بسم الله الرحمن الرحيم
Saat entri ini ditulis saya masih belum menjalani peperiksaan bertulis Al-Quran bagi tahun akhir ini. Kebanyakan sahabat-sahabat seangkatan dan adik-adik junior telah menyudahkan peperiksaan bagi subjek Al-Quran melainkan mahasiswa tahun akhir Fakulti Syariah Islamiah Kaherah yang akan menemui ujian syafawi (lisan) selesai peperiksaan bertulis.
Apa jua keadaannya, setiap mahasiswa yang mendaftar masuk pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir wajib melalui peperiksaan Al-Quran yang merupakan subjek teras semua fakulti. Inilah yang membezakan antara mahasiswa Al-Azhar dengan mahasiswa universiti terkemuka yang lain. Tanpa mengira apa jua bidang pengajian agama mahupun perubatan, Al-Quran merupakan syarat untuk meneruskan pengajian dan menyudahkannya. Itulah kelebihan kami.
Andai direnung-renungkan penerapan dan tekanan silibus yang disusun oleh universiti tertua ini banyak memberikan kesan kepada mahasiswa itu sendiri. Hafazan semata-mata tidak memadai. Akan tetapi ianya perlu diiringi dengan pemahaman yang jitu terhadap setiap ayat yang dihadam. Ini amat perlu bagi membina mahasiswa yang bukan menghafaz Al-Quran hanya semata-mata untuk peperiksaan.
Alangkah malang andai amalan sebegini menjadi kebiasaan kita semua. Ianya sekaligus membenarkan usaha-usaha para orientalis dan zionisme untuk memastikan anak-anak orang ISLAM hanya membaca Al-Quran tanpa menghayatinya untuk menjadi pedoman hidup. Fenomena sebegini pastinya kian membarah andainya tiada suatu kesedaran bersama. Saban tahun Kitab-ALLAH ini dibacai dan dikhatami namun penghayatannya tidak sampai ke mana.
Teringat motto sekolah saya dahulu ketika di Sekolah Menengah ISLAM dan Tahfiz Pasir Gudang, 'Membentuk Generasi Al-Quran' yang menerapkan nilai-nilai penghayatan Al-Quran. Disamping menghafaznya sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Alhamdulillah dan bersyukur kepada ALLAH kerana saya merupakan perintis mewakili tempat bermulanya mengenal ALLAH dan ISLAM secara serius.
Justeru itu, 'Membentuk Generasi Al-Quran' sayugianya bukan motto semata-mata. Bahkan perlu dihadam oleh setiap individu muslim yang ingin mendaulatkan ketuanan ISLAM kelak. Tidak boleh tidak kesedaran secara individu perlu bagi memastikan kelangsungan dakwah nan suci ni terus mekar berpandukan suluhan Al-Quran secara syumul demi ISLAM itu sendiri.
Oleh itu, saya menasihati diri saya, dan sahabat-sahabat seperjuangan pejuang agama ALLAH sekalian untuk kita terus memartabatkan Al-Quran dalam hati sanubari kita sepanjang masa lantas menjadikannya sebagai pedoman sepanjang masa. Dalam masa yang sama konsep ini juga perlu untuk dikembangkan terhadap setiap cabang ilmu yang dipelajari bukan untuk peperiksaan semata-mata.
Kata Muthaqqaf : Ayuh bersama kita menyahut seruan 'Membentuk Generasi Al-Quran' agar ianya terus menjadi azimat di dunia seterusnya menjadi syafaat di akhirat kelak. Salam perjuangan imtihan kepada semua!
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment