Video Klip Pilihan

Sunday, March 15, 2009

|| Salam Muhafazah! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terjangkau dek akal dipanjatkan ke hadratNYA atas segala macam nikmat dan kurniaan yang dikurniakan kepada diri ini dan kita semua sehingga ke hari ini. Nikmat iman dan ISLAM yang tidak termampu untuk dinyatakan dengan kata-kata mahupun perbuatan. Sungguh bertuah barang sesiapa yang memilikinya. Jadilah hamba yang bersyukur untuk menandakan kita hamba yang benar-benar menghargai setiap nikmat yang dikurnia.

Sebagaimana yang dirancang dan disusun, alhamdulillah perancangan tersebut bertepatan dengan perancangan ALLAH. Lawatan pimpinan PMRAM yang terdiri dari Badan Pengurus dan AJKT HEWI ke 8 buah cawangan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi yang menempatkan mahasiswa-mahasiswa Malaysia berjaya dilaksanakan dengan jayanya selama hampir seminggu. Penulis selaku Ketua Lajnah Muhafazah merakamkan jutaan terima kasih atas segala komitmen dan kesungguhan yang dilakukan oleh setiap AJKT dan ahli di cawangan dalam menyambut dan meraikan kedatangan kami.

Lawatan yang bermula pada 9 Mac 2009 menyaksikan pertembungan 3 buah cawangan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) iaitu Damietta, Damanhur dan Tanta. Penulis terpaksa membahagikan kepimpinan yang seramai 30 orang Badan Pengurus dan AJKT HEWI menyebabkan tidak semua pimpinan dapat bersama ahli di sesebuah DPM. Bahkan penulis selaku Ketua Lajnah Muhafazah sendiri terpaksa berada di Damietta memandangkan penulis merupakan Badan Pengurus Angkat DPM tersebut. Jutaan kemaafan penulis pinta daripada ahli di 2 DPM kerana tidak dapat bersama-sama kalian.

Lawatan pada hari kedua diteruskan pada 10 Mac 2009 di DPM Shibin El-Kom yang turut mendatangkan penulis bersama 3 orang sahabat pimpinan dalam memenuhi agenda 'Slot PMRAM' bagi program mereka. Ketidak hadiran baki pimpinan yang lain berikutan kesibukan seluruh pimpinan untuk menghadapi Ijtima' Umumi PMRAM yang bakal berlangsung pada 26 Mac 2009 ini. Berbaki 11 hari lagi masa untuk penulis menuntaskan segala amanah yang masih belum tertunai.

Hari ketiga, 11 Mac 2009 menyaksikan penulis hanya bersama seorang sahabat pimpinan Badan Pengurus ke DPM Shoubra untuk bersua muka, bersoal jawab, bermuhasabah dan memberikan cadangan kepada kami untuk dibawa kepada pimpinan akan datang. Banyak cadangan dan soalan bagi mendapatkan penjelasan yang kami terima daripada ahli. Akan tetapi terlalu kurang muhasabah yang diutarakan terhadap PMRAM dalam apa jua sudut. Sebagaimana yang dinyatakan oleh salah seorang sahabat pimpinan bahawa kekuatan dan keteguhan sesebuah organisasi itu tidak lari daripada sebarang salah dan silap utk dimuhasabah lantas diperbaiki.

Pada hari keempat, 12 Mac 2009 sekali lagi menyaksikan pertembungan 2 DPM diantara Iskandariah dan Mansurah memaksa penulis hanya berada di salah satu DPM sahaja. Setelah menimbang berdasarkan beberapa faktor, maka penulis terpaksa ke Iskandariah bersama 2 orang Badan Pengurus dan 5 AJKT HEWI. Manakala di Mansurah menyaksikan 4 orang Badan Pengurus yang diketuai oleh Presiden PMRAM sendiri berserta 4 AJKT HEWI. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar sebagaimana yang disusun.

13 Mac 2009, hari Jumaat merupakan hari usrah yang tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang program kecuali usrah dan menjurus ke arah pembentukan syakhsiah mahasiswa ISLAM yang muttaqin.

Setelah seharian berehat mengecas semula semangat dan tenaga untuk dikerah kembali pada hari terakhir, 14 Mac 2009 ke DPM Zaqaziq yang meletakkan 'Slot PMRAM' selepas Asar. Meski pada permulaan slot, semangat agak merudum akan tetapi lama kelamaan seluruh ahli melontarkan segala yang disasarkan dalam lawatan kali ke-2 ini.

Apa yang agak menarik pada lawatan kali ini, keterlibatan sahabat-sahabat dikalangan perubatan yang menuntut di beberapa DPM seperti di Tanta, Zaqaziq, Mansurah dan Iskandariah menampakkan keberhasilan usaha DPM. Usaha untuk mengintegrasi antara mahasiswa pengajian ISLAM dan perubatan berjaya dilakukan berdasarkan resolusi SEJAK DPM ke-15 pada 2006 yang lalu. Berkat kesabaran dan kegigihan seluruh pihak demi memastikan tiada jurang perbezaan yang wujud diantara mahasiswa Muslim meskipun berbeza jurusan pengajian.

Terima kasih kepada semua ahli, yang turut sama mengembleng tenaga, fikiran dan material dalam membantu PMRAM demi memastikan PMRAM dan DPM seiring dan selangkah membawa wadah ISLAM yang syumul menghapuskan norma-norma blok kenegerian dan perbezaan pengajian dari terus bermaharajalela dikalangan mahasiswa di bumi Mesir ini. Selagi mana seorang mahasiswa itu beragama ISLAM, maka tidak seharusnya elemen kenegerian dan pengajian disemai.

Penulis selaku Ketua Lajnah Muhafazah sesi 2008 yang bakal melepaskan jawatan bagi memberikan laluan kepada pimpinan yang baru sesi 2009 juga merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih atas segala bantuan yang dihulurkan. Seandainya diri ini tidak akan mampu bergerak secara bersendirian. Diri ini tidak kuat untuk menempuh ujian yang bermacam tanpa sokongan dan dokongan dari kalian semua. Tanpa kalian siapalah saya untuk berdiri menggalas pikulan amanah yang gerun untuk diterima kerana bakal di soal siasat kelak.

Teruskan menyokong, mendokong dan menyalurkan sebarang bentuk bantuan demi melancarkan sebarang agenda program yang bermanfaat untuk ahli sebagai keperluan tambahan selaku seorang da'ie. PMRAM cukup dikenali sebagai sebuah persatuan yang banyak membantu mahasiswa di bumi Anbia demi meneruskan cita-cita murni ISLAM. Kalian yang menilai sejauh mana keberkesanan dan keselarian program-program yang PMRAM laksanakan adakah memenuhi tuntutan ISLAM atau bercanggah. Buatlah pilihan yang tepat.

Kata Muthaqqaf : Salam muhafazah, salam perjuangan, salam ukhuwah dan salam kejayaan di dunia dan di akhirat buat semua sahabat-sahabat. Moga kita sentiasa dikurniakan ketetapan iman dan istiqamah dalam amar makruf dan nahi mungkar menuju pembentukan sebuah khilafah ISLAMIAH yang diimpi-impikan oleh semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

DzuLagiL said...

nak join...

Muthaqqaf Azhari said...

erm... ingtkn nk komen apa tadi... ces...:P