Hari ini sekali lagi seluruh rakyat Malaysia digemparkan dengan sebuah pengumuman yang amat dinanti-nantikan selama ini. Pengumuman yang selama ini dilaung-laungkan oleh Pak Lah ketika sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 untuk memberikan kesenangan yang terbaik untuk rakyat. Ingin memberikan perubahan hidup kepada rakyat dari segenap sudut supaya lebih baik dari sebelumnya.
Rakyat Malaysia buat kesekian kalinya telah membuat satu pilihan yang bijak dan tepat sehingga berjaya mempertahankan kepimpinan Pak Lah masih duduk di kerusi empuknya untuk menunaikan janji-janjinya sebelum PRU12 yang lepas. Sedikit demi sedikit janji-janji yang dilaungkan dahulu ternyata tampak tertunai. Banyak perubahan yang Pak Lah lakukan semenjak kemenangan yang dikecapinya selama 2 bulan ini. Satu persatu perubahan untuk rakyat dilakukannya.
Rakyat telah melihat dan merasakan nikmat janji-janji Pak Lah bersama barisan kepimpinan kabinet kerajaannya yang lain. Sungguh manis dan memberikan kelegaan dengan pelbagai subsidi yang diberikan untuk meringankan bebanan rakyat. Beruntungnya menjadi rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Pak Lah yang sentiasa 'berjaga' dalam memberikan sepenuh perhatiannya terhadap permasalahan rakyat jelata. Fakta atau auta?
Ya, setelah kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan kembali menyambung kontrak kerajaan Malaysia setelah memerintah Malaysia dengan penuh gemilang, cemerlang dan terbilang dari sudut kemajuan. Malaysia kini menjadi antara negara Islam yang membangun yang berjaya. Sungguh dibangga-banggakan oleh seluruh kepimpinan beliau sehingga disebut-sebut Malaysia sebagai negara Islam paling yang membangun dan maju di dalam ucapan-ucapannya.
Menjadi tanda tanya bagi penulis kalau kita lihat pembangunan sebuah negara Islam di Tanah Arab juga lebih maju bahkan malah ingin mengangkat kemajuan Malaysia yang tidak seberapa berbanding Dubai yang jauh lebih canggih, maju dan sistematik. Sejajarkah kemajuan material tanpa memikirkan kemajuan akhlak rakyatnya yang kian bejat?
Dubai yang tidak mempunyai kelebihan lain dalam membangunkan negaranya mampu mengangkat kemajuan dan pembangunan negaranya seiring dengan kedaulatan agama Islam. Kecanggihan dan kecerdikan masyarakat arab di bawah kepimpinan Perdana Menterinya yang bijak dan tegas dalam menyelesaikan masalah negaranya amat dikagumi. Meski negaranya sukar untuk memperolehi sumber ekonomi yang stabil suatu ketika dahulu akibat ketandusan sumber. Namun kini di bawah pimpinannya beliau berjaya menjadikan Dubai sebagai sebuah negara pelancongan yang terkemuka dengan mewujudkan pulau-pulau ciptaan yang amat dikagumi seluruh negara selain bergantung harap kepada sumber petroleum.
Kepimpinan beliau memberikan kesejahteraan kepada rakyatnya dengan mementingkan aspek nilai-nilai Islam disamping meneruskan usaha-usaha kemajuan dan pembangunan negaranya. Kembali kepada keadaan semasa negara yang kita cintai. Bagaimanakah penyelesaian yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang kita cintai dalam menyelesaikan masalah-masalah yang bertubi-tubi menerjah? Nilailah dengan penuh kewarasan dan timbangan akal yang terbaik.
Malaysia bersyukur kerana dikurniakan Allah tanah yang cukup subur dengan sistem pertanian disamping mampu menanam padinya sendiri untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia. Bahkan mampu juga untuk mengeksportnya untuk permintaan negara luar. Selain itu juga Malaysia juga dikurniakan anugerah hasil petroleum juga mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia seandainya diutamakan kepentingan rakyat tanpa memikirkan untung berjuta-juta yang dilihat tidak memberikan sebarang keuntungan kepada rakyat. Ke manakah perginya keuntungan jualan minyak tersebut?
Pak Lah Mengotai Janjinya
Hari ini Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali dengan panggilan mesranya Pak Lah mengumumkan kenaikan harga minyak bermula tengah malam ini. Kenaikan ini turut dimaklumkan bahawa rakyat masih mampu menikmati subsidi apabila membayar cukai jalan apabila telah tamat tempohnya. Yang menariknya, semenjak Pak Lah dilantik menjadi PM selama hampir 5 tahun sudah 7 kali beliau menaikkan harga minyak. Satu rekod yang sukar untuk dibuat oleh mana-mana PM kecuali beliau. Tahniah diucapkan.
Bagaimana Malaysia yang mempunyai komoditi hasil minyak petroleumnya sendiri juga turut tersepit dengan kelambungan harga pasaran minyak dunia bahkan dalam masa yang sangat singkat. Seingat penulis tidak sampai setahun sudah kali ke 2 beliau menaikkannya. Beliau pernah menjanjikan tidak akan menaikkan harga minyak apabila kerajaan sebelum PRU12 kembali mendapat mandat memerintah Malaysia. Nampaknya cakap tidak seindah yang diimpikan oleh semua pihak. Segalanya kembali kepada Allah yang sememangnya mengetahui dan mentadbir akan tiap-tiap sesuatu.
Sesuatu yang mendatang tidak mudah untuk dijangka akan terjadi adalah di luar bidang kuasa manusia. Meskipun begitu manusia seharusnya menggunakan nikmat kebijakan dan kecerdikan yang dikurniakan Allah kepadanya untuk memanipulasi keadaan supaya tidak bertambah parah. Lebih-lebih lagi pemimpin yang seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat jelata berbanding dirinya sebagaimana pemimpin-pemimpin Islam terdahulu. Tidak seperti kini kita lihat pemimpin yang duduk di atas senang lenang duduk goyang kaki sedangkan rakyat jelata di bawah merana, tersepit dan sengsara dengan kenaikan bermacam-macam keperluan harian.
Sukar untuk diperjelaskan dan diselesaikan permasalahan yang kian membebankan rakyat jelata ini andai tiada satu kesedaran untuk lebih mengutamakan kepentingan rakyat dalam diri pimpinan atasan. Seandainya ianya masih dengan pendiriannya bergantung pada keadaan semasa yang semakin kritikal, maka kelak keadaan akan bertambah buruk juga. Perlunya kesedaran dari rakyat jelata juga dalam menentukan kepimpinan yang bakal menerajui kepimpinan negara supaya mampu menyelesaikan masalah rakyat dan mengorbankan kepentingan rakyat jelata melebihi kepentingan dirinya sendiri. Tidak cukupkah hadiah yang diberikan oleh Pak Lah untuk kali ini? Nantikan hadiah yang seterusnya dari beliau.
Berikut dilampirkan pengumuman yang dilakukan oleh Pak Lah di seluruh akhbar termasuk media arus perdana. Akan tetapi penulis hanya memetik keratan akhbar dari Harakah Daily Online kerana kerana kerap kali memetik kenyataan akhbar media arus perdana negara yang dilihat lebih memihak kepada kerajaan dan memburuk-burukkan pembangkang. Itulah yang dikatakan adil kerana mengambil seluruh elemen media sebagai sumber maklumat terkini.
_____________________________________________________________________
Kerajaan umum harga petrol naik 78 sen, diesel - RM1
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikkan harga petrol sebanyak 78 sen - satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70.
Manakala harga minyak diesel pula naik kepada RM2.50 - naik 92 sen berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter.
Menurut laporan Malaysiakini, kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 58.2 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.
Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk mengawal subsidi bagi menampung kenaikan petrol, diesel dan gas, yang dijangka berjumlah RM56 bilion tahun ini.
Kerajaan juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan.
Mengikut skim tersebut tersebut, kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM625 setahun - rebat bagi 800 liter di bawah harga baru.
Pemilik motosikal pula akan diberi rebet RM120. Bayaran akan dibuat melalui wang pos.
Difahamkan rebet tersebut akan dibayar apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka.
Kerajaan dijangka menjimatkan RM4 bilion di bawah penstrukturan semula skim subsidi tersebut.
Jika harga petrol dijual mengikut harga penuh pasaran, ia boleh mencecah setinggi hampir RM4 seliter - naik 100 peratus.
Bagaimanapun, kerajaan dijangka menuju ke arah memansuhkan terus pemberian subsidi pada masa depan. - mks.
Kata Muthaqqaf:Seingat penulis Malaysia mempunyai aset beras dan minyak yang mencukupi seandainya ditadbir dan diselenggara dengan sebaiknya untuk keutamaan rakyat jelata terlebih dahulu sebelum dieksport ke luar negara bagi memenuhi permintaan negara luar. Namun apabila pentadbiran terhadap komoditi ini tidak dititik beratkan natijahnya menimbulkan kesusahan pada rakyat jelata. Tu yang peliknya sebab susah dan senang sepatutnya dirasai bersama pemimpin dan rakyat. Berbeza dengan pemimpin negara kita yang sentiasa berada dalam zon selesa. Percaya atau tidak, kuasa di tangan anda. Terima kasih Pak Lah atas hadiah kali ini.
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment