بسم الله الرحمن الرحيم
Dewasa ini kelihatan di sana sini kebangkitan Islam berlaku di mana-mana. Penerimaan masyarakat dunia terhadap relevannya Islam sebagai pegangan hidup yang sebenar semakin terserlah. Walaupun usaha musuh-musuh Islam, dengan memburuk-burukkan Islam dengan pelbagai propaganda, ianya tidak melemahkan jiwa para pengkaji kebenaran dalam membandingkan dan mencari pegangan hidup yang syumul.
Mutakhir ini, kelihatan suasana masyarakat Islam itu sendiri semakin menyedari tuntutan mendalami ajaran Islam yang sebenar. Kesedaran yang tinggi ini timbul apabila mereka semakin keliru dengan pelbagai pembawakan yang diketengahkan dengan tujuan 'rebranding' Islam yang telah sedia sempurna di kala kewafatan Nabi SAW. Islam yang di tunjangkan dengan suluhan sinar Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang melengkapi setiap aspek kehidupan. Tiada keraguan Islam yang dibawa oleh Insan Teragung ini dari dahulu hinggalah ke hari kiamat kelak.
Dunia juga menyaksikan sejak kebelakangan ini penjelasan mengenai manhaj Islam yang sebenar ini semakin mendapat tempat di hati umat Islam sedikit demi sedikit. Walaupun dicemari dengan pembaharuan yang kononnya ingin menyedarkan umat Islam dengan pelbagai istilah yang mengelirukan ternyata ianya gagal. Islam Liberal, Islam Hadhari dan seumpamanya digunakan untuk mendekati hati umat Islam gagal mendapat tempat. Akhirnya pembawakan gagasan tersebut semakin terkubur begitu kecuali inividu-individu yang tertentu.
Di kebanyakan negara Islam bahkan negara barat itu sendiri dilihat kebangkitan Islam berlaku dengan sekelip mata. Pembohongan para orientalis dan penyebar maklumat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama Islam sebagai agama Allah. Usaha tersebut akhirnya menemui jalan buntu yang akhirnya memberikan implikasi yang lebih besar kepada masyarakat sesebuah negara itu.
Sebagai contoh peristiwa 11 September yang menuding jari kepada pejuang-pejuang kebangkitan Islam yang merencanakan segala perkara ini. Sehingga mereka menuduh Islam itu sebagai pengganas, jahat, agresif dan segala sifat yang buruk. Peristiwa tersebut seterusnya membawa kepada penyerangan secara membuta tuli terhadap negara-negara Islam dengan alasan ingin memburu pengganas dan pejuang Islam yang membahayakan masyarakat.
Itu adalah satu kenyataan yang berbaur politik yang menyentuh sensitiviti keagamaan. Lantas melarikan isu tersebut kepada peperangan yang meragut jutaan nyawa umat Islam tanpa belas kasihan. Tanpa mengira warga tua, wanita, kanak-kanak semuanya dibelasah sehingga bergelimpangan nyawa yang tidak berdosa di sana sini. Semoga mereka semua digolongkan Allah dikalangan para syuhada yang sentiasa mendapat tempat di sisiNya.
Segala rencana dan propaganda jahat mereka itu tidak bertahan lama. Setelah bertahun-tahun lamanya mereka memerangi umat Islam dengan alasan yang diragui akhirnya rencana mereka terbongkar oleh pengkaji-pengkaji dikalangan mereka sendiri. Penganut mereka sendiri merasa hairan dengan peristiwa yang diketahui secara terperinci oleh pihak Amerika dan dilakukan oleh pengganas-pengganas di kalangan umat Islam. Namun akhirnya mereka tersungkur jua. Lantas mendapat kritikan dan kecaman hebat lontaran suara-suara yang menginginkan kebenaran.
Akibat dari peristiwa yang amat licik ini dan pembongkaran yang berjaya disingkap menyebabkan Islam semakin dikenali. Bahkan agama yang menguasai majoriti umat di dunia ini terud di kaji dan didekati sehingga berbondong-bondongnya umat bukan Islam memeluk Islam setelah mengetahui hakikat Islam yang suci dan murni. Bukan seperti yang digembar-gemburkan. Inilah akibat dari mempermainkan dan mempersendakan Islam datangnya dari Allah. Islam itu tertinggi bahkan tiada yang lebih tinggi darinya!
Kembali kepada tajuk asal perbincangan yang penulis ingin bentangkan kepada para pembaca sekalian mengenai konsep ketuanan yang sebenar. Pasca variasi peristiwa yang menekan dan memburukkan umat Islam telah menyebabkan manusia melihat ada sesuatu yang tidak kena. Musuh-musuh Islam seolah-olah ingin mengalih pandangan masyarakat dunia mengenai kekejaman yang mereka lakukan. Kekejaman dan kemusnahan yang menatijahkan sebuah hikmah yang terbaik kepada Islam untuk dipelajari dan dihayati manhajnya oleh para pengkaji.
Disebalik kekejaman dan peralihan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam yang nyata di hadapan mata, terdapat juga segelintir 'duri dalam daging' yang berusaha untuk memesongkan umat Islam daripada menghayati manhaj Islam yang sebenarnya. Sebagaimana penjelasan penulis di awal muqaddimah tadi dengan pengenalan nama-nama baru untuk Islam seolah-olah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tidak sempurna, kolot dan jumud.
Hakikatnya mereka cuba untuk memperkenalkan fahaman Islam yang baru yang dilihat mengambil Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Pengenalan dan pengubahsuaian ini dilihat mengelirukan umat Islam dengan penekanan kepada beberapa aspek yang dikira penting untuk kepentingan negara dan peribadi tanpa mengambil kira pembawakan sebenar yang menyeluruh merangkumi umat Islam dan bukan Islam secara adil dan saksama.
Jika diperhatikan suasana di Tanah Air pula, semenjak kemerdekaan yang dikecapi pada tahun 1957 hinggalah ke tahun ini tidak pernah sekali pun soal ketuanan Islam menjadi agenda utama negara. Bahkan yang menjadi tunggak utama adalah kemajuan dan pembangunan untuk memastikan sasaran negara maju tercapai pada tahun 2020 tanpa mengira aspek pembangunan dalaman insan. Aspek pembangunan insan yang dimaksudkan adalah penerapan nilai-nilai Islam sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran dan Sunnah.
Selain itu agenda ketuanan Melayu yang diuar-uarkan saban tahun dilihat gagal menyelesaikan masalah umat Melayu-Islam kerana institusi Melayu dilihat semakin pupus dan luput. Malah ianya semakin basi untuk dihayati perjuangan ini kerana perjuangan mempertahankan Melayu tidak sampai ke mana.
Perjuangan yang lebih mengutamakan pembebasan dan mempertahankan bangsa tidak akan memberikan sebarang impak yang besar bahkan ianya akan merencatkan proses pembangunan Islam. Malah Islam melarang perjuangan yang hanya mementingkan soal bangsa dan perkauman yang jelas bukan dari kalangan umat Nabi SAW.
Ketuanan Islam adalah agenda yang sepatutnya diperinci dan diperbahaskan supaya terlaksana dengan jayanya. Isu bangsa tidak akan membawa sesebuah negara pergi lebih jauh kerana lebih tertumpu dalam menyelesaikan masalah bangsa yang enteng dan tidak menemui jalan penyelesaiannya. Dalam masa yang sama isu Melayu ini sesuatu yang terlalu khusus kepada perkauman berbanding isu ketuanan Islam yang menyeluruh merangkumi segenap aspek tanpa mengira kaum, bangsa dan negara. Bahkan setiap masalah yang timbul sekiranya diamati terkandung setiap inci penyelesaiannya di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan yang mampu penulis kupas terhadap permalasahan semasa yang menjadi perbahasan hangat di bibir-bibir masyarakat masa kini. Cukuplah perbahasan mengenai dua ketuanan tersebut supaya dihayati yang manakah memberikan kepentingan yang besar untuk diutamakan. Manakala ketuanan rakyat dan ketuanan kroni juga tidak akan membawa kepada penyelesaian yang terbaik. Kecuali segalanya itu kembali kepada ketuanan Islam yang meliputi segala jenis unsur-unsur ketuanan yang lainnya.
Syabas dan tahniah kepada para pembaca sekalian yang membuat pilihan yang terbaik dalam undian yang penulis sediakan walaupun terdapat juga minoriti yang mengundi ketuanan selain Islam. Semoga penjelasan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak memberikan maklumat dan penjelasan tambahan kepada kita bersama. Berikut adalah hasil penuh undian yang bertajuk 'Antara ketuanan-ketuanan berikut, manakah yang lebih utama?' :
- Ketuanan Melayu : 2 orang [6%]
- Ketuanan Rakyat : seorang [3%]
- Ketuanan Islam : 28 orang [88%]
- Ketuanan Kroni : seorang [3%]
Terima kasih kerana memberikan kerjasama yang baik dalam memberikan sebuah impak yang semaksima mungkin demi untuk memartabatkan Islam di Malaysia seterusnya di mata dunia.
Kata Muthaqqaf:Kepada mereka yang mengundi keutamaan ketuanan selain ketuanan Islam ayuh bersama kembali kepada seruan Islam yang sebenar tanpa mengutamakan prioriti bangsa dan kaum semata-mata kerana ianya bercanggah dengan gesaan Quran dan Sunnah yang terpuji. Kerana Nabi SAW sendiri tidak menyukai umatnya menyeru ke arah perkauman bangsanya sahaja dalam masa yang sama saudara sebangsanya yang lain ditindas dan dibiarkan begitu sahaja. Maka dengan itu kembalilah kepada ketuanan Islam yang jelas mennjurus kepada perpaduan dan kesatuan ummah sejagat.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment