Video Klip Pilihan

Wednesday, May 06, 2009

|| Fikrah Untuk Pemerintah ||

بسم الله الرحمن الرحيم

Tatkala jemari ini menaip abjad-abjad kalimah untuk dimuatkan ke dalam entri kali ini, minda ini juga turut memikirkan ketidak fahaman saya terhadap situasi yang semakin merumitkan di Tanah Air tercinta. Semenjak sebelum Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 sehinggalah ke saat ini sepertinya tiada satu penyelesaian yang bijak yang dilakukan untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat dengan kerajaan yang sedia ada.


Sehingga ke saat ini pun masih kedengaran banyak suara-suara yang mempertikai kesahihan disebalik laungan slogan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' seolah-olah tiada sebarang pembaharuan yang dibawa.

Sekiranya kita perhatikan antara isu-isu panas yang dibangkitkan oleh rakyat itu sendiri masih tidak dihiraukan oleh kerajaan bahkan dibakul sampahkan. Adakah slogan yang dicanang-canangkan sebelum ini boleh diterima rakyat sedangkan suara hati rakyat tidak langsung diambil berat!

Meskipun saya hanya memandang dari kejauhan mata, namun kesusahan yang dialami oleh rakyat Malaysia dapat saya rasakan. Isu yang berlaku kala ini bukanlah isu politik untuk dijuarai oleh mana-mana parti politik. Bahkan ianya merupakan isu agama, bangsa dan negara kerana ianya melibatkan ketenteraman awam rakyat jelata yang menginginkan kesepaduan bersama bagi menyelesaikan isu nasional ini.

Isu Agama Ibu Bapa, Anak

Isu ini amat sensitif sekaligus menyentuh bidang kami dalam pengajian ISLAM di Timur Tengah apabila keputusan menteri kabinet yang diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Agama ISLAM sebulat suara membuat keputusan; agama si anak tidak akan mengikut kepada agama kedua ibu bapanya sehinggalah sampai umur 18 tahun atas kehendak si anak. Keputusan yang diwartakan oleh para kabinet jelas membelakangkan hukum hakam syariah yang jelas menerangkan berkaitan perkara ini.

Perkara ini sudah banyak diperjelaskan oleh sahabat-sahabat penulis alam maya yang lain bagi menjelaskan kepada para pencinta ISLAM keputusan yang telah dijelaskan berdasarkan hujah-hujah Al-Quran, Sunnah dan Ijmak Ulama itu sendiri. Siapakah mereka (menteri kabinet) yang memutuskan hukum tersebut sehingga membelakangkan Sultan selaku ketua agama ISLAM di Malaysia tanpa merujuk terlebih dahulu pandangan para mufti?

Apakah benar kenyataan akhbar alternatif yang menyatakan keputusan yang dilihat ingin menarik sokongan rakyat non muslim untuk menyokong kerajaan yang semakin hilang kredibiliti sehingga sanggup menggadai maruah agama sendiri!

Semenjak keputusan kabinet tersebut diwartakan dan menimbulkan kontroversi di kalangan para aktivis ISLAM tiada sebarang tanda-tanda keputusan ini ditarik balik. Seandainya perkara ini dibiarkan, kita lihat saudara-saudara baru yang ingin memeluk agama ISLAM akan berfikir dua kali memandangkan anak-anak mereka tidak dibenarkan mengikut anutan ibu bapa mereka.

Semoga ALLAH akan sentiasa memberikan kemenangan kepada ISLAM meskipun terdapat segelintir golongan gunting dalam lipatan yang menganggu gugat kesucian agama yang syumul ini.

Ke manakah Hala Tuju 'Bahasa Jiwa Bangsa'?


Masih segar dalam ingatan saya ketika mula memasuki alam persekolah pra-sekolah seterusnya sekolah rendah kebangsaan diikuti sekolah menengah. Bahasa Melayu amat ditekankan untuk agar sentiasa menjadi siulan. Bahkan andai diamati dikalangan anak-anak orang Melayu yang dibesarkan dengan bahasa ibunda inilah yang gagal menguasainya berbanding mereka yang bukan Melayu. Dengan sebab itulah para pendidik diamanahkan bagi memastikan Bahasa Melayu dapat dikuasai oleh para pelajar dengan sebaik mungkin.

Keadaan yang berlaku di atas tidak hanya terhenti pada zaman persekolahan saya. Bahkan dilihat penguasaan Bahasa Melayu di kalangan anak-anak Melayu masih berada di paras yang kurang memuaskan berbanding bangsa lain. Dalam kemerosotan yang berlaku itu pun usaha-usaha untuk melumpuhkan penguasaan Bahasa Melayu tetap dijalankan tanpa dikaji impaknya.

Semalam, dikhabarkan melalui akhbar maya Malaysiakini bertajuk '5 Sasterawan Negara Tolak PPSMI'. Sebelum ini kita menyaksikan keterlibatan beberapa sasterawan negara turut serta dalam Perhimpunan Bantah PPSMI yang menghimpunkan ribuan rakyat segenap lapisan dan bangsa. Adakah mesej yang disampaikan oleh rakyat masih belum jelas untuk difahami sehingga kerajaan masih tetap dengan pendirian mereka? Jawapan yang masih diberikan 'akan dikaji semula'.

Sehingga ke saat ini Malaysia telah mempunyai 9 orang sasterawan negara dan dalam misi pencarian untuk mencukupkan 10 orang sasterawan negara. Lebih memeranjatkan, di antara 9 orang sasterawan yang sedia ada sanggup untuk melepaskan gelaran 'sasterawan negara' sekiranya hasrat rakyat masih tidak dipandang serius. Tidak bermakna gelaran andai 'bahasa jiwa bangsa' tidak dijiwai oleh anak-anak bangsa dengan mengagungkan bahasa penjajah!

Akta Disalahguna, Demokrasi Dicabul

Selama 50 tahun pemerintahan yang digenggam oleh kerajaan sedia ada banyak kebobrokan yang semakin jelas dimata rakyat. Sebelum ini rakyat amat mudah dipergula-gulakan dengan sebab-sebab yang kurang jelas lantas ditenggelamkan dengan isu yang baru buat mengaburi kezaliman yang dilakukan.

Pelbagai akta yang digunakan oleh kerajaan tidak melambangkan demokrasi yang diuar-uarkan di media arus perdana. Sebagai contoh kebebasan media dalam menyampaikan maklumat begitu banyak sekatan yang dikenakan terhadap pihak musuh. Sedangkan media yang dikuasai oleh kerajaan pula dipergunakan untuk memburuk-burukkan musuh dengan ciptaan-ciptaan isu untuk mengekalkan kuasa yang diberikan.

Sayugianya akta yang dicipta sebagai batu asas untuk mewujudkan keadilan dan kesaksamaan kepada semua pihak tanpa sebarang penindasan. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila kekuasaan yang diberikan oleh rakyat dipermain dan disalahguna hanya semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Wang rakyat sanggup dihabiskan hanya demi memastikan survival pemerintahannya terus berdiri kukuh walau jelas suara rakyat menolaknya. Demokrasi dikhianati gila kuasa bertapak di lubuk sanubari.

Selain itu, I.S.A juga semakin jelas kezaliman yang dikuatkuasakan. Tangkapan demi tangkapan dilakukan terhadap sesiapa sahaja yang dilihat menganggu gugat pentadbiran pemerintah. Sekiranya terdapat sebuah kebobrokan kerajaan yang dikenal pasti oleh individu tertentu untuk menyatakan kebenarannya serta merta akan ditangkap. Ruang untuk menyatakan kebenaran tidak dibuka langsung sebaliknya keburukan, kelemahan dan penipuan musuh ditayangkan sesuka hati.

Akta dilihat tidak mampu melindungi keadilan rakyat jelata bahkan dilihat memberikan ancaman kepada sesiapa sahaja yang ingin menyatakan kebenaran selagi mana penguasa itu tiada kesedaran. Kesedaran menunaikan amanah yang dipundak secara adil terhadap segenap rakyat tanpa mendahulukan kepentingan diri sendiri atau kepartian semata-mata.

Perundangan Dipermain, Fakta Diseleweng

Sehingga ke hari ini keputusan mahkamah terhadap kemelut di negeri Perak Darul Ridzuan masih tidak berkesudahan. Terkini setelah selesai pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang yang menyaksikan pertembungan hebat di antara calon Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Ir. Mohd Nizar Jamaluddin dan calon UMNO/BN. Mesej yang ditunjukkan oleh rakyat dilihat menyebelahi Menteri Besar PR yang bergolak setelah dilantik Menteri Besar BN bagi menggantikan beliau.

Apa yang jelas setelah meneliti fakta-fakta kes yang diketengahkan oleh beberapa pakar perundangan selaku pemerhati mengatakan tiada satu keputusan yang pasti, baik daripada Mahkamah Persekutuan apatah lagi Mahkamah Tinggi. Mahkamah baru-baru ini hanya memutuskan penolakan terhadap usul yang dinyatakan oleh Speaker Perak akan tetapi masih belum memutuskan perlantikan Menteri Besar yang sah setelah berlaku insiden lompat parti oleh 3 orang bekas ADUN PR yang terlibat dengan politik wang. Akhirnya mereka diselamatkan oleh BN seterusnya mengisytiharkan menyokong BN menyebabkan penggulingan Menteri Besar PR.

Itu adalah sedikit kronologi awal. Hingga ke saat ini kemelut tersebut semakin rumit hingga mengheret Sultan seterusnya mengetepikan perundangan yang selama ini dipandang tinggi oleh pemerintah. Terkini, sidang DUN yang akan diadakan esok, 7 Mei pastinya gamat dengan usul daripada ADUN BN untuk menukar Speaker DUN kerana banyak menganggu urusan perlantikan MB BN menjalankan tugas. Dalam masa yang sama sebelum sidang DUN bermula, adegan merebut kerusi Menteri Besar di antara PR dan BN akan merumitkan kelangsungan sidang DUN tersebut.

Cadangan Speaker melalui suratya kepada Sultan supaya menangguh sidang DUN tersebut sehinggalah isu Menteri Besar sebenar diputuskan perlu diterima sebelum kekalutan bertambah teruk. Bagi penulis dan beberapa pemerhati yang cintakan keamanan supaya menyerahkan kuasa penentu kepada rakyat Perak keseluruhannya agar mereka sendiri yang menentukan kerajaan negeri mereka sekaligus menyelesaikan kemelut yang kian parah ini.

Semoga segala macam masalah yang timbul di era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 ini dapat beliau selesaikan dengan penuh bijaksana. Sesungguhnya segala kekalutan yang berlaku di permulaan pemerintahan beliau merupakan satu ujian untuk melihat keprihatinan beliau terhadap apa yang beliau sendiri tekankan.

Slogan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' seharusnya perlu direalisasikan secara menyeluruh bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap beliau yang kian luntur berikutan kontroversi yang melanda peribadi beliau yang masih belum terjawab. Sekiranya beliau tidak melakukan sebarang transformasi untuk membersihkan diri dari sebarang tohmahan liar itu, takut-takut beliau akan menjadi Perdana Menteri yang paling singkat memegang jawatan nombor 1 negara itu.

Semoga ALLAH akan sentiasa menyinari seluruh kepimpinan ISLAM yang menyandang kepimpinan untuk mendaulatkan agama agar terus berjuang memperjuangkan agama yang suci ini. Tiada yang menjadi impian setiap pejuang agamaNYA melainkan ingin melihat ISLAM kembali menjadi penguasa kepada penduduk bumi sesuai dengan saranan RABBULIZZATI.

Kata Muthaqqaf : Segala isi tulisan yang dirakamkan ini adalah luahan pandangan peribadi penulis terhadap kebobrokan pemerintahan di Malaysia yang gagal diselesaikan meski perundangan sedia ada dirujuk, akan tetapi tanpa merujuk kepada perundangan PENCIPTA yang mampu menjadi penyelesai terhadap kekalutan dunia yang semakin hilang pedoman, tiada maknanya.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: