Video Klip Pilihan

Thursday, June 12, 2008

|| Menyemai Sikap Kebersamaan ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Masih segar di ingatan penulis tatkala berada di bangku sekolah Tabika, menyusul seterusnya sekolah rendah diikuti sekolah menengah dan pra universiti di Maahad Johor sehinggalah penulis diizinkan menjejakkan kaki ke bumi penuh barakah ini. Bumi gedung untuk menimba ilmu yang tidak terluah sebuah bumi yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ilmu dari segenap variasi ulama yang tersohor.

Pengalaman yang ditimba disepanjang perjalanan menuntut ilmu yang amat panjang ini semakin mematangkan diri penulis. Demikian juga sesiapa sahaja yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading untuk memperolehi segulung ijazah yang amat diidam-idamkan oleh keluarga, masyarakat dan negara. Lantas untuk mencurahkan ilmu yang diperolehi tersebut ke dalam acuan masyarakat supaya terpimpin untuk kembali ke jalan yang benar-benar diredhaiNya.

Penulis yang sekarang telah pun berada di tahun akhir, yang akan menghabisi peperiksaan di peringkat sarjana ini pada hari esok. Bagaimanakah nasib dan takdir yang bakal penulis perolehi masih tidak dapat dipastikan setelah menduduki zon selesa selama 3 tahun berturut-turut kerana dirasakan terdapat kekurangan. Semuanya bergantung pada kehendak dan ketentuan Allah Taala yang mengatur akan setiap sesuatu. Moga kejayaan bakal menanti menjadi milik kita bersama demi untuk memartabatkan Islam kelak walaupun diri ini masih serba kekurangan dan serba berdosa.

Kembali kepada hadaf yang penulis ingin sampaikan pada entri kali ini 'menyemai sikap kebersamaan'. Satu ungkapan yang mudah untuk difahami, senang untuk dihayati akan tetapi sukar untuk dijalani. Selaku umat Islam yang sememangnya memahami sebuah tuntutan yang mengajak ke arah kebaikan dengan melaksanakan norma-norma yang menjurus kepada kebersamaan. Kebersamaan yang dinilai dengan mencerna setiap jiwa insan supaya sanggup mengharungi suka duka secara berjamaah dalam menegakkan syiar Islam.

Jauh menerawang dalam memperincikan ungkapan menyemai sifat kebersamaan sehingga memungkinkan ada dikalangan kalian yang masih kurang mengerti apa yang sebenarnya penulis ingin sampaikan. Dipendekkan cerita penulis, sebenarnya ingin memutar kembali kisah silam hidup sebagai seorang pelajar ketika masih kecil sehinggalah ke peringkat universiti berkaitan dengan amalan gotong royong. Penulis dapat rasakan kalian turut melaluinya ketika di alam persekolahan, di asrama terutamanya.

Masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat kampung sudah semestinya terbiasa dengan amalan ini. Sebuah amalan murni yang bukan sahaja menjadi adat masyarakat Malaysia bahkan ianya merupakan sesuatu yang digesa dan dituntut oleh Islam supaya saling bantu membantu ringankan tulang diantara satu sama lain untuk memakmurkan bumi Allah ini. Bertepatan dengan seruan Ilahi dalam firmanNya yang bermaksud : "Dan bantu membantulah ke arah perkara-perkara kebajikan dan ketakwaan dan janganlah pula kamu bantu membantu ke arah perkara-perkara kemaksiatan dan permusuhan."

Semenjak di bangku sekolah sehinggalah ke bangku universiti ini amalan ini seolah-olah sudah berdarah daging dalam diri penulis. Ianya menyeronokkan dan mewujudkan sikap kebersamaan yang berpanjangan antara satu sama lain. Bahkan ianya dilihat mampu mengukuhkan silaturahim sesama kita dengan huluran tangan demi meringankan bebanan saudara yang disayangi kerana Allah. Namun persoalannya adakah amalan ini masih dipraktikkan atau lupus ditelan zaman?


Alhamdulillah kehidupan penulis selaku mahasiswa di bumi Mesir masih mengamalkan aktiviti kebersamaan ini untuk memupuk nilai-nilai murni ini. Sebagaimana yang penulis ukirkan dipermulaan entri bahawasanya amalan ini begitu mudah untuk difahami dan begitu senang untuk hayati akan tetapi sukar untuk dilaksanakan sekiranyan tidak ditanam di dalam diri setiap jiwa. Nampak mudah akan tetapi hakikatnya berapa kerat sahaja mereka yang bersungguh-sungguh untuk menyahut seruan ini.

Segala pokok permasalahan ini seandainya diamati secara automatik kembali kepada diri masing-masing dalam menyelami pendekatan tersebut. Jelasnya perkara ini penulis lihat tidak layak untuk dilabel dengan menyemai kerana kalimah menyemai lebih tertumpu untuk memberikan kesedaran kepada mereka yang tidak mempunyai pengetahuan jelas berkenaan perkara ini. Tepuk dada, tanyalah diri masing-masing adakah selama ini kita menghulurkan bantuan yang sewajarnya demi meringankan bebanan ditanggung bersama.

Jadikan segala amalan dan perkara yanb bersifat kebajikan sebagai pusat pendidikan supaya mampu mendidik diri menjadi insan yang berjasa kepada masyarakat dan berbakti kepada Allah. Disamping amalan ini juga boleh dijadikan sebagai penambah perisa bagi memperkasa amalan seharian kita. Dan yang paling utama ianya mampu menjadi penolong dalam mempermudahkan segala urusan yang dilalui dunia menuju alam akhirat. Sekian dimaklumkan.

Kata Muthaqqaf:Setiap hari Jumaat, Hostel Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang merupakan penempatan penulis diadakan hari gotong royong demi mengekalkan kebersihan yang berterusan. Lebih-lebih lagi bumi Mesir ini negara yang kering dalam apa jua musim mengundang kehadiran habuk mencemari keindahan pandangan mata dalam sekelip mata. Tidak hairanlah amalan ini diteruskan semata-mata memenuhi tuntutan seruan Nabi SAW yang bermaksud : "kebersihan itu sebahagian daripada iman." Barangsiapa tidak menjaga kebersihan maka berkuranganlah imannya. (Lu fikirlah sendiri!)

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: