Video Klip Pilihan

Thursday, July 24, 2008

|| Bertindak Mengikut Arahan!!! ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri kali ini penulis rasakan perlu untuk memberikan gambaran yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di tanah air khususnya. Sememangnya selama ini pandangan masyarakat terhadap perjalanan hidup mahasiswa di Timur Tengah khususnya Mesir sentiasa diselubungi dengan suasana ulama yang cukup mendamaikan dikelilingi para masyayeikh yang tersohor.

Tajuk entri kali ini cukup jelas menampakkan sebuah suasana agak tegang telah wujud sejak penghantaran para pegawai ke bumi Mesir mengikut negeri masing-masing. Penghantaran yang pada dasarnya diuar-uarkan bertujuan untuk menjaga kebajikan pelajar tanpa menganggu-gugat mana-mana pergerakan dan penglibatan mahasiswa dalam apa jua pertubuhan persatuan pelajar.

Namun apa yang berlaku sekarang ternyata indah khabar dari rupa. Semenjak penghantaran beberapa orang pegawai ke perlembahan Nil ini kelihatannya kebebasan mahasiswa disekat. Penglibatan mereka juga diawasi bagi mengelakkan mereka terlibat dengan persatuan Melayu terbesar dan tertua di Mesir. Umum maklum mengenai perkara ini tanpa perlu penulis perjelaskan.

Itu adalah antara tindakan berani yang telah mereka lakukan bukan kehendak mereka akan tetapi atas desakan 'pihak atasan' yang mendesak mereka melakukan sekatan tersebut. Tidak cukup dengan itu, mereka turut berusaha untuk menyingkirkan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang mempunyai hubungan rasmi sejak turun temurun dengan menubuhkan ahli jawatankuasa baru yang berada di bawah pantauan pegawai untuk menghilangkan pengaruh NGO rasmi Republik Arab Mesir semenjak 7 dekad yang lalu.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut menakut-nakutkan mahasiswa terutama yang baru sampai dengan penarikan bantuan siswa zakat dan pinjaman sekiranya mereka terlibat secara langsung ataupun tidak dengan NGO tersebut. Alasan yang lapuk dan tekah basi diberikan sebelum mereka menjejakkan kaki ke republik ini hanyalah 'NGO tersebut menyebarkan sentimen politik'. Dalam masa yang sama mengapa seluruh pelajar baru dan yang berada di bawah pantauan mereka diarah untuk mengisi borang sebuah 'kelab penyokong bangsa Melayu' di Mesir.


Mengapa hak kebebasan mahasiswa selaku bakal pemimpin negara di sekat? Mengapakah segala tindak dan tanduk para mahasiswa perlu mendapat keizinan daripada mereka? Yang menjadi masalah utama juga, terdapat para pegawai yang seolah-olah menjadi pemutus kepada perlaksanaan sesebuah program yang ingin dijalankan. Malah beliau yang bertindak sebagai perancang kepada sesebuah program dengan mengetepikan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAN yang selama ini merangka sesebuah program.

Apakah mereka dihantar hanya untuk menyusahkan, mengawasi, mengawal, menyekat dan menyulitkan pergerakan para mahasiswa yang ingin menimba pengalaman yang amat berharga sebelum berangkat pulang bertemu masyarakat? Bukankah di sana wujudnya ruang untuk mahasiswa bebas untuk memilih haluan hidup mereka selagi mana tidak menyalahi garisan syarak yang ditetapkan?

Turut menyedihkan sahabat-sahabat, adik medik juga turut mendapat tekanan yang sama melalui agen-agen yang dihantar, tidak terkecuali para peyumbang bantuan pinjaman dan siswa terhadap mereka yang terdiri dari badan kerajaan juga menyekat penglibatan mereka. Perkara ini dilihat semakin menjadi-jadi seolah-olah mereka takut hilang sokongan dari golongan remaja yang bakal mewarnai persada politik tanah air. Sehinggakan ada dikalangan mereka yang menghalang para mahasiswa medik ini dari bercampur gaul dengan mahasiswa dikalangan aliran agama. Amat mendukacitakan kerana sentimen politik dimainkan didalam masyarakat pelajar medik juga.

Sememangnya segala permasalahan yang berlaku begitu merungsingkan sesiapa sahaja untuk memastikan diri mereka bukan hanya mendapat ilmu melalui pengajaran di kuliah dan talaqqi semata-mata, malahan sepatutnya mereka juga perlukan kemahiran tambahan melalui penglibatan berorganisasi yang telus tanpa sekatan. Biarlah mereka memilih mengikut acuan ilmu yang mereka perolehi tanpa diikat dengan sistem 'bertindak mengikut arahan' pegawai yang bertujuan untuk memudahkan''urusan pelajar sepanjang berada di negara orang.

Apa yang pasti, seharusnya seluruh perikatan mahasiswa memainkan peranan yang hebat bagi menunjukkan momentum mahasiswa (student power) pada peringkat mahasiswa dapat sebarang sekatan selagi tidak menyalahi lunas-lunas Islam. Mahasiswa perlu bertegas sekiranya dikongkong dengan akta yang membantutkan pembentukan kredibiliti sebuah kepimpinan. Mahasiswa perlu bangkit untuk mempertahankan kesatuan Islam supaya seiring dan sejalan dengan wadah pembangunan ummah rabbani membentuk sebuah daulah Islamiah yang diberkati.

Kata Muthaqqaf : Hidup ini penuh dengan ujian yang Allah datangkan kepada para hambaNya untuk menguji sejauh mana tahap keimanan. Datangnya ujian tersebut dari pelbagai sudut tanpa kita sedari. Dan melalui apa mekanisme yang boleh bagi memastikan kestabilan Islam itu tidak berjaya untuk dicapai pembentukan kesatuannya kelangsungan dari kejatuhannya suatu ketika dahulu. Segalanya memerlukan keikhlasan, pengorbanan, istiqamah dan iltizam pada perjuangan sebagaimana para Nabi dan Rasul. Bersama pertahankan maruah dan survival Islam!


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


No comments: