Video Klip Pilihan

Thursday, February 19, 2009

|| Ke Pangkuan Ilmu... ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Pejam celik, pejam celik, musim kuliah bagi semester kedua telah pun bermula. Rasanya seperti baru semalam selesai imtihan bagi semester yang pertama. Manakan tidak, kesibukan tanggungjawab seharian sebagai pemegang amanah selepas selesai imtihan melenyapkan kerehatan yang diperuntukkan dalam musim cuti semester pertama itu. Sebaiknya musim cuti yang telah berlalu dimanfaatkan dengan mengikuti kelas-kelas pengajian luar kuliah sebagai ilmu tambahan. Tahniah kepada mereka yang berjaya mengisinya dengan penuh bijaksana wajar diteruskan meskipun telah memasuki sesi pengajian semester yang kedua.

Setiap individu azhari terutamanya dan azhariah tidak terkecuali untuk memenuhi tuntutan semasa di tanah air yang mengharapkan modal insan mutadayyin (kuat pegangan agamanya) yang berilmu pengetahuan yang luas dalam bidang yang diceburi. Bahkan mampu menguasai ilmu-ilmu lain sebagai aset tambahan yang bernilai tatkala berhadapan dengan masyarakat yang ketagih ilmu agama yang komprehensif dan waqi'iah (menepati arus perdana). Semoga kita sama-sama mampu mempersiapkan diri kita dengan penuh tanggungjawab dan daya kemampuan yang maksimum.

Di kesempatan yang ada ini juga penulis mengingatkan diri penulis sendiri dan seluruh penuntut-penuntut ilmu ALLAH walau di mana jua keberadaan kalian agar menjalankan amanah dengan sebaiknya. Sama-sama kita susuri pengajian di semester pengajian kedua ini dengan penuh dedikasi, konsisten dan bersemangat dengan mengutip mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan. Dalam masa yang sama, usah lupa untuk mengingatkan dan mengajak sahabat-sahabat yang kita sayangi turut serta memeriahkan pembukaan pengajian kuliah semester kedua ini.

Semoga dengan kesungguhan dan ketekunan yang luhur yang lahir dari sanubari setiap penuntut ilmu menatijahkan sebuah kejayaan yang membanggakan keluarga demi ISLAM, semata-mata kerana ALLAH jua. Sama-sama kita kembali ikhlaskan niat dan tujuan asal kita menuntut ilmu tanpa mengkesampingkan tuntutan lain yang amat diperlukan sebagai add-value apabila pulang ke tanah air kelak. Gemblengan yang berterusan perlu untuk memastikan modal insan yang bernilai mampu tercipta dalam menongkah tribulasi akhir zaman yang kian membimbangkan.

Kata Muthaqqaf : Selamat menempuhi pengajian semester kedua buat seluruh penuntut ilmu di Perlembahan Nil ini khususnya dan seluruh pelusuk benua dunia amnya. Semoga rahmat, taufiq, hidayah, inayah dan ri'ayahNYA sentiasa mengiringi setiap langkah penuntut ilmu sehingga ke hembusan nafas yang terakhir.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: