Video Klip Pilihan

Thursday, June 19, 2008

|| Hati, Minda, Nafsu ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Agak lama juga rasanya jari jemari ini tidak mengetuk papan kekunci mencipta entri-entri terkini untuk dikongsi bersama kalian. Keletihan harian yang melemahkan tulang empat keratku membatasi segala ruang kerja yang biasa dilakukan semasa musim peperiksaan yang lepas. Inilah hakikat yang perlu di akui apabila selesai kesibukan pasca peperiksaan hampir 2 bulan itu, maka kini penulis berhadapan dengan detik-detik yang lebih sibuk berbanding musim peperiksaan.

Tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu terhadap institusi pengajian akan berakhir tatkala berdebar menantikan keputusan peperiksaan tersebut. Namun perjuangan menuntut ilmu tidak akan pernah selesai sehinggalah manusia itu dibaringkan ke dalam liang lahad. Pada ketika itu manusia juga diajar bagaimana untuk menjawab soalan-soalan yang bakal disoal oleh 2 utusan Allah, Mungkar dan Nakir. Keputusan peperiksaan yang bakal menerjah keluar sekitar Ogos merupakan penentu hala tujuku di kemudian hari.

Musim peperiksaan bagi penulis merupakan musim yang merehatkan fizikal dan minda dengan lebih santai berbanding selain musim peperiksaan. Berbeza bagi mereka yang tidak memegang tanggungjawab selain seorang penuntut ilmu semata-mata, penulis dan beberapa orang sahabat yang lain diamanahkan dengan tanggungjawab seorang pemimpin pula. Oleh itu, selepas musim peperiksaan bukan musim rehat dan santai bagi kami.

Sayugia itu, amanah ini adalah pilihan Allah untuk mendidik manusia yang memang telah sedia dilantik sebagai khalifah secara rasmi walaupun tiada watikah perlantikan rasmi sebagaimana biasa. Sebagaimana yang termaktub di dalam firmanNya yang bermaksud :

"Dan apabila Tuhanmu ( Ya Rasulullah SAW) bertanya kepada para malaikat : Sesungguhnya aku ingin mencipta di muka bumi ini khalifah..."

Cuma yang membezakan amanah khalifah tersebut adalah berbeza mengikut prioroti dan peringkat yang ditentukan berdasarkan kemampuan manusia itu. Menerusi firmanNya Allah mengatakan :

"Tidaklah Allah itu membebankan seseorang itu dengan sesuatu amanah kecuali dia benar-benar mampu memikulnya."
____________________________________________________________________________

Soalnya Hati

Seringkali hati ini membisikkan ke corong pancaindera,
Suntikan kalamullah dan sahutan sabda Nabi SAW pengubat rindu,
Dikala menghadapi tekanan melaksanakan tanggungjawab yang semakin berat,
Hati ini sering merintih memohon kekuatan untuk memandu diri ini,
Supaya mampu melaksanakan segala perancangan dengan jayanya,

Walaupun di sana pasti akan ada kekurangan dan kecacatannya,
Namun yang terbaik perlu dilakukan.

Duhai hati,
Engkau tenanglah dalam menongkah setiap liku-liku,
Pastinya tanpa diduga menerjah tanpa dipinta,
Ingatlah akan janji-janji Allah,
Terhadap mereka-mereka yang membantu agamaNya,
Terus terpimpin dengan acuan yang terbaik pimpinan Ilahi.

Ekspresi Minda

Untukmu minda,
Jadilah pemikir yang cemerlang,
Usah memikirkan kesusahan dan kepentingan diri semata-mata,
Sumbanglah idea yang bukan sekadar mampu membangunkan diri,
Bahkan membangunkan institusi Islam dan ummah,
Minda adalah inspirasi terpenting dalam membentuk,
Menggerakkan sebuah perancangan dengan jayanya,
Usah gusar dengan musykilah yang bertaburan,
Hadapilah ianya dengan penuh tabah dan cekal.

Buat minda penuh berjasa,
Tanpamu tidak mungkin segala yang difikir mampu direalisasikan,
Butiran mutiara yang disumbangkan dicernakan dengan sebaiknya,
Lontaran minda selainmu perlu dititikberatkan,
Untuk mengimbangkan sesuatu rancangan supaya lebih berjaya,
Jauhkan kepentingan dirimu sendiri,
Dan utamakan kepentingan orang lain,
Selagi memenuhi norma-norma perancangan yang disusun,
Jadikan eksperisi mindamu terpimpin,
Dan diterima dengan kesaksamaan yang dicipta,

Ingatkan Nafsu

Wahai nafsu buatmu tiada kompromi,
Banyak keinginanmu menyalahi tuntutan Ilahi yang suci,
Ku akui lemah mengawal setiap gerak langkahmu,
Namun kuasa mutlak di tanganku menentukan setiap keputusan,
Tegakah aku membiarkanmu menguasai diriku melanggar hukum Maha Pencipta?
Satu penilaian amaran untuk diri supaya setiap perbuatan dan tingkah diawasi,
Bagi memastikan tidak terlajak mengundang murka yang amat dahsyat,
Terhadap golongan yang mengetahui,
Berbanding mereka yang cetek pengetahuannya.


Sudah berapa ramai manusia yang tenggelam,
Dengan kenikmatan nafsu yang tercela,

Sudah berapa ramai manusia terleka mengikut telunjuk serakah,
Yang dijanjikan azab teramat pedih,
Sudah berapa ramai manusia yang sesat,
Menyesatkan dan terus tersesat,
Terdorong keinginannya membawa diri jauh dari dari redhaNya,
Menjemput diri berada di dunia kegelapan,
Jauh dari sinar taufiq dan hidayah yang Esa,
Melempar jauh jasad dan roh dari terus dipimpin menuju redhaNya.

Nukilan Muthaqqaf Azhari|Hostel Pelajar-pelajar Johor di Kaherah|Mesir|Rabu|830 pagi|
_____________________________________________________________________________

Dambaan Nurani

Konklusinya tidak semudah digambarkan. Bersamalah kita membangunkan hati dan minda kita dengan komitmen yang maksimum bagi menatijahkan sebuah hasil yang memberangsangkan. Seterusnya ayuh bersama kita mendidik nafsu mengikut acuan yang berhikmah bukan melenyapkan peranannya, akan tetapi mendidiknya supaya mengikut norma-norma yang berlandaskan lunas-lunas Islam yang mulia. Usah biarkan ianya terkontang-kanting dengan kesesatan yang berpanjangan.
Hakikat sebuah kejayaan dalam mentarbiah sesebuah institusi kekeluargaan, masyarakat, organisasi dan negara adalah dengan berjayanya mendidik diri dari segenap aspek tadi. Seandainya ke tiga-tiga unsur ini berjaya di adaptasikan dalam diri maka perjalanan dalam menongkah sesebuah kelompok masyarakat akan dipermudahkan Allah dengan bantuan yang tanpa disangka-sangka.

Penulis bukanlah yang terbaik kerana ketiga-tiga aspek tersebut masih dalam proses untuk diimbangi supaya sejajar dengan tuntutan Islam. Manusia tiada yang memenuhi segenap aspek dalam kehidupannya. Pasti akan ada kecacatan yang timbul kerana kelemahan diri dalam mengatur elemen-elemen penting yang perlu diutamakan dalam keutamaan hidupnya. Pimpinan, saranan dan sokongan dari setiap individu masyarakat sekeliling amatlah perlu bagi menjayakan sasaran yang dirancang untuk kepentingan bersama.

Kata Muthaqqaf:Dalam mengatur dan mendirikan ketiga-tiga elemen ini tidak akan mampu dicapai kesepakatannya kecuali dengan bantuan seluruh kelompon individu supaya tiada elemen yang tercicir dek kerana kelalaian dan kecuaian dalam menguruskannya. Harapan penulis supaya sumbangan yang sepenuhnya dari kalian amatlah diperlukan bagi merealisasikan impian menggapai redhaNya milik bersama untuk menuju kehidupan hakiki kelak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: