Video Klip Pilihan

Sunday, July 15, 2007

.:: Tips Berhadapan Kemungkinan Mendatang ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum W.B.T dan salam hormat buat semua sidang pembaca sekalian...
Dikesempatan ini saya sekadar ingin berkongsi kepada kalian semua bakat, pengalaman dan ilmu yang telah dikurniakan Allah kepada diri yang lemah lagi hina ini. Apakah yang mungkin sedang bermain diminda dan atma kalian semua terutamanya sahabat-sahabatku yang sedang menantikan keputusan bagi usaha setelah hampir setahun berada di Universiti Al-Azhar dalam pengajian masing-masing. Inilah detiknya yang dinanti-nantikan penentu kepada sebuah usaha yang jenuh digembleng. Apapun keputusan yang bakal menjenguk tirai penantian ini, sudah pastinya turut mengundang pelbagai suasana dan perasaan yang berkecamuk terutamanya seandainya kita dipertemukan dengan kegagalan.(Nauzubllahi min zalik)

Jadinya di sini ada beberapa tips yang sempat saya gariskan buat tatapan kita bersama berdasarkan pengalaman keberadaan saya di 'Gerbang Ilmu' ini juga melalui bancian daripada sahabat-sahabat senior yang lebih lama dan berpengalaman dalam selok belok situasi tersebut. Semoga ianya sedikit sebanyak memberikan kita injeksi pemangkin untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang masih samar-samar kelibatnya. Berikut antara tips yang boleh dikongsi bersama :

TIPS BAGI MEREKA YANG MEMPEROLEHI KEPUTUSAN YANG MEMBERANGSANGKAN :
  • Perbanyakkan bersyukur dengan ucapan hamdalah dan laksanakan sujud syukur.
  • Berjumpa dengan sahabat-sahabat yang mengajar dan ucapkan terima kasih atas kefahaman mereka.
  • Ucapkan terima kasih juga pada guru-guru di Maahad/pengajian terdahulu yang memberikan kefahaman awal terhadap ilmu.
  • Khabarkan berita gembira kepada keluarga terutamanya dan ucapkan terima kasih atas sokongan dan dokongan mereka.
  • Berjumpa dan ucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat 'study group' yang banyak membantu dalam memahami sesuatu subjek yang dipelajari.
  • Jangan lupa juga untuk menanyakan khabar keputusan kepada sahabat-sahabat anda dengan mengucapkan tahniah kepada yang berjaya dan berikan sepenuh sokongan kepada yang diuji dengan kegagalan. Itulah sahabat yang Islam gariskan.
  • Perbanyakkan mengingati Allah dan elakkan bangga diri, takbur dan ujub dengan kejayaan yang diterima.
  • Elakkan diri dari terjebak dengan maksiat dan dosa yang akan mengikis keberkatan ilmu yang diperolehi sekaligus menjauhkan diri dari rahmat Allah.
  • Berdoa setiap selepas solat semoga ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk peperiksaan akan tetapi melekat di minda untuk disampaikan kepada orang lain.
  • Elakkan berpuas hati dengan kejayaan yang diperolehi dan lipat gandakan usaha mendalami ilmu yang berterusan.
  • Amalkan setiap ilmu yang dipelajari dapat mengelakkan daripada ilmu tersebut hilang begitu sahaja tanpa dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
TIPS BAGI MEREKA YANG MEMPEROLEHI KEPUTUSAN YANG TIDAK MEMBERANGSANGKAN :
  • Perbanyakkan mengingati Allah terhadap segala musibah yang melanda.
  • Niatkan kegagalan yang menimpa diri adalah sebagai satu peluang yang Allah berikan untuk kita mempelajari ilmu dengan lebih mendalam dan tersirat hikmah disebalik semua itu.
  • Elakkan diri dari berprasangka buruk terhadap ketentuan Allah sebaliknya berimanlah dengan sepenuh hati terhadap ketentuan qada' dan qadar-Nya.
  • Merasai kegagalan yang menimpa diri adalah salah satu tanda kasih sayang Allah terhadap kita sebagaimana kalam Saidina Ali Karamallhu Wajhahu.
  • Memasangkan niat menuntut ilmu adalah semata-mata kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah bukanlah kerana sijil, kerjaya atau material lainnya.
  • Elakkan diri dari berasa terasing dari rahmat Allah dan mengasing diri dari orang lain akan tetapi berusaha menyembunyikan kegagalan yang menimpa sebagai satu pemangkin usaha mendalami ilmu yang berterusan.
  • Jauhkan diri dari terjebak dengan sebarang perkara ke arah kemaksiatan dan dosa yang memberikan impak yang besar kepada ilmu yang diperolehi sekaligus menjauhkan diri dari rahmat Allah.
  • Elakkan dari berputus asa dengan rahmat Allah bahkan lipat gandakan usaha untuk memperolehi kejayaan kerana Allah secara khusus dan Islam secara umum.
  • Teruskan berdoa, memohon ketetapan iman disamping usaha yang berterusan dan akhirnya bertawakal. Semoga Allah menerima permohonan tersebut.
Sesungguhnya Allah itu tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Setiap yang menimpa diri orang yang beriman sememangnya mempunyai hikmah yang tersendiri. Semakin bertambah keimanan seseorang itu, maka semakin hebatlah ujian dan dugaan yang bakal diterima berdasarkan kepada martabat iman mereka. Dan tidak dinafikan iman umat akhir zaman adakalanya naik dan adakalanya turun mengikut amalan dan ibadah yang dilaksanakan.

Sebaik-baiknya kita yang memahami Al-Quran dan Al-Hadith itu memahami penilaian yang Allah campakkan pada kita selaku orang yang mendalami agama berbeza dengan orang kebanyakan. Itulah yang sebaik-baiknya kita fikirkan terhadap ujian yang menimpa diri kita. Perkasakan ilmu, tingkatkan thaqafah. Semoga dengan itu kita mampu menghadapi tribulasi mendatang dengan tarbiyah yang kita perolehi melalui sistem pengajian di Universiti Al-Azhar terutamanya dan pusat pengajian lain umumnya. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: