Video Klip Pilihan

Saturday, June 28, 2008

|| Kebajikan Mahasiswa Wadah Utama PMRAM ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) semakin matang melalui liku-liku perjuangan dalam memberikan kebajikan kepada anak-anak Melayu di Ardul Kinanah. Sumbangannya kepada anak-anak Melayu tidak dapat dinafikan lagi bukan sahaja untuk anak-anak Malaysia bahkan turut menaungi anak-anak Melayu Asia Tenggara yang menuntut ilmu di sekitar bumi Mesir ini. Kebajikan yang dihulurkan tidak terbatas kepada ahli terutamanya akan tetapi skop yang luas meliputi anak-anak Melayu yang memerlukan sebarang bantuan.

Dewasa ini, anak-anak Malaysia yang melanjutkan pengajian ke Mesir dilihat pasti akan dihidangkan dengan kenyataan tidak berasas ingin menanam perasaan benci mereka terhadap PMRAM. Acapkali mereka menyatakan PMRAM merupakan sebuah pertubuhan berunsurkan politik yang menentang kerajaan apabila pulang ke Malaysia. Namun segala tohmahan tersebut seandainya benar, sama sekali akan menyebabkan PMRAM akan diharamkan serta merta atas keterlibatan dalam arena politik seperti yang digembar-gemburkan.

Pengharaman tersebut berlaku atas dasar penubuhan asal PMRAM merujuk kepada ‘Undang-undang Tubuh PMRAM’ yang menekankan soal kebajikan semata-mata tanpa sangkut paut dengan sebarang unsur kepolitikan. Seandainya kita melihat segala aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh PMRAM tidak pernah sama sekali menyentuh sebarang unsur politik samada tempatan mahupun politik Tanah Air. Bahkan lebih banyak memberikan manfaat tambahan yang sukar untuk diperolehi di dalam dewan kuliah semata-mata sebagaimana saranan kerajaan untuk melahirkan ulama yang professional.

Sungguhpun terdapat pelbagai spekulasi yang menghujum dan menghentam PMRAM sebagai sebuah persatuan menjurus kepada politik. Akan tetapi segalanya itu tidak mematahkan perjuangan PMRAM untuk terus menyalurkan kebajikan dalam apa jua aspek dalam membentuk jatidiri azhariyah yang lebih berwibawa dan berketerampilan dari sudut ilmu, thaqafah dan nilai tambah yang lain. Bahkan semuanya itu menjadi pembakar semangat kepada PMRAM untuk terus memperjuangkan kebajikan yang menjadi nadi utama penubuhan sejak 7 dasawarsa yang lampau.

Meskipun pelbagai spekulasi dan hujuman yang bakal datang dari pelbagai sudut, misi dan visi PMRAM dalam menyalurkan sumbangan kepada ahli yang memerlukan tidak akan futur sama sekali. Walaupun di terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menghilangkan peranan PMRAM sebagai sebuah persatuan yang menyalurkan pelbagai sumber kebajikan kami masih tegak berdiri dalam menghulurkan bantuan.

Melihat kepada pelbagai situasi yang begitu kompleks tika ini, PMRAM telah melancarkan Dana Syaqah PMRAM semenjak tahun 2006 menggantikan Dana Van. Dana ini bertujuan untuk mendapatkan sebuah markaz operasi bagi menjalankan program dan aktiviti yang semakin sukar untuk diadakan di rumah-rumah negeri yang telah dihantar pegawai. Penghantaran pegawai ke rumah-rumah oleh kerajaan negeri adalah semata-mata untuk menjauhkan PMRAM dari ahli-ahli dari terpengaruh lantaran menjadi penentang kerajaan menurut pandangan mereka. Walaupun hakikat penghantaran mereka adalah atas dasar untuk menjaga kebajikan anak-anak negeri secara menyeluruh.

Setelah hampir 3 tahun kutipan yang giat dijalankan di semua peringkat, PMRAM melihat agak sukar untuk bergantung sepenuhnya kepada pemberian sumbangan. Justeru itu, PMRAM telah merangka beberapa projek untuk membiakkan hasil kutipan yang disumbang melalui beberapa projek terjemahan kitab-kitab yang telah mendapat keizinan dari pengarang asal kitab-kitab termasyhur. Antara yang sedang berjalan melalui projek ini adalah projek penterjemahan semula Kitab Bahrul Mazi dan Ahsanul Kalam karangan Sheikh Atiah Saqar.

Keuntungan jangka panjang yang besar melalui penjualan kitab-kitab terjemahan ini dilihat mampu membuka peluang cerah kepada PMRAM bagi mendapatkan markaz beroperasi dalam jangka waktu 10 tahun mendatang. Seusai sasaran untuk mendapat markaz operasi yang menjadi harapan tinggi PMRAM, hasil jualan yang seterusnya akan dimasukkan terus ke dalam Tabung Kebajikan PMRAM untuk diperuntukkan sepenuhnya kepada ahli-ahli yang lebih memerlukan. Situasi ini dapat dilihat pada realiti rata-rata mahasiswa yang menuntut ilmu di Ardul Kinanah ini bukanlah dikalangan keluarga yang berada.

Oleh yang demikian, kewujudan PMRAM semenjak dahulu lagi sememangnya lebih banyak menjurus untuk memastikan kebajikan ahli dari pelbagai sudut. Kewujudannya tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun lebih-lebih lagi PMRAM mempunyai hubungan yang erat dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir selaku NGO di Mesir. Ianya tidak lain untuk meringankan kesibukan tugas Pihak Kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia Malaysia di Kaherah dalam menguruskan hal ehwal kebajikan anak-anak Malaysia. Bahkan kita sendiri mampu untuk membuat penilaian mengenai aktiviti dan program yang dijalankan oleh PMRAM adakah menyimpang jauh dari sasarang yang sebenar.

Antara kebajikan yang sangat dititikberatkan oleh PMRAM saban tahun adalah kebajikan dari sudut kesihatan dan pada tahun ini hakikatnya PMRAM telah membelanjakan sebanyak LE 12,000 kepada ahli-ahli yang ditimpa musibah. Dalam masa antara mereka yang menerima sumbangan kebajikan tersebut adalah Ustaz Mohd Fawwaz bin Haji Fadzil yang menjalani pembedahan akibat penyakit tulang belakang, 2 orang anak Ustaz Mohd Razi bin Musa yang menghidap penyakit Glaukoma Kongenital yang perlu dibedah segera mungkin, seorang pelajar perubatan Iskandariah, Mohd Zulhilmi bin Adnan yang melecur hampir 10% di bahagian muka, tangan dan lehernya turut mendapat sumbangan.

Ini merupakan sebahagian antara anak-anak Malaysia yang mendapat sumbangan PMRAM tanpa mengira ahli ataupun tidak selagi mana ianya berada dalam pengetahuan PMRAM. Kebajikan yang diperjuangkan oleh PMRAM tidak terhad kepada ahli semata-mata, akan tetapi meliputi semua anak-anak Malaysia di setiap Badan-badan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM) dalam menghulurkan sumbangan secara berterusan. Bahkan pimpinan itu sendiri akan turun bersemuka mahasiswa/wi yang ditimpa musibah bertanya khabar sambil menyampaikan sumbangan yang mampu PMRAM hulurkan.

Kebajikan yang disumbang juga banyak diperolehi daripada BKAN dan DPM melalui kutipan yang dilancarkan. Derma kilat tersebut untuk mengurangkan beban kewangan kepada anak-anak Malaysia yang ditimpa musibah meringankan masalah kos perubatan yang tidak mampu untuk ditanggungnya. Kesepakatan yang dihubung jalinkan melalui BKAN dan DPM tersebut dibawah naungan PMRAM membuktikan betapa seriusnya soal kebajikan ini dalam kamus perjuangan PMRAM terhadap anak-anak Malaysia di sini.

Segala perancangan dan khidmat bakti yang dilaksanakan oleh PMRAM sememangnya tidak akan mampu dilaksanakan seandainya tanpa sokongan dan bantuan yang padu dari kesemua ahli-ahli PMRAM. Dalam masa yang sama, kita melihat sumber kebajikan yang kukuh agak sukar untuk diperolehi melihat selepas penumpuan lebih diberikan kepada pembiakan Dana Syaqah PMRAM sebelum keuntungan selebihnya dimasukkan ke dalam Dana Kebajikan PMRAM.

Oleh yang demikian, selain memperkasakan kembali Dana Kebajikan PMRAM melalui ahli yang baru sampai sebanyak LE 5 setahun, pihak persatuan juga mengharapkan bantuan dari ahli untuk disalurkan kepada dana kebajikan ini. PMRAM berharap semoga ahli yang pulang ke Malaysia terutamanya dapat mencari sumber kewangan bagi dana kebajikan PMRAM ini untuk disalurkan secara menyeluruh. Dalam masa yang sama pemerkasaan dan pencarian dana di peringkat Mesir juga luar dari Mesir dalam memastikan misi kebajikan yang diperjuangkan dapat terus dicurah.

Segala amal dan kebajikan yang kita sumbangkan samada dalam bentuk material mahupun tenaga tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja. Sebaliknya ia akan dikira sebagai amal kebajikan yang akan memberatkan timbangan pahala kebajikan selagi mana segala sumbangan itu jauh dari sebarang unsur-unsur riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk. Penerimaan amalan di sisi Allah tidak lain hanyalah dengan diiringi ikhlas dan ihsan semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya. Bertepatan dengan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Asr :

والعصر* إن الإنسان لفي خسر* إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات* وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر*

Semoga segala perancangan dalam melaksanakan misi kebajikan kepada ahli dalam apa jua aspek mampu direalisasikan biarpun tidak secara menyeluruh, mungkin ianya mampu laksanakan beransur-ansur. Untuk akhirnya agar harapan semoga kebersamaan ahli dalam mendokong PMRAM dapat dikekalkan bagi selagi mana ianya berlandaskan kepada tuntutan Syara’. Bersama kita realisasikan wacana menggembleng seluruh kekuatan di semua aspek seiring dengan ilmu dan thaqafah yang dipasak rapi. Seterusnya mengangkat wadah ‘Julang Thaqafah Bakti Dicurah’ bagi wawasan kepimpinan mendatang.


Manuskrip asal oleh,

Ketua Badan Kebajikan Dan Tabung Derma sesi 2007,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.


Kata Muthaqqaf:
Entri ini adalah hasil tangan penulis yang pernah dimuatkan di dalam buku Ucapan Dasar Presiden 2008 pada Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-75 dan Muktamar HEWI kali ke-21 yang lepas. Sekadar ingin memberitahu pembaca bahawa PMRAM tidak akan sekali-kali lari dari tujuan utamanya untuk menghulurkan kebajikan dalam skop yang luas selagi mana tidak menyalahi tuntutan Syara' (Quran dan Sunnah) selaku dasar utama perjalanan persekutuan ini.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


No comments: