Video Klip Pilihan

Sunday, February 11, 2007

.:: Dugaan dan Pujian : Ala Bizikrillahi Tatmainnul Qulub ::.


Salam ukhuwah berbunga kembang mewangi. Setinggi-tinggi kesyukuran ditujukan kehadrat Ilahi yang memberikan selaut nikmat tanpa batasan ke atas hambaNya yang hina lagi dina ini. Sehampar hiasan selawat dan salam ku hadiahkan buat Junjungan Agung S.A.W yang mencurahkan segala tenaga, masa jua hayatnya terhadap Islamnya umat yang disayangi Baginda S.A.W demi melaksanakan amanat yang diberikan oleh KEKASIHnya yang dirindui sentiasa yang bertahta paling tinggi dalam hidup baginda yang senantiasa takut akan kemarahan-Nya. Demikian jugalah bagi diri kita yang sewajarnya mengikut asuhan dan cara hidup Baginda S.A.W yang melengkapi seluruh cawangan kehidupan dari atas hingga ke bawah, dari hidup hingga ke mati, dari individu hinggalah ke pentadbiran sebuah negara.

Sesungguhnya dalam perjalanan hidup manusia ini sememangnya tidak lari dari ujian, masalah, tanggungjawab jua pujian yang datang bertubi-tubi. Ianya datang dari setiap sudut tanpa mengira masa, tempat jua ketika jua kita berada. Seandainya kita menghayati impak disebalik dugaan yang dihamparkan terhadap hamba-hambaNya ini adalah satu wasilah yang mana akan memberikan kita sebuah pengalaman, keinsafan, kematangan jua keindahan hidup yang diciptakan Ilahi untuk menguji ciptaanNya. Setiap dugaan itu adalah perangsang untuk kita supaya segera kembali dan memperbanyakkan rasa syukur dengan dugaan jua pujian yang didatangkan lagi dan lagi. Maka seharusnya kita perbanyakkanlah pujian yang sebanyak-banyaknya sebagai tanda kita hamba yang mensyukuri setiap nikmatNya.

Cabaran jua pujian dan segala yang datang itu perlulah ditempuhi dengan tenang, tabah jua bersemangat tanpa jemu dan bosan dengan mehnah Ilahi itu. Sesuai dengan firman Alah S.W.T didalam Al-Quranul Karim :

ولنبلونكم من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين

البقرة : 155

Dalam ayat yang lain Allah Azza Wa Jalla turut menerangkan mengenai situasi tersebut, firmanNya :

الذى خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا

الملك : 2

Kita selaku manusia yang lemah ini memang tidak dapat lari dari segenap perkara yang datang silih berganti tanpa henti untuk menguji hamba-hambaNya. Dengan itu, maka Allah S.W.T telah menunjukkan satu jalan untuk mencapai ketenangan dan sentiasa bersangka baik terhadap Rabbul Izzati juga banyak dari peninggalan Mutiara Agung S.A.W yang pelbagai dalam memberikan satu jalan yang terbaik untuk menghadapi dan menangani segala tribulasi yang mendatang. Dirakamkan dalam Kalamullahul Karim :

وتطمئن قلوبهم بذكر الله ، ألا بذكر الله تطمئن القلوب

الرعد : 28

Sebaik-baiknya kita selaku hambaNya yang sentiasa memerlukan pimpinan jua tunjuk arah yang terbaik mengikuti setiap sunnah Ilahi yang telah ditetapkan jua sunnah Nabi S.A.W yang melengkapi setiap lapangan kehidupan insani di alam maya ini. Bersama-samalah kita mempertingkatkan amalan ruhiyah sebagai perisai tambahan jua amalan badaniah yang turut membantu dalam melayari kehidupan yang penuh onak dan durinya. Segala yang meliputi kebaikan dan kebajikan adalah milik Allah S.W.T manakala hal kecacatan mahupun keburukan datangnya dari kelemahan diri yang faqir ini. Akan tetapi segalanya yang berlaku itu adalah mengikut kehendak dan ketentuanNya. Semoga kehidupan ini diteruskan dengan sebaik-baiknya menurut acuan yang dituntut.

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa


No comments: