Video Klip Pilihan

Monday, April 07, 2008

.:: Antara Taklifan dan Tasyrifan ::.

بسم الله الرحمن الرحيم


Telah 2 minggu berlalu pertabalan ku dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain sebagai Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) untuk sesi 2008 ini. Selamat menjalankan tugas kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang sudi menerima taklifan tersebut. Juga untuk diri ini ku pupuk dan semai dalam diri ini menerima setiap ketentuan ALLAH dengan hai yang terbuka. Semoga ada hikmah dan impak yang akan diterima disebalik taklifan yang sememangnya amat berat untuk dipikul seandainya tidak disedari.

Ya, sememangnya bagi mereka yang berada di bawah seolah-olah melihat individu yang memegang jawatan di dalam PMRAM ini bagaikan seorang Menteri jika dikiaskan di Malaysia. Ini kerana PMRAM merupakan sebuah persekutuan induk yang telah bertapak lebih 78 tahun yang lalu lebih lama berbanding Malaysia yang merdeka dan menubuhkan kerajaan selama 50 tahun. Justeru tidak hairanlah mereka memandang tinggi individu yang memegang dan bergelar sebagai 'BADAN PENGURUS PMRAM'. Itu suatu realiti yang tidak dapat disangkal apabila berada dalam kepimpinan tertinggi ini.

Apa yang penulis lontarkan bukanlah khayalan dan awangan semata. Penulis sebelum ini juga pernah duduk sebagai ahli yang berada di bawah naungan PMRAM yang banyak membantu dan menyalurkan bantuan kebajikan dalam segala aspek. Bagaikan sebuah kerajaan seandainya diperhatikan dari sudut mata kasar. Kini penulis pula yang berada di atas dipundakkan amanah untuk meneruskan perjuangan abang-abang lama dalam menyalurkan dan memperjuangkan agenda kebajikan yang semenjak dahulu lagi.


Kini penulis mula sedar akan taklifan yang amat berat ini. Bukanlah kemuliaan dan pujian yang diharapkan dari seluruh rakyat pelajar. Kemuliaan bukanlah sasaran utama untuk dicapai. Akan tetapi keredhaan ALLAH adalah hadaf paling utama yang perlu dikejar untuk mendapatkan kemudahan ketika menjalani tapisan di akhirat kelak yang bakal menentukan samada menuju ke syurga yang penuh nikmat atau neraka yang penuh dengan azab yang pedih. Waliazubillahi min zalik.

Nah, juga sebagai peringatan kita bersama tidak kira samada yang memegang sebagai kepimpinan di mana-mana peringkat dalam apa jua bentuk organisasi. Mereka yang memegang amanah sebagai kepimpinan ini digambarkan di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bahawasanya sebelah kakinya di dalam syurga dan sebelah lagi di neraka. Seandainya kepimpinan melaksanakan amanah dengan cara dan perlaksanaan yang berlandaskan Quran dan Sunnah dengan penuh amanah, maka terselamatlah dia. Andai sebaliknya, maka nerakalah tempatnya.

Sebuah peringatan untukku supaya menjalankan amanah yang diberikan oleh masyarakat pelajar dengan sebaiknya dan sehabis baik. Biarlah sehingga mengorbankan nyawa, tenaga dan masa sekalipun penulis akan cuba untuk memenuhi setiap tuntutan dan permintan ruang lingkup bidang kerja penulis. Segala bantuan dan huluran tangan kalian amatlah penulis harapkan dalam menggerakkan sebuah amanah yang sememangnya berat andai dipundak kepada penulis seorang diri.

Naib Presiden II merangkap Ketua Lajnah Muhafazah atau lebih mudah difahami dengan Menteri Dalam Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga perihal yang berkaitan dengan seluruh 8 Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM). Shoubra, Zaqaziq, Shibin, Mansurah, Dumyat, Tanta, Mansurah dan Iskandariah semuanya berada dibawah pantauan penulis. Wah, sekali pandang memang berat. Sebelum ini penulis pernah memegang sebagai Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma (BKTD) pada sesi 2007. Pada kali ini penulis sekali lagi diamanahkan untuk terus mencurahkan bakti dengan amanah yang lebih mencabar.


Harapan penulis semoga di sepanjang menempuh dan menggalas amanah kepimpinan dalam masa yang sama memikul amanah sebagai penuntut ilmu di Universiti Al-Azhar di tahun akhir, InsyaALLAH di Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah dan Kebudayaan Islam. Moga segala ujian yang silih berganti datang dan pergi mampu mematangkan diri penulis dan sahabat seperjuangan sekalian untuk menempuhi dugaan mendatang bukan sebagai hamba ALLAH semata-mata, bahkan sebagai penerus kepada jalan dakwah Rasulullah SAW.

Peringatan untuk diri ini dan sahabat seperjuangan yang berada dilapangan kepimpinan untuk men'inzar' diri kita bersama supaya dapat menjalankan amanah di atas landasan yang betul. Salam perjuangan buat semua pejuang-pejuang agama ALLAH yang mengimpikan tertegaknya kalimah ALLAH, yang sentiasa mengharapkan ISLAM itu akan terus dimartabatkan di atas muka bumi ini.

'JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH'

Kosa kata :-
  • Taklifan : Tanggungjawab, amanah.
  • Tasyrifan : Kemuliaan, pujian, kedudukan, pangkat.
Nukilan Ilham Nurani,

MaHbUb MaRdHaTiLLaH,
ZuLmArWa

No comments: