Video Klip Pilihan

Sunday, August 19, 2007

.:: Terima Seadanya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Pasca Menerima Natijah Tahun 3,

Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah dan Pengetahuan Islam,
Universiti Al-Azhar Asy-Syarif, Kaherah.

Terpana seribu bahasa setelah aku menerima lontaran keputusan yang sememangnya memeranjatkan semua yang mendengarnya lebih-lebih lagi empunya diri ini. Sungguh tidak disangka-sangka impianku ingin mendapat keputusan yang cemerlang akhirnya menjadi kenyataan. Setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terbatas hingga langit ke tujuh menemui hadrat Allah yang Esa. Adakah ini sekadar mimpi di siang hari atau sebuah realiti yang pasti?

Ustaz Afifi menjerit kepadaku meminta no giliranku. Lantas ku bacakan kepadanya "arba'ah alaf miatain wa tis'ata asyar" atau 4219 dalam digit angka lalu dibacakan namaku, "Mohd Rafiq Abd Aziz, jaiyid.....". Terkedu seketika disamping sahabat-sahabatku mengucapkan kalam tahniah atas kejayaanku. Terasa seolah-olah aku di alam maya. Tidak sekadar hari itu sahaja ku mempercayai akan keputusan yang ku perolehi. Untuk mendapatkan kepastian yang dominan, lantas aku bertanyakan lagi buat kali ke dua, jawapan diberikan masih dan tetap. Harap-harap indah khabar dari rupa.

Akan tetapi sedikit gusar menyelinap di segenap qalbi ini setelah mendengar khabar bahawa pernah berlaku satu kes seorang sahabat menerima natijah yang masih belum ditampal diberitahu beliau mendapat keputusan yang baik. Namun apabila keputusan tersebut telah ditampal didapati beliau tidak melepasi had kelulusan tidak melebihi 2 subjek dengan lebihan 2 subjek. Ya Allah, ku harap pada-Mu jualah semoga keputusan yang sedia aku perolehi ini adalah sepertimana apabila ianya akan ditampal kelak.

**********************


Dilema Di Ambang Natijah,
Bait Manhal, Haiyu Thamin,
Madinat Nasr, Kaherah.

Berat rasanya kaki ini untuk meneruskan langkah kaki menuju ke syuun kuliah pengajian usuluddin esok hari. Ke sana semata-mata untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang ku nanti-nantikan selama ini. Terasa menggeletar pangkal jantungku ini membayangkan natijah yang masih belum pasti. Apakah natijah yang bakal aku perolehi? Berjayakah aku untuk menduduki kerusi di pengajian di tahun 4 atau akan kekal di takuk yang lama? Adakah segala kemungkinan dan kemungkinan itu akan melemahkan jiwaku sebelum aku natijah yang sebenar menerpa ke benak mindaku? Ya Allah apakah kali ini aku akan ditambahi dengan ujian kegagalan selepas pelbagai ujian dari pelbagai sudut telah ENGKAU berikan?

Terasa semakin longlai semangat yang tersisa ini untukku meneruskan langkah perjuangan yang masih panjang ini. Lebih-lebih lagi tika menanti sebuah 'penentuan kelayakan' untuk menempatkan diri yang serba kekurangan ini di kelas pengajian yang seterusnya atau kekal di 'kerusi lama' yang pernah aku duduki pada sesi pembelajaran yang lepas. Mengapa segala persoalan ini bermain di benak mindaku? Apa sudah tiada perkara awlawiyat lain yang hendak difikirkan? Di sana berlambak perkara yang lebih utama perlu aku fikirkan yang memerlukan kepada penyelesaian dan tindakan susulan berbanding perkara peribadi yang seharusnya seumpama ini terserahlah pada-NYA untuk menentukannya.

Ah, biarkanlah keputusan imtihan itu. Kalau lulus, alhamdulillah kesyukuran dipanjatkan. Kalau sebaliknya sabar dan terima sahajalah ianya sebagai sebuah ujian untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan hamba-NYA yang terpilih sahaja. Segalanya akan bermula esok untuk menentukan kedudukanku sebenar-benarnya. Malas nak difikirkan ku buang sejauh-jauhnya mengenai 'kelayakan esok' lantas ku capai tetikus sambil membuka mana-mana fail dari pancaran skrin komputer untuk menghilangkan gusar yang terbit dari kamar hati ini. Setelah lama menyingkap satu persatu fail yang terpapar di hadapan mata, tertarik hati ini untuk menonton realiti tv 'Macam-macam Aznil' yang sekian lama juga tidak aku tontoni sebagai penghibur kegusaran itu.

Rasanya lebih dari 5 rancangan realiti tv telah aku habiskan sebagai pengubat sementara sebelum debaran esok yang akan aku dan sahabat-sahabat seangkatan hadapi. Aku hanya mampu berdoa dan berharap kami bakal mengecapi kejayaan bersama dengan izin Rabbul Izzati. Harapanku pada-MU subur kembali. Semoga segala yang indah akan menjadi nyata bukan sekadar igauan semata diserikan dengan sahutan doa pada sisa waktu yang berbaki. Harap-harap diperkenankan. Jauh memikir hingga akhirnya terlelap.

**********************

Seusai fajar menyinsing,
Masih di koordinat yang sama.

Keletihan mata ini tidak dapat ku tahan lagi. Ku sorongkan kembali bantal sambil jari utamaku menekan pepunat tetikus mencari ikon 'Yahoo Messenger' untuk ku aktifkan ruangan sembangku. Setelah terpapar ruangan sembangku diaktif lantas ku aktifkan ikon 'busy' untuk aku sambung kembali pengembaraanku selepas melihat jam waktu ini kemudian kukuncikan jam penggera pada jam 10 pagi. Lamunanku terhenti setakat itu untuk memberikan ruang kepada siaran tertunda kisah mimpiku yang aku sendiri tidak tahu mengenai apa. Sememangnya terkadang kisah mimpi itu cukup menganehkan sehingga menggambarkan kehidupan kita secara realiti. Antara percaya atau tidak, percayalah pada Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sekitar jam 11, aku dikejutan dengan panggilan dari sahabat sekuliahku. Beliau mengatakan keputusan yang dinanti-nantikan selama ini telah pun sampai di tangan pegawai pejabat pentadbiran bagi tahun 3. Lantas segera ku kejutkan sahabat yang sama waktu denganku untuk seiring bersama ke pejabat pentadbiran fakulti usuluddin untuk mendapatkan hasil usaha kami sebelum ini. Di sepanjang perjalanan yang mengambil masa sekitar 45 minit dari Seksyen 8 ke universiti kami di Saidina Husain, Medan Al-Azhar tidak putus-putus ku pohon doa ke hadrat Ilahi semoga DIA memberikan kejayaan kepada kami.

Bagi diri yang serba hina dina ini, ku sandarkan sepenuhnya keputusan yang tersimpan digenggaman Ilahi dalam menentukan nasib setiap hamba-hamba-NYA. Aku akur pada setiap keputusan yang akan dibacakan kelak. Kegusaran kembali lagi meresapi degup pantas nadi utama. Walaupun pada awalnya emosi diri ini telah ku gelintar semasak-masaknya. Namun emosi itu bukanlah semudah yang disangka. Memerlukan masa yang panjang untuk menjinakkannya. Bersabarlah dalam mendidiknya. Walau apapun yang bakal aku perolehi, pokok pangkalnya aku kembali kepada Allah yang menentukan segalanya. Akur atas sunnahNya dan berusaha dengan sekerasnya di masa mendatang andaikata keputusan itu tidak menyebelahi diri ini. Andaikata sebaliknya, ku tetap akan memanjatkan kesyukuran atas ketentuannya. Akur dengan setiap apa yang berlaku kerana di sana semestinya terdapat hikmah yang terselindung untuk difikirkan oleh orang-orang yang cerdik pandai.

Ku gagahi jua langkah kakiku ini menuruni anak tangga bas 80 palang bergegas mendahului yang lainnya menuju ke pejabat pentadbiran kuliah usuluddin. Berkerumun di hadapan kaunter tahun 3 mereka yang tidak sabar meninginkan kepastian keputusan imtihan masing-masing. Ku menanti dengan penuh sabar hingga tiba pada giliranku memberikan kad pengajianku kepada pegawai pentadbiran tahun 3. Sebagaimana ku sebutkan sebentar tadi, segala keputusan yang pasti nanti akan aku akur pada ketentuan itu. Aku akur, ku tawakal dan ku berdoa padanya. Semoga dibukakan segala pintu kebaikan yang bisa membantu kestabilan keputusan itu. Harapan yang pasti.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: