بسم الله الرحمن الرحيم
Lepas satu masalah, timbul pula masalah yang lain. Lepas seorang pimpinan yang dihentam dan dimuhasabah secara maya, kini seorang demi seorang pimpinan dikecam dan diugut dengan beberapa perkara yang tidak disenangi oleh beberapa pihak. Penulis kini menjadi mangsa kepada kerakusan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dan tidak selesa dengan suasana mesra alam yang tercipta.
Esok masih berbaki sebuah muhafazah lagi untuk lawatan rasmi dan majlis ramah mesra bersama ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah. Walaupun sebenarnya sebuah lagi muhafazah masih belum mendapat tarikh yang sesuai untuk diadakan program yang sama seperti 7 muhafazah yang lain. Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah masih tidak mempunyai tarikh dan masa yang sesuai selepas beberapa pertembungan berlaku meskipun tarikh telah diberikan 2 bulan lebih awal. Tidak mengapalah. Penulis akan cuba mencari waktu yang sesuai.
Letih dan penat melayan kerenah ahli yang bervariasi. Perkara sebegini tidak pernah timbul dan ditimbulkan selama penulis menjawat sebagai kepimpinan. Akan tetapi sejak kebelakangan ini di kala beberapa isu yang hangat berlaku terhadap PMRAM yang mengundang ketidak puasan hati beberapa pihak yang sentiasa mengambil peluang untuk menghentam PMRAM. Kini mereka berusaha untuk mencari kesalahan pimpinan dengan apa jua medium demi memastikan hadaf mereka menjatuhkan PMRAM melalui jalan barisan pimpinan yang dilihat mampu dijatuhkan.
Ya, majoriti maklum bahawa penulis seorang yang peramah dan mesra dengan seluruh lapisan masyarakat pelajar. Tanpa mengira dalam apa jua jurusan dan bidang pengajian. Dan tanpa mengira warna kulit, negeri mahupun negara dan dalam apa jua kondisi seseorang itu. Mungkin ada sesetengah pihak yang merasa iri dengan sikap penulis sehingga melabelkan penulis dengan label yang mengecam dan hasad. Tidak keterlaluan penulis katakan ianya merupakan kenyataan berbaur cemburu.
Penulis menafikan sekeras-kerasnya akan kenyataan yang dilontarkan melalui ruangan medan bersuara yang disediakan. Normal manusia ada beberapa orang yang mereka rapat dan senang untuk duduk berbincang, menjadi teman dan sebagainya. Itupun ingin dijadikan isu untuk menjatuhkan seorang kepimpinan semata-mata kemungkinan dirinya tidak mendapat layanan yang sebegitu. Maaf seandainya fenomena tersebut membuatkan ada diantara anda terasa hati.
Apa yang penulis hairan dan pelik, mereka sanggup membuat ugutan untuk membangkitkan isu picisan ini di mesyuarat agung tahunan malah ingin memaparkannya semata-mata ingin menjatuhkan air muka seorang kepimpinan. Manusia jenis ini pun ada dikalangan masyarakat Al-Azhar rupa-rupanya. Tidak menegur dan mengkritik secara berhadapan akan tetapi lebih suka menyebarkan fitnah dan ugutan dari belakang demi untuk memuaskan ketidak puasan hatinya.
Apakah dunia Islam telah ketandusan isu yang berkaitan umat Islam sejagat sehingga isu picisan dan peribadi pun ingin dihebahkan? Apakah tidak cukup dengan masalah di tanah air yang semakin nazak dengan lontaran-lontaran fitnah yang dahsyat kini ingin ditimbulkan di Mesir pula? Cukup-cukuplah tu. Masih banyak isu umat Islam yang lebih aula untuk diselesaikan dengan lebih terperinci berbanding dengan isu peribadi penulis yang tidak seberapa. Inilah yang dikatakan fitnah akhir zaman yang sentiasa dilemparkan kepada kepimpinan apabila mereka tidak berpuas hati.
Yang pastinya, nasihat penulis kepada seluruh sahabat di luar sana supaya bijak untuk menegur seseorang pimpinan yang seandainya dilihat menyalahi tuntutan dan keperluan syarak. Dan tegurlah dengan berhikmah secara berhadapan tanpa membuat sebarang ugutan semata-mata untuk melampiaskan kehendak nafsunya. Sekali lagi penulis memohon maaf andai ada pihak-pihak yang tidak mendapat layanan yang sewajarnya sebagaimana mereka-mereka yang rapat dan mengenali diri ini.
Penulis bukanlah pimpinan yang terbaik yang tidak lepas dari kesalahan. Bahkan penulis dan sahabat kepimpin yang lain hanyalah manusia biasa yang dipilih oleh Allah untuk membantu memudahkan urusan saudara-saudara seakidah di perlembahan Nil ini. Penulis tidak berhasrat untuk mencari musuh akan tetapi penulis suka untuk bersahabat dengan apa jua lapisan masyarakat pelajar sebagaimana penjelasan awal tadi. Ukhuwah yang diharapkan terhasil tidak lain sebagai pembantu bagi berjuang menegakkan agama Allah kelak.
Hasrat di hati ini ingin mencontohi Abu Bakar,
Apakan daya diri ini masih mentah,
Hasrat di hati ini ingin mencontohi Al-Faruq,
Apakan daya diri ini masih longlai,
Hasrat di hati ini ingin mencontohi Usman,
Namun diri ini masih cetek minda,
Hasrat di hati ini ingin mencontohi Ali,
Akan tetapi diri ini masih rapuh semangat,
Namun yang pasti hasrat di hati ini,
Ingin mencontohi setiap dari mereka,
Walau secebis bingkisan arca,
Azam tersemat penuh keramat,
Menjadi azimat semangat juang.
Monolog atma Muthaqqaf Azhari,
Pusat operasi utama pelajar,
Masakin Uthman,
Kaherah, Mesir.
13 Julai 2008 | 1030 malam | Ahad
Kata Muthaqqaf : Nabi SAW bersabda : "Bertakwalah kamu kepada Allah walau dalam apa jua keadaan sekalipun". Nasihat untuk diri penulis dan seluruh sahabat sekalian untuk kita sama-sama takut kepada Allah di mana sahaja kita berada. Segala nasihat dan teguran kalian penulis terima dengan lapang dada dan diharap kalian juga menerima penjelasan ini juga dengan berlapang dada. Gunakanlah medium yang terbaik untuk menegur seseorang kepimpinan sehingga sanggup melihat impak menjatuhkan sesebuah intitusi kesatuan Islam.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment