بسم الله الرحمن الرحيم
Islam agama universal yang menjadi anutan majoriti masyarakat dunia. Realiti terhadap perkara ini tidak dapat disangkal lagi kerana kebenaran Islam tidak mampu untuk dipersendakan oleh mana-mana pihak. Islam menjadi rujukan utama dalam segenap arca kehidupan manusiawi untuk kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi. Segalanya berhajat kepada pautan doa yang penuh keikhlasan kepada Rabbul Izzati.
Doa bukanlah sesuatu yang janggal dalam kehidupan orang yang beragama. Jika diperhatikan dalam apa jua agama, anutan dan kepercayaan ketuhanan manusia menjadikan doa sebagai perantaraan untuk mengadu domba kepada Tuhan masing-masing. Pautan doa merupakan senjata bagi mereka memohon bantuan dan hajat kepada Tuhan kepercayaan masing-masing. Yang pastinya permohonan doa kepada selain Allah SWT tidak sekali-kali memberikan sebarang manfaat mahupun mudarat kepadanya.
Berbanding Islam yang merupakan agama yang diiktiraf di sisi Allah sebagai agama untuk sampai kepadaNya. Sisipan doa merupakan antara elemen terpenting dalam kehidupan seharian manusia untuk memperolehi kekuatan, keberkatan dan kebaikan disepanjang menempuh perjalanan seharian. Tiada agama selain Islam di dunia ini yang menitikberatkan keperluan berdoa sebagai senjata utama supaya diberikan pimpinan dan petunjuk ke jalan yang diredhaiNya.
Doa Hanya Kepada Allah
Sebagaimana umum yang bergelar umat Islam mengetahui akan kepentingan berdoa ini untuk memperolehi ketenangan dalam kehidupan. Bahkan melalui doa ianya mampu mengubah nasib seseorang yang buruk kepada lebih baik dengan izin Allah. Masyarakat Malaysia terutamanya amat bersyukur kerana diajar semenjak kecil lagi dengan bacaan-bacaan doa dalam segenap perbuatan. Lebih-lebih lagi selepas menunaikan solat fardhu 5 waktu secara berjamaah. Berbanding bangsa dan masyarakat lain yang kebanyakannya melihat keperluan berdoa terpulang kepada individu itu sendiri.
Sebagai contoh penulis di Perlembahan Nil yang penuh barakah ini, amalan membaca doa selepas solat berjamaah tidak menjadi satu kebiasaan kerana masing-masing lantas bertempiaran seusai menunaikannya. Segalanya bergantung kepada individu itu sendiri dalam memaut utusan doanya kepada Allah Azza Wa Jalla.
Walaupun tuntutan berdoa ini hanya perkara yang sunat untuk dipraktikkan secara berjamaah namun terdapat hikmah disebaliknya berbanding berdoa secara bersendirian. Perkara ini dilihat kerana melalui pautan doa secara berjamaah itu dilihat mampu memakbulkan doa tersebut bergantung kepada pilihan Allah. Dalam masa yang sama amalan secara berjamaah juga sesuatu yang dituntut oleh Islam selagi mana perkara itu tidak melanggar lunas-lunas Islam dan mensyirikkan Allah.
Usah termakan dengan hasutan para penyokong radikal fahaman Wahabisme yang membid'ahkan segala amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW pada zaman Baginda. Fahaman yang berbaur perpecahan itu dilihat mengundang keretakan penyatuan ummah Islamiah untuk bersatu di bawah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pilihan sepakat semua ulama tersohor dahulu dan masa kini. Fahaman yang membahayakan umat Islam ini dilihat mampu mengundang bala ke atas umat Islam seandainya berterusan.
Amalan berdoa ini bukanlah sesuatu yang baru. Walaupun ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW akan tetapi ia diamalkan oleh para sahabat pada zaman Baginda sebagai contoh Saidina Umar Al-Khattab. Seusai beliau menunaikan solat berjamaah bersama para sahabatnya yang lain, lantas beliau menadah tangan berdoa kepada Allah sambil disaksikan oleh Rasulullah SAW. Baginda yang memerhatikan peristiwa tersebut tidak mengiyakan dan juga tidak melarang.
Menurut perbahasan ulama sekiranya sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW akan tetapi Baginda menyaksikannya, ianya diterima walaupun pada ketika itu Baginda tidak mengatakan ia ataupun tidak. Apatah lagi sebagaimana yang kita ketahui para Khalifah Ar-Rasyidin yang 4 itu merupakan antara mereka yang telah dijanjikan syurga tanpa hisab oleh Rasulullah SAW. Siapakah kita yang ingin mempertikaikan keperibadian para sahabat?
Doa Amalan Para Wali, Solihin
Selain ianya menjadi amalan para sahabat dan tabiin yang merupakan golongan yang paling hampir dengan zaman Rasulullah SAW dan amat digalakkan. Mereka yang amat dekat dengan Allah dengan ketaatan secara total yang jauh dari maksiat amat mudah diterima doanya berbanding umat selepasnya. Namun di celah-celah dunia yang penuh dengan pancaroba ini, masih terdapat para wali Allah dan solihin yang benar-benar mendekatkan diri mereka kepada Allah dengan amalan-amalan tertentu. Doa mereka juga tidak akan dipersiakan.
Oleh yang demikian, amalan ini sewajarnya menjadi satu amalan terbaik untuk memberikan kekuatan kepada diri. Malahan doa juga mampu menenangkan diri kepada Allah kerana DIA sahajalah yang layak menjadi tempat mengadu domba, memohon keampunan, rezeki, dijauhkan bala dan sebagainya. Usah memandang enteng amalan ini kebanyakan wali-wali Allah dan para solihin kerana menjadi satu wadah dalam mendekatkan diri kepada Allah. Kerana Allah sendiri berfirman dalam Al-Quran maksudnya : "berdoalah kepadaku, maka akan aku perkenankan."
Bahkan Rasulullah SAW sendiri bersabda dan diriwayatkan dalam banyak riwayat para sahabatnya yang bermaksud : "doa itu senjata orang-orang mukmin."
Tuntutan ini tidak akan berjaya diaplikasikan sekiranya tidak diiringi dengan dengan kekuatan iman dan keteguhan takwa kepada Allah SWT. Dalam pergerakan amalan insani juga diseru supaya menerapkan iringan usaha dan tawakal untuk menguatkan doa tersebut. Sesungguhnya Allah tidak akan mempersiakan dan menzalimi permohonan hamba-hambanya yang benar-benar taat kepadaNya. Terutama doa yang dipaut seusai usaha yang bersungguh-sungguh dan tawakal yang tinggi hanya padaNya.
Justeru itu, penulis menyeru dan menggesa seluruh umat Islam untuk memusatkan dambaan kepada Allah setiap masa tanpa mengira waktu senang mahupun susah. Perkara ini perlu bagi menghilangkan persepsi buruk yang melihat tuntutan berdoa ini hanya ketika menerima musibah bukan tatkala mengecapi nikmat. Sedarilah bahawa mukmin yang berjaya memperolehi redha Allah adalah mukmin yang muttaqin yang sentiasa memasakkan integriti kepada Allah setiap masa. Berbahagialah mereka yang mengutamakan hak Allah melebihi dari hak-hak hamba yang lain.
Kata Muthaqqaf:Sesungguhnya tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa adalah ketika sujud yang terakhir, sepertiga malam, diantara azan dan iqamat, diantara dua khutbah, orang yang teraniaya, ketika berbuka puasa, orang yang bermusafir, pemimpin yang adil, para wali dan solihin serta pautan doa yang diiringi juraian air mata keinsafan kepada Allah. Rebutlah waktu yang penulis nyatakan berdasarkan koleksi rumusan sabda Nabi SAW yang penulis ketahui untuk perkongsian kita bersama.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment