Video Klip Pilihan

Sunday, July 27, 2008

|| Di Saat Genting Ini ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Kecoh dan bingit di sana sini kedengaran suara-suara kegembiraan dengan penerimaan keputusan berkat hasil usaha perahan minda selama mendalami ilmu disemua peringkat. Tidak kurang juga ada diantara mereka yang terpaksa akur dengan ketentuan Maha Esa untuk mendalami dengan lebih serius pada tahun berikutnya. Itulah sunnah dan suasana yang perlu diterima kepada mereka yang ingin menuntut ilmu di bumi Anbia yang dipenuhi dengan pelbagai mehnah.

Apa yang pastinya, di saat genting sebegini merupakan saat-saat yang benar-benar menguji sejauh mana kesabaran hamba-hambaNya setelah berusaha yang terbaik. Berhempas pulas tanpa mengira malam dan siang demi memberikan natijah yang terbaik kepada keluarga. Setiap individu inginkan yang terbaik dalam setiap amal pekerjaan mereka lebih-lebih lagi untuk memastikan harapan keluarga dan agama itu mampu direalisasi.

Bagi yang telah berada di tangga terakhir dalam diploma pengajian masing-masing seperti penulis semestinya mengimpikan kejayaan yang gemilang untuk berbakti apabila pulang ke tanah air kelak. Begitu juga penuntut di tangga yang lain mengharapkan kejayaan menyelubungi diri bagi meneruskan salasilah rantaian perjuangan para ulama menyampaikan manfaat ilmu. Dalam masa yang sama meniti langkah untuk menggapai kedaulatan Islam dengan berdirinya kembali khilafah Islamiah.

Berdebar hati penulis menantikan detik yang bakal menentukan hala tuju seterusnya samada meneruskan jejak langkah menuju tangga kejayaan yang lebih tinggi atau sebaliknya berada di peringkat yang sama bagi mendalami dan mempelajari ilmu dengan lebih serius. Di saat ini masih belum nampak tanda-tanda yang menunjukkan keputusan peperiksaan bagi fakulti penulis akan keluar.

Menurut maklumat yang thiqah yang diperolehi daripada pihak universiti, keputusan yang bakal keluar adalah secara berperingkat bermula dengan Fakulti Bahasa Arab kamudian diikuti dengan Fakulti Usuluddin dan Syariah Islamiah bagi peringkt Kaherah. Pada ketika ini mahasiswa tahun 1 dan 2 Fakulti Bahasa Arab telah menerima keputusan hasil titik peluh mereka akur dengan ketentuanNya.

Kata Muthaqqaf : Tatkala ini merupakan saat-saat genting untuk bersama akur menerima segala keputusan yang bakal menjengah menguji emosi setiap jiwa di luar kawalan. Semoga Allah memberikan ketabahan yang indah dengan ketahanan jiwa yang cekal menerima segala keputusan Ilahi yang bakal menentukan segala perancangan sedia ada berubah bila-bila masa bergantung pada situasi yang tersebut.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: