Video Klip Pilihan

Monday, May 11, 2009

|| Erti Hidup Pada Memberi ||

بسم الله الرحمن الرحيم
Orang yang memberi lebih baik daripada orang yang menerima. Sabda NABI SAW yang ditinggalkan semenjak 1430 tahun yang lampau sentiasa menjadi rujukan utama dalam aspek akhlak untuk diikuti. Dalam Kitab-ALLAH sendiri telah merakamkan sesungguhnya pada diri NABI SAW mempunyai peri akhlak yang terpuji sebagai ikutan seluruh umat manusia. Tidak hairanlah PENGHULU SEKALIAN NABI dan RASUL ini diletakkan di tangga pertama dalam senarai orang yang berpengaruh semenjak dahulu hingga kini.

Namun persoalannya, mengapa masih ada segelintir di kalangan umat ISLAM itu sendiri tidak menjadikan BAGINDA SAW sebagai role model? Sebaliknya lebih gemar meniru akhlak dan budaya barat yang jelas meminggirkan nilai-nilai positif dalam kehidupan. Satu yang perlu difikirkan bersama oleh segenap pejuang agama ALLAH untuk menerapkan nilai-nilai akhlak terpuji yang ditinggalkan oleh BAGINDA SAW agar mendapat penghayatan dan pemahaman yang menyeluruh daripada masyarakat ISLAM secara khusus.

Kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat ILAHI di atas kesempatan yang diberikan untuk terus memperjuangkan kebenaran untuk terus menobatkan ISLAM dan ALLAH dalam segenap kehidupan manusia. Itulah sasaran yang sewajarnya diterapkan dalam diri pejuang agama ALLAH untuk tetap terus menyalurkan inspirasi dakwah kepada masyarakat yang dahagakannya. Itulah tanggungjawab kita yang mengetahui ilmu agama untuk disampaikan kepada mereka.

Dalam kesibukan menghadapi imtihan, kadangkala terlintas dalam benak fikiran mengenai sumbangan dakwah yang telah dilakukan setakat ini. Apakah aku telah bersedia untuk disoal siasat oleh Mungkar dan Nakir sebelum dihadapkan di mahkamah ALLAH SWT berkenaan sumbangan terhadap agama? Adakah aku telah berusaha menjalankan amar makruf nahi mungkar terhadap orang di sekelilingku yang aku kenali secara langsung atau tidak? Jawapannya masih memberikan signal yang negatif.


Dalam ribuan orang yang berada di kelilingku masih ramai yang berada dalam kesesatan. Sejak kebelakangan ini ramai orang yang kukenali meskipun di alam maya masih kabur tentang ISLAM itu sendiri. Ramai dikalangan mereka hanya ISLAM pada nama. Bak kata seorang sahabat tabligh yang datang bertandang ke rumahku. ISLAM warisan tidak memberikan penghayatan kepada seseorang dalam menjaga kesucian ISLAM jika dibandingkan peritnya para sahabat RASULULLAH SAW RADHIALLAHU ANHUM. Mereka bemati-matian menjaga kesucian ISLAM dalam diri mereka.

Benar apa yang mereka katakan. Ketara perbezaannya antara keduanya. Siapa yang bertanggungjawab untuk mengubah situasi ini kalau bukan kita. Masyarakat kala ini semakin bejat situasinya. Menurut maklumat yang diperolehi dari sahabat di Malaysia bahkan hasil penglibatan saya sendiri melalui rangkaian web persahabatan seumpama Friendster, Hi5, dan yang seumpama dengannya telah dicemari dengan gejala yang tidak sihat. Gejala yang amat membimbangkan ini semakin menular bahkan sampai ke suatu tahap ianya menjadi sesuatu yang biasa.

Kebanyakan sahabat-sahabat yang saya temui di alam maya tanpa segan silu mengaku orientasi diri mereka yang jelas bertentangan dengan agama bahkan dilaknat oleh ALLAH dan RASUL. Saya merasakan keterlibatan golongan agamawan ke dalam kelompok mereka sewajarnya mampu mendekati mereka dengan menjelaskan azab dan siksa yang sepatutnya dikenakan terhadap golongan sebegini ketika di dunia dan keadaan di akhirat kelak. Kebanyakan di antara mereka yang saya temui tahu status halal dan haram aktiviti yang amat membimbangkan ini.

Sekadar lontaran pemikiran untuk tatapan kita bersama supaya bersama membantu mencari titik penyelesaian bagi membasmi amalan laknatullah ini daripada terus melarat sehingga menganggu gugat institusi agama andai tiada suatu transformasi dilakukan. Mujur Malaysia masih menjaga kesucian agama yang jelas ditentang oleh seluruh agama tidak seperti negara barat yang mengiktiraf kebebasan manusia sehingga menghalalkan hubungan terlaknat ini.

Gemblengan seluruh pejuang agama ALLAH yang cintakan ALLAH, cintakan RASUL dan cintakan agamanya untuk membantu kelangsungan proses dakwah ini. Pemahaman yang jitu terhadap pendidikan ISLAM perlu diterap dan dijelaskan kepada masyarakat di kalangan sahabat-sahabat, adik-adik dan saudara-saudara seagama kita untuk menjelaskan segalanya agar ianya tidak semakin menular.

Ini adalah kerja kita. Ini adalah tanggungjawab kita. Usah tunggu untuk habis belajar, baru memulakan kerja dakwah ini. Takut-takut kelak apabila mereka ditarik nikmat hidupnya oleh ALLAH, maka ketika itu kita yang akan dipersoalkan oleh ALLAH kerana tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar terhadap mereka. Semoga perjalanan menuntut ilmu ini akan semakin mudah apabila urusan dakwah seiring bergerak untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu sebagai hujah dan perisai diri.


Urusan untuk memberi sudah terpundak pada bahu kita. Sebelum ini kita selalu menerima daripada tok-tok guru, sheikh dan ustaz yang mengajar. Kini tiba masanya untuk kita menyambung kerja ulama-ulama terdahulu meneruskan kelangsungan dakwah untuk diterapkan dalam masyarakat. Menerangkan ISLAM yang sebenar agar masyarakat tidak terpesong jauh dengan budaya tidak sihat yang mencemar ketuanan ISLAM itu sendiri.

Erti hidup pada memberi merupakan sesuatu yang begitu berharga dan dipandang tinggi di mata ALLAH. Selagi hayat dikandung tanah, berilah segala yang bermanfaat sebanyak-banyaknya agar kelak kita tidak dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH kelak. Semoga entri kali ini mampu membuka minda-minda kita untuk memberikan input-input yang bermanfaat kepada masyarakat.

Setelah diteliti dan dihayati semula, peranan sebagai seorang agamawan amat berat. Bahkan amat penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang ISLAMIK sesuai dengan acuan Al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Fungsi agamawan bukan bermula apabila selesai pengajian, akan tetapi ianya mula bertapak apabila ilmu dan pengetahuan terhadapnya telah dimiliki oleh seseorang. Justeru itu, ayuh bersama kita bersatu berganding bahu untuk membantu agama ALLAH ini. Membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya keimanan yang hakiki.

Kata Muthaqqaf : Sahabat yang berada di sekeliling hampir tidak terhitung ramainya. Dalam keramaian itu, masih ramai yang memerlukan pimpinan untuk kembali ke jalan ALLAH. Moga sesiapa yang telah mengenali diri ini sekalipun di alam maya bukan berkawan sekadar suka-suka. Akan tetapi yg ku harapkan supaya diberikan kekuatan untuk memimpin kalian ke jalan yang diredhaiNYA sekaligus kalian dapat sesuatu yang bermanfaat untuk hidup di dunia dan akhirat kelak.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: