Video Klip Pilihan

Wednesday, February 14, 2007

.:: Valentine Day : Menurut Kacamata Islam ::.


Nukilan dari sahabat friendster (Hariz)

UCAPAN seperti Happy Valentine’s Day, Will You Be My Valentine serta pemberian hadiah jambangan ros merah, belon berbentuk hati yang tertera I Love You, malah sehingga sanggup bertatu adalah antara sebahagian cara yang popular acap kali tibanya Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada setiap 14 Februari.
Sebagai seorang Muslim, mungkin kita tertanya lagi, mengapa perayaan memperingati cinta itu dilarang? Apa salahnya kita bercinta, sedangkan Islam tidak melarang umatnya bercinta dan berkasih sayang antara satu sama lain?

Menurut Pembantu Profesor, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Malaysia (UIAM), Gombak, Dr. Adibah Abdul Rahim, setiap bangsa mempunyai perayaan mereka tersendiri. Perayaan-perayaan ini disambut berdasarkan sebab tertentu, sempena dan matlamat berbeza.

Perayaan dalam Islam adalah ibadat, ia telah ditentukan cara dan penghayatannya. Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda: Setiap kaum ada perayaan. Bagi kaum ini (Islam) juga ada hari-hari perayaannya, iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. (riwayat Bukhari dan Muslim)

"Oleh itu, apabila kita hendak merayakan sesuatu, kita mestilah merayakan perayaan itu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah. Jadi perayaan Hari Kekasih jelas merupakan acara yang jauh tersasar, bercanggah dan tiada kaitan dengan agama Islam,” katanya.

Pada dasarnya hari ini hanya berdasarkan kepada kepercayaan animisme (kepercayaan bahawa setiap benda ada semangat) yang bersumber daripada paganisme (kepercayaan karut) orang musyrik. Apatah lagi, Hari Kekasih ialah penghormatan kepada seorang paderi Kristian.

Kalau melihat kepada sejarahnya, ia adalah satu budaya kotor, songsang dan mengandungi unsur-unsur negatif. “Malah ia adalah budaya hidup Barat dengan bertopengkan kasih sayang dan percintaan. Malah tambah membimbangkan, ia boleh membawa kepada kerosakan akidah umat Islam,” tegas Adibah. Mengikut kepercayaan yang berdasarkan taklid (mengikut sesuatu itu membuta-tuli tanpa mengetahui asal usul, latar belakang dan sejarah budaya itu).
Rasulullah s.a.w. melarang umatnya daripada mengikut tatacara beribadat selain Islam. Contohnya, cara merayakan perayaan yang tidak bersumberkan Islam. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa meniru satu kaum maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Riwayat Tirmizi)

“Ia diperjelaskan lagi dalam kitab karangan Ibnu Taimiyah yang mengatakan, perayaan adalah satu kaedah utama yang membezakan adat dan undang-undang antara satu kaum dengan kaum yang lain. “ Jadi perayaan adalah amalan yang paling menonjol bagi sesuatu bangsa. Oleh itu, kalau kita bersetuju untuk merayakan perayaan mereka itu, bererti kita bersetuju ke arah perkara kemungkaran dan kekufuran,” tambahnya.

Corak perayaan Hari Kekasih adalah simbol kepada cara hidup golongan bukan Islam. Secara tidak langsung mereka yang merayakannya, seolah-olah mengiyakan dan bersetuju perbuatan-perbuatan keji yang menjadi intipati perayaan tersebut.


“Golongan Muslim yang ikut serta tanpa ada inisiatif untuk menghentikannya juga adalah sebahagian daripada mereka,” kata Adibah. Kata beliau lagi, hal ini turut ditanggung bagi mereka yang terlibat secara tidak langsung seperti berjual-beli dengan perkara-perkara berkaitannya, mengucapkan selamat, menghadiri program hiburan yang bersempena dengan hari itu. Ia seolah-olah kita turut sama mempromosikan hari tersebut, itu juga adalah perbuatan terlarang.

Firman Allah bermaksud: ...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan...... (Al-Maidah : 2)

Semoga penerangan dan penjelasan yang tidak seberapa ini mampu memberikan satu perubahan dan pemahaman yang jelas untuk kita lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu amalan dan adat samada bersesuaian dengan syariat yang dibawa Junjungan Besar S.A.W ataupun ataupun bercanggah lebih-lebih lagi di era globalisasi yang semakin hebat goncangannya terhadap agama Islam yang kita cinta ini.

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


No comments: