Video Klip Pilihan

Monday, April 14, 2008

.:: Terbukti Segalanya ::.

بسم الله الرحمن الرحيم

Penulis memanjatkan sepenuh kesyukuran yang infiniti kepada ALLAH Rabbul Izzati atas segala nikmat kesihatan, ruang, Iman dan Islam yang dianugerahinya.Sungguh beruntunglah bagi sesiapa yang sentiasa berada dalam rahmatNya. Bukan mudah untuk menempatkan diri dikalangan mereka yang mendapat perlindungan ALLAH. Cuma persoalannya adakah kita mampu mengekalkan kondisi do zon selesa ini sehingga dicabut oleh malaikat maut kelak?

Semoga kita akan sentiasa berpada-pada untuk memastikan diri kita dipelihara ALLAH dari segala bentuk sifat-sifat yang boleh mencampakkan diri kita ke dalam neraka ALLAH yang amat pedih. Semoga dijauhkan dari azab siksa yang perit itu. Amin ya rabb.


Terus kepada misi utama penulis menghantar entri kali ini adalah untuk mengulas mengenai undian para sahabat selama sebulan lepas. Undian yang penulis buka sebulan lepas menyentuh soal 'tsunami politik' yang melanda Tanah Air sehingga memeranjatkan semua pihak.
"Mampukah kerajaan 'Pakatan Pembangkang' melaksanakan segala manifesto mereka?" menjadi pilihan penulis ingin mengkaji sejauhmana sokongan rakyat seluruhnya terhadap 'tsunami politik' yang melanda.

Setelah disaring dan dianalisis sehinggalah penghujung undian ditutup pada 12 tengah malam (waktu Mesir) tadi, setelah diundi oleh seramai 44 orang dan keputusannya adalah seperti berikut :-

Insyaallah step by step dalam masa 4-5 tahun. - 25 orang (56%)
Sudah pasti sebab mereka dipilih oleh rakyat. - 5 orang (11%)
Mungkin ya, mungkin tidak. Look and see. - 8 orang (18%)
Takkan berjaya. Bahkan berpecah belah. - 6 orang (13%)

Keputusan : Jawapan pertama mendapat sokongan majoriti 1/2.

Nah, menurut pemerhatian penulis kebanyakan suara rakyat Malaysia termasuk anak-anak Malaysia di perantauan merasakan 'PAKATAN PEMBANGKANG' yang dipilih oleh rakyat mampu membuktikan yang mereka mampu mentadbir negeri-negeri yang mereka kuasai. Bahkan lebih baik berbanding ketika ditadbir oleh parti dominan kerajaan sebelum PRU12. Bukan bertujuan untuk memainkan isu kepolitikan, akan tetapi kenyataan sudah terpampang jelas bahawa rakyat di 5 buah negeri sudah memilih untuk berubah.

Jadi tiada alasan mengapa mereka merasakan undi rakyat adalah undi sabotaj dengan memburuk-burukkan rakyat. Bahkan memburuk-burukkan 5 kerajaan negeri yang telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat itu dengan memanipulasi media arus perdana. Alangkah dengkinya mereka yang masih tidak dapat menerima kenyataan akan kekalahan tersebut. Bahkah banyak isu yang selama ini menjadi agenda utama manifesto Pakatan Rakyat dipermainkan dan dipandang enteng.


Apapun yang mereka lakukan, sekarang rakyat telah bangkit dan sedar dari lamunan mereka. Mereka tidak akan toleh ke belakang lagi dengan pilihan yang telah mereka tentukan pada PRU12 yang lepas. Bahkan kita lihat sekarang kerajaan pemerintah yang menang majoriti mudah semakin banyak tekanan seolah-olah semakin goyah dengan kerusi pemerintahan yang diduduki mereka tika ini. Apapun semoga ALLAH akan membantu mereka yang berada di landasan yang benar dalam mempertahankan dan memartabat kembali maruah ISLAM yang dicemari dari semasa ke semasa.

Penulis bukanlah bertujuan untuk menghidupkan suasana politik di alam mahasiswa ini. Sememangnya mahasiswa di IPTA dan IPTS di Malaysia dimomok-momokkan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang mahasiswa dari menceburi mana-mana pergerakan politik. Sehingga sanggup diwujudkan persatuan pelajar yang digelar sebagai 'ASPIRASI' yang merupakan proksi kepada parti pemerintah. Dalam masa yang sama seandainya ada dikalangan mahasiswa yang terlibat dengan pergerakan parti pembangkang akan dikenakan tindakan tatatertib. Seandainya terlibat membantu parti kerajaan tidak pula dikenakan sebarang tindakan.

Nyata di sana terdapat diskriminasi yang tidak telus dan saksama. Perkara sedemikian bukan sahaja diamalkan di Malaysia yang memang sepatutnya dilaksanakan AUKU itu, bahkan di Mesir ini turut diaktifkan akta tersebut. Menyekat dan tidak membenarkan mahasiswa berpolitik. Kalau dilihat tiada rasionalnya mahasiswa di luar negara turut mendapat tempias akta yang legal di Malaysia. Cuma yang menjadi kedangkalan penulis kala akta ini berkuatkuasa, KELAB UMNO LUAR NEGARA di bawah pantauan Kementerian Luar Negara ditubuhkan di seluruh negara yang menjadi pusat pengajian anak-anak Malaysia. Pelikkan?


Namun begitu penulis bersyukur kerana berada di bawah lembayung Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang telah memayungi anak-anak Melayu semenjak 78 tahun yang lalu. Memang agak berusia jika disamakan dengan umur manusia. Walau di sana banyak tohmahan, sekatan dan halangan yang dilemparkan PMRAM tetap berdiri teguh. Gagah mara ke hadapan dalam meneruskan agenda menyalurkan kebajikan kepada anak-anak Malaysia di bumi Mesir ini. Kebajikan yang merangkumi seluruh pelajar kuliah Universiti Al-Azhar, perubatan dan tahfiz qiraat di seluruh cawangan.

Tohmahan yang mengatakan PMRAM sebagai proksi kepada parti pembangkang sudah lali dilemparkan. Namun tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan kenyataan tersebut. Bahkan para mahasiswa masih menyokong penuh segala agenda thaqafah dan kebajikan yang dibawa oleh PMRAM. Seandainya jelas PMRAM terlibat dengan mana-mana pertubuhan berunsurkan politik Malaysia mahupun Mesir, secara automatik ianya akan diharamkan oleh pihak Kementerian Kemasyarakatan Mesir.(rujuk buku undang-undang tubuh PMRAM)

Dalam keganasan mereka menghentam PMRAM, kelab yang membawa agenda politik Tanah Air masih terus bertapak di Mesir di bawah Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah. Malah diberikan pelbagai prasarana dan peruntukan untuk melaksanakan sebarang aktiviti yang bertujuan untuk memecah belahkan masyarakat pelajar di Mesir ini untuk menyokong penubuhan kelab di bawah kerajaan pemerintah. Nampak pelik tapi inilah realiti yang tersembunyi akan tetapi semakin nyata dan disedari masyarakat mahasiswa. Sekadar memerlukan perhatian dan reaksi mahasiswa terhadap suasana hangat ini.


Bukan bertujuan ingin menyalahkan mana-mana pihak dan mempertahankan pihak yang lain. Akan tetapi inilah realiti amalan diskriminasi kerajaan walau dimana sahaja mereka berada demi memastikan survival mereka untuk diberikan mandat yang berterusan. Walaupun hakikatnya setelah hampir 50 tahun mereka memerintah tiada keistimewaan orang Melayu yang diperolehi sebagaimana yang dicang-canangkan. Malah semakin disisihkan dari menerima keistimewaan di bumi sendiri. Apatah lagi untuk memikirkan survival ISLAM yang semakin terhakis sedikit demi sedikit di kalangan umat ISLAM Malaysia.

Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: