Video Klip Pilihan

Wednesday, April 30, 2008

.:: Rayuan Taubat, Rintihan Keinsafan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Menyentuh hati hingga mampu membuatkan keegoan empangan airmataku merembes keluar. Sukar untuk mengalahkan kekerasan nafsu ini lembut sambil memuhasabahkan diri agar sentiasa bersedia untuk menghadap Rabbul Izzati bila-bila masa. Disaat minda berkecamuk menantikan hari yang bersejarah untuk berhadapan dengan peperiksaan terakhir, terimbas bagaimana pula persediaan diri ini untuk berhadapan denganMu.

Hati ini mula tersentuh apabila mendengar alunan setiap bait lagu bahasa Arab yang dinyanyikan oleh Muhammad Ubaid bertajuk Elaika. Bagi sesiapa yang kurang atau tidak memahaminya pastinya mengundang kebosanan. Akan tetapi penulis yakin, apabila pertama kali kalian mendengarnya pasti akan terasa secubit sentuhan perasaan sehingga mampu melembutkan nafsu ammarah. Penulis mula meminati dan tertarik dengan keindahan lagu ini pasca mendengarnya di Nasyidfm. Terima kasih Nasyidfm.

Untuk makluman kalian semua dan penulis bersangka baik bahawa kalian semua sedia maklum bahawa penulis berjiwa besar dengan alunan irama ketuhanan ini. Lebih-lebih lagi apabila maksud lagu yang cuba disampaikan memberikan 2002 keinsafan bagi meningkatkan keimanan kepada ALLAH dan mentaqarrubkan diri kepadanya.

Secara menyeluruh alunan lagu tersebut mengisahkan rayuan taubat dan rintihan seorang hamba yang sentiasa melakukan dosa, maksiat! Akan tetapi hamba ini sentiasa mengharapkan kepada ALLAH agar mengampunkan titik-titik hitam yang dilakukan itu. Bukankah ENGKAU yang memberikan hidayah dan menunjukkan kepadaku jalan yang ENGKAU redhai? Ya, DIAlah ALLAH yang Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang.

Bukankah ALLAH itu yang akan mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan hamba-hambanya? Itu sudah semestinya kerana DIAlah Tuhan sekalian alam tiada yang selain DIA. Bukankah hanya ENGKAU yang layak untuk disayangi tanpa berbelah bahagi? Ya, hanya DIAlah yang layak untuk disayangi dengan sepenuh hati tanpa kompromi. Bahkan kita di ajar untuk menyayangi sesiapa sahaja kerana ALLAH kerana dia yang berhak atas segala-galanya!


Ingatlah wahai saudara-saudaraku yang dirahmati ALLAH sekalian!

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya barangsiapa yang pernah menitiskan air mata di hadapan ALLAH dengan penuh keinsafan mengharapkan keampunan daripadaNYA, kelak dia tidak akan disentuh oleh api neraka!"

Banyak berbicara tidak mendatangkan apa-apa perubahan. Segala muhasabah ini memerlukan kepada satu anjakan untuk melakukan tindakan perubahan secara drastik dengan menghilangkan segala dosa dan kemaksiatan terhadapNya. Terhadap Tuhan yang Maha Suci yang hanya akan menerima hamba-hambaNya yang suci hatinya. Suci jasad mereka. Suci seluruh kehidupan mereka sehinggalah kembali kepada ALLAH dalam keadaan yang penuh suci.

Kata Muthaqqaf:Kepada peminat-peminat alunan irama ketuhanan ini, kalian boleh dengarkan rayuan dan rintihan yang menusuk kalbu ini melalui senarai lagu-lagu pilihan terbaik penulis di label 'Hiburan Mendidik Jiwa' melalui imeem music. Turut dimuatkan beberapa alunan rintihan keinsafan terbaru yang lain antaranya Setiap Kali nyanyian Devotees dan Andaiku Pergi nyanyian Mirwana. Semoga melembutkan hati yang keras lantas memimpin diri menuju ke pintu syurga.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, April 29, 2008

.:: Amalan Menjana Kecemerlangan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Maha suci ALLAH Tuhan Sekalian Alam yang sudi memberikan ruang waktu yang seluas-luasnya kepada hambaNya ini dalam meneruskan aganda dakwah walau disibukkan dengan pemfokusan untuk menghadapi peperiksaan terakhir bagi penulis. InsyaALLAH semoga diberikan kemudahan dan kejayaan yang berpanjangan dalam memartabatkan Islam, di dunia dan juga di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

Menyedari hakikat menuntut ilmu itu berpanjangan sedari awal dilahirkan ke muka bumi sehinggalah ke liang lahad. Maka begitu jugalah hakikatnya tanggungjawab untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat sebagai medan dakwah kepada seluruh umat manusia. Semoga sedikit sebanyak perkongsian ilmu tersebut mampu menjadi pembantu bukan sahaja ketika berhadapan dengan ALLAH di akhirat kelak, bahkan semoga mampu menjadi nusrah dikala berada di dewan peperiksaan nanti.

Kali ini penulis ingin mencurahkan beberapa amalan perkasa yang mampu menjana kecemerlangan setiap individu muslim berdasarkan saranan dan amalan 'riwayat teragung'. Baginda sememangnya menjadi sumber rujukan dalam apa jua aspek kehidupan tanpa ada tercicir walau sedikitpun. Benarlah kalamullah yang menyebut melalui firmanNya yang bermaksud "Tidaklah kami mengutuskan kamu wahai Muhammad SAW ke muka bumi semata-mata untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam".


Semoga ianya sedikit sebanyak memberikan cahaya penyuluh untuk membersihkan hati kita bukan sahaja pada musim peperiksaan, bahkan menjadi amalan sepanjang jangka hayat ini.

  • Niatkan dalam apa jua perkara semata-mata kerana ALLAH, untuk mendapat keredhaanNya. Rasulullah SAW bersabda "sesungguhnya setiap amalan mestilah dimulakan dengan niat..." (Muttafaqun Alaihi)
  • Sentiasa meletakkan diri sentiasa berada dalam keadaan berwudhu. Kata Muthaqqaf :Apabila seseorang itu berada dalam keadaan berwudhu ilmu akan mudah diterima kerana ilmu tidak akan masuk pada sesiapa yang tidak bersih akal dan dirinya.
  • Memulakan setiap bacaan dengan basmalah, serta Alfatihah disedekahkan kepada tok-tok guru yang mengajar dan pengarang kitab pengajian. Kata Muthaqqaf:Semoga dapat melembutkan hati mereka apabila menanda kertas jawapan dan mempertimbangkan jawapan yang diberikan.
  • Amalkan solat-solat sunat sebelum dan selepas sebagai penguat dan pembantu seandainya terdapat kekurangan pada Solat Fardhu 5 waktu. Kata Muthaqqaf:Usah berharap apa yang telah dilaksanakan benar-benar sempurna kerana pasti ada kekurangan yang memerlukan amalan lain untuk menampal kekurangan tersebut.
  • Melaksanakan Solat Sunat Hajat setiap malam selepas Maghrib. Lebih baik lakukan pada sepertiga malam dan pohonlah keampunan, dan apa jua hajat. Rasulullah SAW bersabda di dalam Hadith Qudsi ALLAH berfirman "wahai malaikat saksikanlah hambuKu yang memohon keampunan dan bermunajat kepadaKu dan katakanlah pada mereka AKU telah memperkenankan mereka". Maksud hadith lain:"Barangsiapa yang tidak mampu bangun pada pertengahan malam, maka bangunlah di satu pertiganya, barangsiapa yang tidak mampu pada waktu itu maka bangunlah pada awal malam".
  • Melakukan Solat Sunat Hifzi untuk menjaga hafalan Quran terutamanya kerana Quran adalah sumber segala ilmu. Kata Muthaqqaf:Semua sedia maklum mengenai kelebihan dan kaifiat melaksanakannya. Bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya boleh membacanya melalui entri penulis yang terdahulu.
  • Melakukan Sujud Syukur setiap hari bahkan setiap kali selepas solat digalakkan. Bukan hanya apabila menerima khabar atau petanda baik sahaja. Kata Muthaqqaf:Jadilah manusia yang sentiasa memanjatkan puji dan syukur kepada ALLAH walau di mana jua dan walau apa jua keadaan.
  • Mengamalkan Solat Sunat Witir setiap hari paling sedikit sebanyak satu rakaat dengan bacaan Al-Fatihah dan 3 Qul. Kata Muthaqqaf:Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan amalan ini sebagai penutup dalam kehidupan harian Baginda. Bagaimana pula kita?
  • Membaca Surah Yaasin yang merupakan 'hati Al-Quran' semoga dengan amalan tersebut mampu menerbitkan cahaya kefahaman dalam setiap bacaan dan hafalan kita. Rasulullah SAW bersabda "lakukanlah sesuatu amalan secara berterusan walaupun sedikit".
  • Kurangkan tidur, kurangkan makan, kurangkan bercakap. Semoga dengan berkurangan semua ini mampu menambahkan pemahaman, pemahaman dan penguasaan dalam sesuatu ilmu. Saidina Umar Al-Khattab berkata:"orang yang paling banyak bercakap maka kuranglah hemahnya". Kata Muthaqqaf:Bersama kita menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
  • Ikhlaskan hati, sucikan jiwa, bersihkan minda dari rona-rona maksiat yang mampu mengikis keberkatan ilmu lantas menyukarkan laluan menuju ke gerbang kejayaan. Kata Muthaqqaf:Memelihara hubungan bersama ALLAH dengan sentiasa mentaqarrubkan diri kepadanya disamping menjaga hubungan sesama manusia tanpa sengketa, permusuhan dan kebencian antara satu sama lain.
Semoga perkongsian sedikit mutiara ilmu ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan integriti diri penulis dan panduan kita semua. Penulis bukanlah manusia yang terbaik dalam memberikan sebuah motivasi yang amat bernilai. Akan tetapi atas dasar amanah ilmu yang penulis miliki perlunya untuk dicurahkan kepada umat Islam seluruhnya. Mengikut kemampuan penulis sebelum terjun ke medan dakwah yang sebenar.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Monday, April 28, 2008

.:: Pemimpin Idaman Rakyat ::.

بسم الله الرحمن الرحيم



Kesyukuran yang infiniti dipanjatkan ke hadrat ALLAH atas segala limpah kurnianya terhadap hamba-hambanya ini sehingga mampu meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba kepadaNya. Untuk terus berbakti kepadaNya semata-mata untuk merebut keredhaan yang amat mahal harganya. Sebuah produk bernilai yang tidak boleh diperolehi dengan hanya duduk diam tanpa melakukan sebarang usaha menuju ke arah itu. Maka bersamalah kita mengerah tulang 4 kerat untuk memastikan sasaran dihidupkan ALLAH di muka bumi ini tercapai tujuannya.

Pemimpin merupakan seseorang yang amat dikenali bahkan dihormati oleh seluruh rakyatnya tanpa mengira dari mana kehadirannya. Asal dia telah dipilih oleh rakyat, maka secara automatik juga amanah yang seberat mata memandang terpundak padanya. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sukar untuk menyalahkan sepenuh kesilapan akibat kegagalan sesuatu perkara kepada pemimpin seandainya tiada sokongan yang padu dari rakyat meskipun terdapat segelintir yang tidak redha akan perlantikan pemimpin yang menang lebih dari separuh majoriti itu.

Pemimpin itu bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Ianya bukanlah sesuatu kemuliaan yang perlu dijaja akan tetapi apa yang perlu dirasakan adalah pemimpin adalah satu amanah dari ALLAH. Satu bebanan tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebaik mungkin dan tidak boleh diambil sambil lewa. Bahkan tercatat sebuah hadith melalui lisan Rasulullah SAW menyebut : "tidak mempunyai iman barangsiapa yang tiada amanah (dalam dirinya)". Beringatlah sebelum kelak dipersoal di hadapan ALLAH kelak.

Malah menjadi kegerunan dan ketakutan bagi sesiapa yang memegang kepimpinan di semua peringkat apabila terdapat dalam hadith lain yang menyatakan mafhumnya : "apabila seseorang menjadi pemimpin maka sebelah kakinya akan berada di syurga dan sebelah lagi kakinya akan berada di neraka. Sekiranya dia mengkhianati amanahnya, maka terhumbanlah dia ke dalam neraka, jika sebaliknya maka terselamatlah dia". Satu lagi peringatan keras untuk dijadikan sebagai kayu pengukur oleh semua yang bergelar pemimpin.

Pemimpin itu meluas kegunaannya untuk menunjukkan bahawa setiap orang itu pemimpin. Ketua, pengerusi, pengarah, exco, ahli jawatankuasa tadbir, ahli jawatankuasa tertinggi, presiden, ketua menteri, perdana menteri dan sultan antara istilah yang membawa tanggungjawab pemimpin. Bahkan dalam sebuah hadith juga Rasulullah SAW menyebut bahawa semua manusia itu adalah pemimpin mengikut keadaan masing-masing. Dari keluarga, persatuan, kelab hinggalah pemimpin negara memikul amanah yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.


Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : "setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah naungannya". Melalui hadith tersebut juga mengingatkan bahawa setiap manusia juga dipertanggungjawabkan ke atas diri masing-masing samada memandu diri ke arah kebaikan dengan sebaiknya atau mengkhianati diri sendiri ke arah melakukan maksiat terhadap ALLAH.

Kisah Para Sahabat, Tabiin (Radialluhu Anhum) Jadi Rujukan

Banyak kisah-kisah kepimpinan para Sahabat Nabi SAW dan para Tabiin mampu menjadikan setiap yang bergelar memikirkan seterusnya membandingkan diantara kepimpinan mereka dan kita. Penulis kongsikan kisah hidup pimpinan mereka bersama kalian semua setelah mendengar ceramah forum perdana hal ehwal islam anjuran Jabatan Agama Islam Selangor semalam di Stadium Melawati, Shah Alam.

Menurut sumber yang disampaikan oleh Dato' Ismail Kamus yang terkenal di ceruk Asia Tenggara sehinggakan di Australia. Namun sejak 14 tahun yang lampau beliau telah di'gam' atas sebab-sebab ancaman politik pada ketika itu.

Dikisahkan pada suatu ketika tiba-tiba perut Saidina Umar Al-Khattab berbunyi tanda lapar minta diisi sesuatu. Akan tetapi beliau tidak mahu mengisi perutnya. Bahkan beliau berkata kepada perutnya, "berbunyilah kau sepuas-puasnya, sesungguhnya aku tidak akan mengisi perutku selagi mana masih ada di kalangan anak-anak orang Islam yang tidak makan." Sungguh amanahnya beliau terhadap amanah yang dipikulnya sehinggakan sanggup mengabaikan keperluan diri semata-mata untuk memastikan keperluan rakyatnya terlebih dahulu.


Beliau yang merupakan Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua selepas kewafatan Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan seorang pemimpin Islam yang amat tegas sehinggakan ketika mana penulis berjaulah ke makam-makam para wali di sebuah bukit Mukattam di Mesir turut berkaitan dengan beliau. Diceritakan oleh saudara Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM sesi 2007 mengatakan pernah kaum Nasrani ingin membeli bukit tersebut akan tetapi beliau tidak meluluskan. Kerana beliau terdengar satu kalam Nabi SAW bahawa kelak bukit tersebut akan menjadi pusat persemadian para aulia teragung seperti yang terdapat pada hari ini.

Mesir yang mendapat jolokan bumi para aulia, bumi para Nabi dan sebagainya sememangnya bertepatan sabda Nabi SAW. Sehingga ke hari ini bumi barakah ini masih dipenuhi dengan sinaran ulama dan wali ALLAH yang tidak mampu untuk dikesan. Bahkan kebanyakan ulama dan aulia muktabar kebanyakannya terdapat di Mesir. Sebagai contoh Imam Syafie, Imam Laith, Imam Waki', Imam Aizuddin Abdul Salam yang terkenal dengan gelaran Sultan Ulama, Imam Ibnu Hajar Asqalani, Imam Atoillah Askandari, Imam Abdullah bin Abi Jamrah, Imam Hassan Albanna dan ramai lagi ulama dan aulia tersohor suatu ketika dahulu.

Sehinggakan terdapat satu kalam dari seorang aulia, iaitu Imam Sya'rani yang diberikan kelebihan berjumpa dengan Rasulullah setiap malam mengatakan bahawa Rasulullah SAW memberitahu beliau bahawa di setiap makam para aulia dan ulama itu ALLAH utuskan seorang malaikat untuk mengaminkan doa setiap orang yang bermohon atas ketinggian ilmu yang ada pada melalui mereka untuk sampai kepada ALLAH.

Semoga segala doa-doa kami dimakbulkan ALLAH untuk mengurniakan kejayaan yang cemerlang kepada kami dan seluruh saudara-saudara seIslam dan dipermudahkan segala urusan. Seterusnya menetapkan kami di jalan yang betul untuk terus berada di landasan yang benar dalam mempertahan dan memartabatkan kembali agama Islam yang suci ini.

Manakala dalam kisah tabiin pula banyak boleh diperolehi melalui kisah perjalanan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai seorang pemimpin negara. Ketika mana beliau berada di Baitul Mal bersama-samanya anak yang masih kecil. Lantas anak kecil itu mengambil sebutir kurma lalu menelannya. Setelah menyedari perkara itu, lantas Umar menepuk-nepuk belakang anak kecil itu sehingga terkeluar semua buyir kurma itu. Sambil berkata, "sesungguhnya aku takut untuk mengambil dan menggunakan harta Baitul Mal ini kerana takut ianya akan dipersoal di hadapan ALLAH kepadaku di akhirat kelak."


Cuba kita perhati dan bandingkan diri kita. Adakah antara 2 kisah ini yang telah kita praktikkan terhadap amanah yang telah diberikan? Semoga ianya menjadi muhasabah buat panduan kita semua dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pemimpin yang sebenar-benarnya. Pemimpin idaman rakyat.

Semoga sedikit perkongsian ilmiah dan thaqafah yang penulis ketengahkan mampu memberikan sedikit muhasabah diri kepada setiap individu yang bergelar pemimpin. Terutamanya kepada diri penulis sendiri seterusnya sebagai panduan kalian semua dalam menongkah arus kehidupan yang semakin mencabar.

Dalam leka dan fokus dengan agenda ilmu dalam memburu kejayaan yang gemilang juga merupakan satu amanah dari keluarga dan negara tercinta. Bahkan satu amanah dari ALLAH untuk menjaga dan mempertahankan Islam kelak terpundak pada bahu penuntut-penuntut ilmu agama yang memahami tuntutan ini. Justeru itu ayuhlah sama-sama menyedari hakikat amanah yang amat berat ini sebelum diri berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat yang mengharapkan golongan seperti ini untuk memandu mereka.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Saturday, April 26, 2008

.:: Awas Golongan Gay, Homoseksual! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Satu kupasan yang menarik dan memberikan tamparan hebat untuk para duat, penuntut-penuntut ilmu ALLAH sekalian mengenai realiti ummah Islam. Umumnya di seluruh dunia Islam dan masyarakat Malaysia khususnya mengenai gejala gay dan homoseksual yang semakin membarah bahkan sudah parah sehingga ianya dibiarkan berterusan tanpa pencegahan yang drastik dari semua pihak. Bahkan ianya juga sebagai satu kesedaran kepada golongan-golongan ini untuk segera kembali ke pangkal jalan.

Semoga memberikan sejuta keinsafan kepada kita semua untuk mempersiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya bagi berhadapan dengan pembongkaran realiti masyarakat muda mudi Malaysia kini. Berikut penulis paparkan keratan yang dinukilkan melalui Harian Metro melalui ruangan Ad-Din. Semoga bermanfaat untuk renungan bersama.


Ihsan sumber Harian Metro


DALAM amalan kontemporari, perkataan 'gay' biasanya menggambarkan orientasi seksual seseorang iaitu berkaitan emosi, romantik, seksual atau tarikan kecintaan kepada yang lain.

Terma homoseksual merujuk kepada kelakuan seksual atau tarikan antara manusia sama jenis.


Perkataan 'gay' dikatakan berasal daripada bahasa Perancis lama iaitu 'gai'. Pada peringkat awal, 'gay' membawa beberapa pengertian seperti 'rasa bebas tanpa kerungsingan', 'gembira' atau 'riang dan suka menunjuk-nunjuk.'

Hari ini, 'gay' lebih cenderung membawa maksud hubungan jenis sesama jantina, dipanggil juga homoseksual (liwat), tetapi biasanya ia merujuk kepada lelaki sesama lelaki.

Bukan sedikit mereka yang terbabit dengan aktiviti terbabit, malah di Barat, ia menjadi budaya yang semakin luas pengaruhnya.

Tidakkah ia suatu fenomena yang bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia?

DALAM amalan kontemporari, perkataan 'gay' biasanya menggambarkan orientasi seksual seseorang iaitu berkaitan emosi, romantik, seksual atau tarikan kecintaan kepada yang lain.

Bagaimana Islam melihat situasi ini?

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata hubungan seksual luar tabie seperti itu adalah haram dan tergolong dalam dosa besar.

"Di zaman kaum Nabi Luth di tengah padang pasir menjadi lautan kerana mereka suka pada lelaki.

"Walaupun ada perempuan, mereka tidak suka, hanya berminat pada lelaki iaitu sama jenis dengan mereka," katanya.

Di negara ini, kewujudan kaum gay memang ditolak walaupun tiada perangkaan rasmi.

Laporan Harian Metro mengenai 'gay jamban' baru-baru ini menunjukkan homoseksual semakin menular di ibu kota terutama di kalangan belia, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, malah pelancong asing.

Lebih teruk apabila mereka tanpa segan dan bersalah turut menjadikan tandas awam di pusat beli-belah sebagai lokasi memadu asmara, bercumbuan atau melakukan hubungan seksual dengan pasangan sejenis.

Tabiat suka kepada pasangan sejenis bermula pada zaman kaum Nabi Luth a.s, apabila mereka tidak cenderung kepada golongan wanita.

Kaumnya lari daripada fitrah. Hidup mereka menentang arus, mengikut nafsu serakah tanpa mempedulikan nilai agama dan kemasyarakatan.

Walaupun Nabi Luth menasihati mereka, ia tidak diterima sedikitpun, sehinggakan tetamu baginda sendiri mahu diusik. Disebabkan itu, mereka ditimpa musibah yang sungguh dahsyat, buminya tenggalam sehingga menjadi lautan.

Kisah ini diceritakan dalam al-Quran melalui beberapa surah, antaranya surah al-Akabuut, an-Naml dan al-Hijr.

"Dan Nabi Luth juga tatkala ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. Bahkan kamu kaum yang jahil." (an-Naml:54-55)

"Nabi Luth berkata: Di sini ada anak-anak perempuanku, kalau kamu mahu melakukan. Demi umurmu, sesungguhnya mereka membuta-tuli dalam kemabukan maksiat mereka. "Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-terbalik dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." (al-Hijr: 71-74)

Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Luth." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim)

Mohd Rani berkata, kisah membabitkan kaum Luth itu tidak boleh dipandang ringan, malah perlu diambil ingatan dan pengajaran semua pihak.

"Tetapi sekarang ini orang sudah lupa sejarah kerana kepuasan nafsu semata-mata. Nabi tidak mengaku umat bagi lelaki yang suka kepada lelaki," katanya.

Beliau berkata, golongan gay tidak boleh dibiarkan, sebaliknya perlu diambil tindakan dengan pendidikan secukupnya.

"Kena tarbiyah dan bagi bimbingan supaya mereka tidak berterusan dalam perbuatan itu. Ajaran agama perlu diberikan secukupnya supaya mereka boleh kembali hidup dan bekerja seperti orang biasa. Jangan pula nanti kegiatan itu seperti satu kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan. Mereka perlu diajak dan dibimbing secara khusus," katanya.


Beliau tidak mempertikaikan kewujudan lelaki lembut dan tidak mempersalahkan mereka kerana perwatakan sedemikian adalah ciptaan Tuhan juga, cuma yang perlu dipastikan ialah tidak terbabit dengan gejala homoseksual.

"Tuhan menjadikan begitu (lembut) tidak boleh menghina mereka. Tidak semua orang lembut melakukan aktiviti macam itu.

"Menjadi masalahnya ialah mereka diperalatkan golongan lelaki bertubuh kasar untuk melepaskan nafsu," katanya.

Beliau mengajak golongan yang terbabit dengan homoseksual supaya kembali kepada fitrah kemanusiaan dan segera bertaubat kerana dengan taubat, dosa mereka mudah-mudahan diampunkan Allah.

Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, berkata secara fitrah setiap manusia ada rangsangan seksual dan secara normal manusia tertarik kepada jantina berlainan jenis.

"Bagi menjaganya, Islam menganjurkan ikatan perkahwinan. Apabila seorang wanita telah berkahwin, suami mempunyai hak dan tanggungjawab sepenuhnya ke atasnya," katanya.

Menurutnya, gangguan seksual di luar fitrah adalah tidak normal dan manusia perlu berusaha untuk menjauhinya, malah mengikis perasaan sedemikian.

"Kecenderungan sedemikian adalah suatu penyakit. Ia berupa ketagihan atau kegilaan. Kegilaan dan ketagihan sedemikian hanya boleh dihilangkan apabila hukuman berat dijatuhkan ke atasnya selain manusia sendiri mengubahnya," katanya.

P/S:
Peringatan buat penulis sendiri dan seluruh para da'ie, penuntut ilmu ALLAH sekalian untuk bersama mempersiapkan diri yang secukupnya bagi menghadapi cabaran masa kini yang kembali seperti zaman keruntuhan akhlak dan sosial Jahiliyyah untuk diperbetulkan kembali.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

.:: Peringatan Di Musim Imtihan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Perjalanan hidup penulis sebagai seorang selama hampir 4 tahun di bumi aulia' ini sememangnya memberikan 1001 pengalaman yang amat berharga. Bahkan ianya merupakan sebuah buah tangan yang bisa menjadi coretan terindah untuk dijaja apabila pulang ke tanah air kelak. Bukan mudah untuk menyediakan diri penuh dengan pelbagai pengetahuan tambahan yang mampu memberikan maklumat tambahan tika berhadapan dengan masyarakat.

Gugusan pengalaman menuntut ilmu di negeri orang amat bermakna lebih-lebih lagi di perkampungan yang kaya dengan pelbagai khazanah ilmu. Yang lebih menarik tatkala melangkah kaki di mana jua ceruk ardul kinanah ini semoga memberikan manfaat keberkatan moga terkesan pijakan tersebut.

Dalam melalui musim imtihan yang menjangkau hampir dua bulan semestinya tidak kosong dengan pelbagai agenda untuk diisi. Tidak keterlaluan rasanya untuk mengatakan pada musim imtihan ini juga setiap penuntut ilmu ALLAH bakal berhadapan dengan pelbagai dugaan dan tribulasi. Ianya merupakan sunnatullah untuk menguji setara mana ketahanan para pejuang agama ALLAH ini dalam berhadapan dengan mehnah musim imtihan.


Pada pengalaman penulis secara peribadi sememangnya memberikan pelbagai bentuk dugaan yang menguji ketahanan fizikal dan rohani. Setiap tahun penulis menerima kedatangan ujian yang tidak diundang. Masih segar dalam catitan perjalanan penulis ketika berada di tahun 1 menerima musibah yang hampir-hampir melunturkan semangat untuk terus menduduki peperiksaan. Musibah yang hampir kepada penyakit lumpuh itu tidak mematahkan semangat penulis untuk menduduki peperiksaan subjek yang terakhir walau terpaksa berkerusi roda dengan bantuan saudara Asri Jaafar pada ketika itu.

Syukur pada ALLAH kerana memberikan kesempatan kepada penulis untuk meneruskan pengajian di tahun kedua, terus menapak ke tahun 3 sehinggalah penulis berjaya menjejakkan kaki ke tahun akhir ini. Pada tahun terakhir ini pula, penulis diuji dengan kehilangan bonda yang disayangi. Ketika itu penulis hampir berhadapan dengan peperiksaan semester 1 bagi tahun akhir ini. Penulis masih tegak berdiri untuk meneruskan langkah hingga ke akhirnya.

Ini adalah antara dugaan yang tidak boleh untuk dihindari untuk mengasak kekentalan fizikal dan rohani para penuntut ilmu ALLAH. Bahkan penulis pernah menerima satu khabar daripada seorang abang lama dan beliau menerima khabar tersebut dari masyarakat arab sendiri. Bahawasanya pada musim imtihan seluruh gereja di Mesir akan melepaskan jin-jin peliharaan mereka untuk menggoda dan melalaikan para penuntut ilmu ALLAH di Universiti Al Azhar yang bakal berhadapan dengan dugaan ilmu. Sejauh mana kesahihannya tidak diketahui.

Meskipun apa jua dugaan yang datang bertubi-tubi itu adalah datangnya dari ALLAH. Ini adalah disebabkan segala yang berlaku di sekeliling kita adalah satu pertaruhan kepada pejuang agama ALLAH untuk menguji tahap kekentalan iman walau pelbagai kemungkinan yang didatangkan.

Antara tribulasi yang sentiasa menerjah para pejuang agama ALLAH adalah tekanan hati dan perasaan, kehilangan orang-orang yang disayangi, ditimpa penyakit, perselisihan faham, culas dan sebagainya. Ini adalah sunnatullah terhadap para penuntut ilmu ALLAH dalam memastikan kekentalan iman yang mapan dalam mendepani tribulasi luar yang lebih mencabar. Maka, beruntunglah mereka yang berjaya menjalani dugaan yang dibentangkan kepadanya.


Hadapilah setiap yang mendatang itu dengan hati yang terbuka dan sudut pandangan yang positif serta diiringi kesabaran dan ketabahan yang kental. Malah dalam musim ini jugalah pintu kemaksiatan seolah-olah terbuka luas dan begitu mudah dicerobohi. Justeru bersamalah mewujudkan suasana ingat mengingati dan nasihat menasihati sekiranya ianya berlaku dikalangan kita untuk mewujudkan suasana diredhai.

Akhirnya sebagai konklusi pada entri kali ini, perlunya bagi setiap individu untuk memastikan kebersamaan dalam setiap amalan. Penyatuan kesefahaman dalam mendalami seluruh etika hidup mencakupi 2 faktor penting untuk berjaya iaitu menjaga dengan sehabis baik hubungan nan erat terhadap pendekatan kepada ALLAH setiap masa. Dan yang kedua menjaga hubungan sesama rakan serumah dan manusia sekeliling dengan mengelakkan sebarang unsur yang mampu menggugat kesefahaman sejagat.


Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Friday, April 25, 2008

.:: Fakta Atau Auta? ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Tentunya kalian tertanya-tanya apa lagi propaganda yang ingin penulis bebelkan pada entri kali ini. Semestinya sekadar untuk memberikan beberapa informasi yang bermakna untuk makluman semua. Cumanya memerlukan penilaian dan kepastian dari pelbagai sudut samada ianya fakta atau auta. Terus kepada pembentangan beberapa informasi yang perlu diambil perhatian segera dengan penggelintaran menyeluruh serebrum dan sereblum anda.


  • Tahukah anda bahawa tengah malam 24 April sebelum masuk 25 April tarikh setiap tahun kita tidak akan bertemu dengan waktu 12 tengah malam kerana secara automatik waktu tersebut terus beralih ke jam 1 pagi waktu Mesir. Ini menandakan musim panas bermula sekaligus membezakan waktu Mesir-Malaysia sebanyak 5 jam berbanding 6 jam pada musim sejuk. *Kata muthaqqaf:Ini fakta bukan auta! Jangan lupa untuk tukar serta merta waktu jam masing-masing daripada 12 tengah malam kepada 1 pagi serta merta malam ni.
  • Tahukah anda burung kasawari apabila ia membenamkan kepalanya ke dalam tanah, ia akan bernafas melalui bontotnya? *Kata muthaqqaf:Ini ambo tak tahu menahu. Kalau dalam kajian Sains ianya benar-benar berlaku. (Diambil melalui filem CUCI)
  • Tahukah anda bahawa otak manusia merupakan 'hard disk' yang mampu menyimpan sebanyak mana maklumat melebihi 'hard disk' komputer walau sebesar mana pun kapasitinya? *Kata muthaqqaf:Maha suci ALLAH yang maha berkuasa akan tiap-tiap sesuatu. Ini memang sebenar-benar fakta.
  • Benarkah Melayu itu mudah lupa ataupun manusia keseluruhannya yang mudah lupa? *Kata muthaqqaf:Sama-sama nilai potensi diri dan memperbaiki diri disamping meningkatkan potensi daya fikir. Yang paling utama amalkan Zikrullah, Insyaallah terhindar dari penyakit lupa.
  • Tahukah anda bahawa Universiti Al-Azhar, Mesir merupakan Universiti yang tertua di dunia bukan Universiti Oxford yang mana Masjid Al-Azhar merupakan asas kepada universiti terulung ini? *Kata muthaqqaf:Ini adalah pandangan penulis secara peribadi melihat kepada keulungannya dalam dunia ilmuan Islam.
Sekian sekadar renungan untuk difikir-fikirkan apa yang bermanfaat dijadikan pengajaran manakala yang karut dijadikan sempadan. Penulis bukanlah sebetul-betulnya arif dengan setiap apa yang berlaku di sekitar perjalanan hidup manusia. Sekadar berkongsikan apa yang boleh menjadi pengatahuan tambahan untuk panduan kita bersama. Selamat mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan yang bakal menerjah. Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menggelintar sepenuhnya ilmu yang telah dipelajari.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa


Thursday, April 24, 2008

.:: Pelincir Kuat Dan Kekal Hafalan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ifiniti puji dan syukur atas segala nikmat yang berpanjangan yang diberikan untuk meneruskan khidmat bakti dan pengabdian secara total terhadap Tuhan Pencipta sekalian alam. Sehingga akhirnya akan dikembalikan kepadaNya dalam keadaan hati yang suci tanpa secalit noda. Walaupun hakikatnya tiada manusia yang akan kembali ke pangkuan Rabbul Izzati dalam keadaan penuh suci. Akhirnya hanya bergantung kepada rahmat ALLAH disamping amalan sebagai pembantu urusan perjalanan di akhirat kelak.

Umum sedia maklum mengenai Solat Sunat Hifzi. Berkaitan dengan hadaf dan kaifiat perlaksanaannya. Sekiranya kalian masih samar-samar berkaitan dengan amalan ini boleh klik di sini untuk maklumat lanjut. Cuma sebagaimana yang penulis maklumkan pada waktu itu akan melampirkan riwayat yang menunjukkan saranan dari Rasulullah SAW sendiri untuk membantu melincirkan hafalan Kitabullah ini.

الدعاء/النافلة لحفظ القرآن

عن ابن عباس رضى الله عنهما قال:بينما نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم إذ جاءه علي بن أبي طالب رضى الله عنه فقال:بأبي أنت، تفلت هذا القرآن من صدرى فما أجدني أقدر عليه.
فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم:يا أبا الحسن أفلا أعلمك كلمات ينفعك الله بهن، وينفع بهن من علمته ويثبت ما تعلمت فى صدرك؟
قال:أجل يا رسول الله فعلمنى.
قال:إذا كان ليلة الجمعة، فإذا إستطاعت أن تقوم فى ثلث الليل الآخر فإنها ساعة مشهودة. والدعاء فيها مستجاب، فقد قال أخى يعقوب لبنيه: سوف أستغفر لكم ربى. يقول حتى تأتى ليلة الجمعة. فإن لم تستطع فقم فى وسطها فإن لم تستطع فقم فى أولها. فصلّ أربع ركعات: تقراء فى الركعة الأولى بفاتحة الكتاب وسورة يس، وفى الركعة الثانية
بفاتحة الكتاب حم الدخان، وفى الركعة الثالثة بفاتحة الكتاب وآلم تنزيل (السجدة)، وفى الركعة الرابعة بفاتحة الكتاب وتبارك المفصل، فإذا فرغت من التشهد فاحمد الله وأحسن الثناء على الله وصلّ علىّ وعلى سائر النبيين واستغفر للمؤمنين والمؤمنات ولإخوانك الذين سبقوك بالإيمان
ثم قل فى آخر ذلك
: (اللهم ارحمنى بترك المعاصى أبداً ما أبقيتني، وارحمنى أن أتكلف مالا يعنينى، وارزقنى حسن النظر فيما يُرضيك عني، اللهم بديع السماوات والأرض يا ذالجلال والإكرام، والعزة التى لاترام، أسألك يا الله يا رحمن بجلالك ونور وجهك أن تلزم قلبى حفظ كتابك كما علمتنى وارزقنى أن أتلوه على النحو الذى يرضيك عنى.
اللهم بديع السماوات والأرض يا ذالجلال والإكرام، والعزة التى لاترام، أسألك يا الله يا رحمن بجلالك ونور وجه أن تنور بكتابك بصرى وأن تطلق به لسانى وأن تفرج به عن قلبى، وأن تشرح به صدرى، وأن تغسل به بدنى فإنه لايعيننى على الحق غيرك، ولا يؤتينه إلا أنت ولا حول ولا قوة إلا بالله العلى العظيم)
يا أبا الحسن تفعل ذلك ثلاث جمع، أو خمساً، أو سبعاً تجاب بإذن الله، والذى بعثنى بالحق ما أخطأ مؤمناً قط.
قال ابن عباس رضى الله عنهما: فوالله ما لبث علي إلا خمساً أو سبعاً حتى جاء رسول الله صلى الله عليه وسلم فى ذلك المجلس،
فقال: يا رسول الله إني كنت فيما خلا لا آخذ إلا أربع آيات أو نحوهن فإذا قرأتهن على نفس تفلتن، وأنا أتعلم اليوم أربعين آية أو نحوها فإذا قرأتهن على نفسي فكأنما كتاب الله بين عيني. ولقد كنت أسمع الحديث، فإذا رددته تفلت، وأنا اليوم أسمع الحديث فإذا تحدثت بها لم أخرم منها حرفاً.
فقال
رسول الله صلى الله عليه وسلم عند ذلك: مؤمن ورب الكعبة يا أبا الحسن.

"رواه الترمذى ورواه الحاكم"

Mafhumnya penulis bersangka baik bahawa kalian semua mampu memaknakan setiap bilah matan hadis tersebut (Kalau tak faham buka kamus Arab Melayu). Semoga dengan lontaran dalil yang bersanad kepada Rasulullah SAW ini mampu memberikan kelinciran tambahan untuk menjaga mukjizat teragung ini supaya terus bersemadi di hati dan sanubari kita. Seterusnya menjadi pembantu dikala ianya diperlukan dan sebagai hujjah untuk kita mempersembahkan di hadapan ALLAH kelak.

P/S:
Malam ni jangan lupa ramai-ramai memeriahkan Solat Sunat Hifzi di rumah negeri dan markaz dewan perwakilan masing-masing. Jangan hangat-hangat tahi ayam. Nak berjaya tapi sombong untuk minta pada ALLAH. [-o<

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

.:: Face It With Full Strength ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


It is unbelievable instead myself. But it was true. Even i deny it, i need to accepted whatever had been wrote for me certainly for overall those live in this temporary world before we transferring to the other world. Of course here and after either heaven or hell. Hope HIS mercy and blessings upon us through HIS BELOVED The Prophet Peace and Blessing Upon Him (PBUH).

I am not in mood to writing long essay about this coming oral exam me myself and others of friends from The Faculty of Islamic Theology in Al Azhar University. But it just for fun. Therefore we especially me myself not prepared well. Although many buts or reasons i gave, there is nothing more i can do to changing this noted had been wrote.

I need to prepared as soon as possible before this 13th May. That day was the first paper of my final exam in this final year. 8 verses of the Holy Koran i must recalled with all my full strength. I must doing the best and prove to my beloved siblings, family, fiance, brothers and friends that i should be more successful from before. Even i am pro active in an organization, but that is not the reasons to throw me into the failure!


I must working hard as i am working for The Malay Association In Arab Republic Of Egypt to ensure the mission and vision become true. Yes, i must do as much as i can to give my full proud to Islam later after i am graduate from this greatest university in the world, Al Azhar University.

I am also hope our full pray for our success not only for our self. We must setting our mind to ensure pray for all success not selfish for our self. In the end, hope this pure will be our witness and helping us. That is what i had trained myself for not being not selfish and forgotten others to success. Beware our self do not being selfish.

Thanks for all of your encouragement to me especially and for us here at Al Azhar University. Also to all those studying here in Egypt including Qiraat and Medical students. I wishes the successful will be ours for Islam because ALLAH. Taking good care each others. Keep in touch with ALLAH and Islam truth way of life. Chaiyok-chaiyok, aja-aja fighting!

P/S : Writer got band 3 in his Malaysian University English Test (MUET) at Johor Arabic High School in year 2003! His English Language is not bad right? Sorry if there is many mistake happened in the previous essay. Give your comments and critics for me to improve my english skills. :)

Inspiration from deep of my heart,

♥LOVED HIS BLESSINGS♥
ZuLmArWa

Wednesday, April 23, 2008

.:: 'Tsunami Senyap' Melanda Dunia! ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ihsan Berita Harian

Sedar atau tidak sedar, akan tetapi inilah hakikat yang perlu ditelan oleh semua umat manusia di hampir seluruh pelusuk dunia. Penderitaan ini bukan sahaja dirasai mereka yang berada di Asia Tenggara termasuklah Malaysia negaraku tercinta. Bahkan kami yang berada di Perlembahan Nil ini juga turut berhadapan dengan krisis kemahalan harga keperluan asas yang melambung tinggi mutakhir ini.

ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين
Al-Baqarah:155
Maksudnya : Dan kami menguji manusia itu dengan sesuatu disekelilingnya daripadanya ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (orang tersayang) dan kekurangan hasil makanan. Dan berbahagialah orang-orang yang sabar.

Pada peringkat awal, penulis merasakan releven situasi yang tegang ini hanya berlaku di Mesir. Akan tetapi setelah meneliti kenyataan akhbar yang memaparkan fenomena 'tsunami senyap' yang melanda dunia buat kali kedua. Satu tambahan ilmu buat penulis yang sememangnya buta sejarah yang mana akhbar menyatakan bahawa dunia pernah dilanda krisis makanan kali pertama secara besar-besaran sejak Perang Dunia Kedua.

Buat penulis dan sahabat-sahabat yang berada di Mesir turut merasakan sesuatu yang menyesakkan dengan kemahalan beberapa keperluan asas barangan harian. Seumpama beras yang melambung sehingga ke harga 95 Pound Sterling Mesir daripada 65 Pound Sterling Mesir awal tahun ini. Begitu juga miinyak, gula, tepung dan sebagainya yang dilihat meningkat secara drastik.

Dalam masa yang sama, kadar pemberian zakat yang diberikan kepada anak-anak Johor yang dihadkan kepada mereka yang naik tahun 3 dan 4 sahaja masih di tarif yang sama. Menurut maklumat yang diperolehi setelah permohonan untuk dinaikkan tarif pemberian zakat daripada RM3600 kepada RM5000 setahun tidak diterima. Akan tetapi tetap dikekalkan pada kadar tarif yang sama. Mengapa Johor yang menduduki kutipan zakat tertinggi berbanding negeri-negeri lain tidak boleh menaikkan kadar tersebut? Polemik yang ditimbulkan kononnya ingin menyamakan kadar tersebut setaraf dengan Selangor dan negeri-negeri lain sekadar retorik. Dimanakah kebenarannya?


Persoalan tersebut banyak kali ditimbulkan bukan bertujuan untuk menggunakan wang pemberian umat Islam ke arah kemaksiatan. Dalam kegawatan krisis ini, mereka lebih mengutamakan soal 'Iskandar' yang ingin dijadikan mercu kebanggaan Malaysia dengan pelbagai prasarana yang dilihat akan menaikkan taraf kehidupan rakyat. Sedangkan keberjayaan projek ini dilihat meletakkan rakyat Malaysia keseluruhannya tetap berada pada taraf yang statik. Tidak akan berganjak ke mana-mana. Bahkan bertambah parah!

Dangkal untuk membuka topik ini dengan lebih meluas cuma mengharapkan perkara ini mendapat timbangan sewajarnya. Kalau tidak untuk generasi kini,setidak-tidaknya untuk kebaikan generasi adik-adik yang dapat dilihat semakin getir. Sesungguhnya suara ini bukanlah suara protes penulis secara peribadi, akan tetapi mewakili suara anak-anak Malaysia terutamanya anak-anak Johor yang semakin tersepit dengan politik makanan yang semakin menghimpit.

Di sini penulis turut sertakan keratan akhbar Berita Harian hari ini berkaitan 'tsunami senyap' yang melanda dunia kini sebagai tatapan sahabat-sahabat sekalian di kala berhadapan dengan 'tsunami minda' yang bakal menerjah tidak berapa lama lagi. Semoga memberikan kita dedikasi yang lebih bertenaga untuk menghadapi politik makanan yang tampak dangkal ini.

Berjuta-juta kelaparan seluruh dunia kerana kenaikan harga makanan

LONDON: Dunia menghadapi krisis makanan besar-besaran pertama sejak Perang Dunia Kedua yang dilihat melanda rantau Caribbean, Afrika dan Asia.

Masalah sejagat membabitkan peningkatan harga dan kekurangan bekalan makanan kini disifatkan sebagai 'tsunami senyap' kerana boleh menyebabkan penduduk dunia berdepan kelaparan, manakala Bank Pembangunan Asia (ADB) di Singapura semalam, pula menegaskan era harga murah makanan sudah pun berlalu.

Malah, sekurang-kurangnya 37 negara mengalami krisis makanan serius.

Harga makanan meningkat kerana kegunaan sumber yang tertentu dalam biofuel bagi memerangi perubahan cuaca, peningkatan jumlah penduduk, permintaan tinggi negara sedang membangun selain kejadian banjir dan kemarau di negara pengeluar utama makanan seperti Australia dan Afrika.

Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, sekurang-kurangnya 850 juta penduduk dunia kini kelaparan.

"Indeks kesengsaraan dunia kian meningkat," kata Pengarah Eksekutif WFP Josette Sheeran.

"Ia ibarat tsunami senyap yang tiada sempadan dan ramai yang tidak menyedarinya langsung apabila masalah itu berlaku."

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula mendakwa masalah peningkatan harga makanan sedunia itu turut melenyapkan usaha pembangunan dunia yang diperjuangkan sejak 2001.

"Apa yang berlaku hari ini terbukti melenyapkan usaha tujuh tahun dunia mencapai program Matlamat Pembangunan Alaf Baru," katanya pada satu persidangan pembangunan dan perdagangan PBB di Accra, Ghana.

Beliau merujuk kepada lapan sasaran yang ditetapkan badan dunia itu bagi mempertingkatkan kehidupan penduduk sejagat menjelang 2015.

"Jika tidak ditangani sebaik mungkin, krisis ini boleh mencetuskan gelombang permasalahan lain termasuk menjejaskan pembangunan ekonomi, sosial, politik serta keselamatan di seluruh dunia," tegasnya.

Kebimbangan Ban mengulangi amaran pemimpin institusi kewangan dunia lain termasuk Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ADB sejak beberapa minggu lalu yang menggesa pemimpin negara membangun mengurangkan kemiskinan.

Rusuhan akibat kekurangan makanan dan peningkatan mendadak harga sumber utama itu di beberapa negara termasuk Haiti dan Mesir, membuktikan betapa seriusnya masalah itu.
Di Bangladesh, beribu-ribu pekerja tekstil merusuh dengan anggota keselamatan berikutan kekurangan makanan.

Pada masa sama, kata pakar, berpuluh-puluh ribu penduduk yang kelaparan, terpaksa berbaris panjang di pusat pengagihan makanan PBB di seluruh dunia - dari Amerika Latin, Afrika dan Asia.

Malah di beberapa negara Asia, keadaan itu semakin meruncing sehinggakan di Filipina, bekalan beras terpaksa diiringi tentera.

Sementara itu Perdana Menteri Britain, Gordon Brown semalam mengadakan persidangan yang dihadiri ahli Parlimen, pakar serta ketua agensi makanan PBB bagi merangka pelan tindakan menangani kenaikan harga makanan di seluruh dunia.

"Kini muncul satu lagi krisis dunia iaitu krisis makanan yang boleh yang boleh mengakibatkan kemiskinan di kalangan jutaan penduduk dunia," katanya. -Agensi-

P/S: Berjuang itu tidak pernah duduk senang. Sentiasa berhadapan dengan kesusahan, kepayahan, penderitaan dan pengorbanan untuk melatih diri kuat menghadapi ujian rekaan ALLAH. Sekiranya segala 'audition' mampu diatai dengan kesabaran, ketekunan, ketangkasan dan keikhlasan yang tinggi, maka berbahagialah kamu di 'sana' kelak!!

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

Tuesday, April 22, 2008

.:: Peliharalah Ia Dengan Sebaik-baiknya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Rehlah Matrouh Siwa ketika penulis (berbaju putih) di tahun 1 bersama Firdauz Husin (tengah) Hasbullah Amat (baju biru) dan Firdaus Ahmad (baju merah)

Manusia tidak terlepas dari melakukan sebarang silap dan salah. Manusia itu juga tidak mampu lari dari kenyataan hidup yang meletakkannya sebagai makhluk yang ALLAH ciptkan dalam keadaan lemah. Disamping itu juga perlu juga bagi setiap manusia menyedari akan realiti kehidupan yang sentiasa mencabar. Tidak dapat tidak sebagai seorang manusia yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan ragam dan kerenahnya. Adakalanya sikapnya menggembirakan, menyedihkan, menggeramkan, menyampah dan adakala juga memualkan. Akan tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan. Itulah lumrah dalam silaturrahim.


Mungkin kalian terasa agak sebal dengan bebelan ini. Namun inilah hakikat yang perlu dihayati bersama dalam konteks hidup bermasyarakat. Perkara ini tidak dapat untuk dihindarkan. Sedangkan suami isteri lidah pun tergigit apatah lagi hidup bersama kawan-kawan serumah. Kenangan di alam persekolahan sesuatu yang amat berharga untuk mematangkan diri supaya menjadikannya sebagai satu memori. Bukan memori picisan akan tetapi ibarat permata yang kelak menjadi lintasan minda untuk diulang dengan suasana berubah.

Nah, inilah tujuan penulis mengutarakan anologi setiap manusia yang sememangnya akan menempuhi suasana ini. Pastinya alam remaja yang penuh memori itu akan berlalu sedikit demi sedikit membawa diri melangkah ke alam dewasa yang memerlukan kematangan yang lebih besar untuk memacu gelombang glokal dan global yang semakin drastik. Maka segalanya itu memerlukan sebuah pemantapan dari pelbagai sudut disamping pengukuhan ukhuwah silaturahim yang menjadi tonggak utama untuk menggalas misi akan datang yang lebih kompleks.


Tatkala itu permainan perasaan bukanlah agenda utama untuk memandu ombak globalisasi yang semakin mengganas. Meskipun pada masa itu kita hampir tertewas dan tersungkur, akan tetapi rajuk dan putus asa bukanlah jalan penyelesainnya. Justeru yang perlu difikirkan adalah jalan terbaik untuk memugar kembali corak pengendalian yang lebih dinamik. Seterusnya menatijahkan implikasi yang gempak demi memastikan wacana dan wahana yang diperjuangkan mampu pergi lebih jauh dan dihayati bersama.


Pasca penjelasan menyuntik semangat menuju kejayaan harapnya sampai kepada sasarannya. Penulis bukanlah fasilitator mahupun motivator yang terbaik dalam memberikan sebuah harapan. Akan tetapi apa yang diharapkan bukan sahaja oleh penulis, bahkan oleh agama yang suci ini terutamanya kepada pendokong yang menyelami setiap dasar perjuangan yang dipelopori oleh para aktivis terdahulu. Usahlah menjadikan jolokan syaitan yang memetik api permusuhan sesama kita sebagai kiblat utama. Hancurkanlah jolokan berbahaya itu dari terus menguasai diri.

Pesan penulis kepada seluruh sahabat penuntut ilmu supaya menjaga nilai persahabatan, ukhuwah, silaturahim dan persaudaraan yang diwujudkan supaya tidak wujud persengketaan yang akhirnya membawa kepada perpecahan. Seterusnya melemahkan institusi kesatuan ukhuwah Islamiah yang seharusnya dipupuk sesama pendokong dakwah Islam sebelum diterjemahkan ke dalam arena masyarakat yang lebih mencabar.


Telah berkata Saidina Umar Al-Khattab RA " Tidak ada satu pun yang paling berharga yang dimiliki oleh seorang insan selepas nikmat Islam selain teman yang soleh. Apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya, maka peganglah dia dengan bersungguh-sungguh."


Bahkan seringkali kedengaran bait-bait kalam ilahi dan sentuhan ilham nurani Junjungan Besar SAW yang menekankan ukhuwah Islamiah. Dek kerana perkara ini yang menjadi teras kesatuan umat Islam seluruhnya tanpa sempadan bangsa mahupun bahasa maka berusahalah para orientalis 'pergerakan pemusnah Islam' di seluruh dunia untuk memecah belahkan umat Islam. Kerana mereka menyedari hakikat seandainya umat Islam bersatu maka mereka akan terkalahkan. Oleh yang demikian itulah mendorong mereka berusaha menghancurkan Islam.

Kembali semula kepada fokus utama penulis mengharapkan supaya seluruh pendokong Islam menggembleng sepenuh tenaga dalam memastikan kesatuan sesama kita mampu menjaminkan sebuah kebersamaan. Bukan itu sahaja, malah ianya memerlukan kesetiaan, keseiaan dan kesekataan dalam semua aspek demi membentuk sebuah implikasi yang berkesan. Semoga impian untuk melihat kesatuan ummah Islam ini bukanlah suatu igauan dan bayangan semata. Bahkan mampu melahirkan produk-produk pejuang yang berkaliber dan berwawasan kelak. Amin.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa