Rindu merupakan sebuah naluri kurniaan Allah kepada setiap hamba-hambaNya yang berhati nurani. Hati yang tenang sentiasa mengharapkan sebuah kerinduan berpaut teguh kepada Sang Pencipta. Rindu sesama insan juga sebuah naluri yang menjadi pengubat kepada sebuah perhubungan. Selagi mana naluri rindu itu suci, ianya akan terpelihara menghubungkan sebuah persaudaraan yg terindah.
Sukar untuk diterjemahkan perasaan yang berbuku di jiwa ini. Setiap perkara yang dilakukan serba tak kena. Namun, hati ini masih terus berbicara bahawa rindu itu masih tetap sugul menantikan sebuah keindahan yang mendamaikan. Jiwa mengatakan aku perlu menunaikan tuntutan rindu itu dengan apa cara sekalipun. Minda yang sentiasa menapis setiap tindakan pula mengatakan bahawa aku perlu sabar dan tabah menghadapi kesugulan rindu yang sentiasa merantai kalbu.
Akan tetapi tindakan yang bakal menterjemahkan setiap gambaran jiwa dan minda masih perlu untuk diawasi agar tidak tersasar dari setiap pergerakan Quran dan Sunnah. Ianya masih berkeras. Masih terus membelenggu diri dan jiwa ini agar terus merealisasikan kesugulan rindu yang sentiasa mengharapkan sebuah kasih sayang dalam ukhuwah yang terbina.
Sayugia kata hati dan jiwa berfungsi sempurna menatijahkan sebuah fenomena yang terbaik. Sesuai dengan hambatan citraan yang tersusun rapi. Hakikatnya diri ini perlu memupuk jiwa dan minda agar mematuhi aturan sang Pencipta. Aku perlu tabah. Aku perlu lalui hari-hari mendatang dengan penuh dedikasi dan komited. Ya, aku tidak boleh tunduk kepada tuntutan jiwa yang mengekang diri.
Kesugulan rindu amat dirasai. Entah mengapa secara tiba-tiba rindu itu menerjah ke ruang atmaku. Namun, tidak aku penuhi tuntutan atma yang sentiasa membantutkan amanah taklifanku. Walau dipenjara dan dibelenggu, angin rindu yang menyapa harusku layan untuk melegakan kesugulan yang tercipta.
Untuk semua yang merinduiku, terima kasih kerana sudi memberikan sebuah kerinduan dan berkongsi kerinduan yang digariskan. Kerinduan dalam persahabatan merendang hingga memaut hati-hati ke laman takwa. Walau apa jua istilah yang tercipta diantara kita, hakikatnya itu merupakan tapak kepada sebuah persahabatan. Nilailah dari perspektif yang diterima akal dan bersesuaian dengan arca Islam yang suci. Akhirnya membawa diri menuju naungan rahmat dan redha yang Esa.
Bantulah aku teman, pimpinlah tanganku aku sahabat menjadi insan yang berbakti kepada agama, masyarakat, bangsa, dan negara kelak.
Kata Muthaqqaf:Wahai jiwa yang tenang! Kau hiasilah setiap titik pertemuan yang tercipta sesama muslim itu dengan ikatan persaudaraan yang murni sehingga membawa kepada sebuah kerinduan yang mendamaikan lantas membina tuntutan ukhuwah Islamiah yang diagung-agungkan demi memartabat Islam tercinta. Terima kasih untuk segalanya kepada sesiapa yang sudi merindui, menyayangi dan mengasihi diri ini, juga sesiapa yang sentiasa menyokong diri ini supaya sentiasa thabat dan istiqamah dalam menjalani liku-liku dakwah yang semakin mencabar.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment