangan pemerintahan Baginda. Sinar cahaya Islam yang dibawa bukan sahaja dari timur ke barat, bahkan meliputi hampir keseluruhan dunia utara, selatan, timur mahupun barat.

Kesabaran Dakwah Baginda.

Itu adalah antara tanda kerasulan yang telah ditunjukkan oleh Allah sebelum Baginda ditabalkan secara rasminya menjadi utusan Allah untuk menyebarluaskan agama suci ini dengan lebih giat lagi dan secara terang-terangan setelah sekian lama beginda dan sahabat-sahabat pada ketika itu berdakwah kepada Islam secara rahsia. Setelah menerima taklifan kerasulan yang berat untuk dipikul dari Allah S.W.T melalui malaikat Jibril A.S, dalam keadaan menggigil ketakutan Baginda pulang ke rumah lalu meminta Saidatina Khadijah menyelimutkannya. Selaku isteri yang memahami tugas yang baru diterima oleh suaminya, Saidatina Khadijah memberikan kata-kata semangat dan mendokong segala usaha dakwah Baginda. Membuatkan Baginda bertambah yakin untuk melaksanakan amanah yang dipundak. Dalam masa yang sama Baginda turut disokong oleh bapa saudara yang Baginda sayangi kerana banyak mempertahankan Baginda dari kecaman dan ancaman pihak pembesar Quraisy.

Sehinggalah pada kemuncak penyebaran dakwah Islam itu, Baginda diuji dengan dugaan yang sangat pahit untuk ditelan, perit untuk diluah kerana Allah S.W.T amat menyayangi orang yang turut disayangi oleh Baginda. Kembalilah Saidatina Khadijah R.A isteri kesayangan Baginda dan bapa saudaranya, Abu Talib yang banyak memberi sokongan dan mempertahankan diri Baginda dikala menghadapi tekanan dan ancaman. Namun itu semua tidak menjadi batu penghalang Baginda untuk terus thabat menyebarluas amanah risalah Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia dan jin sebagaimana dalam ayat di atas yang mana perutusan Baginda S.A.W ke muka bumi ini bukanlah kepada umat manusia sahaja, bahkan kepada umat jin juga kerana masyarakat jin adalah seperti manusia, ada yang cenderung ke arah kebaikan lantas menerima Islam dan ada juga yang sebaliknya. Begitu besar tanggungjawab yang dipikul oleh Baginda untuk memastikan amanah dari Allah S.W.T itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Tribulasi Perjuangan Baginda.


Sesungguhnya perjalanan dakwah Baginda tidaklah semudah seperti yang kita bayangkan. Perjuangan dakwah Baginda pada ketika itu memerlukan semangat yang tidak mengenal erti futur dan putus asa. Pengorbanan di jalan Allah merupakan satu cita-cita yang amat diimpi-impikan oleh para sahabat dan muslimin. Begitu besar nikmat ‘terkorban ‘ pada ketika itu yang tidak dapat kita kecapi pada waktu ini kerana factor-faktor perkauman yang begitu menebal dalam diri-diri setiap orang Islam. Inilah yang perlu dimuhasabahkan oleh semua pemimpin negara-negara Islam untuk menguatkan kembali kesatuan dan kesepaduan umat Islam yang kelihatan gah di zaman pemerintahan Baginda dan para sahabat Radiallahu Anhum Ajmain. Itulah sunnah orang berjuang yang memerlukan kekuatan dari segi jasadiah dan rohaniah untuk mencapai mardhatillah melalui bantuan jua kemenangan yang dikurniakan Allah kerana keimanan dan keyakinan yang utuh kepada-Nya.

Menelusuri sejarah, perjalanan dakwah dan liku-liku perjuangan Baginda yang penuh dengan tribulasi yang tidak mampu untuk kita bayangkan sekadar teori semata-mata.Begitu sukar perjalanan dakwah Baginda dalam mengembangkan ajaran Islam hingga menguasai hampir ke seluruh dunia. Berkat dari sifat-sifat terpuji yang ditunjukkan oleh Baginda menjadi ikutan para sahabat dan kaum muslimin berjuang dan berdakwah memperkembangkan agama di sisi Allah S.W.T sebagaimana yang termaktub di dalam Kalamullah Azza Wa Jalla. Firmannya :

إن الدين عند الله الإسلام ( البقرة : 19 )

Maksudnya : Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah S.W.T itu adalah Islam.

Baginda Sebagai Qudwah Hasanah.

Selaku umat Baginda, yang amat cinta dan sayang kepada Rasulullah S.A.W, kita seharusnya menjadikan Baginda sebagai role model dalam menjalani sepanjang kehidupan kita sehari-hari disamping memperbanyakkan pemberian ‘hadiah’ berupa selawat dan salam kepada Baginda bukanlah sedekah sebagaimana yang kita lakukan ke atas selain Baginda. Siapakah lagi yang akan menjadi penyelamat untuk kita dari terjerumus ke dalam neraka Allah S.W.T yang amat pedih melinkan Baginda? Bukankah Baginda sahaja yang mampu memberikan syafaatul uzma tidak kepada para Nabi dan Rasul yang lain? Allah S.W.T ada memuji Baginda yang memiliki ketinggian akhlak yang terpuji untuk menjadi ikutan (qudwah hasanah) kepada umatnya.

Firman Allah S.W.T :

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخير ( الأحزاب : 21 )

Maksudnya : Demi sesungguhnya untuk ikutan kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu satu ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Mardhatillah dan balasan baik di Akhirat kelak.

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya berselawat kepada Baginda sebagaimana Allah S.W.T dan para malaikat berselawat kepada Baginda. Allah S.W.T berfirman :

إن الله وملائكته يصلون على النبى يـأيها الذين ءامنوا صلوا عليه وسلموا تسليما ( الأحزاب : 56 )

Maksudnya : Sesungguhnya Allah S.W.T dan para malaikat berselawat ke atas Nabi S.A.W, Wahai orang-orang yang beriman kamu berselawat dan mohonlah kesejahteraan ke atas Baginda senantiasa.

Kaitan Dengan Perjuangan Hidup Agamawan Dan Umat Islam.

Setelah membicarakan secara penjang lebar mengenai perjuangan dan liku-liku perjalanan dakwah Baginda yang penuh dengan onak duri, oleh yang demikian, kita selaku mahasiswa/wi yang masih mendalami khazanah kekayaan ilmu Allah S.W.T yang tidak terhingga banyaknya dengan melakukan satu anjakan momentum untuk memperjuangkan agama Allah yang semakin hari semakin ditindas bukan sahaja dari musuh-musuh Islam malahan dari orang Islam sendiri yang kurang memahami tentang konsep dan ajaran Islam yang sebenarnya. Apa yang perlu bagi kita laksanakan adalah melakukan satu injeksi dengan meningkatkan keazaman untuk membela agama dan mengembalikan keizzahan Islam yang semakin dipandang enteng oleh segelintir golongan. Perlunya kita menanamkan dalam diri sifat cintakan Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W lebih dari segala-galanya dengan melaksanakan apa yang telah ditinggalkan kepada kita selaku pewaris para Nabi dalam apa jua sudut ilmiah mahupun dakwah dan perjuangan berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Sebenarnya tidak cukup bagi mahasiswa/wi yang selesai dalam pengajian agama lebih-lebih lagi sekadar menceburkan diri dalam lapangan kerjaya melalui bidang perniagaan ataupun pendidikan semata-mata. Akan tetapi sudah sampai pada peringkat ‘tidak boleh tidak’ bagi lepasan agamawan ini mengambil cakna dalam bidang dakwah untuk menerangkan secara telus kepada masyarakat Islam secara khusus dan mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sebenarnya bukanlah Islam pada nama sahaja. Dalam masa yang sama keperluan bagi lepasan agamawan untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada masyarakat bukan Islam secara umum bagi menghilangkan prasangka buruk mereka terhadap Islam. Inilah perjuangan yang perlu bagi kita laksanakan bersama demi Islam yang kita cintai.

Akhir kalam, bersamalah kita menghayati silsilah perjuangan Nabi S.A.W untuk dijadikan contoh kepada perjuangan kita pada zaman yang lebih mencabar ini. Tiada yang lebih berharga melainkan sebuah sejarah tokoh teragung untuk dijadikan batu loncatan bagi kita menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Tiada orang lain yang mampu melaksanakan tugas yang amat berat ini dengan pemahaman yang telus melainkan kita golongan agamawan yang memahami secara masak tentang perjuangan yang dicanang oleh Junjungan Besar S.A.W.



Disediakan Oleh,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa

No comments: