Video Klip Pilihan

Saturday, May 16, 2009

|| Epilog Seorang Pendidik ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan hari yang diletakkan untuk mengiktiraf golongan insan bernama 'GURU'. Mereka amat bermakna kepada seluruh umat manusia dalam membentuk jatidiri seorang manusia yang berguna kepada ISLAM, negara dan bangsanya sendiri. Insan yang bergelar guru tidak pernah mengenal erti lelah. Tidak pernah mengenal erti jemu dalam mendidik anak bangsa supaya mampu berbakti kepada prioriti yang sepatutnya.

Jika diimbas kembali zaman ketika menjadi seorang murid dan pelajar, pasti akan melakarkan sebuah senyuman yang manis di bibir kita. Insan yang bergelar guru, cikgu, ustaz, ustazah, teacher dan sir merupakan gelaran yang menjadi sebutan para pelajar. Kenakalan dan kedegilan kita dalam melaksanakan kerja rumah, tidak mendengar kata dan bermacam perkara yang menyakitkan hati seorang pendidik terbayang dalam ingatan di kala dewasa.

Namun semua itu telah berlalu. Berlalunya ia merupakan suatu pengajaran kepada kita betapa susah payahnya para pendidik dalam menjalankan amanah seorang pendidik yang ternyata amat besar tanggungjawabnya. Mereka perlu memastikan para pelajar yang di bawah tanggungan mereka mendapat pelajaran, pembelajaran dan pengajaran yang semaksima mungkin agar mampu mendepani masa hadapan.

Itu adalah situasinya tatkala melalui pelbagai tahap pendidikan sehinggalah apa yang kita jadi sekarang ini. Setelah meningkat dewasa, selesai pengajian dan mengenggam segulung ijazah, menceburkan diri dalam bidang kerjaya seterusnya mendirikan rumah tangga, menjadi bapa dan ibu kepada anak-anak. Itulah putaran roda kehidupan. Para pendidik yang pernah mendidik anak bangsa yang wujud ketika ini telah menunaikan amanah mereka. Kini amanah sebagai seorang pendidik terpundak kepada kita pula.

Mahu atau tidak setiap orang pasti akan menjadi pendidik samada dalam sektor pendidikan mahupun dalam sektor kekeluargaan itu sendiri. Setiap individu akan merasa keperitan seorang pendidik yang pernah mendidik kita suatu ketika dahulu. Semoga kita semua mampu memikul amanah seorang dai'e yang tiada bezanya dengan seorang pendidik. Cuma yang membezakan lapangan yang terdapat pada seorang pendidik tertakluk di sekolah tempat mengajar sahaja. Berbanding seorang dai'e yang meliputi seluruh tempat dan masa.


Seorang dai'e itu kebanyakannya adalah pendidik. Akan tetapi tidak semua pendidik itu adalah dai'e. Dai'e adalah mereka yang mengajak umat manusia kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran kepada cahaya kebenaran ISLAM. Semoga kita mampu menjadi seorang dai'e dan pendidik yang seiring dengan tuntutan ILAHI dalam memandu umat manusia ke jalan yang diredhaiNYA.

Saya tinggalkan kalian dengan selembar bait-bait lirik lagu yang bertajuk 'Lilin Seorang Guru' nyanyian kumpulan In-Team. Semoga
bait-bait lirik lagu tersebut mampu menghadirkan kembali nostalgia saat di bangku sekolah dahulu. Seterusnya memangkinkan jatidiri kita untuk menjadi pewaris para NABI dan RASUL meneruskan kesinambungan dakwah ISLAM yang dinamik di masa mendatang.

Lilin Seorang Guru

Pernah langkahku payah,
Menuju ke destinasi,
Kerana malam gelap,
Dan bintang hilang kerdipnya,
Menjadikan arahku keliru,
Ke timur atau ke barat.

Bagai lilin membakar diri,
Menerangi kegelapan hati,
Kau curahkan bakti dan budi,
Jasamu tiada berganti.

Namun tanpa rasa payah,
Dia memimpin tanganku,
Melangkah satu persatu,
Dan mencipta jejak impian,
Menjadikan arahku jelas,
Aku harus ke hadapan.

O hooo... Aku kini rindu,
Pada satu nama yang berjasa,
Tuhan... beri kekuatan,
Untuk mendidikku selamanya,
Ku pohon restu kasihMu,
Ampunkanlah guru-guruku.

Semalam ku lihat dia,
Di bibirnya ada kalimah,
Yang bergetar saban waktu,
Sambil tangan menggenggam lilin,
Lilin yang tiada terpadam,
Menerangi hidupku kini.


Kata Muthaqqaf : SELAMAT HARI GURU buat seluruh pendidik yang pernah mendidik diri ini menjadi seorang muslim yang sejati. Guru-guru di Tabika Kemas Kampung Sri Jaya, Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perling, Sekolah Menengah ISLAM dan Tahfiz Pasir Gudang juga tidak dilupa para Doktor dan Syeikh di Universiti Al-Azhar, Mesir. Semoga rahmat ALLAH sentiasa mencucuri kalian semua di dunia dan akhirat.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: