Video Klip Pilihan

Thursday, July 19, 2007

.:: Tuntutan Mempelajari Ilmu Falak Syar'ie ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah yang Maha Esa atas limpah rahmat dan hidayahnya yang berterusan kepada mereka yang taat setia kepada-Nya. Selawat dan salam yang tidak jemu dilisankan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W atas segala usaha penat lelah yang telah dilakukan. Juga sekalian para sahabat, para pengikutnya selepas zaman sahabat seterusnya pengikut kepada pengikut selepas para sahabat yang penuh dedikasi dalam mewarisi segala beban dakwah dan ilmu demi memastikan generasi Islam seterusnya terus gemilang dalam menegakkan syiar di muka bumi dengan jayanya. Barakallahu wa radaillahu alaihim ajma'in.

Pada hari ini saya ingin mengupas dan membincangkan salah satu ilmu Islam yang semakin lama semakin sirna sebagaimana ilmu faraidh yang mana kelebihan dalam menguasai ilmu ini hanyalah dianugerahkan Allah kepada mereka yang terpilih sahaja. Ini kerana dengan kesibukan dunia tanpa sempadan dalam meraih pelbagai keperluan hidup yang tiada berkesudahan. Ilmu yang saya maksudkan adalah ilmu Falak Syari'e atau mudah difahami ilmu cakerawala yang mengkaji perihal perjalanan matahari, bulan dan bintang. Kalau dilihat dari sudut relevannya seolah-olah tiada kepentingan bagi mereka yang kurang meneliti tuntutan syarak yang berhajatkan pakar dalam penentuan falak ini dalam menentukan pelbagai perkara yang membabitkan perlaksanaan ibadah seharian.

Saya telah pun mengikuti sebuah seminar yang cukup bermakna kepada diri saya terutamanya juga kepada semua sahabat azhari/ah yang menyeru golongan Al-Azhar untuk menguasai ilmu yang sangat penting menuntut kepada satu keperluan agar masa mendatang pastinya memerlukan kepada penentuan perkara-perkara yang berkaitan dengan perlaksanaan ibadah kita. Jadinya, untuk mendalami dengan lebih serius memerlukan kepada satu jangka masa yang cukup panjang kerana ilmu falak ini bukan sekadar ilmu pengkajian matahari, bulan, bintang dan cakerawala seluruhnya, malahan meliputi segala perihal perjalanan cakerawala tersebut untuk menentukan ketetapan masa terutamanya untuk melaksanakan hal-hal berkaitan ibadah. Sebaik-baiknya perlunya dipelajari dengan tekun dan gigih sebagaimana ulama-ulama Islam terdahulu.


Tidak dapat dinafikan oleh dakwaan sejarah barat yang mengatakan bahawa ilmu cakerawala ini diasaskan dari kalangan ilmuan barat. Bahkan sekiranya kita melihat kepada fakta sejarah itu sendiri tidak dapat tidak keseluruhan ilmu yang wujud adalah diasaskan oleh ilmuan-ilmuan Islam yang unggul. Bukan berdasarkan dakwaan palsu mereka itu. Ilmu falak merupakan sebuah ilmu yang pernah digunakan oleh Nabi Allah Idris Alaihis Salam sebagaimana yang disampaikan oleh penceramah pada seminar tersebut iaitu Ust. Hanafiah Abd Razak merupakan Ketua Falak Syari'e, Jabatan Mufti Majlis Agama Islam Negeri Johor. Antara ilmuan Islam yang banyak berkecimpung dan diguna pakai formulanya hingga kini adalah Imam Al-Battani, Imam Ibnu Sina, Imam Khawarizmi dan ramai lagi ilmuan Islam yang agung.

Yang paling mengkagumkan kami adalah alat yang digunakan untuk menentukan masa bagi sesuatu ibadat hanyalah dengan menggunakan sejenis alat yang dipanggil "rubu' mujaiyab" sebagaimana yang kalian dapat lihat pada gambarajah di sebelah. Alat sebesar tapak tangan itu dikatakan sama dengan alat yang pernah digunakan oleh Imam Ibnu Sina ketika menentukan arah pelayarannya ke seluruh dunia. Alat ini hakikatnya merupakan satu bulatan bersudut 360' akan tetapi untuk memudahkan pengunaannya maka cukuplah dengan bersudut 180' mengikut kepada situasi arah dan koordinat sesebuah tempat. Saya dapat merasakan tarikan untuk mempelajarinya dengan lebih terperinci akan tetapi segalanya bergantung kepada minat dan kehendak individu. Kehebatan alat ini dari segi ketepatan kiraannya juga setanding dengan perisian tercanggih yang tidak memerlukan kepada perincian sekadar disesuaikan mengikut tempat dan masanya sahaja.

Antara kepentingan mempelajari ilmu falak syari'e ini adalah bertujuan untuk menentukan masa yang tepat dalam melaksanakan sesuatu ibadat sebagai contoh untuk menentukan masuknya waktu solat fardhu 5 waktu, ketentuan bagi ibadah Puasa Ramadhan, Haji dasn sebagainya. Cumanyayang menjadi masalah apabila terdapat pihak yang kelebihan ilmu ini disalahguna untuk kepentingan politik sesebuah negara sebagai contoh Amerika yang menggunakan perisian yang canggih menentukan kedudukan sesebuah negara untuk melancarkan serangan melalui udara tanpa diketahui oleh sesiapa kerana maklumat ini diperolehi dari seorang sahabat kepada penceramah ketika perhimpunan pakar falak dunia di Singapura 3 tahun lepas dari seorang sahabat dari Pakistan yang bekerja di Pentagon, Amerika Syarikat.


Walau apapun agenda dan propaganda yang mereka rancang, ketahuilah kita bahawasanya perancangan Allah lebih hebat dan canggih daripada apa yang mereka rancangkan itu. Memandangkan kepada situasi yang semakin getir ini, perlunya kepada segolongan yang mendalami dan memahami ilmu yang kian pupus dari semasa ke semasa ini untuk manfaat generasi akan datang. Semoga pemahaman yang sedikit ini, mampu mencetuskan nyalaan api pembakar semangat kepada diri saya sendiri terutamanya dan kalian semua secara tidak langsung agar menyedari tuntutan untuk mempelajarinya. Semoga kita tidak akan merasakan bahawa kita adalah yang memulakannya akan tetapi kita perlu sedar bahawa kita adalah penerus kepada usaha ilmuan terdahulu agar manfaatnya bertali arus dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.

Renung-renungkan dan selamat menuntut ilmu.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: