Video Klip Pilihan

Sunday, May 31, 2009

|| Dah Hampir Sangat ||

بسم الله الرحمن الرحيم


Saat entri ini ditulis, dunia sedang berhadapan dengan pelbagai jenis wabak penyakit yang menyerang bertubi-tubi. Selepas satu, satu. Selepas AIDS, AEDES, MALARIA, H5N1 dan kini H1N1 yang lebih dikenali dengan 'influenza selsema khinzir' dalam nada yang lembut. Andai diamati setiap sesuatu kejadian yang berlaku di akhir-akhir zaman ini, situasi ini sama sekali tidak terlepas dari cengkaman ADDIN yang lengkap memenuhi setiap sudut kehidupan insani.

Mungkin ramai yang melihat setiap musibah yang melanda dunia sekarang adalah disebabkan penyakit yang terdapat pada satu-satu haiwan seterusnya tersebar kepada masyarakat manusia pula. Dari sudut sains tidak dapat dinafikan ianya merupakan jangkitan dari haiwan kepada manusia dan seumpamanya. Namun begitu, perlu diingat bahawasanya setiap yang berlaku di alam sekeliling pasti ada sangkut paut dengan setiap perbuatan manusia itu sendiri.


Ini bersesuaian dengan untaian Kalam-ALLAH dan pesanan-pesanan yang ditinggalkan oleh NABI SAW sebagai perisai tribulasi akhir zaman.

Di dalam Al-Quran sendiri ada menyebut bahawasanya setiap sesuatu kerosakan yang merangkumi penyakit wabak dan sebagainya adalah berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Bahkan dalam sabda NABI SAW menghuraikan dengan lebih jelas lagi berkenaan penyebaran wabak penyakit kepada umat manusia ini.

Dari Ibnu Umar, RASULULLAH SAW bersabda: “Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan ALLAH dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil)……” [Hadith riwayat Ibnu Majah]


Setakat ini dunia kondisi penyakit ini semakin membarah dan merebak dari sebuah negara ke negara yang lain. Ianya bermula dengan negara-negara yang jelas menolak terhadap keESAan ALLAH dan diikuti negara-negara berhampiran dengannya. Setakat informasi yang penulis perolehi, mereka yang diserang penyakit berbahaya ini adalah kaum yang masih belum menerima hidayah ISLAM.

Namun begitu, umat ISLAM tidak boleh memandang enteng 'amaran ALLAH' ini agar sentiasa bermohon kepadaNYA moga seluruh umat ISLAM dijauhkan dari bencana wabak penyakit ganjil yang kian bejat ini. Memohon keampunan kepada ALLAH atas segala dosa kemaksiatan yang telah dilakukan semoga diampunkan dan diberi pimpinan dalam setiap tingkah kelakuan memenuhi tuntutan ISLAM.

Ini adalah satu daripada tanda-tanda kiamat yang sudah menampakkan jasadnya. Tanda-tanda kiamat besar yang semakin menghampiri saat dan waktu yang tidak diketahui sesiapa pun kecuali ALLAH. Tanda-tanda yang kecil sudah semakin dilupakan. Bahkan dianggap lumrah duniawi hingga sanggup menggadaikan iman dengan kekufuran. Nauzubillahi Min Zalik.

Selepas satu bala yang melanda tanpa sempat untuk ditemui penawar muncul pula bala musibah yang baru. Akhir zaman ini merupakan zaman terakhir yang amat mencabar keimanan umat manusia terhadap RABBULIZZATI. Akhir zaman ini juga merupakan zaman di mana akan dihimpunkan segala jenis kemungkaran dan kemaksiatan yang pernah dilakukan oleh umat manusia terdahulu.


Tidak hairanlah mengapa dewasa ini satu persatu kemungkaran ini semakin tenat untuk diubati. Lihat sahajalah setiap hari dilaporkan pembunuhan anak hidup-hidup sebagaimana yang pernah terjadi pada kaum Quraisy Mekah di zaman RASULULLAH SAW.

Amalan mendatangi kaum sejenis seumpama gay, lesbian, homoseksual yang dilaknat ALLAH turut membimbangkan umat ISLAM yang pernah menjadi amalan kaum NABI ALLAH LUTH AS diazab dengan diterbalikkan negara mereka suatu ketika dahulu.

Diikuti dengan amalan maksiat lain seperti seks bebas bahkan secara terang-terangan tanpa segan silu, pembunuhan, sumbang mahram, penderhakaan kepada orang tua, yang muda tidak menghormati yang tua, jual beli minum arak yang kian berleluasa, murtad yang menjadi-jadi dan banyak lagi.

Segala apa yang berlaku di sekeliling kita itu dengan begitu pesat merebak terutama di kalangan remaja sama seperti merebaknya influenza H1N1 yang melanda dunia kini. Puncanya jelas melalui pengharaman yang diterangkan oleh Al-Quran dan Sunnah sebab apa diharamkan sesuatu perkara itu. Segalanya untuk kesejahteraan hidup umat manusia.

Namun begitu, manusia tidak nampak hikmah disebaliknya. Mereka hanya memikirkan keseronokan dan kenikmatan yang diperolehi sesuatu yang ditegah oleh ISLAM yang akhirnya mencampakkan mereka ke lurah kebinasaan. Kenikmatan dan keseronokan yang diperolehi hanya bersifat sementara. Azab dan akibatnya pula berpanjangan ketika di dunia lagi disambung di alam kubur dan klimaksnya di alam akhirat kelak.

Semoga entri kali ini adalah sebagai peringatan buat diri penulis sendiri terutamanya dan seterusnya buat tatapan sidang pembaca sekalian sebagai persediaan bekalan kita untuk mengharungi kehidupan berikutnya. Alam abadi yang tiada tara nikmatnya untuk selamanya.

Akhirnya, saya tinggalkan bacaan penghukum terhadap diri kita bersama dengan selembar lirik lagu yang menggambarkan situasi bakal tempat persinggahan yang kekal abadi.

Buatlah pilihan yang terbaik bukan hanya untuk keseronokan duniawi dengan mengetepikan ukhrawi. Bahkan ukhrawi yang menjadi keutamaan dengan mengetepikan kepentingan duniawi andai itu yang terbaik.


KEPASTIAN - INTEAM [ALLAHU RABBI 2009]

Ujian TUHAN kepada semua insan,
Adalah kehidupan ini,
Yang baik menjadi tuntutan,
Yang buruk dijauhkan.

Syurga yang dijanjikan,
Bukanlah suatu khayalan,
Tentang nikmat berpanjangan ILAHI.

Neraka yang tercipta,
Menghimpun azab derita,
Tangisan kesengsaraan insan.

Syurga adalah kelazatan,
Terbentang buat hamba beriman,
Yang kasihkah TUHANnya,
Yang kasihkan RASULnya,
Yang kasih AGAMAnya.

Neraka tempat kemurkaan,
Angkara kedurjanaan insan,
Yang lupakan TUHANnya,
Yang lupakan RASULnya,
Yang lupa AGAMAnya.

Siapakah yang lebih mulia,
Dari mereka yang tidak lupa,
Janji ALLAH adalah kepastian,
Dan nikmat syurga adalah indah.

Kata Muthaqqaf : Semoga artikel yang tidak seberapa ini mampu memberikan satu peringatan kepada kita bersama dengan melakukan satu revolusi pengabdian terhadap ALLAH sementara roh masih di jasad, sementara jantung masih bernafas. Semoga ALLAH menerima taubat permohonan keampunan atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. TAQOBBALALLAHU MINNA WA MINKUM.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

2 comments:

nadia said...

assalamualaikum..Saya amat tertarik dengan entri anda.Pada pendapat saya entri ini dapat memberikan kesedaran kepada semua pemuda dan pemudi supaya sentiasa beringat dengan apa yang telah berlaku.Oleh itu,bolehkah jika saya ingin berkongsi penulisan ini dengan umat Islam di tempat saya belajar?Semoga Allah merahmati kamu..wasalam..

Mohd Rasul Bin Amat said...

waalaikumussalam wbt...
silakan... sebarkanlah yg baik itu drku (Rasulullah saw) walau 1 ayat...
wassalam.. :)