Video Klip Pilihan

Thursday, July 03, 2008

|| Agamawan Dan Medik : Matlamat Yang Satu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Golongan medik merupakan golongan yang amat penting dalam memenuhi tuntutan masyarakat. Terutamanya dalam membantu meningkatkan kekuatan pembinaan ummah Islamiah. Hamparan perbincangan ini lebih menjurus kepada golongan medik di perlembahan Nil yang terdedah kepada biah Islamiah yang seterusnya bakal membentuk generasi medik rabbani.

Semalaman penulis telah mendapat suatu inspirasi dan pengalaman yang terindah duduk bersama adik-adik medik yang masih masih di tahun pertama. Sebuah kawasan penempatan yang agak jauh dari abang-abang medik perubatan yang agak senior. Namun hubungan antara mereka tidak terputus begitu sahaja kerana mereka sentiasa berhubung melalui program-program yang dianjurkan di bawah Persatuan Perubatan Republik Arab Mesir.

Fustat, sebuah kawasan yang agak jauh dari abang-abang senior medik memakan masa hampir 15-20 minit untuk bertemu. Apatah lagi dalam menghubungkan abang-abang kuliah agama yang lebih jauh penempatan mereka. Namun begitu, segalanya tidak menghalang hubungan dua hala antara kedua-dua golongan ini untuk saling berhubung, saling membantu memperkukuhkan sebuah ukhuwah Islamiah yang kuat.

Pengalaman selama hampir sehari di sana membuatkan penulis berfikir mencetuskan perbandingan yang sihat. Corak pemikiran diantara kedua-dua golongan ketara perbezaannya meskipun hakikatnya masing-masing mempunyai amanah yang sama terpundak untuk ditunaikan kepada masyarakat kelak. Justeru itu, ianya memerlukan sebuah gabungan yang terjalin erat tanpa dipisahkan dengan sebarang sempadan ideologi, pemikiran mahupun siasah politik.

Jika dibandingkan keutamaan dalam menuntut ilmu diantara kedua-duanya, sudah tentu keutamaan tersebut akan lebih memihak kepada ilmu agama melebihi perubatan yang jatuh tangga ke dua. Ilmu agama merupakan fardhu ain yang wajib diketahui dan didalami secara teori dan praktikal oleh semua umat Islam. Manakala ilmu perubatan merupakan fardhu kifayah yang hanya memerlukan segelintir dari umat Islam mendalaminya untuk kepentingan umat Islam sejagat.

Akan tetapi yang menjadi titik permasalahan di sini adalah sejauh mana pemahaman dan pendekatan yang yang dilalui oleh kedua-dua golongan ini jauh berbeza. Menjadikan golongan medik lebih bersungguh-sungguh dalam mempelajari bidang mereka semenjak mula musim pengkuliahan. Berbanding golongan agamawan yang dilihat hanya nisbah 2:10 yang memberikan kesungguhan secara total seumpama golongan medik. Bahkan wujud golongan medik yang mampu menguasai kedua-dua bidang dalam masa yang sama!

Satu cabaran kepada golongan agamawan untuk memastikan ilmu yang diperolehi benar-benar difahami, diamalkan seterusnya mampu disampaikan kepada masyarakat dengan pendekatan yang terbaik. Bahkan seharusnya golongan agamawan lebih terkehadapan dalam membawa wacana agama dan memperjuangkannya dengan lebih gigih. Berbanding golongan medik yang tidak sepenuhnya kerana lebih banyak berhadapan dengan pesakit luaran. Manakala golongan agamawan berhadapan dengan pesakit dalaman iaitu rohani.

Bukan tujuan penulis membangkitkan isu ini untuk membanding-bandingkan kelebihan antara kedua-dua golongan ini. Akan tetapi sekadar ingin membuka minda kedua-dua golongan ini untuk memikirkan tujuan dan kepentingan mereka mengaji dalam bidang masing-masing. Semestinya ada diantara kita yang mementingkan kerjaya apabila selesai pengajian akan tetapi yang paling perlu difikirkan apakah sumbangan yang mampu kita berikan untuk Islam kelak.

Apa yang penting melalui huraian entri kali ini, kedua-dua golongan ini merupakan elemen terpenting dalam mempertahankan Islam agar terus kukuh bertapak dipandang tinggi di mata dunia. Bukan ditindas, diperlekeh dan diselekeh oleh musuh-musuh Islam. Untuk itu perlunya gandingan yang erat antara kedua-dua golongan ini seterusnya mengelakkan perbezaan ideologi yang mampu menimbulkan perpecahan diantara satu sama lain.

Akhir kalam perlunya satu perubahan yang drastik untuk mengubah persepsi kedua-dua golongan ini supaya mampu seiring dan sejalan tanpa sengketa. Seterusnya mengukuhkan ukhuwah Islamiah dengan lebih teliti tanpa rigid dengan ideologi-ideologi yang sempit yang dimainkan beberapa pihak yang inginkan perpecahan. Salam ukhuwah Islamiah buat semua adik-adik perubatan untuk sama-sama membantu Islam yang kita sayangi.

Kata Muthaqqaf:Terima kasih buat adik-adik medik di Fustat yang sudi meluangkan masa bersama abang walaupun kalian sibuk dengan 'dinner gathering' pada malam itu. Kesungguhan kalian dalam menuntut ilmu diharap mampu menjadi penyuntik kepada abang-abang di kuliah agama ini untuk bersungguh-sungguh dalam mendalami ilmu yang lebih utama ini. Kepada adik Saifuddin Ibrahim, Farhan, Idris, Fais, Amir Dad, Huzaifah, Amir Firdaus, Ibrahim dan sesiapa yang baru mengenali dan terkenal dengan abang yang kerdil ini. Salam ukhuwah fillah buat semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: