بسم الله الرحمن الرحيم
Semakin hampirnya titik pengakhiran musim peperiksaan, semakin berjauhan pula dengan papan kekunci menaip ku rasakan. Bukan penulis malas untuk memainkan sebarang isu ataupun mencurahkan sebarang pengetahuan untuk dikongsi bersama kalian semua. Akan tetapi membayangkan kesibukan tugas yang bakal menjengah kembali ke jendela hidup penulis.
Sebuah episod tugasan seorang kepimpinan bakal ku sambung kembali bagi menyelesaikan timbunan tugas yang ku rencanakan pasca ditabalkan sebagai Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) buat tahun ke 2. Cuma amanah yang terpundak pada sesi ini lebih berat. Berat mata memandang tidak seberat bahu yang memikulnya. Sesi 2008 memberikan satu pengalaman baru untuk mendekati masalah ahli terutama yang berada di cawangan-cawangan kampus Al-Azhar di luar Kaherah selaku Naib Presiden 2 merangkap Ketua Lajnah Muhafazah.
Ya, penulis perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi mehnah yang sukar untuk digambarkan di dalam kotak pemikiran ini semata-mata. Permasalahan, tribulasi dan ujian yang berlaku sebelum musim peperiksaan pun masih perlu untukku semak kembali bagi mengetahui sejauh mana penyelesaian kepada isu yang berlaku. Penulis perlu bijak mengambil peluang dan ruang yang ada untuk memastikan segala masalah yang timbul mampu diatasi dengan penuh fleksibel. Segala komitmen yang penulis tidak akan mampu terlaksana andai tiada gemblengan yang menyeluruh dari semua pihak.
Walau apapun cabaran yang bakal menjengah kelak, penulis seharusnya bersikap lebih tenang dalam menghadapinya. Usah menanti pasca peperiksaan, semasa musim ini juga telah timbul beberapa mehnah yang perlu untuk penulis selesaikan tanpa melewah-lewahkannya. Satu ujian buat penuntut ilmu Allah tanpa mengira bila masanya dan di mana. Segalanya memerlukan persiapan dan kekuatan yang rapi bagi mengelakkan tekanan emosi di dalam suasana peperiksaan yang telah sedia tertekan.
Hidup ini perlu berbakti kepada agama kemudian barulah disusuli negara dan bangsa. Tanpa agama tiada makna kehidupan yang dilalui. Untuk itu penulis sentiasa mengutamakan soal keperluan agama dan tuntutan sekitarnya untuk memastikan inspirasi memartabatkan Islam tercapai. Walau sibuk bagaimana pun, tuntutan untuk berdakwah kepada Islam perlu diambil cakna. Moga-moga sumbangan yang kecil untuk Islam itu dapat membantu perjalanan hidup kita agar lebih berkat dan dirahmatiNya. Bantuan kalian mengingatkanku dialu-alukan.
Terima Kasih Kampus Negara!
Panjang lebar memugar semangat diri dan suntikan buat kalian, penulis sekadar ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi menyiarkan keratan artikel penulis di Portal Mahasiswa dan Siswazah Masa Kini, Kampus Negara semalam. Walaupun penyiaran tersebut tidak mendapat keizinan dari penulis terlebih dahulu, akan tetapi apabila pihak wakil portal telah memaklumkan sudah mencukupi. Lain kali jangan buat lagi (sambil ketawa kecil). Artikel penulis yang lepas bertajuk || Akhlak Remaja Semakin Kritikal! || mendapat pautan bacaan sebanyak 1152 orang! Buat susah-susah sahaja.
Ingin dikatakan seorang penulis politik, tidak. Pengkritik dasar kerajaan juga tidak. Apatah lagi salah seorang sasterawan timur tengah yang sedang menempa nama (contoh saudara Tarbus Merah) dan beberapa cendekiawan Timur Tengah yang berbakat. Penulis hanyalah penulis muda yang baru merangkak masuk untuk memperkembangkan dakwah Islamiah supaya dapat dinikmati bersama seluruh umat Islam sejagat.
Penulis tidak ingin menjadi seorang penuntut ilmu yang hanya mengutamakan kepentingan sendiri dan tega melihat saudara-saudara seakidah terus sesat, tersesat, disesatkan dan menyesatkan. Ini adalah tanggungjawab kita bersama. Nabi SAW bersabda mafhumnya : "barangsiapa yang tidak mengambil peduli soal kehidupan orang-orang Islam disekelilingnya bukanlah dia dari kalangan kami (umat Nabi SAW)."
Penulis hanyalah antara seorang pemikul amanah yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan pendedahan dan maklumat kepada umat Islam di pelusuk alam. Semoga mendapat liputan rasmi di sisi malaikat yang mencatit amal baik manusia sekaligus menghapus jejak amal buruk sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "sesungguhnya amalan-amalan yang kebajikan itu penghapus kepada dosa kesalahan." Semoga diperkenan Allah permintaan hamba yang lemah ini.
Semua umat Islam yang mengetahui dan mampu membezakannya antara yang hak dan batil perlu memperjuangkannya. Usah menjadi katak di bawah tempurung. Usah menjadi lembu yang dicucuk hidungnya. Sekadar memerhatikan dari jauh tidak melakukan sebarang usaha untuk membantu Islam supaya tertegak di persada tanah air dan dunia. Usah jadikan alasan masin menuntut ilmu menyebabkan usaha membantu menegakkan kebenaran terbantut sehingga selesai pengajian. Nabi SAW bersabda mafhumnya : "berkatalah yang benar walaupun pahit."
Semoga sedikit coretan yang terselit disebalik celahan artikel-artikel ilmiah penulis ini memberikan sedikit gambaran jelas kepada seluruh sidang pembaca akan tanggungjawab penuntut ilmu Allah di akhir zaman yang kian menghampiri noktahnya. Akan tetapi perjuangan menegakkan kebenaran dan menegakkan kalimah Allah tidak akan pernah ternoktah sehinggalah Islam itu kembali menjadi sinar kehidupan umat manusia. Sekian buat tatapan kalian semua.
Kata Muthaqqaf:Bersama-sama sedar dari lamunan yang panjang yang pastinya masih angan-angan kosong. Bangkitlah dari lena dan gembleng seluruh kekuatan yang ada untuk mempertaruhkan nyawa dan seluruhnya demi mendaulatkan Islam. Agar ianya akan kembali menjadi cara hidup umat Islam yang sebenar dengan meninggalkan cara hidup yang diperkenalkan oleh pihak barat untuk memesongkan umat Islam terhadap agamanya sendiri. Amanah penuntut ilmu Allah tidak semudah yang difikirkan.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment