Video Klip Pilihan

Monday, April 06, 2009

|| Benarlah Kata Tun... ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Ungkapan 'Melayu mudah lupa' memang cukup popular di cuping-cuping telinga bangsa Melayu. Ungkapan yang diungkapkan oleh 'negarawan' yang dikira banyak berjasa mempromosikan nama Malaysia di persada. Ianya tidak dapat disangkal lagi hatta penulis yang berada di Mesir, nama beliau turut meniti di bibir masyarakat Mesir ini. Bahkan berjilid-jilid kitab yang menceritakan berkaitan kehidupan dan pemerintahannya yang lantang memperkatakan berkaitan isu-isu
ISLAM dan mengkritik mana-mana negara dan pemimpin dunia suatu ketika dahulu.

Itu dahulu. Akan tetapi hakikatnya setelah penurunan beliau daripada takhta Perdana Menteri yang ke-4 dan diganti dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi ternyata banyak pembohongan dan keburukannya terbongkar. Bahkan diakui dan disahkan oleh beliau sendiri mengenai beberapa kesalahan dan kejahatan yang dilakukan ketika zaman pemerintahannya selama hampir 22 tahun. Akhirnya beliau sendiri yang lantang mengkritik Perdana Menteri yang dilantik oleh beliau sendiri sehingga bertindak keluar dari UMNO kerana beberapa tindakan Tun Abdullah yang tidak disukainya.

Akan tetapi setelah kejatuhan reputasi BN/UMNO selepas PRU12 lepas dan penurunan Tun Abdullah dari takhta pemerintahan negara dan digantikan dengan anak Perdana Menteri yang ke-2 beliau bertindak kembali ke pangkuan UMNO. Ianya berikutan pertukaran tampuk pemerintahan yang lebih memihak kepada beliau dalam merealisasikan segala yang tidak dilaksanakan pada zaman Tun Abdullah.

Kini tatkala hampir dengan pilihanraya kecil dua bukit iaitu Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah serta Batang Ai di Sarawak menyaksikan penyertaan beliau berkempen untuk memenangkan calon BN/UMNO. Apabila berkempen di atas pentas utama dihadapan ribuan ahli, pastinya masing-masing akan menghentam parti lawan dengan apa cara sekalipun bagi meyakinkan rakyat calon mereka lebih bagus. Perkara ini merupakan asam garam dalam berkempen dalam mana-mana parti di dunia.

Apa yang menariknya pada kempen beliau mengenai dakwaan beliau berkenaan isu 'pohon derhaka' yang dilakukan oleh calon PAS di Bukit Gantang, Datuk Ir. Mohd Nizar Jamaluddin. Isu ini sengaja dibangkitkan untuk meraih sokongan rakyat mengundi calon BN/UMNO dan menolak calon PAS. Apa yang penulis boleh nyatakan di sini, ini merupakan permainan politik. Pelbagai isu yang akan dimainkan untuk menghasut minda rakyat agar menyokong calon mereka. Kronologi berkenaan kecelaruan di Perak kita semua sedia maklum melalui penyebaran media cetak dan elektronik yang seimbang daripada media arus perdana dan alternatif seterusnya dinilai melalui kesahihan maklumat dan sandaran perundangan yang diperuntukkan kepada kemelut tersebut.

Di saat-saat telur di hujung tanduk ini, mereka memainkan kembali isu mencabar imuniti Raja-raja Melayu seolah-olah sepanjang 50 tahun UMNO/BN memerintah Malaysia langsung tidak pernah mereka menderhaka kepada Sultan. Seandainya disorot kembali sejarah politik di Malaysia, tertulis dengan banyaknya siri-siri penderhakaan yang dilakukan. Paling banyak dan besar penderhakaan tersebut yang berlaku pada pemerintahan Perdana Menteri Malaysia ke-4. Beliau sendiri yang menyatakan penderhakaan tersebut akan tetapi beliau lupa.

Benarlah kata beliau bahawa 'Melayu mudah lupa'. Hakikatnya manusia yang ALLAH ciptakan sejak azali lagi memang mudah lupa. Apatah lagi apabila usia semakin meningkat dan kedutan di muka semakin menonjol. Namun perkara itu tidak disedarinya bahkan beliau menyangka pengaruh yang kuat dahulunya masih seperti dahulu. Dunia sudah berubah, rakyat sudah bijak dan cerdik dengan drama yang dilakonkan oleh juak-juak UMNO setelah 50 tahun memerintah. Ingatlah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya terjelepok ke tanah juga. Sepandai-pandai kalian menipu rakyat, akhirnya tersungkur ke pintu neraka juga.

Sebaiknya perkara ini dinilai dengan sedalam-dalamnya dengan keterbukaan yang seluas-luasnya bukan rigid kepada fanatik kepartian semata. Utamakan yang terutama untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan pemahaman ISLAM yang syumul dan menolak fahaman-fahaman yang kolot. Segala provok yang diuar-uarkan sewajarnya ditimbang dengan semasak-masaknya tanpa menuding kepada pihak yang tertentu dek kerana sang yang berkata wira negara seolah-olah segala yang dikatanya benar belaka dan suci dari salah silap.

Buat renungan rakyat Malaysia yang cerdik, bijak pandai dan mampu menilai baik buruk, buatlah penilaian yang terbaik. Nilailah dengan neraca pemikiran yang waras disuluh dengan acuan ISLAM berpandukan Quran dan Sunnah kerana wadah politik yang sebenar adalah yang berlandaskan ISLAM. Konsep inilah yang sepatutnya difikirkan oleh semua rakyat Malaysia yang beragama ISLAM tanpa mengira bangsa, keturunan dan pangkat. ISLAM itu agama yang universal. Bukan bermakna apabila ISLAM memerintah, maka mereka yang bukan ISLAM terhalang untuk menganuti agamanya. ISLAM tidaklah sezalim yang difikirkan seandainya dipelajari sebenar-benarnya.

Akhir coretan, penulis hanyalah seorang pemerhati sebagaimana sahabat-sahabat penulis yang lain. Penulis juga mempunyai prinsip dan pegangan yang teguh untuk diperjuangkan. Selagi mana sesebuah parti, persatuan, pertubuhan dan organisasi itu dibangunkan atas landasan Quran dan Sunnah, maka selagi itu jugalah penulis akan tetap teguh memperjuangkan aspirasi ISLAM itu walau di mana sahaja keberadaan penulis. Tidaklah sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak memperjuangkan agamanya melebihi dari perjuangan bangsa dan negaranya!

Bukanlah faktor masyarakat majmuk yang berbilang kaum itu menjadi penyebab tidak diperjuangkan wadah ISLAM itu sendiri. Kesatuan umat ISLAM amatlah diharapkan demi menjamin kekuatan ISLAM daripada terus ditindas dan diceroboh juak-juak musuh ISLAM laknatullah! Berikut dipaparkan nukilan artikel yang disiarkan daripada akhbar Harakahdaily online untuk dinilai bersama memandangkan perkara ini tidak disiarkan di dalam akhbar arus perdana hari ini. Salam perjuangan. ISLAM untuk semua dan untuk dihayati bersama.

Mahathir: Si tikus derhaka yang kononnya membela raja
Ahmad Tajdid
Mon | Apr 06, 09 | 3:35:16 pm MYT

SEORANG perwakilan Umno daripada Pulau Pinang mengejutkan perhimpunan agung Umno pada tahun 1991 dengan pertanyaan sinis: "Siapakah tikus yang sanggup menggantungkan loceng di leher kucing."

Dewan Merdeka PWTC tempat berlangsungnya perhimpunan agung Umno itu tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Masing-masing perwakilan yang sebelumnya bersorak-sorai apabila Raja-raja Melayu dihina dan dipermain-mainkan sepanjang tiga hari perhimpunan itu berlangsung mula berasa seram sejuk.

Sepanjang tiga hari, perhimpunan Agung Umno tahun itu berubah menjadi 'sidang penderhakaan' terbesar Melayu terhadap Raja-rajanya. Tidak cukup dengan kata-kata nista dan cemuhan yang dilemparkan terhadap Raja-raja Melayu, media massa pro-Umno juga turut menyiarkan ucapan-ucapan perwakilan dan pemimpin Umno yang mengecam dan mempersendakan Raja-raja.

Matlamatnya satu, mahu perlembagaan dipinda bagi membataskan kuasa dan menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu.

Dato' Zainal Abidin Sakom, wakil Umno Selangor yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar waktu itu menjadi wira dalam perhimpunan itu. Beliau tanpa segan silu dan tidak beradab menyerang peribadi Sultan Selangor. Zainal turut menyerahkan senarai salah laku Sultan Selangor kepada Dr Mahathir untuk didedahkan kepada rakyat.

Penderhakaan terbuka Zainal menaikkan semangat para perwakilan Umno. Satu demi satu aib Raja-raja Melayu didedahkan dan keaiban-keaiban ini disiarkan oleh media elektronik pro-Umno secara langsung dan media cetak pro-BN keesokan harinya.

Bagaimanapun cerita tikus dan kucing oleh perwakilan Umno Pulau Pinang itu tiba-tiba mengecutkan perut para perwakilan yang sebelum itu begitu biadap dan celupar menghina istana.

Tiada seorang pun perwakilan Umno yang berani menyahut cabaran perwakilan Umno itu sehinggalah ucapan penangguhan Presiden.

Dan ketika memberikan ucapan penangguhannya Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad (Dato' Seri) dengan beraninya berkata: "Ada perwakilan yang bertanya siapa tikus yang berani menggantung loceng di leher kucing... Jawapannya kamilah... Kami yang berada di atas pentas ini (Ahli Majlis Tertinggi Umno)."

Maka bersorak-sorai para perwakilan Umno meraikan keberanian Dr Mahathir itu. Hasilnya satu Resolusi 4 Perkara telah diluluskan Perhimpunan Agung Umno untuk mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.

18 tahun kemudian

Lapan belas tahun kemudian, di Bukit Gantang; Dr Mahathir yang baru dua hari menyertai Umno mencerca calon PAS, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin kerana kononnya menderhaka kepada Sultan Perak.

"...'Saya pohon derhaka'. Cukup special. Tidak pernah dengar perkataan ini sejak (peristiwa) Sultan Mahmud mangkat dijulang, inilah kali pertama kita dengar," kata Mahathir dihadapan ribuan penyokongnya.

"Kalau tidak bersetuju (kepada raja), kita tidak bersetuju, OK. Tapi jangan sampai kata mohon menderhaka. Wah, bukan main, besar," kelentong Dr Mahathir.

Tidak payahlah rasanya untuk kita mengulas kenyataan 'negarawan' itu. Sejarah panjang pentadbiran Mahathir sudah cukup untuk menyaksikan peri derhakanya beliau kepada Raja-raja Melayu.

Cuma dikesalkan adalah kelompok Melayu penyokong Umno di Bukit Gantang yang masih bersorak-sorai menyokong Dr Mahathir, si tikus tua yang kononnya masih punyai aura untuk memartabatkan Umno dan BN.

Sungguh benar kenyataan Dr Mahathir... "Melayu mudah lupa"._


Kata Muthaqqaf : Gunakan akal cerdikmu dalam setiap tindakan. Perhatikan sekelilingmu secara saksama. Adillah dalam setiap hukuman yang diberikan. Bersikap baiklah sesama manusia walau berbeza ideologi dan akidah selagi tidak menyentuh soal agamamu. Buatlah pilihan yang terbaik demi agamamu. ISLAM penyelesai segala masalah.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

suara emas said...

salam bro..sihat...lawat2 lah blog sy...
zafran..

Mohd Rasul Bin Amat said...

salam bro...
alhamdulillah shat...
insyaallah slalu dh melawat... :)