بسم الله الرحمن الرحيم
Suntingan Minda
Kini dunia menyaksikan kesusahan dan kepayahan yang teramat sangat jika dibandingkan ketika mana penulis mula-mula menjejakkan kaki di Perlembahan Nil ini. Walau di sana wujud pelbagai spekulasi dan provokasi untuk menyekat kemaraan anak-anak Melayu di Tanah Air dari melanjutkan pelajaran ke menara gading di negara ini, namun yang berlaku sebaliknya. Semakin banyak tekanan dan kekangan dari pihak-pihak berwajib, semakin ramailah anak-anak Melayu berlumba-lumba menggapai impian ke 'gedung ilmu' itu.
Apa yang kita lihat ketika mana suasana mereka menghadkan penghantaran tersebut, pelbagai saluran yang membantu proses tersebut disekat. Di kebanyakan negeri menjalankan sebuah kursus terhadap para pelajar yang ingin ke sana. Kursus Intensif Bahasa Arab yang dijalankan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar dengan lebih awal. Kesudahannya sesiapa yang tidak lulus menjalani kursus intensif ini, maka mereka tidak akan diberikan peruntukan dari jabatan agama Islam. Seandainya mereka tetap berkeras ingin pergi, pihak tersebut tidak akan menanggung sebarang kos perbelanjaan.
Ini baru satu sekatan yang disebut. Bahkan di sana terdapat banyak lagi sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap mereka yang berhasrat untuk menyambung pengajian di Timur Tengah lebih-lebih lagi Mesir. Antara yang biasa diwajibkan kepada bakal-bakal mahasiswa dan mahasiswi seperti PLKN, Biro Tata Negara (BTN), Kursus Intensif Bahasa Arab dan banyak lagi program yang diadakan untuk menapis bondongan anak-anak Melayu ke sana.
Cabaran Menegakkan Syiar Islam
Bahkan dalam satu sumber yang sahih setelah penulis menemu bual seorang sahabat dari Indonesia, kerajaan Indonesia juga mengenakan sekatan dengan menghadkan jumlah tertentu dari setiap wilayah bagi anak-anak watan yang ingin mlanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah. Melihat kepada perkara ini, sekatan ini bukan sahaja berlaku di Tanah Air tercinta, bahkan turut dialami oleh saudara-saudara di negara-negara jiran yang lain.
Namun begitu penulis lebih menekankan tekanan yang berlaku kepada adik-adik yang bercita-cita ingin ke Timur Tengah akan tetapi disekat oleh pelbagai halangan. Kecenderungan mereka ingin menjejakkan kaki ke Timur Tengah disebabkan suasana ilmu yang agak berbeza dari sudut pencernaan yang lebih ketara memberikan impak yang berbeza. Dalam masa yang sama mereka sendiri dapat menilai dengan akal rasional mereka kebejatan akhlak mahasiswa dan mahasiswi yang cukup teruk. Itulah antara faktor-faktor yang jelas dapat dipanjangkan untuk difikirkn bersama.
Dalam erti kata yang lain, penulis juga dapat simpulkan mereka melihat perbelanjaan dan sara hidup di Timur Tengah khususnya di Mesir lebih murah berbanding dengan institut pengajian lain di luar negara juga di Malaysia. Mereka merasakan keberadaan di Mesir lebih selesa dan memberikan bebanan yang kurang berbanding tempat yang lain. Disamping suasana ilmu dan Islam yang menyerlah walaupun tidak diwujudkan isytiharkan negara Islam yang mengikut perundangan Islam yang sebenar.
Itulah yang berlaku pada diri penulis dalam menimbangkan segala aspek campuran untuk menentukan penyambungan pengajian penulis di peringkat seterusnya. Tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri, penulis juga berbincang bersama keluarga dalam mewujudkan kebersamaan yang akhirnya menatijahkan sebuah impak yang terbaik untuk semua bukan sahaja ketika di dunia, bahkan untuk manfaat di akhirat kelak.
Tekun Dan Sabar Kunci Kejayaan
Dalam menongkah kehidupan sebagai mahasiswa dan mahasiswi Islam yang bakal membawa panji-panji dakwah Islamiah, tidak dapat tidak setiap penuntut ilmu Allah mendalami dua sifat terpuji iaitu tekun dan sabar. Berhadapan dengan kerenah arab Mesir yang jika dianalisis dan dibuat perbandingan dengan masyarakat arab yang lain, mereka adalah masyarakat arab yang agresif dan semberono. Mereka lebih selesa dengan cara mereka sejak yang diwarisi sejak zaman berzaman. Akhirnya mereka merupakan masyarakat arab yang terkebelakang berbanding masyarakat arab yang lain.
Apapun yang berlaku, kita diajar oleh Nabi SAW untuk sentiasa menghormati dan bersabar dengan masyarakat seluruhnya tanpa membezakan arab Arab Saudi, Yaman dan sebagainya. Ini kerana Rasulullah SAW merupakan dari bangsa arab. Maka barangsiapa yang memuliakan arab, sesungguhnya dia memuliakan Rasulullah SAW yang akhirnya membawa kita kepada memuliakan Allah. Semoga dengan berkat kesabaran dan ketekunan yang disemai dan diterjemahkan dalam diri kita mampu memberikan manfaat yang terbaik kelak.
Meneruskan perjuangan menuntut ilmu di negara orang amat memeritkan bagi sesiapa yang tiada kesabaran yang tinggi. Malah ketekunan yang amat tinggi diperlukan dalam menjulang thaqafah yang melata di seluruh pelusuk 'pusat gedung ilmu' dan 'pusat produk ulama terbilang' ini.
Bahkan terdapat satu sumber yang dipercayai, kerana faktor ianya melahirkan para ilmuan Islam yang benar-benar mengikut Quran dan Sunnah inilah banyak negara-negara yang mengamalkan pemerintahan sekular, liberal dan komunis melakukan sekatan-sekatan yang pelbagai. Tidak hairanlah kita melihat ramai bakal-bakal pejuang agama Allah ini ditindas, disekat dan dihalang dari melanjutkan pengajian di pusat ilmu yang banyak melahirkan ulama terulung dunia.
Anda Bakal Pemimpin Negara!
Pasca Pilihan Raya Umum ke-12 di Tanah Air menyaksikan sebuah perubahan arus politik pemerintahan negara dan beberapa buah negeri yang beralih pemerintahan. Bahkan apa yang dilihat perubahan tersebut bukan sesuatu yang dirancang oleh kerajaan. Akan tetapi ianya adalah satu luahan suara hati rakyat yang inginkan perubahan terhadap tampuk pemerintahan yang dilihat banyak melakukan diskriminasi secara keseluruhan sebelum ini. Akhirnya satu perubahan yang tidak disangka-sangka memeranjatkan bukan sahaja parti komponen pemerintah bahkan parti pembangkang sendiri.
Dalam masa yang sama kita lihat pengakuan yang dibuat menunjukkan ketidak adilan mereka sebelum ini dalam menyalurkan maklumat melalui media massa arus perdana dengan menafikan pengaruh media alternatif yang banyak membantu kekalahan mereka. Selaku mahasiswa perkara sebegini yang berkaitan dengan politik tidak sepatutnya diabaikan dalam proses pembelajaran. Ini kerana, politik merupakan sebuah lapangan yang bakal membentuk dan meletakkan diri kita samada untuk menentukan tampuk pemerintahan yang sesuai. Ataupun kita akan diletakkan sebagai pemimpin yang bakal mencaturi urusan pemerintahan.
Politik bukanlah sesuatu yang bercanggah dan berasingan dari agama Islam yang suci. Bahkan ianya merupakan sesuatu yang amat penting dalam menentukan sebuah pemerintahan yang benar-benar menjalankan proses menegakkan syiar dan perundangan Islam di muka bumi. Bertepatan dengan pemerintahan yang pernah dijalankan oleh Rasulullah SAW di Madinah seterusnya para khalifah yang meneruskan acuan Islam sehinggalah terkubur Khilafah Islamiyah pada 1924.
Semarak Fikrah
Maka siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan semula khazanah pemerintahan Islam yang pernah gemilang suatu ketika dahulu? Apakah kita ingin menyerahkan tanggungjawab kepimpinan berteraskan Islam ini kepada mereka yang jahil tentang agama? Sekiranya dibiarkan perkara ini berterusan maka kita akan lihat semakin banyak kemaksiatan, kerosakan dan kemusnahan yang akan berlaku akibat dari pemerintahan yang membelakangkan landasan Quran dan Sunnah.
Perkara-perkara ini memerlukan satu pencernaan variasi ilmu yang menyeluruh untuk memberikan kesedaran dan pendedahan yang berhikmah. Penekanan ini bertujuan untuk menangkis serangan idealisme dan ideologi yang disemai pada pemikiran anak-anak muda yang kurang pendedahan ilmu agamanya. Semoga dengan kebersamaan dan kesungguhan yang diusahakan untuk menuju ke arah mewujudkan kembali Khilafah Islamiah dikira sebagai 'jihad fi sabilillah' berbanding dengan mereka yang duduk goyang kaki memerhatikan perkembangan Islam dari semasa ke semasa tanpa sumbangan.
Nukilan Ilham Nurani,
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa
No comments:
Post a Comment