Video Klip Pilihan

Saturday, March 21, 2009

|| Jangan Membodohkan Diri! ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Pertamanya, penulis mengucapkan puji dan syukur ke hadrat ILAHI yang masih sudi mengizinkan diri ini untuk meneruskan usaha dakwah yang dipundak kepadaku dan kami yang memikul panji-panji ISLAM. Bukan mudah untuk menyambung usaha gerakan dakwah ISLAMIAH sebagaimana yang pernah dilakukan oleh RASULULLAH SAW juga yang selepasnya. Untuk mengenggam kemanisan dalam perjuangan di sana pastinya banyak liku-liku perjalanan dan onak duri yang perlu dilalui. Penulis tidak terlepas dalam menempuh jalan tersebut.

Keduanya, penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang sudi memaut ke blog yang 'tak berapa panas' ini untuk mengkaji, menyelidik mahupun untuk menyiasat apa sahaja yang berkait rapat dengan diri penulis. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keterlibatan penulis secara aktif bersama persatuan di Mesir iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang amat disanjungi di mata mahasiswa di Mesir khususnya.

Pasti ada segelintir juak-juak yang tidak bersama dengan PMRAM bahkan yang sentiasa mencari titik permasalahan terhadap persatuan mahasiswa tertua ini kurang bersetuju dan sinis terhadap kenyataan yang penulis keluarkan. Apa yang penulis nyatakan adalah pandangan peribadi penulis terhadap pihak-pihak yang tidak meminati segala gerak kerja PMRAM. Barangkali, sesiapa yang banyak melibatkan diri dengan PMRAM semestinya sudah jelas mengenai perjuangan kebajikan yang PMRAM laungkan.

Cuma yang menjadi kebingungan penulis tatkala ada seorang yang tidak dikenali memauti blog penulis pada artikel yang tidak kurang panasnya bertajuk 'PMRAM Diboikot Atau Memboikot'. Tercetusnya entri tersebut selepas berakhirnya Muktamar PMRAM kali ke-75 yang lepas. Penulis pasti semua perwakilan yang hadir pada muktamar tersebut bahkan ahli PMRAM amnya faham secara jelas berkenaan usul yang dibahaskan ketika itu.

Yang menjadi persoalan, ketika mana seorang hamba ALLAH yang tidak dikenali (anynomous) menimbulkan isu akidah. Penulis tidak melihat bahawasanya 'si dia' seorang yang jahil agama memandangkan soalan yang dikemukakan menyentuh soal akidah! Ada ke patut ditanyakan soalan yang berbunyi begini :

Salam…
Knape lah saudara terpk andainye PMRAM takde.. takde org nk bela nasib melayu kat sini..
PMRAM ke ALLAH SWT yg bg rezeki??
Wassalam


Oleh yang demikian, penulis merasakan kepada mereka yang berkenaan 'jangan jadi bodoh!' seolah-olah orang yang jahil agama. Jelas dan maklum bahawasanya ALLAH SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang yang memberikan rezeki dan segala nikmat! Bukannya PMRAM! PMRAM merupakan wakil kepada kerajaan Malaysia sebelum gesaan kepada kerajaan untuk mewujudkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan akhirnya PMRAM dibenci dan ditindas sehingga ke hari ini! Ingatlah bahawa PMRAM merupakan pemudah cara kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah semenjak kewujudannya dalam menguruskan urusan pelajar meskipun tidak diiktiraf dan dibenci oleh banyak pihak!


Fikir-fikirkan wahai sahabat-sahabatku sekalian. Jangan jadi bodoh sombong sehingga menafikan sumbangan PMRAM terhadap para mahasiswa selama mana keberadaan kita di bumi Mesir ini. PMRAM tidak pernah memusuhi sesiapa pun bahkan suka untuk memberikan sebarang kerjasama selagi mana tidak menyentuh isu-isu politik samada Malaysia mahupun Mesir. Akan tetapi PMRAM lah yang dimusuhi oleh banyak pihak atas perjuangan kebajikan yang dicanang-canang sejak sekian lama.

Meskipun begitu, PMRAM tetap akan terus berdiri dengan izin ALLAH SWT yang sentiasa menjaga sesiapa sahaja, kumpulan mana pun yang bergerak untuk membantu agamanya dalam membawa wadah ISLAM selagi mana Quran dan Sunnah menjadi dasar. Andai dasar yang diperjuang terpesong, maka lihatlah saat kejatuhannya akibat dari mengingkari dan memandang enteng dasar pemerintahan RASULULLAH SAW itu. Beringatlah barangsiapa yang meyalahi hukum ALLAH dan berpaling dari dasar syumul itu maka nantikan hukuman yang Maha Adil.

Ketiganya, baru sahaja sebentar tadi penulis menerima satu kenyataan yang begitu amat tidak layak untuk menggambarkan seorang mahasiswa Al-Azhar yang bakal mawarnai jalan-jalan dakwah di tanah air kelak. Manakan tidak, apabila penulis mengajukan satu persoalan kepada seorang adik junior berkenaan keterlibatannya terhadap program-program anjuran anak negeri. Apa yang cukup mengesalkan penulis apabila jawapan yang diberikan program tersebut membuang masa berbanding mengikuti kelas-kelas pengajian tafaquh.

Penulis sedar dan akui penulis bukanlah dikalangan mereka yang 'kaki talaqqi' di sana sini akan tetapi lebih aktif dalam persatuan pelajar. Perlu disedari bahawasanya kedua-dua elemen ini amatlah penting sebagai persediaan sebelum berangkat pulang ke tanah air. Bahkan ketika di tanah air kelak, bukan ilmu tafaquh semata-mata menjadi kepentingan, bahkan ilmu organisasi dan persatuan juga amat penting untuk memandu sebuah negara ISLAM yang dinamik dan membangun seiring dengan thaqafah, kebajikan serta moral yang tinggi.


Dalam masa yang sama, kepentingan berpersatuan merupakan suatu kepentingan untuk menyatukan umat ISLAM agar bernaung di bawah sebuah naungan ISLAM yang syumul jauh dari liberalisasi, ummah centric, komunisasi,sekularisasi, darwinisasi dan pelbagai lagi acuan pemikiran yang membawa kepada kesatu-paduan umat ISLAM. Segala anasir-anasir ini perlu dihapuskan demi kesejahteraan sejagat. Sayugianya perkara ini perlu diteliti bersama oleh seluruh think tanker mahasiswa ISLAM selaku pemangkin kepimpinan negara masa hadapan.


Satu muhasabah untuk penulis dan kita semua untuk mengembleng sepenuh tenaga, material, jiwa dan raga untuk merealisasikan impian ISLAM yang pernah digagaskan oleh RASULULLAH SAW suatu ketika dahulu kembali bersinar. Jangan nanti apabila disoal siasat di hadapan RABBULJALIL, barulah kita membisu sejuta kata yang menyentuh sumbangan terhadap ISLAM itu sendiri. Jadilah kita satu daripada jutaan mata rantai perjuangan menyambung silsilah perjuangan para utusan ALLAH untuk memartabatkan ISLAM di mata dunia.

Dan sebagai satu permulaan kepada sebuah perjalan seorang pejuang yang semakin rancak liku-likunya, penulis menyeru kepada diri penulis sendiri dan seluruh peledak perjuangan ISLAM di merata alam maya ini agar bersama kita kembali kepada usul. Kembali memasakkan niat terhadap segala perkara yang dilakukan dalam apa jua situasi adalah semata-mata untuk memberikan sumbangan untuk ISLAM. Untuk menyalurkan setitis pelincir bagi melicinkan enjin perjuangan ini. Moga ianya dikira sebagai amal soleh yang sedikit agar mampu untuk dijawab dihadapan ALLAH kelak.

Khatimahnya, penulis mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang berkenaan yang sudi mengaktifkan kembali minda ini untuk mengutarakan butiran-butiran peledak sebagai pencetus kepada kebangkitan ISLAM. Ayuh bersama kita berganding bahu untuk membantu perjuangan ISLAM yang suci ini. Salam muhasabah tanpa noktah, salam perjuangan tanpa lelah, salam ukhuwah tanpa gundah.

Kata Muthaqqaf : Tidak dinafikan tujuan utama pemergian kita ke bumi Anbia ini adalah untuk menuntut ilmu dalam masa yang sama tidak sayugianya kita meninggalkan tuntutan berpersatuan untuk mengeratkan ukhuwah, memupuk kasih sayang dan perpaduan dan yang paling utama untuk mendaulatkan kembali ISLAM kembali ke persada. Jangan memandang rendah isu berpersatuan kerana ianya membawa kepada kekuatan daulah ISLAMIAH yang utuh.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: