Video Klip Pilihan

Thursday, March 20, 2008

.:: Disebalik Kepayahan Di situlah Kekuatan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Prakata

Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-75 telah berakhir tepat jam 12 malam tadi. Dengan berakhirnya muktamar tersebut maka bermulalah episod baru kepimpinan baru dalam pentadbiran PMRAM sesi 2008. Apa yang pasti, segala teka teki untuk calon Badan Pengurus dan AJKT HEWI PMRAM yang kekal telah terjawab. Penulis adalah salah seorang diantara mereka.

Sebagaimana kepimpinan yang sebelumnya, penulis dan sahabat kepimpinan lain juga mengharapkan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh ahli yang berada di Mesir terutamanya tanpa mengira pelajar kuliah, perubatan mahupun buuth. Juga seluruh sahabat-sahabat yang berada di luar sana serara umumnya. Kalianlah sumber kekuatan kepada PMRAM.

Seandainya kalian kuat, maka PMRAM akan bertambah kuat menongkah arus mendatang. Akan tetapi seandainya kalian lemah, maka kekuatan PMRAM juga akan berkurangan. Segalanya bergantung kepada sokongan dan dokongan kalian untuk bersatu mempertahankan PMRAM supaya mampu berdiri tegak dalam menyalurkan matlamat kebajikan yang menjadi agenda utama penubuhannya.

Sama-samalah kita memberikan sepenuh komitmen dengan kepimpinan yang baru terlantik untuk menguruskan bahtera pentadbiran persatuan induk teragung yang telah menjangkau ke umur 78 tahun.

Seandainya dinisbahkan kepada umur makhluk yang bergelar manusia semestinya sudah uzur dan boleh dimasukkan ke 'rumah kebajikan masyarakat' seandainya segala budi dan jasanya tidak dihayati lantas dipertahankan dari anasir-anasir luar yang berusaha untuk menghapuskannya. Itulah dia Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir atau lebih dikenali dengan PMRAM oleh seluruh masyarakat pelajar di Mesir dan seluruh masyarakat dunia.

Lumrah Perjuangan

Disepanjang menjawat jawatan Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma pada sesi 2007 terlalu banyak pengalaman yang dapat ku timba untuk simpanan akan datang. Sesungguhnya pengalaman yang amat bernilai itu sukar untuk diperolehi jika hanya berpada dengan ilmu di dalam kuliah semata-mata. Ini disebabkan ilmu yang diperolehi itu sekiranya tiada 'soft skill' dalam menyampaikannya akan kelihatan kaku dan tiada tarikan. Perkara ini dapat diterjemahkan dalam kepimpinan tika berhadapan dengan masyarakat pelajar.

Aku bersyukur walaupun diri ini masih lemah dalam menterjemahkan perolehan ilmu tersebut di lapangan politik pelajar, akan tetapi sedikit sebanyak ianya mampu mengasah bakat tersebut supaya bertambah tajam. Dalam masa yang sama, memerlukan pengorbanan yang amat tinggi apabila berhadapan dengan pertambahan satu bebanan tanggungjawab selain sekadar menuntut ilmu iaitu tanggungjawab pemimpin. Bijak dalam mentadbir masa pada waktu ini amat berguna dalam membahagikan masa diantara keduanya supaya diskriminasi tidak akan berlaku.

Mungkin perkara ini dilihat enteng dan biasa memandangkan ramai yang pernah memegang kepimpinan di peringkat sekolah. Akan tetapi hakikatnya perbezaan yang amat ketara antara kedua-dua kepimpinan tersebut. Kepimpinan di peringkat sekolah lebih kepada membantu melicinkan pengawalan guru-guru terhadap masyarakat pelajar. Manakala kepimpinan di peringkat universiti terutamanya di Mesir ini lebih kepada mentadbir dan memimpin masyarakat pelajar yang teramai berbanding masyarakat pelajar di institut pengajian luar negara yang lain dalam semua sudut.

Maka, pengalaman yang tinggi harganya ini amat diperlukan untuk diaplikasikan terhadap masyarakat di Malaysia kelak yang memerlukan sebuah kepimpinan yang bukan sahaja mampu memimpin mereka, bahkan mampu membawa mereka ke jalan yang sebenarnya mengikut lunas-lunas ISLAM.

Disebalik Kepayahan Di situlah kekuatan

Menurut pengamatan penulis sepanjang berada di dalam kepimpinan semenjak di peringkat sekolah rendah dan menengah sehinggalah di peringkat universiti, seorang pemimpin tidak akan lari dari tribulasi. Seorang pemimpin mukmin yang memperjuangkan dan mempertahankan sebuah persatuan yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah seringkali dihujani dengan pelbagai ujian yang tidak dapat dijangka. Ianya berdasarkan pengalaman peribadi dan beberapa pimpinan yang bersama-sama penulis selama berada dalam kepimpinan.

Melalui pengalaman seorang pemimpin belajar mengawal emosi dan suasana. Pengalaman banyak mengajar mengenal erti susah dan senang bersama. Didalam menongkah arus sebuah kepimpinan lebih-lebih lagi sebuah persatuan yang sentiasa diganggu oleh musuh-musuh yang tidak sukakan sebuah persatuan yang melaksanakn tuntutan ISLAM. Dalam masa yang sama mereka tidak akan terlepas dari dugaan yang maha hebat sebagaimana yang dilalui para Nabi dan Rasul Utusan Allah.

Sama-sama kita hayati sorotan dari firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156 :

ولنبلونكم من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين
.
Mafhumnya : Dan akan kami uji kamu dengan ketakutan, kelaparan dan pengurangan(kehilangan) daripada harta benda, jiwa-jiwa(orang-orang tersayang) dan hasil mahsul. Dan berbahaggialah orang-orang yang sabar
Inilah sebuah impian yang diharapkan mampu diperolehi kelak di akhirat di syurga ALLAH yang mahal harganya. Semoga tujuan yang paling utama dalam memegang kepimpinan ini tidak akan terpesong semata-mata untuk memartabatkan agama ALLAH di persada dunia. Supaya seluruh manusia akan kembali kepada tujuan asal penciptaan mereka dengan menjadikan ALLAH sebagai hadaf utama segala tindakan. Semoga dipimpin ALLAH dalam memandu sebuah persatuan yang memenuhi tuntutan ISLAM yang suci ini.

Insan Teragung Sumber Rujukan

Dalam melayar sebuah bahtera persatuan yang dipenuhi dengan ombak dan badai, nakhoda dan anak kapal yang mengawal tidak seharusnya mengabaikan setiap pesanan dan nasihat kapten yang telah melalui semua itu. Demikian juga seorang kepimpinan seharusnya menjadikan kronologi perjuangan insan teragung, Nabi Muhammad SAW sebagai sumber rujukan dalam memastikan perjalanan menegakkan ISLAM dan syariat tidak tersasar dari landasannya.

Perjuangan Rasulullah dengan komitmen yang tertinggi oleh para sahabat baginda yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk ISLAM. Bahkan sanggup menggadaikan nyawa demi untuk mempertahankannya. Dalam masa yang sama, seandainya kita hayati disepanjang bersama Rasulullah SAW, mereka sanggup melakukan apa sahaja tidak rela menlihat Kekasih ALLAH disakiti, dihina dan diperlekehkan oleh musuh-musuh ISLAM. Kejadian yang menyentuh hati ini sehingga menyebabkan Abu Sufiyan memeluk ISLAM .

Itulah sikap dan tauladan yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam mempertahankan Rasulullah SAW dari terus diperlekehkan dan diinjak-injak oleh kuffar laknatullah. Bagaimana pula tindakan kita apabila Rasulullah SAW diperlekehkan pada hari ini?

Di hari kelahiran Baginda SAW menyaksikan negara Denmark yang pernah menyiarkan
karikatur Rasulullah SAW melakukan perkara yang sama! Apakah tindakan kita? Adakah hanya melihat dan berdoa semata-mata?

Maruah 'Insan Teragung' dicemari dengan penuh kehinaan adakah kita hanya sekadar memprotes dalam masa yang sama kita tidak melakukan apa-apa bantahan terhadap tindakan yang kurang ajar dan melampaui batas itu?

Mengapa kita masih tidak mampu untuk mendidik diri kita untuk mempertahankan Junjungan Besar SAW dengan seagresif dan seradikal mungkin? Mengapa kita terus menggunakan, membeli dan memperdagangkan barangan yang sewajibnya di'BOIKOT' habis-habisan? Fikir-fikirkanlah saudara-saudaraku sekalian.


Bersamalah kita bangkit dan mempertahankan maruah Rasulullah SAW dari terus dicemari, diperlekehkan dan dipandang hina oleh kuffar laknatullah dengan sepenuh tenaga, jiwa dan raga. Semoga usaha yang kita lakukan itu tidak hanya berhenti setakat ini sahaja dan mendapat ganjaran yang setimpal dengan syafaat Baginda berkat dari pengorbanan yang kita lakukan.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,

ZuLmArWa

No comments: