Video Klip Pilihan

Sunday, June 15, 2008

|| Manfaat Waktu Tingkat Thaqafah ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Musim cuti menjengah lagi. Akan tetapi cuti pada kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana jangka waktu yang agak panjang. Memakan masa hampir 3 bulan sebelum kembali beraksi bagi menyelami butiran-butiran ilmu di peringkat yang seterusnya. Itulah putaran roda seorang penuntut ilmu walau di mana sahaja di seluruh pelusuk dunia.

Apa yang menariknya pada musim cuti panjang ini ada juga antara mereka yang tidak melepaskan peluang untuk melepaskan rindu yang kian lama dipendam setelah sekian lama bermastautin di luar negara. Buat ke sekian kalinya kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat sementara waktu bagi memberikan suntikan semangat untuk kembali menadah ilmu. Tidak kurang hebatnya mereka yang baru setahun jagung di luar negara turut mengikuti program 'sirih pulang ke gagang' tersebut.

Nasihat penulis kepada yang akan pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat yang paling utama adalah memimpin menyampaikan lunas-lunas Islam kepada mereka. Supaya ilmu dan bakti yang diperolehi mampu dicurahkan kepada mereka agar lebih baik berbanding sebelum kita menjejakkan kaki ke persada gedung ilmu ini. Jangan biarkan diri kita pulang tanpa membawa sebarang perubahan kepada masyarakat sememangnya itu yang mereka harapkan. Satu tamparan buat diri penulis dan kalian semua.

Kelihatannya, kebanyakan azhari dan azhariah telah selesai melalui pasca peperiksaan bagi tahun ini. Sebuah dugaan ilmu yang dirasakan perlu demi menguji sejauh mana kefahaman yang diperolehi sepanjang setahun menadah ilmu di dalam bidang masing-masing. Agar setiap individu mampu untuk menterjemahkan apa yang dipelajari di dalam setiap arca kehidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Itu adalah misi dan visi utama seorang penuntut ilmu dalam apa jua bidang yang diceburi.
Tidak salah rasanya andai penulis katakan bahawasanya sia-sia seorang yang hanya menuntut ilmu di dalam bidang pilihannya tidak mengambil peluang memunggah ilmu-ilmu lain sebagai bajet tambahan. Sekurang-kurangnya setiap penuntut ilmu Allah mampu menguasai ilmu-ilmu asas bidang Bahasa Arab seperti Nahu, Sarf, Balaghah. Bidang Syariah Islamiah seperti Fiqh Syafiee dan perbandingannya, Usul Fiqh, Faraidh. Manakala bidang Usuluddin seperti Tauhid, Mantiq, Tafsir, Hadith. Adakah kita berjaya menguasai setiap ilmu-ilmu asas dalam bidang selain bidang pilihan kita dengan sebaik mungkin?

Buat pejuang yang akan meneruskan siri-siri pendedahan kefahaman Islam di tanah air juga diharapkan kalian mampu menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat untuk tatapan masyarakat. Sekaligus mematahkan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap mahasiswa dan graduan lepasan Timur Tengah ini. Kesedaran ini seharusnya bermula dari setiap individu utnuk memberikan gambaran yang terbaik kepada masyarakat di Malaysia. Apakah kita sanggup membiarkan tohmahan itu terus dilemparkan sekaligus memburukkan golongan agamawan yang memikul bebanan berat dalam menegakkan Islam di bumi Allah?

Kehangatan penulis berbicara berkenaan dengan semangat memperjuangkan maruah agama tidak sehebat yang disangka. Tidak pula hangat-hangat tahi ayam. Akan tetapi penulis hanya berusaha menyumbang yang termampu dalam mengubah nasib Islam yang kian jauh dari cara hidup Islam yang sebenar. Penulis masih kekurangan dalam banyak aspek dan dalam proses memperbaiki diri sedikit demi sedikit supaya tidak mencemarkan nama Islam. Andai ianya mampu mencemarkan nama Islam, adalah lebih baik penulis hanya membantu Islam melalui saluran secara tidak langsung bagi mengelakkan pencemaran yang lebih teruk.

Mencipta Produk Agamawan Muttaqin

Jangka waktu cuti yang agak panjang ini sepatutnya dipergunakan oleh para penuntut ilmu Allah untuk menggelintar setiap ruang ilmu yang disediakan. Sewajarnya direbut oleh si pengkaji ilmu-ilmu yang amat banyak dan tidak terbatas. Usah dipersiakan ruang dan peluang yang dikurniakan Allah di waktu senggang yang seketika itu supaya mampu dimanfaati dengan selayaknya. Agenda persatuan yang mengutamakan penguasaan thaqafah dari semasa ke semasa adalah bertepatan dengan keutamaan yang dianjurkan oleh Islam yang menggesa umatnya mendalami ilmu.

Bahkan di waktu cuti inilah akan memancar cahaya-cahaya halaqah ilmu yang tidak mampu untuk dicengkam keseluruhannya kerana keupayaan manusia yang terbatas. Malahan persatuan setiap negeri dan dewan perwakilan mahasiswa mahasiswi juga tidak melepaskan peluang mengadakan program-program membentuk insan yang muthaqqaf (insan yang berbudaya) dalam mendepani senario dunia akhir zaman yang kian mencabar. Satu analisis, penilaian dan kesedaran yang maksima perlu dititikberat untuk mendepani semua ini.

Seterusnya pesan penulis juga buat seluruh penuntut ilmu Allah sekalian agar meneruskan kesungguhan amalan pada musim imtihan yang lepas walaupun musim dugaan itu telah selesai. Perlu diingat bahawa sesuatu pekerjaan yang baik adalah apabila dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan, tidak bermusim. Kerana amalan yang bermusim itu sukar untuk ikhlas, payah dihayati dan dangkal untuk dilaksanakan. Segalanya bermula dari keprihatinan diri masing-masing. Satu penilaian dan koreksi untuk kita bersama.

Justeru itu gemblengan tenaga, minda dan semangat yang jitu diperlukan bagi memastikan kelangsungan misi ini berjaya dicapai. Ianya juga memerlukan sokongan dan dokongan dari sekalian sahabat demi merealisasikan hadaf 'Julang Thaqafah' Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir pada sesi ini mendapat sambutan yang komited. Sambutan yang bermula dari golongan kepimpinan sehinggalah ke golongan ahli bawahan demi menyahut seruan tersebut. Seiring dengan seruan Islam untuk membentuk generasi ilmuan yang berintegriti dan berkaliber.

Salam thaqafah buat semua.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: