Video Klip Pilihan

Thursday, February 14, 2008

.:: Ikut Kata Hati, Habislah... ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


|| MONOLOG TERCIPTA

Acapkali diri ini berputar-putar memikirkan prinsip sahabatku yang seorang ini. Tiap kali minda itu berputar memikirkannya, maka pada tiap kali lintasan pandangan yang pelbagai singgah di ufuk mindaku yang masih kurang dalam menentukan nilai ISLAM yang sebenar. Lebih-lebih lagi, nilai ISLAM yang menurut acuan yang bertepatan dengan ajaran Quran dan Sunnah teragung.

Apakah sebenarnya yang bermain di mindanya sehingga memikirkan sedemikian rupa? Sebelum ini penulis menyentuh soal survival PMRAM yang dilihat seolah-olah semakin diinjak-injak oleh beberapa pihak dengan ugutan dan sebagainya. Itu semata-mata untuk memenuhi hajat dan kepentingan dirinya dalam masa yang sama sanggup menggadai prinsip dirinya dalam memberikan komitmen yang tinggi terhadap PMRAM. Terpulang kepada kalian dalam menilainya.


Melihatkan kepada sambutan yang tidak menggalakkan dari sidang pembaca, maka penulis hanya meninggalkan jawapan bagi persoalan tersebut sekadar di awang-awangan menunggu pertukaran arah angin membawanya prgi bersama. Agak sukar untuk meraih komentar ahli yang benar-benar faham mengenai kesinambungan PMRAM yang semakin terhakis dengan pelbagai tribulasi mendatang bertubi-tubi menenggelamkan gahnya sebuah persatuan induk yang banyak berjasa.

|| SENTUHAN JIWA RASA

Kembali kepada perbincangan entri pada kali ini. Penulis ingin berkongsi sebuah rencah kehidupan seorang sahabat penulis yang akrab suatu ketika dahulu akan tetapi kala ini terpisah dengan haluan masing-masing. Penulis yang berkecimpung penuh di dalam persatuan induk terawal di Ardul Kinanah manakala sahabat penulis bergiat di dalam sebuah persatuan komponen kerajaan yang kalian sedia maklum.

Walaupun kenyataan seorang Menteri Pengajian Tinggi yang melarang sebarang penceburan sebarang aktiviti persatuan yang berunsurkan politik di Tanah Air. Akan tetapi mahasiswa dan mahasiswi di luar negara dihidang bahkan digalakkan untuk menyertai persatuan komponen kerajaan yang wujud di seluruh pelusuk negara. Ianya semata-mata bagi memastikan pelajar luar negara menyokong kerajaan walaupun larangan keras telahpun dikeluarkan.

Ini dapat difikirkan merupakan arahan yang berat sebelah melarang pelajar dan mahasiswa menceburkan diri di mana-mana arena persatuan yang berunsurkan politik dalam masa yang sama menyuruh mereka menyertai persatuan komponen kerajaan yang bertopengkan persatuan kebajikan. Nilai dengan akal minda kita yang waras dalam menentukan keadilan adakah tertegak dengan saksama atau berlaku diskriminasi yang amat ketara.


Berbalik kepada sahabat penulis, beliau menyatakan tujuan beliau menyertai persatuan komponen kerajaan itu adalah semata-mata untuk mengubah prinsip mereka yang selama ini kucar-kacir dan tidak bersistematik. Bahkan kita sendiri dapat lihat pimpinan persatuan tersebut bukanlah dikalangan yang cemerlang dan menjadi contoh kepada dalam apa jua aspek sebagaimana yang ISLAM sarankan dalam memilih dan menjadi pemimpin.

Sekadar lontaran pandangan untuk kita fikirkan bersama mengenai fenomena yang berlaku ini. Kemudian beliau mengatakan dengan cara beliau berada dalam kelompok tersebut beliau dapat memastikan mereka lebih teratur. Penulis amat menghormati segala matlamat yang ingin beliau sasarkan. Memang benar mereka tidak pernah memburuk-burukkan persatuan terlama di Mesir ini. Kerana kerja memburuk-burukkan persatuan ini hanya dilakukan oleh pihak atasan yang sememangnya penyokong kuat kerajaan seterusnya menyokong penuh segala usaha persatuan komponen kerajaan itu.

|| SUNNAH PENYULUH CARA

Perkara yang penulis kongsi dan lontarkan pada sahabat yang amat dikasihi juga kepada sidang pembaca sekalian, adakah setiap tindakan yang dilakukannya berlandaskan pedoman Rasulullah S.A.W? Adakah Baginda berdakwah terhadap kaum Musyrikin dan Kuffar dengan cara menyertai dan mengikut cara mereka? Jawapan yang akan terpacul semestinya TIDAK berdasarkan rentetan sejarah yang termaktub.

Apa yang kita perhatikan Baginda S.A.W berdakwah dengan cara yang sangat berhikmah seterusnya memberikan kesan yang amat mendalam membuatkan mereka menerima ISLAM dengan aman. Bukanlah untuk kita menarik mereka untuk mengikuti jalan ISLAM yang sebenar dengan kemasukan kita di dalam kelompok mereka kerana tindakan tersebut akan menjadikan kita sebahagian daripada mereka yang perlu diperangi kerana memusuhi ISLAM.

Kita semua sedia maklum bahawa mereka adalah orang ISLAM yang menuntut di Universiti Al-Azhar, gedung ilmu yang termasyhur. Akan tetapi cara mereka dalam membawa amanah ilmu itu tidak pada tempatnya setelah terang lagi bersuluh akan segala kerosakan terhadap masyarakat remaja di Tanah Air yang meragut kemuliaan ISLAM yang sebenar.

Adakah kalian masih ingin mengatakan bahawa kita perlu masuk bersama mereka dan mengubah kepada kebaikan dari dalam? Sedangkan kita lihat ramai alim ulama' yang telah menceburkan diri mereka di dalamnya bahkan semakin teruk keadaan umat ISLAM. Usahkan untuk mengubahnya dari dalam, mereka yang bertungkus lumus menghalang kemaksiatan dan kerosakan digam, disekat dari melontarkan amar makruf.

|| ISLAM DIJULANG, BAKTI DICURAH

Kesimpulannya, adakah di sana peluang untuk mengubahnya dari dalam dengan situasi kebejatan akhlak yang bermaharajalela menyesakkan rongga pernafasan? Jawapannya masih TIDAK!. Segala perubahan hanya akan berlaku apabila kerajaan yang bakal memimpin mengikut kepada aturan yang telah ALLAH susun dalam suluhan Mukjizat Teragung yang turut disinari kalam Utusan Terpuji.

Sesuatu kebaikan yang diinginkan tidak akan tercapai selagi mana tiada tercetusnya petikan api perubahan untuk membela dan memartabatkan kembali nilai-nilai ISLAM yang sebenarnya. Apabila petikan tersebut terjadi, maka akan terbitlah suasana yang penuh harmonis demi menggapai cinta pertama. Itulah pengharapan yang sentiasa terdetik di hati sanubari mereka yang merindui KEIMANAN, KETAKWAAN dan KEAMANAN yang hakiki.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: